MAJLIS PENYAMPAIAN GERAN TANAH 2 EKAR

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS MERDEKA RAYA DUN TANJUNG SURAT

Sekolah Agama Taman Bayu Damai

Pengerang

9.30PAGI & 23 Ogos 2015

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri

dan Ahli Parlimen Pengerang

 

Yang Berhormat Dato’ Ir. Syed Sis Syed Abdul Rahman

Ahli Dewan Negeri Johor bagi kawasan Tanjong Surat, selaku tuan rumah majlis pada hari ini

 

Yang Berusaha Tuan Haji Sallehuddin Hassan

Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Johor

 

Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Noorazam bin Dato' Haji Osman

Pegawai Daerah Kota Tinggi

 

Encik Mohd Yazid Ja’afar

Ketua Eksekutif, Johor Petroleum Development Corporation Berhad

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Ir. Syed Sis Syed Abdul Rahman, Ahli Dewan Negeri untuk Tanjong Surat, serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan warga Taman Bayu Damai khasnya, dan Pengerang amnya, atas undangan ke Majlis Merdeka Raya DUN Tanjong Surat 2015 pada hari ini.

 

2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tanhniah kepada YB Datuk Seri Azlina Othman, sebagai Ahli Jemaah Menteri yang baharu. Semoga dengan perlantikan ini, beliau dapat memainkan peranan lebih besar dalam membangunkan Pengerang dan Johor.

 

3. Alhamdulillah, saya sangat berasa senang dan berbahagia sekali berkunjung ke daerah Pengerang pada hari ini. Ada beberapa sebab kenapa saya berperasaan sedemikian.

 

4. Pertama, walau Syawal telah berakhir, tetapi saya rasa tidak terlalu lewat untuk saya bersilaturrahim dengan masyarakat di Pengerang. Meraikan Aidilfitri dengan rakan, taulan dan masyarakat Pengerang. 

 

5. Kedua, saya ingin melihat sendiri keadaan, kedudukan dan kebajikan rakyat Johor, walau di mana sahaja. Dasar kita semuanya berorientasikan pembangunan pro rakyat. 

 

6. Justeru amat penting untuk saya melapangkan masa sekerap mungkin, untuk hadir dan bertemu rakyat. Memahami masalah mereka, mendengar dengan baik dan mendapatkan pandangan dan pendapat, untuk menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik, lebih sejahtera.  

 

7. Dan ketiga, ialah kerana saya ingin mengucapkan rasa terima kasih yang sangat tulus. Pada seluruh penduduk Pengerang, kerana telah berkorban dengan banyak sekali,  bagi memberi laluan  kepada pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS. Suatu projek yang akan memberi impak besar kepada ekonomi dan pola pembangunan kita di Johor.

 

8. Bukan sedikit pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan. Tanah, rumah dan kampung halaman terpaksa ditinggalkan. Berhijah memulakan kehidupan baharu di penempatan lain. 

 

9. 6242 ekar tanah dan 6 buah kampung, telah diambil pemilikannya oleh Kerajaan. Keluasan yang sangat besar. Namun saya tidak melihat ini semua dari sudut nilai material sahaja. Ia lebih daripada itu.

 

10. Sukar saya bayangkan perasaan tuan-tuan dan puan-puan, meninggalkan sesuatu yang sangat dekat dengan hati kalian. Rumah tempat lahir,  tanah untuk kehidupan dan kampung halaman tempat bermasyarakat. 

 

11. Pastinya sarat dengan memori dan kenangan. Kenangan membangunkan keluarga dan membina kehidupan.

 

12. Semuanya  adalah bahagian dari kehidupan tuan-tuan dan puan-puan. Meninggalkan semua itu, bermakna mengorbankan sebahagian dari cerita kehidupan lampau kalian. 

 

13. Maka kerana itu, saya hadir secara peribadi, untuk menyatakan penghargaan yang sangat mendalam. Atas semua yang telah tuan-tuan dan puan-puan lakukan. Atas apa yang tuan-tuan dan puan-puan korbankan.

 

14. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya sangat menghargai kerjasama, bantuan dan kesabaran yang telah diberikan. Baik  semasa proses pengambilan balik tanah mahupun proses pemindahan ke Taman Bayu Damai ini. 

 

15. Saya sedar, ada banyak kesukaran yang telah timbul daripada semua ini. Saya juga maklum bahawa ada unit-unit rumah yang tidak sempurna dan mengalami kerosakan dan kecacatan, dari kecacatan kecil hingga ke kerosakan besar yang memerlukan rumah untuk dibina semula. 

 

16. Saya berjanji untuk mengatasi semua ini. Yang rosak mesti dibaiki, yang cacat akan dipulihkan, dan yang tidak sempurna akan disempurnakan.  Agar tuan-tuan dan puan-puan berpeluang menjalani kehidupan yang sempurna dan yang selesa.

 

17. Kepada Unit Perancang Ekonomi Johor dan Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), ini semua adalah dalam bidangkuasa dan tanggungjawab kalian. Selesaikan segala masalah ini secara bersungguh-sungguh. Selesaikan secara cepat dan selesaikan secara terbaik.  

 

18. Saya faham, ini bukan satu perkiraan ekonomi yang melibatkan untung rugi. Tetapi ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral kita kepada masyarakat. Maka ia perlu dikendalikan dengan penuh rasa sensitif dan disegerakan.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

 

19. Antara perkara yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada penduduk-penduduk yang perlu berpindah kerana projek Kompleks Bersepadu Pengerang ini adalah pengurniaan tanah pertanian.  Seluas dua ekar kepada penduduk yang mempunyai tanah pertanian di kampung asal. 

 

20. Pentadbiran Negeri percaya, melalui pengurniaan tanah ini, para penduduk yang terkesan akan berpeluang kembali berbudi pada tanah, meneruskan kegiatan ekonomi pertanian yang pernah mereka jalankan sebelum ini. 

 

21. Proses pengagihan plot tanah ini telah pun berjalan dan penyerahan geran tanah kepada penduduk yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. 

 

22. Sukacita saya memaklumkan bahawa pada hari ini, kumpulan pertama sebanyak 100 penduduk Taman Bayu Damai akan menerima geran tanah pertanian masing-masing. Kepada yang lain, Pentadbir Tanah akan mengeluarkan surat notis apabila geran tanah Tuan-Tuan sudah sedia untuk diambil. 

 

23. Saya harap kita semua akan memberikan mereka sedikit masa. Saya percaya mereka sedang cuba melakukannya dengan sesegera yang boleh.

 

24. Kerajaan Negeri juga berharap tanah-tanah ini nanti akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Usahakanlah, kerana berbudi pada tanah itu adalah ibadah. Dan lumrahnya kebaikan dan barakah jua. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

25. Bila kita memilih Pengerang sebagai lokasi pembangunan industri hiliran minyak dan gas, ia bukan hanya sebagai sebuah projek mega yang akan memberi impak positif kepada masa hadapan Malaysia.

 

26. Projek ini adalah satu usaha kerajaan untuk mentransformasikan kawasan luar bandar di Malaysia ini. Kita ingin bangun dan kembangkan potensi yang ada di desa dan kawasan luar bandar kita. Kita ingin pastikan bahawa usaha pembangunan itu adil. Dirakyatkan. Disebar luaskan. Merentasi bandar dan luar bandar.

 

27. Kita harap Pengerang nanti menjadi satu kawasan yang penduduknya, bukan sahaja berpeluang menikmati alam sekitar yang baik kualitinya, malah baik juga kualiti kehidupan dan pekerjaannya.

 

28. Tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa salah satu projek transformasi luar bandar yang paling berjaya di dunia ialah skim Felda. Malah ia adalah program pembasmian kemiskinan paling berkesan di dunia.  Ia bukan sekadar mengurangkan kadar kemiskinan Malaysia secara terlihat.

 

29. Tetapi yang lebih penting ialah ia melestarikan ekonomi Malaysia. Apakah kalau tidak ada felda, kita mampu menjadi pengeluar kelapa sawit terbesar dunia? Felda membasmi kemiskinan. Felda mengupayakan orang Melayu. Felda memodenkan masyarakat Melayu luar bandar.

 

30. Visi Almarhum Tun Razak bila ia mengilhamkan Felda serta pelbagai inistiatif pembangunan luar bandar lain sangat luar biasa. Malah semasa pentadbiran Tun Razak, fokus dasar pembangunan beliau ialah membangunkan potensi luar bandar. Baik potensi ekonomi mahupun potensi masyarakatnya. 

 

31. Justeru, kita di Johor ingin memastikan usaha transformasi luar bandar  sebegitu dapat diteruskan dan disemarakkan kembali dengan memperkenalkan pelbagai strategi baharu. 

 

32. Alasannya mudah. Kerana jurang kesenjangan pembangunan dan kemajuan antara kawasan bandar dan luar bandar di Johor masih luas. Ia perlu diberikan perhatian. 

 

33. Kerana dasar kita adalah menjadikan ekonomi Johor ekonomi yang berkesejahteraan. Inklusif. Adil. Pro rakyat. Dan tidak berpusat dan tertumpu kepada bandar sahaja. Bukan sekadar persekitaran Wilayah Iskandar. 

 

34. Sebab itulah, bagi Kerajaan Negeri Johor, Projek Kompleks Bersepadu Pengerang ini harus menjadi satu lagi model projek transformasi luar bandar paling berjaya.

 

35. Ini bukan bermakna Pengerang harus menjadi sebuah lagi kawasan urbanisasi besar dan gah macam Iskandar. Tidak perlu model sebegitu. Apa yang penting ialah, limpahan projek PICC Pengerang ini, akan memafaatkan penduduk setempat dengan sebaik mungkin. 

 

36. Jalanrayanya teratur, bekalan air dan apinya berfungsi baik, sekolah dibangunkan prasaranya, khidmat jalur lebar pantas, kelestarian  alam sekitar dipelihara, pemuda dan pemudi desa diberikan kemahiran serta pelbagai lagi. 

 

37. Inilah maksud trasformasi kawasan luar bandar. Walau geografinya terjarak dari kota raya besar, namun kualiti hidup masyarakatnya setimpal, malah mungkin lebih baik.

 

38. Jika Felda dan visinya berjaya menggunakan pertanian sebagai katalis transformasi luar bandar, maka di Johor dan Pengerang ini, katalisnya ialah PICC. 

 

39. Maka, dalam proses menjadikan Pengerang dan PICC ini sebagai satu katalis ekonomi baharu yang lebih sejahtera, yang mentrransformasikan kawalan luar bandar, kita bercadang untuk memberikan perhatian kepada inisiatif-inisiatif strategik berikut.

 

40. Pertama, memperkasakan kemahiran anak-anak tempatan Pengerang. Memandangkan Pengerang dan khususnya PICC akan dipacu oleh industri yang berkemahiran tinggi, maka kita tidak boleh lari daripada memberikan fokus kepada perkara ini. 

 

41. Lihat sahaja bagaimana kita mengupayakan generasi muda di Pengerang. Johor Petroleum Development Corporation Berhad, atau JPDC, sebagai agensi penyelaras dan pemudahcara pembangunan PIPC telah mengadakan pelbagai program bimbingan kerjaya.

 

42. Mereka kongsikan maklumat tentang industri hiliran minyak dan gas dan peluang yang terserlah dengan masyarakat Pengerang, terutamanya golongan belia, siswa pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

 

43. Tetapi, kita mahukan lebih banyak dana diberikan, lebih banyak bantuan dan insentif ditawarkan melalui program-program pemantapan kemahiran anak-anak tempatan. Kita tidak mahu lagi alasan ‘kurangnya bakat tempatan’ menjadi sebab kita memilih jalan pintas dengan mengambil tenaga kerja luar. 

 

44. Malah, saya cadangkan agar perkara ini kita perkemaskan dengan seterusnya menetapkan pula jumlah siling atau had bagi kadar kemasukkan pekerja asing ataupun tenaga luar di Pengerang dan PICC. Biar bakat-bakat dan anak-anak tempatan dioptimumkan sepenuhnya.

 

45. Kedua, pelan trasnformasi juga boleh digerakkan melalui usaha merancakkan aktiviti keusahawanan. Saya percaya, dengan potensi yang dimilki oleh Pengerang, pelaung dalam bidang keusahawanan di kawasan ini akan turut berlipat ganda. Maka, keusahawanan yang diterajui oleh anak tempatan boleh dijadikan salah satu fokus penting.

 

46. Malah Perbadanan Islam Johor sendiri turut terlibat, menyokong peningkatan usahawan sedia ada dan melahirkan usahawan baharu di Pengerang. Pada saya, perkara ini boleh dilaksanakan dan ditambah baik melalui beberapa inisiatif lagi seperti:

 

a. Satu: Memimpin usahawan tempatan meneroka bidang baharu atau mengambil tempat dalam peluang yang ada;

 

b. Dua: Memberikan bantuan fasiliti atau kemudahan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi kepada usahawan, selari dengan identiti bandar Pengerang itu sendiri; dan

 

c. Tiga: Berkerjasama membantu dan memberi panduan kepada usahawan untuk tampil atau mencipta jenama dan produk berstatus antarabangsa.

 

47. Manakala, inisiatif ketiga dalam transformasi ini boleh memfokuskan kepada penambahbaikan dan pemodenan infrastuktur seperti sekolah, sekolah kemahiran atau vokasional dan kemudahan jalur lebar yang meluas, pantas dan boleh dinikmati secara menyeluruh.

 

48. Lihat sahaja bagaimana kita transformasikan Sekolah Agama Kampung Sungai Kapal yang ditutup. Kita gantikan ia  dengan Sekolah Agama Taman Bayu Damai. Ia telah mula digunakan sejak 3 Januari 2015. Ia sekolah yang lebih baik, lebih selesa, lebih dilengkapi.  

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

49. Kenapa inisiatif strategik sebegini yang kita pilih? Kerana kita percaya inilah jalan ke hadapan yang terbaik. Jika dulu, untuk memberikan peluang kepada masyarakat mengubah ekonomi keluarga, FELDA berikan tanah. Hari ini kita percaya, pemantapan kemahiran anak-anak muda adalah jalan yang lebih baik.

 

50. Jika dulu kita bina jalan raya, kini kita harus ada kemudahan jalur lebar yang pantas. Agar maklumat dapat sampai kepada kita dengan lebih deras.

 

51. Jika dulu, kita perlu keluar dari kampung merantau, mencari ilmu, mencari rezeki. Kini, kita bawakan peluang di depan mata. Agar, walaupun dengan tinggal di desa, anak-anak kita masih boleh menyumbang kepada keluarga, masih boleh meningkatkan kemahiran diri dan masih boleh terdedah kepada persekitaran pekerjaan yang berteknologi tinggi dan berstatus global.

 

52. Jika dulu, kita fokuskan kepada pertanian dan bercucuk tanam. Kini, kita mahu menanam pula minat berniaga dan menjadi usahawan di kalangan anak tempatan.

 

53. Jadi, dalam usaha murni ini, saya harap YB Dato Azalina boleh membantu kita. Membantu membawa pelan dan rancangan ini ke peringkat persekutuan. Agar dana, teknologi dan perhatian yang kita perlukan ini dapat turut disumbangkan dan dibantu oleh Kerajaan Pusat.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

54. Sekali lagi saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Ir. Syed Sis, Ahli Dewan Negeri Tanjong Surat, di atas inisiatif acara Merdeka Raya ini. Saya sangat gembira kerana Majlis ini juga dimanfaatkan untuk meraikan bulan menyambut kemerdekaan. 

 

55. Justeru marilah kita turut mengambil kesempatan ini, mengenang pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dan sentiasa memperbanyak rasa syukur atas nikmat kemerdekaan ini. Semoga dengan semangat menghargai tanah air dan kemerdekaannya, kita tanam azam untuk membuat lebih banyak kebaikan kepada tanah air dan bangsa kita. 

 

56. Semoga acara ini mengukuhkan lagi muafakat masyarakat dan penduduk  di Taman Bayu Damai ini. Moga penghijrahan tuan-tuan dan puan-puan ke penempatan baharu ini, menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah komuniti yang maju di Pengerang.

 

57. Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada para penerima geran tanah pertanian, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya berbesar hati merasmikan bangunan baru Sekolah Agama Taman Bayu Damai.

 

Sekian, Terima kasih.

Wabillahi taufik walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com