MAJLIS PELANCARAN MAAL HIJRAH 1437H

Bismillahirrahmannirrahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis.

 

Yang Berhormat

Tuan Haji Abd Mutalip bin Haji Abd Rahim

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor 

 

Yang Berhormat

Tan Sri Mohamad bin Haji Aziz

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor

 

Yang Berhormat

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

 

Yang Berhormat

Dato’ Haji Ismail bin Karim

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

 

Sohibus Samahah Yang Berhormat

Dato’ Haji M. Tahrir bin Dato’ Haji Shamsuddin

Mufti Negeri Johor

 

Yang Berhormat

Tuan Haji Muji Bin Salimon

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor

 

YB Dato’-Dato’, Datin-Datin

 

Ketua-ketua Jabatan

 

Pemimpin-pemimpin Masyarakat

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya kita dapat berhimpun dan bertemu bagi meraikan kedatangan tahun baharu Hijrah 1437. Setinggi-tinggi selawat serta salam ke atas Penghulu Segala Nabi, junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para solihin. 

 

2. Permulaan tahun baharu hijrah merupakan suatu peristiwa yang cukup bermakna. Hari ini, genap kali ke-1437 tahun kita memperingati peristiwa besar hijrah Rasulullah SAW, dari Tanah Haram Mekah Mukarramah ke Kota Madinatul Munawwarah yang merupakan penghijrahan besar yang menjadi titik tolak dan pemangkin perubahan pemasyhuran syiar Islam ke serata alam, sehingga mulai dari tarikh tersebut Saiyidina Umar Al-Khattab dengan persetujuan para sahabat-sahabat  telah menjadikan peristiwa tersebut sebagai permulaan takwim Islam yang kini dikenal di Negara kita sebagai Maal Hijrah.

 

3. Sesungguhnya peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah merupakan satu titik permulaan transformasi bagi masyarakat Madinah secara keseluruhannya. Kedatangan Baginda telah menyatukan Kabilah Aus dan Khazraj, mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, bahkan Baginda telah dapat menundukkan golongan Yahudi Madinah agar menerima perjanjian damai yang diatawarkan oleh Baginda. Budaya hidup berpuak-puak pada ketika itu telah berjaya diubah oleh Baginda menjadi masyarakat yang bersatu-padu serta saling sayang menyayangi sesama mereka sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud :

“ Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi mereka yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak pula dalam hati mereka perasaan irihati terhadap apa-apa yang telah diberikan kepada mereka yang berhijrah itu, serta mereka juga mengutamakan kaum yang berhijrah itu melebihi diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan (sangat memerlukan pemberiaan itu) dan (ingatlah) sesiapa yang dipelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang Berjaya” 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

4. Kita menyambut Maal Hijrah setiap tahun dengan harapan untuk membangunkan umat Islam menjadi umat yang terbaik sebagaimana kejayaan Rasulullah SAW membangunkan kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah Al-Munawarah. Namun dalam masa yang sama kita sebenarnya masih lagi berhadapan dengan cabaran dan krisis pertembungan budaya, krisis yang berlaku ini ditambah pula dengan anasir-anasir luar yang sengaja ingin memecahbelahkan perpaduan di kalangan masyarakat kita. Selain daripada itu kegagalan memahami budaya antara kaum juga melebarkan lagi jurang persefahaman di kalangan pelabagai kaum di negara kita. Malahan akhir-akhir ini sudah wujud kebimbangan tentang nilai perpaduan yang sudah semakin susut di kalangan masyarakat kita.

 

Perpaduan Nadi Transformasi Negara

5. Jesteru, Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini merupakan medan terbaik untuk memulakan transformasi menyatupadukan semula ummah sesuai dengan Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”.  Secara umum, mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan, iaitu perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara kaum Muslimin. Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua dimensi, iaitu, pertama: perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik negara demi kepentingan bersama. Kedua: perpaduan yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalaman setiap individu yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan kerohanian.

 

6. Mengimbas kembali peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW, usaha pertama baginda untuk membina masyarakat di Madinah ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya Baginda mempersatukan dua golongan yang telah beratus-ratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khazraj, lalu dikenali sebagai Ansar. Begitu juga dengan golongan yang datang dari Mekah yang diberi nama golongan Muhajirin. Hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu di bawah ikatan ukhuwah Islamiah bercirikan kehendak Allah dan Rasul. 

 

7. Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam semata-mata, malah merangkumi kaum bukan Islam. Sejarah pada zaman Rasulullah SAW mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi dan Kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinatul Munawwarah kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam. Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW perlu dijadikan contoh. Pada awal hijrah, umat Islam adalah golongan minoriti berbanding penganut Kristian dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu. Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka akhirnya tertegak sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW.

 

8. Bagi umat Islam khususnya di negeri Johor perpaduan ini adalah merupakan perkara yang amat penting dan sangat mahal harganya kerana dengan perpaduan ini ianya dapat menjamin kelangsungan perkembangan agama Islam di Negeri Johor. Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di negeri kita hari ini adalah salah satu nikmat Allah yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Harga sesebuah perpaduan itu sangat penting kerana umat Islam di negara-negara yang lain belum mampu memperlihatkan pencapaian yang tinggi dalam keagamaan berbanding dengan apa yang telah dicapai oleh umat Islam di negara kita  hari ini. Sesungguhnya perpaduanlah merupakan tunjang bagi kemakmuran dan keamanan negara ini. Nikmat-nikmat ini mestilah dipelihara dan dijaga supaya ianya terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Bahaya Perpecahan

9. Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat dibenci oleh Islam. Nabi Muhammad s.a.w. telah diutuskan oleh Allah untuk menyatupadukan umat manusia supaya mereka dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpecahan dikutuk kerana ianya boleh melemahkan umat Islam dalam pelbagai keadaan serta menjadikan mereka lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang ada.

 

10. Perpecahan juga boleh menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh iaitu tidak lagi menggerunkan mereka. Ini akan menyebabkan umat Islam ditindas dan diancam keselamatan diri, harta-benda dan iman. Hal ini telah ternyata sekarang, dimana-mana saja di dunia ini keadaan umat Islam sangat lemah disebabkan permusuhan sesama sendiri. Di tanah Arab, Afrika, Asia, malah di negara kita Malaysia sendiri tidak terlepas dari bahaya permusuhan sesama sendiri. Akhirnya umat Islam kalah bukan kerana kekuatan pihak musuh, tetapi kalah kerana kelemahan diri sendiri.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Halangan Perpaduan

11. Dalam mencapai perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara, manusia tidak terlepas dari menghadapi rintangan dan halangan. Antara halangan-halangan itu adalah berpunca daripada sifat-sifat negetif yang ada dalam diri manusia itu sendiri yang banyak bertindak berlandaskan hawa nafsu seperti sifat hasad dengki, mementingkan diri, iri hati dan sebagainya. Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat keluarga, masyarakat dan bernegara. Sikap seperti ini boleh merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang serta hormat menghormati antara satu sama lain yang akhirnya akan mencetuskan permusuhan dan persengketaan.

 

12. Penyebaran akidah yang salah di kalangan umat juga merupakan salah satu faktor yang boleh memecahbelahkan perpaduan kita. Pada hari ini umumnya masyarakat umat Islam Malaysia berpegang kepada akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah . Oleh itu, kita mestilah memastikan supaya pegangan ini dapat diteruskan dan dipertahankan. Keburukan yang berupa perpecahan dan permusuhan di kalangan umat Islam akan mudah berlaku jika aspek akidah tidak diberi perhatian yang kemudiannya menyebabkan merebak ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam dan akhirnya boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan umat Islam sendiri.

 

13. Selain daripada itu, bentuk amalan dan ibadat juga mesti diberi perhatian. Aspek khilafiah hendaklah dielakkan dari menjadi bahan perdebatan yang boleh membawa kepada keretakan hubungan kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.

 

Para Hadirin Sekalian

Langkah-Langkah Mengekalkan Perpaduan

14. Melihat betapa pentingnya perpaduan dalam menentukan kejayaan umat dan negara, maka kita mestilah sentiasa memupuk kesedaran masyarakat supaya menghargai nilai perpaduan ini serta berusaha menjaga dan memperelokkannya dengan berbagai cara antaranya :

 

15. Berpegang kepada Ajaran Islam Allah telah sediakan satu kaedah yang khusus untuk bersatu padu melalui firmanya di dalam Al-Quran Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud :

“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.” 

 

Dapat difahami dari ayat ini, kalau umat Islam mahu bersatu, mereka perlu berpegang pada tali Allah kerana hanya ada satu bentuk perpaduan yang kekal iaitu perpaduan yang disebabkan kerana Allah. Umat Islam perlu sama-sama menerima dan mengamalkan segala perintah Allah serta mempunyai kesatuan dalam masalah aqidah, ibadah dan akhlak. Kalau semua umat Islam sama-sama mempunyai rasa cinta dan rasa takut kepada Allah, nescaya hati-hati mereka akan sama-sama terikat kepada Allah dan sesiapa yang berkasih sayang dan bersatu padu kerana Allah maka kasih sayang dan perpaduan yang dicapai itu akan turut kekal sampai bila-bila.

 

Mempertingkatkan Persaudaraan.

16. Persaudaraan (ukhuwwah) merupakan asas kepada kesatuan umat manusia dalam sesebuah entiti masyarakat. Bagi mencerminkan persaudaraan menurut lunas-lunas syara’ maka konsep persaudaraan ini perlu didasari dengan ikatan akidah yang luhur dan mantap.

 

17. Oleh yang demikian, konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas dan instrumen yang efektif kepada perpaduan seluruh umat Islam. Ini kerana, ikatan rabbani bersifat universal dan bersifat kualitatif tanpa mengira perubahan masa dan zaman. 

 

18. Antara objektif konsep persaudaraan ini adalah bagi memenuhi konsep saling lengkap melengkapi sesama insan dalam suasana yang harmoni. Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat manusia dalam mengimbangi tuntutan hablu min al-Allah (hubungan dengan Allah) dan hablu Minannas (hubungansesamamanusia).

 

19. Justeru itu, sekiranya manusia menghayati konsep persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka ia akan melahirkan sebuah peradaban manusia yang unggul. Sebagai natijahnya, ia akan membentuk masyarakat yang bersatu padu dan akhirnya akan membentuk bangsa yang kuat. 

 

Mengamalkan Toleransi.

20. Toleransi merupakan amalan dan persiapan masyarakat untuk bersedia hidup bersama dalam keadaan aman damai. Toleransi dalam konteks bangsa dan agama bererti setiap ahli masyarakat berhak untuk menjalankan aktiviti kehidupan seharian, dan melaksanakan ajaran agama masing-masing serta mengamalkannya tanpa halangan.  

 

21. Rasulullah SAW ketika berpindah ke Madinah berhadapan dengan pelbagai bangsa dan agama.  Umat Islam ketika itu merupakan golongan minoriti sementara golongan bukan Islam yang terdiri dari orang Yahudi, Arab Kristian dan Arab Musyrik adalah golongan majoriti. Nabi Muhammad SAW yang dilantik sebagai pemimpin tidak memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam. Tetapi mereka diajak untuk hidup bersama secara aman dan damai, tanpa sebarang kezaliman dan penindasan. Situasi ini menunjukkan tentang sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.  Islam tidak melarang masyarakat Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang lain selagi mereka tidak memerangi umat Islam kerana agama. 

 

22. Islam amat mementingkan sikap toleransi sebagai menunjukkan sikap keterbukaan dalam mendengar pandangan yang berbeza serta bebas juga mengemukakan pandangan selagi tidak menjejaskan pegangan agama masing-masing dalam ruang lingkup yang dipersetujui bersama. Sifat toleransi ini merupakan syarat bagi setiap ahli masyarakat majmuk yang menginginkan kehidupan yang aman dan tenteram. Apabila wujud interaksi dan persefahaman yang baik dalam kalangan masyarakat beragama dan berlainan budaya ini, ia akan membentuk masyarakat yang harmonis. 

 

Persefahaman 

23. Persefahaman dalam masyarakat Malaysia yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama ini adalah penting untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan kaum. Sensitiviti setiap agama dan bangsa perlu didedahkan agar masing-masing faham-memahami tuntutan agama masing-masing dan pantang larang adat kaum masing-masing. Pendedahan ini boleh dilakukan melalui sistem pendidikan, media dan berdialog mengikut batas-batas yang tertentu.

 

24. Allah berfirman dalam Surah al-Muntahanah ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu: kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” Ayat ini memperlihatkan bagaimana Islam amat mementingkan hubungan antara manusia walaupun dengan orang yang bukan Islam sebagai cara mewujudkan keamanan Negara. Malah sikap adil dalam kehidupan ini merupakan aspek nilai sejagat yang perlu dikongsi bersama tanpa mengira agama dan bangsa.

 

25. Semua masyarakat perlu memberi ruang untuk berinteraksi dan berkomunikasi bagi berbincang mengenai nilai-nilai agama masing-masing. Mereka perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama dalam masyarakat sama ada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam. Umat Islam sendiri tidak seharusnya memencilkan diri untuk berbincang tentang Islam hanya dalam kalangan umat Islam sahaja. Pendedahan terhadap nilai-nilai Islam perlu dijelaskan bagi membantu orang bukan Islam memahami nilai-nilai Islam yang universal itu dan menghormatinya sebagai agama rasmi Negara.

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

 

Kesimpulan 

26. Bersempena dengan sambutan peristiwa Hijrah yang penuh  bersejarah ini, saya berharap dapatlah kita bersama-sama memperkukuhkan perpaduan khususnya di Negeri Johor ini bagi melahirkan generasi masyarakat yang bersatu padu, progresif dan dinamik. Justeru itu, bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan politik yang baik, perpaduan merupakan resepi dan adunan yang terbaik dan kunci utama khususnya bagi rakyat yang berbilang kaum. Sebagai rakyat yang tinggal di Negeri Johor, kita perlu bergerak secara bersama  dalam mengekal dan menjamin keamanan serta perpaduan di kalangan masyarakat. Tanpa elemen perpaduan, mustahil rakyat Negeri Johor dapat mengecapi nikmat kemakmuran dan keharmonian seperti yang kita kecapi hari ini. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar niat dan tujuan perjuangan kita pada hari ini selari dengan maksud hijrah itu sendiri. 

 

27. Saya juga inigin merakamkan ucapan tahniah dan syabas khususnya kepada  Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis kita pada hari ini, kepada penerima-penerima anugerah Maal Hijrah pada tahun ini diharapkan agar sumbangan tuan –tuan akan sentiasa berterusan dalam memartabatkan ummah tercinta ini.

 

28. Akhirnya, dengan lafaz:  بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم  saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor pada tahun ini.

 

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

davispropertymanagement.com