MAJLIS PECAH TANAH PUSAT DATA NUSAJAYA VADS (NJDC) ANJURAN TELEKOM MALAYSIA BERHAD

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PECAH TANAH 

PUSAT DATA NUSAJAYA VADS (NJDC) ANJURAN TELEKOM MALAYSIA BERHAD

PADA HARI ISNIN, 26 OKTOBER 2015

DI NO.2, LINGKARAN TEKNOLOGI PERINTIS 1, TAMAN TEKNOLOGI, NUSAJAYA

JAM 9.30 PAGI

 

 

 

Bismillahirahmannirahim.

Terima kasih pengacara majlis

 

YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob

Pengerusi TM

 

YBhg Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa

Ketua Pegawai Eksekutif TM

 

Tetamu-tetamu jemputan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekalian

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor.

 

1. Pertama sekali, marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas segala limpahan rahmat Allah SWT. Hanya dengan izinNya kita diberikan ruang dan peluang berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna ini. 

 

2. Sebelum itu, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) dan anak syarikatnya VADS atas inisiatif pembinaan Pusat Data ini. 

3. Juga terima kasih kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan Majlis Pecah Tanah Pusat Data Nusajaya VADS Berhad ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

4. Kita harus akui, dunia hari ini sudah jauh berbeza. Kita sekarang hidup dalam zaman yang canggih, zaman digital, zaman yang segala-galanya akan bergantung kepada teknologi komunikasi yang berkesan. Dan yang lebih penting, zaman yang segala-galanya akan bersandarkan kepada kepantasan dan ketepatan maklumat.

 

5. Era hari ini menyaksikan, maklumat bukan lagi sekadar satu himpunan rekod. Tetapi sumber kekayaan dan khazanah. 

 

6. Maklumat kini sudah menjadi aset kepada sesuatu organisasi atau perniagaan. Malah kepada kerajaan. 

 

7. Aset kerana ia akan membantu halatuju sesuatu operasi komersial dan bukan komersial. Aset kerana ia akan menjadi asas kepada sesuatu dasar dan keputusan. Dan aset kerana ia akan mempengaruhi halatuju dan pengembangan rangkaian perhubungan dan sasaran perniagaan.

 

8. Malah, kalau kita teliti strategi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), pemacuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam ekonomi berasaskan pengetahuan (K-Economy) adalah salah satu perkara yang ditekankan. 

 

9. Malah K-Ekonomi akan menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam masa beberapa tahun lagi.

 

10. Justeru, di bawah strategi RMK-11 ini, tumpuan diberikan kepada ICT sebagai penggerak utama ekonomi dan pemangkin pemantapan modal insan dengan peningkatan produktiviti melalui inovasi.  

 

11. Dan pastinya, apabila kita bercakap tentang inovasi, sama ada daripada aspek penghasilan produk baharu mahupun penambahbaikan perkhidmatan, koleksi dan simpanan data merupakan perkara yang amat kritikal.

 

12. Justeru, dalam senario ini, terdapat beberapa cara bagaimana Pusat Data yang kita lancarkan hari ini akan memberi nilai tambah yang besar kepada aktiviti ekonomi negara kita. Khususnya kepada Iskandar Malaysia.

 

13. Pertama, selaian akan menjadi titik rujukan kepada pelbagai pelabur dan pemain-pemain industri global, lokasi dan kedudukan negara yang jauh dari zon seismik aktif akan menjadikan Pusat Data ini sebagai pusat data yang selamat dan stabil. 

 

14. Malah, pemilihan negeri Johor sebagai lokasi untuk projek ini amatlah bertepatan. Dengan kawasan seluas kira-kira 160 hektar hingga 280 hektar, Iskandar Johor mampu memberi daya saing yang sihat kepada pembangunan dan pengoperasian pusat-pusat data yang setaraf dengan Singapura dan Jepun, tetapi pada kos yang lebih rendah dan murah.

 

15. Kedua, Pusat Data ini akan dapat menarik ikon penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan global untuk menjalankan operasi di sini. 

 

16. Berbekalkan fasiliti dan sekuriti yang kemas dan tersusun, serta kadar tarif dan harga harga hartanah yang rendah dan kompetitif, ia akan berupaya menjadi tarikan yang diyakini oleh penyedia perkhidmatan perkomputeran dunia. 

 

17. Lebih-lebih lagi kepada pemain global. Mereka sentiasa memantau perkembangan dan tawaran pasaran di serata dunia dari semasa ke semasa. Dan mereka akan memilih pasaran yang memberikan keuntungan terbaik kepada operasi dan aktiviti mereka.

 

18. Ketiga, saya juga percaya yang selain menarik minat pemain global, Pusat Data ini akan dapat merangsang pembangunan kluster syarikat perkhidmatan pengkomputeran awan tempatan. 

 

19. Kita menjangkakan yang pelaksanaan pusat data seperti ini akan memberi banyak manfaat dan peluang kepada pemain industri di negeri Johor dan dari seluruh Malaysia. 

 

20. Keempat, hasil keupayaannya menarik para pelabur terutamanya di kalangan syarikat tempatan yang mahu menempatkan semula operasi IT dan pengeluaran mereka ke Johor, sudah tentu ia akan membawa kesan domino. 

 

21. Iaitu, kita akan menyaksikan limpahan pelbagai peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat tempatan. Sama ada yang terlibat dalam industri ini secara langsung ataupun tidak langsung.

 

22. Dan yang kelima, kesemua ini akan seterusnya akan merangsang kerancakan aktiviti perniagaan yang lain.

 

23. Ini bukan sahaja akan menyumbang kepada kenaikan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat, tetapi akan membentuk sebuah ekosistem yang selari dengan aspirasi kerajaan. Iaitu membina kehidupan kosmopolitan moden yang kondusif, inklusif dan serba canggih.

 

24. Kelima-lima kelebihan dan nilai tambah ini menjadikan inisiatif penubuhan Pusat Data ini sebagai sesuatu yang relevan, menyokong dan bertepatan dengan bentuk ekonomi semasa.

 

Para hadirin yang dihormati sekalian,

 

25. Sebagai sebuah syarikat komunikasi yang mempunyai rangkaian dan sumber yang luas, saya amat yakin dengan keupayaan TM. Dan melalui kepakaran yang dimiliki oleh VADS dalam membangunkan pusat data Nusajaya ini, kita harap Pusat Data ini akan menjadi satu lagi kejayaan penyediaan fasiliti yang penting kepada ekonomi negara kita.

 

26. Di pihak Kerajaan Negeri, kami akan sentiasa menyambut baik dan menyokong inisiatif dan fasiliti yang dapat membantu melancarkan pembangunan ekonomi yang berasaskan pengetahuan. 

 

27. Kerana kita yakin, pengetahuan dalam askpek ekonomi akan sentiasa memerlukan satu rangkaian bekalan dan penyimpanan data yang berkesan, canggih, selamat dan diyakini.

 

28. Fasiliti ini juga akan memanfaatkan Iskandar Malaysia secara tidak langsung memandangkan Nusajaya adalah salah sebuah zon ekonomi utama di wilayah tersebut. 

 

29. Pusat Data ini adalah salah satu inisiatif yang terkandung dalam Rangka Kerja Iskandar Malaysia sebagai sebuah Bandar Pintar (Smart City), iaitu pembangunan infrastruktur ICT menjelang tahun 2025. Ia juga secara tidak langsung menyokong pembangunan Hab Data Iskandar di Sedenak.

 

30. Pembinaan ini pusat data ini akan menawarkan suasana kerja yang pintar dan bersepadu (smart and integrated), sejajar dengan matlamat Iskandar Malaysia sebagai sebuah Metropolis bertaraf Antarabangsa. 

 

31. Saya amat berharap dengan penubuhan Pusat Data ini, operasi perniagaan dan aktiviti komersial, kadar penyampaian kerajaan, aktiviti kajian dan penyelidikan serta rangsangan kemasukan pelabur antarabangsa akan semakin rancak. 

 

32. Dan saya juga berharap yang ramai daripada bakat tempatan yang akan merebut peluang dan menerima manfaat daripada penubuhan dan pengoperasian Pusat Data ini nanti.

 

33. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak TM dan semua yang terlibat atas kerjasama menjayakan projek ini. Marilah kita sama-sama bergandingan untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya nanti. 

 

34. Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirahmannirahim, saya dengan ini merasmikan majlis perasmian dan pecah tanah Pusat Data Nusajaya VADS. 

 

Sekian, wabilahitaufiqwalhidayah 

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

davispropertymanagement.com