MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN TAMADUN MELAYU JOHOR: JOHOR MENUJU KE ARAH PUSAT TAMADUN MELAYU SERANTAU

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN 

TAMADUN MELAYU JOHOR:

JOHOR MENUJU KE ARAH

PUSAT TAMADUN MELAYU SERANTAU

PADA HARI RABU, 11 NOVEMBER 2015

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

JAM 8.00 MALAM

 

 

Terima kasih pengacara majlis,

 

Bismillahirrahmannirrahim 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

1. Pertamanya saya  ingin mengalukan-alukan kehadiran semua delegasi dari dalam negara dan seluruh serantau gugusan melayu yang sudi hadir ke Persidangan Tamadun Melayu Johor. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Yayasan Warisan Johor atas penganjuran dan kesudian menjemput saya bagi merasmikan persidangan yang buat julung kalinya diadakan ini.  

 

2. Alhamdullilah, kita dapat berhimpun pada malam yang bersejarah ini dalam satu persidangan yang sangat penting dan tepat pada masanya. Kerana dalam khusyuknya kita membangunkan Johor dan Malaysia, kita acapkali terpesona dengan pembangunan material.  

 

3. Tekun dan gigih mengejar agregat dan angka-angka yang kita pamerkan untuk menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi kita sihat, mapan dan lestari. Dan pastinya kita akan terus ghairah untuk memastikan semua angka-angka ini terus meningkat dan bertambah baik. 

 

4. Perkara ini mengingatkan saya kepada puisi Surat Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar, karya Arwahyarham Usman Awang. Betapa kejayaan sesuatu pembangunan selalu kita ukur dengan petunjuk yang terlihat secara zahir dan fizikal. 

 

5. Petunjuk seperti membangunnya Kota Iskandar, Johor Bahru, jaringan lebuh raya; terdirinya kilang-kilang yang besar dan pejabat-pejabat komersial serta pelbagai lagi mercu-mercu konkrit yang terpasak di seluruh pelusuk negeri ini.

 

6. Bila semua ini diserlahkan, bila semua ini bercambah dan kelihatan, maka kita akan segera dikatakan membangun, moden dan berjaya. Kita digelar maju. Johor dilihat progresif. Rakyat nampak matang dan terkehadapan.

 

7. Namun pentadbiran saya mengambil pendirian berlainan. Pendirian yang mencabar pemahaman konvensional. Pendirian bahawa pembangunan Johor mesti disandarkan kepada kesejahteraan,  keseimbangan, berbudaya,  bermoral dan lestari.

 

8. Ia mestilah pembangunan yang didasari dengan falsafah dan citra keterangkuman. Bahawa setiap entiti membawa erti. Bahawa setiap bahagian memainkan peranan.

 

9. Kerana kita bukan sekadar ingin membangun. Kita ingin menyumbang kepada peradaban. Dan peradaban itu ialah tentang budaya, bahasa, seni muzik, sejarah, dan kesusasteraan. Tentang pelbagai dimensi yang memberi ‘character’ pada bangsa dan negara kita. Nilai yang membentuk pemikiran dan pemaparan sebenar kehidupan berbangsa. 

 

10. Kerana itu, apa maknanya semua prasarana gah dan luar biasa jika kompas moral dan budaya kita keliru dan berkecamuk. Apa makna sebuah kemajuan jika terhakisnya bahasa ibunda.

 

11. Apa yang akan kita banggakan jika budaya, pemikiran dan gaya hidup anak-anak kita tiada bezanya dengan anak-anak di Kota New York, London, atau Hong Kong. 

 

12. MacDonaldisation, music rapnya, dengan K-Popnya. Hipster kata mereka. Sedangkan, terhakisnya santun budaya. Hilangnya nilai beragama. Lunturnya wibawa sebagai bangsa merdeka. 

 

13. Jadi, apa lagi yang tinggal kepada kita sebagai sebuah bangsa, masyarakat, dan sebuah peradaban, jika kita hanya menjadi pengikut yang membuta tuli menerima, mentaati dan menganuti makna kemodenan dan kemajuan seperti diputuskan berdasarkan tafsiran orientalis Barat. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

14. Maka kerana itulah, persidangan kita hari ini sangat penting. 

 

15. Agar kita punyai ruang sejenak, memikir bagaimana cara terbaik untuk memastikan, walau semoden dan semaju mana pun bangsa ini, ia mesti berakar pada budaya dan nilai yang teguh.

 

16. Ruang untuk mengkaji sejarah pencapaian tamadun dan budaya kita yang panjang dan membanggakan. Ruang untuk kita kembali melakukan refleksi, meneliti kembali kekuatan dan kelemahan lepas yang diajarkan oleh kalam sejarah.

 

17. Ruang untuk kita membuat timbang tara antara nilai yang tercipta oleh tamadun kita yang kaya; dengan nilai yang dimomokkan kini kepada kita oleh pelbagai bentuk imperialisme Barat. 

 

18. Kerana semua itu akan memberitahu dan mengingatkan kita, tentang perkara-perkara yang semakin hilang daripada dimensi kehidupan kita. Yang semakin pudar dan semakin kita lupakan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

19. InshaAllah, saya yakin, hanya melalui pertemuan sebegini, akan terbit peringatan. Akan terjelma teguran dan nasihat dari pemikir dan ilmuan terbaik bangsa. 

 

20. Bahawasanya, dalam kita ghairah membangun; bahasa Melayu kita semakin tersisih. Sehingga anak-anak kita tidak lagi boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

 

21. Bahawa  berbudaya Melayu itu sekarang, hanya terserlah pada busana beraneka rona dan gubahan, yang hanya dipakai semasa Eidul Fitri, setahun sekali.

 

22. Bahawa institusi-institusi penting Melayu, seperti keluarga, kejiranan, masjid dan kariah, semakin longgar dan asing dalam masyarakat.

 

23. Bahawa segala khazanah senibina, senireka, seni cipta Melayu, penulisan, sastera dan karya minda Melayu hanya terlihat dan terpamer dalam manusksrip dan gambar yang terakam sebagai sejarah di pelbagai galeri bangunan kita.

 

24. Sehingga setiap bangunan, ruang pejabat,  rumah dan balai raya, yang terbina beberapa dekad dan kurun lepas, yang semuanya menggambarkan cerita Johor dan budaya Melayu Islam, tidak berupaya kita kekalkan. Malah kita roboh dan runtuhkan.

 

25. Malah kegiatan sukan dan riadah  warisan bangsa, sudah jadi asing. Sepak takraw, silat dan pelbagai lagi, sudah bukan sebahagian citra generasi muda Malaysia.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

26. Semua yang kita warisi daripada segala khazanah bangsa, mestilah kita pertahankan. Malah kita mesti ketengahkan, perelok dan berikan nafas baharu. Hanya dengan cara itu, tamadun Melayu Johor akan terus kekal dan terlihat. Berguna generasi ke generasi. 

 

27. Kerana jika kita tidak melakukannya, siapa lagi yang akan mempertahankannya. Maka kerana ini, sukalah saya mengajak semua yang hadir pada hari ini.

 

28. Berikanlah pencerahan. Kepada saya, kepada rakan-rakan saya dalam pentadbiran Negeri Johor. Bagaimana cara dan jalan terbaik untuk kita memulihara dan memperkembangkan segala aspek tamadun dan khazanah warisan bangsa kita.

 

29. Bagaimanakah jalan terbaik agar kita boleh bersama-sama memugar kembali budaya dan nilai tamadun kita. 

 

30. Terangkan kepada kami, bagaimana kita boleh menjadikan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi ini digunakan seluas-luasnya semula. 

 

31. Bagaimana sukan rakyat boleh diarusperdanakan.

 

32. Bagaimana seni ukir, seni reka dan seni bina Melayu Islam itu boleh terus dibangunkan dan dijadikan asas pada rekaan bangunan, ruang pejabat dan kawasan kediaman kita.

 

33. Bagaimana muzik gambus, ghazal dan tarian zapin itu boleh didendang dan ditarikan di pementasan bertaraf global. Di persembahkan di Royal Albert Hall London, di Dewan Philaharmonik  di New York atau di Teatro Le Fenice, di kota romantik Venice, Italy. 

 

Rakan-rakan sejarawan, budayawan, dan intelektual bangsa. 

 

34. Tahun lepas, dalam pembentangan Bajet 2015, saya telah menganjurkan agar Johor menjadi Pusat Kebudayaan Melayu berkepentinagn global.

 

35. Hasrat saya, bila orang ingin mengkaji dan memahami tentang pemikiran orang Melayu, mereka akan ke Johor. Bila mereka ingin mengkaji budaya, nilai dan dan tamadun Melayu, mereka ke Johor. 

 

36. Kerana Johor adalah pusatnya. Kerana Johor memelihara dan mengembangkan segala identiti dan khazanah bangsa ini.

 

37. Kebiasaannya, untuk memahami dunia Melayu, orang ke Leiden di Belanda kerana kebanyakan khazanah persuratan kita terdapat disana.  Malah kita ada Kerusi Pengajian Melayu yang kita taja di University of Leiden tetapi tidak di universiti awam kita.

 

38. Ini harus berubah. Kenapa kita yang harus ke sana pada waktu kita dan persekitaran kita adalah sumber dan bahan terbaik untuk dilihat dan diselidiki bagi memahami dunia dan tamadun Melayu. 

 

39. Kenapa Johor harus menjadi Pusat Tamadun Melayu ini? Kerana Johor adalah negeri Melayu moden yang pertama di rantau ini.

 

40. Kerana banyak sekali sumbangan Johor pada pembangunan dan kelestarian tamadun Melayu. Johor adalah sebahagaian dari Empayar Johor Riau yang mashyur.

 

41. Bahasa Melayu Johor Riau adalah bahasa baku yang diguna pakai sebagai bahasa pengucapan rasmi negara. Seterusnya jadi bahasa kesepaduan Bangsa Malaysia. Malah Dewan Bahasa pertama ditubuhkan di Johor sebelum diberikan status kebangsaan dan berpindah ke Kuala Lumpur. 

 

42. Sasterawan Johorlah yang menjadi pelopor persuratan Melayu yang tersohor. Karya agung Taj Al Salatin oleh Bukhari Al- Jauhari dan Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang semuanya di hasilkan oleh warga Johor.

 

43. Johor juga melahirkan ratusan cendiakawan terbaik bangsa. Usman Awang, Abdullah Sidek, Ibu Zain, Shahrom Hussein, Ungku Aziz, Syah Hussein dan Syed Naquib Al Attas, semuanya nama besar yang menyumbang dengan begitu luar biasa sekali kepada tamadun Melayu.

 

44. Johor juga negeri Melayu pertama memperkenalkan perlembagaan bertulis dan mempelopori konsep Raja Berperlembagaan. 

 

45. Bukan setakat itu, Johor memperkenalkan Majlis Jemaah Menteri atau Kabinet dan Mesyuarat Kerajaan pada ketika dunia Melayu masih lagi dengan sistem pemerintahan Melayu yang feudal. 

 

46. Dan jangan lupa peranan Sultan Abu Bakar dalam membentuk Johor moden melalui pembentukan dasar luar negara pertama di rantau Melayu, melalui pelbagai diplomasi antarabangsa Baginda.   

 

47. Paling mengesankan ialah bagaimana para pendiri bangsa kita terdahulu telah menubuhkan pergerakan politik pertama orang Melayu melalui UMNO di Istana Besar Johor Bahru. Dan seterusnya memperjuangkan kemerdekaan tanahair dengan cara yang paling aman.

 

48. Semua ini meyakinkan saya bahawasanya, Johor Darul Takzim selayaknya menjadi Pusat Tamadun Melayu yang berkepentingan global.

 

49. Amatlah besar harapan saya agar hasrat ini juga dibincangkan dalam pertemuan selama tiga hari ini.

 

50. Agar hasil akhir dari pemikiran kalian, visi mewujudkan pusat rujukan globan untuk tamadun Melayu ini akan suatu hari nanti menjadi realiti.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

51. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan rasa terima kasih sekali lagi yang amat mendalam pada Yayasan Warisan Johor dan Persatuan Penulis Johor atas usaha yang sangat baik untuk bangsa ini.

 

52. Kepada rakan kerjasama penganjuran persidangan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn dan Persatuan Sejarah Malaysia. Negeri Johor, Kerajaan Negeri amat menyanjung tinggi komitmen kalian yang begitu tinggi terhadap usaha amat penting ini.

 

53. Percayalah, semua usaha baik ini tidak akan sia-sia. Ia pasti, akan memberikan  naratif baharu kepada pembangunan Johor yang sejahtera, berbudaya dan berkemajuan. 

 

54. Dengan penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kesempatan yang sangat baik dan bermakna ini, saya dengan sangat sukacita merasmikan Persidangan Tamadun Melayu Johor ini. 

 

Sekian, Terima kasih dan saya sudahi dengan Wabillahi taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com