MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) SEKTOR AWAM PERINGKAT NEGERI JOHOR KALI KE-28 TAHUN 2015

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) SEKTOR AWAM PERINGKAT NEGERI JOHOR KALI KE-28 TAHUN 2015

PADA HARI SELASA, 20 OKTOBER 2015

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

JAM 8.30 MALAM

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Muafakat Johor.

 

1. Pertama sekali, saya ingin melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama hadir di MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KONVENSYEN KIK SEKTOR AWAM KE-28 PERINGKAT NEGERI JOHOR pada malam yang berbahagia ini. 

 

2. Semoga penganjurannya akan dapat memberi banyak manfaat terutamanya dalam usaha Kerajaan Negeri Johor memperkasakan penjawat awam di Negeri Johor khasnya dan seluruh penjawat awam di Malaysia amnya.

 

3. Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua yang bertungkus lumus dan mengambil daya usaha menjayakan Konvensyen ini. 

 

4. Saya percaya dan yakin apa yang dilakukan ini selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri, yang mencadangkan supaya program-program berteraskan inovasi seperti ini disambut pada setiap tahun.

 

5. Saya benar-benar optimistik bahawa berbekalkan kesepaduan semangat dan budaya sambutan Konvensyen KIK pada setiap tahun seperti ini, ia mampu mengangkat martabat dan keupayaan semua jabatan kerajaan di Negeri Johor untuk menerapkan budaya inovasi dalam kalangan warga kerjanya. Tidak kira di apa peringkat sekalipun. 

 

6. Sebenarnya, penyertaan penjawat awam sama ada di peringkat jabatan negeri, jabatan persekutuan, universiti dan institut kemahiran pada Konvensyen ini mencerminkan satu iltizam yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan agenda negara.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

7. Kalau kita lihat kehidupan hari ini, keperluan untuk mencari jalan dan pendekatan inovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam sangat mendesak. 

 

8. Mendesak kerana wujud jurang yang sangat luas dalam sistem tata kelola perkhidmatan awam jika dibandingkan dengan sektor swasta.

 

9. Mendesak kerana sistem perkhidmatan awam itu sendiri telah turut berubah. Seiring dengan desakan perubahan masa dan keadaan.

 

10. Mendesak kerana ekonomi kita semakin dinamik. Semakin berasaskan inovasi dan idea. Dan tidak hanya bersandarkan kepada sumber alam dan hasil bumi. Maka, sistem perkhidmatan awam yang lama dan tidak dikemaskinikan akan hanya merumit dan melambatkan pertumbuhan dan transformasi ekonomi Malaysia.

 

11. Mendesak kerana ‘keupayaan fiskal’ kerajaan terhad dan ini memaksa langkah-langkah penjimatan atau penambahbaikan yang bersesuaian diperkenalkan.

 

12. Dan yang terakhir, mendesak kerana masyarakat kita semakin cerewat dan mendambakan kecekapan yang lebih mantap. 

 

13. Jesteru, wujud keperluan yang sangat mewajarkan, untuk kita memastikan sistem perkhidmatan awam kita produktif, cekap, amanah dan telus. 

 

14. Kita memerlukan naratif baharu, pemikiran baharu dan jalan inovatif.  Sebab itulah  Konvensyen yang kita anjurkan ini penting dan kritikal.

 

15. Setidak-tidaknya ia menjadi forum yang membuka ruang untuk masyarakat memahami transformasi perkhidmatan awam. Memahami bahawa budaya inovasi telah meresapi pemikiran perkhidmatan awam. Bahawa idea dan kreativiti itu, telah mula membudayai sektor awam.

 

16. Dan konvensyen ini turut akan memberi ruang kepada pelbagai pihak, memberikan saranan dan idea bernas, dalam menjadikan perkhidmatan awam Johor moden dan terkehadapan. Setanding amalan pengurusan terbaik sektor swasta. Sebaik amalan terbaik tadbir urus sektor multinasional. Malah, semaju amalan terbaik pentadbiran institusi antarabangsa. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

17. Saya sedar dan akui, membudayakan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam bukan perkara mudah. Ia adalah isu dan persoalan kompleks. Ia bukan sekadar ungkapan dasar. Ia menuntut bukan sekadar komitmen, tetapi kesediaan untuk merubah status qou. Sesuatu yang sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan.

 

18. Biar saya kongsikan sedikit pengalaman dan pengamatan saya. Saya gariskan 5 cabaran utama, yang mesti kita selesaikan, jika kita benar-benar serius untuk meraikan inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan awam.

 

19. Pertama, keterbukaan. Bukan mudah untuk menerima citra baharu. Bukan mudah untuk mengenegahkan pendekatan inovatif dalam sektor awam. Dan bukan mudah untuk mengajak semua pihak membuka ruang seluas-luasnya agar idea yang segar dan bernas dapat tumbuh, bercambah dan membuahkan kebaikan.

 

20. Malah kita harus menerima hakikat bahawa dalam sistem birokrasi kita hari ini, amat sukar untuk kita memberi ruang pada bakat yang kreatif untuk ke hadapan kerana kita selalu menekankan hirarki, kekananan dan tempoh masa perkhidmatan yang lama. Bukannya kreativiti, kecekapan atau keberkesanan.

 

21. Maka jika perkhidmatan awam kita tidak bersedia untuk bersikap terbuka, maka inovasi, kreativi dan pemikiran alternatif, hanya akan jadi siulan yang merdu sahaja. Tanpa benar-benar mendapat tempat dan diraikan.

 

22. Kedua, kesediaan kita untuk beralih kepada dunia digital. Kita mesti melabur bagi menjadikan perkhidmatan awam kita lebih bersifat digital. Kerana hanya dengan cara sedemikian, anjakan sebenar dalam khidmat awam boleh berlaku. Kurang kertas, kurang fail, kurang longgokan borang-borang yang menyusahkan

 

23. Ini dunia yang berbeza. Segalanya dipersada maya. Segalanya di hujung jari. Segala maklumat, segala keputusan, segala ulasan, semuanya disampaikan dengan cepat, tepat dan telus. Malah, dalam keadaan tertentu, lebih mudah dan murah.

 

24. Maka kita harus memastikan sistem perkhidmatan awam kita benar-benar beroperasi berlandaskan sistem digital. Sistem yang tekini dan sesuai dengan arus teknologi. 

 

25. Ketiga,  membudayakan inovasi dan kreativiti dalam tindakan, pemikiran dan jiwa penjawat awam. Ia mesti digalakkan. Benarkan segala macam idea bercambah. Benarkan ia dilaksanakan. Raikan segala rupa kepelbagaian idea dan penyelesaian alternatif. 

 

26. Wujudkan ruang untuk kakitangan awam meneroka idea-idea di luar kelaziman dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jangan terlalu tertutup dan terikat dengan cara lama. 

 

27. Budaya perkhidmatan awam mesti berubah. Mesti berani mengambil risiko, berani mencuba sesuatu yang baharu. Berani mengambil tanggungjawab kolektif. 

 

28. Keempat, inovasi dan kreativiti ini memerlukan ekosistem dan sokongan yang luas, yang pelbagai. Kita mesti bergerak seiring dengan Kerajaan Pusat, seiring dengan sektor swasta, seiring dengan ilmu baharu, seiring dengan teknologi terkini. Sektor perkhidmatan awam, biar secanggih manapun, tidak boleh bergerak sendiri.

 

29. Maka sektor awam itu tidak boleh menjadi inovatif jika ia hanya beroperasi dalam lingkungan  penjawat awam dan dunia mereka. Kita memerlukan pelbagai pihak membantu. Menyokong. Memberi nilai tambah.

 

30. Universiti dengan tenaga pakar dan dapatan penyelidikan terkini. Sektor perniagaan dengan pengalaman mereka memahami pasaran. Badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil dengan kaedah terbaru, pemikiran terbaru.

 

31. Masyarakat dengan pandangan mereka, dengan teguran mereka, dengan idea alternatif mereka. 

 

32. Kerana hanya dengan ekosistem yang luas dan saling mendukung ini, perkhidmatan Kerajaan dapat dimodenkan. Menjadi cekap, menjadi lebih canggih dan inklusif.

 

33. Akhirnya, inovasi dan kreativiti akan hanya subur, membuah hasil jika berlaku perubahan dalam sistem urus tadbir kita. Pemusatan kuasa sudah tidak lagi relevan. Lapisan demi lapisan birokrasi kita mesti berakhir.

 

34. Hairarki dalam perkhidmatan awam mesti disemak semula. Kerana konsep bekerja dalam era inovatif ini adalah secara kolektif, secara berpasukan. Maka kerana itulah, pasukan yang kreatif harus diberikan kepercayaan. Mandat. Dan diberikan ruang untuk menjelmakan penyelesaian baharu terhadap pelbagai masalah perkhidmatan awam.

 

35. Sudah terlalu lama budaya ‘top-down’ ini, merencatkan kebingkasan perkhidmatan awam. Semua ini harus berubah secara progresif.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

36. Saya difahamkan bahawa usaha-usaha memartabatkan inovasi ini telah berjaya menaikkan  nama  negeri Johor  di  peringkat  Kebangsaan, mahupun antarabangsa. 

 

37. Adalah sangat menggembirakan saya bila projek-projek yang dibawa oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jabatan Agama Islam Johor dan juga dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor sendiri telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

 

38. Pastinya kesemua ini menjadi manifestasi bahawa Pentadbiran Kerajaan Johor telah mula berubah, seiriing perubahan masa dan zaman. Pentadbiran yang bersedia untuk merekayasa dirinya menjadi lebih inovatif dan terkehadapan. Syabas saya diucapkan.

 

39. Akhir kata, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Konvensyen ini.  Semoga niat dan keikhlasan kita membuka ruang kepada mereka yang memerlukan dalam mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat, InsyaAllah. 

 

Sekian, terima kasih

Wabillahitaufiq Walhidayah 

Wassalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com