MAJLIS PELANCARAN KEJOHANAN HOKI ANTARABANGSA BAWAH 21 TAHUN PIALA SULTAN JOHOR 2015

 

TEKS UCAPAN 

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR 

MAJLIS PELANCARAN KEJOHANAN HOKI ANTARABANGSA BAWAH 21 TAHUN PIALA SULTAN JOHOR 2015

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

PADA HARI SELASA, 08 SEPTEMBER 2015

JAM: 1.00 TENGAHARI

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ .

 

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَالَمِيْنَ . وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ اْلاَنْبِيَآءِ وَاْلمُرْسَلِيْنَ ،  وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

Salam Muafakat Johor dan Salam Sejahtera.

 

Mengadap Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Sultan Ibrahim,

Tunku Panglima Johor, merangkap wakil rasmi Duli Yang Maha Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, 

Tunku Temenggong Johor 

 

Ampun Tunku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

 

Segala Puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan  besar  Nabi Muhammad SAW, patik bagi pihak Kerajaan Negeri Johor dengan penuh hormat takzimnya merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Yang Amat Mulia Tunku berangkat mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyerahan Penajaan Sempena Pertandingan Hoki Piala Sultan Johor ke-5, bagi tahun 2015.

 

Patik juga mengambil kesempatan ini merafak sembah menjunjung setinggi kasih di atas keberangkatan:

 

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah,

Tengku Mahkota Pahang, merangkap Presiden Persekutuan Hoki Malaysia.

 

Seterusnya, patik dengan segala hormat dan takzimnya, memohon perkenan Tunku untuk menyampaikan ucapan kepada para hadirin sekalian. 

 

Ampun Tunku.

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Subahan Kamal 

Exco Persekutuan Hoki Antarabangsa, 

merangkap Presiden Hoki Asia dan Presiden Kehormat Konfederasi Hoki Malaysia

 

Yang Berusaha Encik Logan Raj 

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia

 

Dif-dif kehormat,

Para penaja Kejohanan, 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, 

 

Ampun Tunku,

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya, dapat kita berkumpul bersama-sama di Majlis Penyerahan Penajaan Sempena Pertandingan Hoki Piala Sultan Johor ke-5 bagi tahun 2015 pada hari yang berbahagia ini.

 

2. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan salam takzim dari YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor yang tidak dapat bersama kita pada hari ini kerana terlibat dengan tugas rasmi.  Justeru, izinkan saya meneruskan ucapan dengan membacakan teks ucapan YAB Dato’ Menteri Besar.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

 

3. Pada tahun ini, Konfederasi Hoki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hoki Johor telah diberi mandat untuk bersama-sama menganjurkan kejohanan yang cukup berprestij ini. 

 

4. Suka untuk saya imbas dan kongsikan, suatu ketika dahulu pada tahun 1975, ketika Kejuaraan Hoki Piala Dunia yang telah dilangsungkan di Kuala Lumpur, pasukan negara tampil bersemangat sehingga berjaya memahatkan nama Malaysia di tangga ke-4 terbaik dunia.

 

5. Kejayaan ini amat membanggakan kita. Begitu juga ketika bertarung di Sukan Olimpik Melbourne, Australia pada tahun 1956 atau pada saat-saat manis Sukan Komanwel 1998, ketika kita menjulang pingat perak selepas menewaskan pasukan India. 

 

6. Malah kita pastinya masih ingat kelincahan pemain-pemian kita seperti Nor Saiful Zaini, Mirnawan Nawawi, S. Kuhan, Maninderjit Singh yang sering mengharumkan nama negara. 

 

7. Justeru, kita mendambakan semula kegemilangan yang pernah kita kecapi dalam arena hoki antarabangsa sebelum ini. Kita mengharapkan yang kegemilangan di peringkat dunia dapat kita lakar dengan penuh bersejarah.

 

8. Berbekalkan semangat dan tekad sebegini, Konfederasi Hoki Malaysia berusaha bersungguh-sungguh mengorak langkah  dan menyusun strategi. 

 

9. Dan dalam hal ini, negeri Johor tidak terkecuali untuk bersama-sama membantu merealisasikan impian murni ini. Kerana kita di Johor percaya pada konsep pembangunan yang menyeluruh, kepada kecemerlangan yang menjangkaui nilai material mahupun perolehan ekonomi semata-mata.

 

10. Dan sukan menjadi salah satu agenda penting pembangunan inklusif kita. Kita mahu tonjolkan pada dunia akan keupayaan bangsa Johor sebagai warga yang berbakat dan serba boleh. Tajam dan panjang akalnya, kuat dan sihat pula tubuhnya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

11. Piala Sultan Johor ini baru sahaja mencecah edisi yang ke-5. Namun sudah menjadi satu lagi identiti dan jenama negara yang acaranya amat ditunggu-tunggu. 

 

12. Saban tahun permohonan penyertaan negara-negara gergasi hoki dunia untuk menyertai pertandingan Hoki Piala Sultan Johor ini meningkat dan melebihi jangkaan.

 

13. Mereka mahu menjadi sebahagian daripada pertandingan ini. Mereka mahu mencipta kemenangan dan nama yang tersendiri. 

 

14. Kerana gelanggang Piala Sultan Johor ini bukan gelanggang biasa. Tetapi gelanggang yang telah berjaya mencuri perhatian dan lensa kamera peminat dan penaja sukan antarabangsa. 

 

15. Akan tetapi, demi memastikan kualiti dan prestijnya, Jawatankuasa Pertandingan Hoki Piala Sultan Johor memutuskan untuk menerima hanya enam pasukan terbaik dunia sahaja.

 

16. Dan bagi edisi ke lima tahun ini, 6 pasukan yang bertuah tersebut adalah nama-nam besar dunia seperti Australia, Great Britain, Argentina, India, Pakistan, dan negara kita, Malaysia.

 

17. Maka,kita amat berterima kasih dan menghargai kerjasama dan sumbangan besar para penaja kita. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan diucapkan kepada:

a. Kerajaan Negeri Johor (RM500,000)

b. Radio Televisyen Malaysia (RTM) (RM200,000)

c. Astaka Padu (RM200,000)

d. Kementerian Belia dan Sukan (RM100,000)

e. Tenaga Nasional Berhad (RM100,000)

f. Johor Corporation (RM100,000)

g. UEM Sunrise (RM100,000)

h. Atlan Holding Berhad, menerusi anak syarikatnya, Naluri Properties (RM100,000)

i. UM Land (RM100,000)

j. JBB Builder (RM100,000)

k. Genting Berhad (RM50,000)

l. Iskandar Waterfront (RM50,000)

m. UniKL (RM50,000)

n. SAJ Holdings (RM50,000)

o. BCB Berhad (RM10,000)

 

18. Tidak ketinggalan, tahniah dan terima kasih jua atas usaha Presiden Persatuan Hoki Johor, para ahli jawatankuasa serta semua pihak yang telah memastikan kelancaran majlis ini.

 

Ampun Tunku,

 

19. Patik amat yakin dengan sokongan semua pihak, kejayaan demi kejayaan oleh pasukan negara dalam arena antarabangsa boleh kita capai. 

 

20. Marilah kita bersama-sama memberi sokongan kepada penganjuran kejohanan yang berprestij ini. Selamat maju jaya kepada pasukan negara, semoga kejayaan menjadi milik kita.

 

21. Akhir kata, patik bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, pegawai-pegawai kerajaan dan sekalian rakyat jelata mendoakan agar Yang Amat Mulia Tunku sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

 

22. Semoga cita-cita dan hasrat yang terkandung dalam merancakkan sukan ini mencapai matlamatnya. InsyaAllah.

 

Sekian, 

Wabillahitaufik walhidayah, 

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Ampun Tunku.

davispropertymanagement.com