PELANCARAN INTERNATIONAL BUSINESS DISTRICT (IBD) DAN CORONATION SQUARE JOHOR BAHRU

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN                               

MENTERI BESAR JOHOR 

PELANCARAN INTERNATIONAL BUSINESS DISTRICT (IBD) 

DAN CORONATION SQUARE JOHOR BAHRU

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

HARI AHAD, 22 NOVEMBER 2015

JAM 2.30 PETANG

 

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ .

 

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَالَمِيْنَ . وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ اْلاَنْبِيَآءِ وَاْلمُرْسَلِيْنَ ،  وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, 

Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim 

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

 

Segala Puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan  besar  Nabi Muhammad SAW.

 

Patik bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, dengan penuh hormat takzimnya merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat bercemar duli, menyempurnakan Pelancaran International Business District dan Coronation Square Johor Bahru.

 

Mewakili Kerajaan Negeri dan sekalian Bangsa Johor, patik dengan penuh rasa takzim mempersembahkan ucapan selamat Hari Keputeraan DYMM Tuanku. 

 

Semoga DYMM Tuanku dan DYMM Tuanku Permaisuri serta seluruh Kerabat dilimpahi keberkatan dan rahmat. Patik juga bermohon agar teruslah terhimpun segala yang baik, terbuang segala yang buntu, terukir nama nan ulung, jadi mercu pemerintahan agung, InsyaAllah.

 

Seterusnya, patik dengan segala hormat dan takzimnya, memohon perkenan Tuanku untuk menyampaikan ucapan kepada para hadirin sekalian. 

 

Ampun Tuanku.

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim bin Ramli

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor

 

Yang Berhormat Tan Sri Mohamad bin Haji Aziz

Speaker Dewan Negeri Johor

 

Yang  Berhormat  Dato’ Haji Ismail bin Karim 

Setiausaha Kerajaan Johor 

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Jumaah Diraja Johor

 

Yang Berbahagia Tuan Hj Rahim bin Nin

Datuk Bandar Bandaraya Johor Bahru

 

Yang Berhormat Datuk Kamaruzzaman bin Abu Kassim

Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation

 

Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekalian,

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya kita berpeluang untuk sama-sama menyaksikan detik bersejarah Pelancaran International Business District dan Coronation Square Johor Bahru pada hari yang berbahagia ini.

 

2. Demikianlah jua, bersempena dengan Hari Keputeraan DYMM Tuanku yang berbahagia ini, sukacita saya ingin mengumumkan muafakat Kerajaan negeri untuk menamakan International Business District ini sebagai Ibrahim International Business District. 

 

3. Selain sebagai hadiah keputeraan kepada DYMM Tuanku, persetujuan tersebut dibuat di atas beberapa sandaran berikut: 

 

4. Pertama, pastinya ini demi mengenang dan mengabadikan segala limpahan jasa dan pandangan jauh DYMM Tuanku dalam ikhtiar memakmur dan mensejahterakan negeri ini. 

 

5. Kerajaan Negeri penuh percaya dan akur bahawa DYMM Tuanku telah banyak menjadi pemacu dan pencerah yang amat memahami kepentingan dunia perniagaan yang rancak dan moden, khususnya dalam usaha menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandaraya berstatus global.

 

6. Maka, tiada cara lain yang lebih baik kepada kerajaan dan rakyat untuk menyantuni jasa dan kefasihan tersebut, melainkan dengan mengabadikan nama baik DYMM Tuanku sebagai gelaran kepada pusat perniagaan antarabangsa ini.

 

7. Kedua, nama baik ini juga secara tidak langsung merujuk dan mengingatkan kita kepada sejarah penting bagi Johor Bahru, yang telah dibuka pada tahun 1855 oleh Temenggong Daeng Ibrahim sebagai pusat pemerintahan Kerajaan Johor. Walaupun nama asalnya pada ketika itu adalah Iskandar Puteri.

 

8. Maka, bertepatan dengan susur sejarah dan konteks semasa, saya percaya, nama tersebut adalah pilihan terbaik kepada pusat perniagaan antarabangsa ini.

 

9. Tambahan pula, cetusan idea International Business District ini datangnya dari DYMM Tuanku jua. 

 

10. InsyaAllah, dengan perkenan DYMM Tuanku itu, Ibrahim International Busines District akan dapat diperkenalkan sebagai jenama baharu bagi Johor. Sama seperti penjenamaan yang dilakukan oleh Australia di Sydney CBD, Canada di Downtown Toronto, Beijing Business Central District di China, mahupun jenama Seoul Special City di Korea Selatan.

 

Hadirin-hadirat yang saya muliakan,

 

11. Pusat perniagaan antrabangsa ini dizahirkan untuk melonjakkan Johor Bahru menjadi sebuah pusat perniagaan terkemuka di rantau ini. Pembangunan strategik ini penting kerana beberapa sebab: 

 

12. Pertama, kerana kedudukan Johor Bahru itu sendiri yang amat strategik. Selain menjadi salah satu pintu masuk utama negara, Johor Bahru terletak bersebelahan dengan kota metropolis antara yang paling maju dan membangun di dunia, Singapura. 

 

13. Johor Bahru juga adalah ibu negeri di Semenanjung Malaysia yang paling hampir dengan Indonesia. Maka, ia mesti ditiupkan dengan nafas pembaharuan untuk melonjakkannya sebagai Jauhari Selatan yang berciri global. 

 

14. Kedua, Johor Bahru terhubung dengan infrastruktur sokongan yang baik seperti pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa dan tidak lama lagi, menerusi Rangkaian Keretapi Laju yang moden. 

 

15. Ketiga, Johor Bahru menyaksikan pertambahan penduduk dan kepesatan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. 

 

16. Keempat dan terakhir, kewujudan sebuah International Business District di Johor Bahru ini akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup komuniti setempat, menerusi limpahan kesan perniagaan dan aktiviti ekonomi yang lebih dinamik.

 

17. Selain dicirikan dengan lapangan utama seperti kewangan dan peruncitan, elemen budaya dan warisan akan turut diangkat sebagai salah satu kebitaraan pusat perniagaan antarabangsa ini.

 

18. Pusat ini juga akan turut mempunyai satu kawasan yang dinamakan Coronation Square. 

 

19. Dataran ini disasarkan untuk menjadi satu mercu tanda ikonik Johor Bahru. Dan diharapkan kelak, ia mampu untuk tampil setanding dengan mercu tanda utama dunia seperti Trafalgar Square di London dan Times Square di New York.

 

20. Harapan saya, semoga dengan pelancaran Ibrahim International Business District ini nanti, Johor Bahru akan mampu dilonjakkan menjadi Kuala Lumpur Ke-2, sekaligus bertapak kukuh sebagai Gerbang Selatan Negara yang bertaraf dunia. 

 

21. Dan memandangkan pusat ini bakal menjunjung nama baik DYMM Tuanku Sultan yang kita kasihi, maka saya menyarankan agar kita memusatkan segala kudrat dan usaha menjayakannya dengan sebaik mungkin. 

 

22. Agar ia terbina indah dan teratur, tersergam gagah, jadi tersohor.

 

Ampun Tuanku,

 

23. Patik serta seluruh anggota Kerajaan Negeri, berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa  berada dalam keadaan sihat walafiat, dilanjutkan usia, bertambah-tambah lagi daulat kebesaran dan kemuliaan, bagi menaungi sekalian patik serta seluruh rakyat negeri Johor  dengan adil dan saksama  sekaligus  menjadikan  Johor  terus aman dan makmur. 

 

24. Patik bersama rakyat jelata  sekalian berdoa agar dikurniakan kesejahteraan dan dilanjutkan usia Duli Yang Maha  Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor. 

 

25. Patik juga berdoa agar dilanjutkan usia Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor;  Yang Mulia Che Puan Khaleeda Binti Bustamam;  Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; Paduka Putera-Putera Dan Puteri, serta kerabat-kerabat  DiRaja  sekalian. 

 

26. Semoga Negeri Johor Darul Ta’zim terus maju, kekal aman dan  makmur di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, amin ya rabbal alamin. 

 

Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Ampun Tuanku.

davispropertymanagement.com