PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN SEMBRONG

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR & PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO JOHOR

PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BAHAGIAN SEMBRONG

PADA HARI JUMAAT, 07 OGOS 2015

DI SEKOLAH MENENGAH SAINS SEMBRONG, KLUANG, JOHOR

JAM 9.00 PAGI

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

Datuk Seri Naib Presiden, Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

1. Saya dan rakan-rakan berasa sangat berbahagia pada hari ini.

 

2. Berbahagia kerana diberikan penghormatan untuk merasmikan mesyuarat perwakilan Bahagian Semberong, yang dipimpin oleh seorang pemimpin penting parti kita. 

 

3. Datuk Seri Hishammuddin adalah nama besar dalam UMNO dan tokoh Johor yang berpengaruh.

 

4. Maka kerana sosoknya yang berwibawa itu, maka saya sangat merasa terhormat bila dijemput untuk melakukan perasmian ini.  

 

5. Insyallah, saya yakin pertemuan ini kita hari ini akan membuahkan kebaikan kepada UMNO dan perjuangannya. Pertemuan kita hari ini, pada saya,  mempunyai dua kepentingan tersendiri.

 

6. Pertama, kita berhimpun ketika UMNO berada dalam kedudukan yang tidak begitu baik. UMNO berada dalam kedudukan yang wibawanya sebagai sebuah pemerintahan semakin dipersoalkan. 

 

7. Maka kita harus mencari pencerahan. Kita harus mengukuhkan semula keyakinan terhadap UMNO agar ia boleh berkelansungan. Dan di medan seperti inilah seharusnya perjalanan hari muka parti, dibahaskan dengan tulus dan benar.

 

8. Kedua, Semberong mempunyai kepentingan sendiri dalam politik UMNO. Ia diwakili oleh seorang pemimpin dari keluarga yang sangat berpengaruh dalam politik Malaysia. Dan InsyaAllah suatu hari nanti akan memimpin bangsa kita.

 

9. Maka kerana itu usaha pencerahan terhadap kemelut semasa UMNO mesti diperdebatkan di medan berpengaruh seperti Semberong. Dengan harapan, usaha pengislahan UMNO ini akan menjadi lebih besar dan lebih lebar dampaknya, dek kerana pengaruh Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin.  

 

10. Justeru itu, izinkan saya mengambil kesempatan ini berkongsi beberapa perkara penting. 

 

UMNO HARUS MENJADI PARTI MODEN

 

11. Pertama, apa jua kemelut, apa jua masalah yang mendepani parti, janganlah sekali-kali kita lupa bahawa perjuangan  UMNO itu lebih besar. Lebih penting. 

 

12. UMNO sinonim sebagai parti pembela bangsa. Parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Parti yang memayungi bangsa dan agama. 

 

13. Maka kerana itu, janganlah kita sama sekali hilang fokus. Dek kerana gelisahnya kita dengan isu-isu besar yang membebani parti seperti 1MDB, MARA, Tabung Haji, GST dan termasuklah rombakan kabinet yang menyaksikan penguguran tokoh Johor, Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

 

14. Benar kita tersentak dengan semua ini. Benar kita berdukacita. Tetapi perjuangan kita untuk orang Melayu dan membina negara, menuntut kita mengenepikan segala gundah gulana ini. 

 

15. Jangan sesekali kita lupa bahawa seumur masa, UMNO telah memberikan amal dan bakti yang sangat luar biasa pada orang Melayu dan Islam.   

 

16. Pembentukan Malaysia moden dan berkemajuan seperti hari ini, telah dibidani oleh UMNO jua. 

 

17. Selama 6 dekad, UMNO berjaya menggalas tanggungjawab dan amanah ini dengan baik. Dari parti yang hanya didukung oleh golongan bawahan seperti petani, nelayan, peneroka dan guru kampung, UMNO sekarang telah menjadi parti yang sangat membangun.  

 

18. UMNO bukan lagi parti golongan marhain dan rakyat kebanyakan. UMNO telah menjadi institusi politik yang ‘sosphiticated’ dan dianggotai oleh putera-puteri terbaik bangsa.

 

19. Tetapi disebalik segala kebaikan dan kejayaan yang dihasilkan melalui UMNO, parti juga berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin mencabar kelangsungannya.

 

20. Ramai yang tidak melihat UMNO sebagi sebuah perjuangan. Ramai yang melihat UMNO sebagai medan untuk mengumpul kuasa dan pengaruh. Malah ramai ahli yang langsung tidak tahu, ideologi apa sebenarnya UMNO ini.

 

21. Maka kerana itu UMNO harus direkayasa. Ia harus dikembalikan kepada landasan perjuangan nya. Iaitu melakukan kebaikan untuk bangsa dan agama.

 

22. Cabaran paling besar ialah bagaimana ideologi UMNO itu boleh terus relevan dengan tuntuzan zaman yang deras berubah.

 

23. Kerana itulah, saya ingin menyeru semua ahli UMNO untuk mendukung usaha UMNO Johor menjadikan parti ini, sebuah institusi siasah Melayu yang moden dan berkemajuan.

 

24. Sebabnya mudah. Kerana ia adalah tuntutan zaman.

 

25. Kita hidup, memerintah dan berkuasa di zaman yang bukan lagi zaman kita. Ini adalah zaman generasi muda Malaysia. 

 

26. Hari ini, ramai orang Melayu, khususnya anak-anak muda kita, sudah berpendidikan tinggi.

 

27. Mereka mempunyai pekerjaan yang baik, berpangkat besar, tinggal di bandar dan amat terdedah kepada dunia global. 

 

28. Kehidupan mereka, pemikiran mereka, keperluan dan tuntutan mereka, segalanya sudah berbeza. 

 

29. Jauh berbeza daripada apa yang kita faham dan tahu sebelum ini.

 

30. Kemahuan mereka dalam hidup dan cara mereka melihat politik dan masa depan juga sangat berbeza. 

 

31. Mereka tidak lagi boleh dimomokkan dengan retorik nilai kemerdekaan dan tanggungjawab mengisinya. 

 

32. Tetapi ini tidak bermakna mereka tidak memahami perjuangan orang Melayu. Tidak bermakna mereka tidak cintakan bangsa Melayu. Dan pastinya tidak bermakna mereka tidak menyokong dan tidak mahu meneruskan legasi orang Melayu.

 

33. Cuma, mereka hari ini melihat diri mereka sebagai pemain global yang mempunyai misi yang lebih besar.

 

34. Mereka percaya mereka ada tanggungjawab dalam segala perkara. Dalam memastikan pembangunan ekonomi negara adalah setanding negara maju. Dalam memastikan korupsi dibanteras habis-habisan. 

 

35. Malah mereka percaya ia menjadi tugas mereka untuk melihat Malaysia menjadi watak utama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai isu kemanusiaan.

 

36. Maka bagaimana harus kita mengurus generasi kompleks ini? Bagaimana harus kita mengajak mereka untuk berlumba-lumba memberikan dermabakti pada agama dan bangsa berwadahkan UMNO.  

 

37. Berdiam diri dan meminggirkan mereka sama sekali bukan pilihan kita. Mendiamkan mereka dan menyekat kreativiti mereka, adalah jalan kehancuran untuk UMNO. 

 

PENGISLAHAN UMNO JOHOR

 

38. Justeru, UMNO harus mencari jalan untuk menyelaras, mengubah dan memodenkan dirinya. Ia mesti menjadi intsitusi politik paling maju, terbuka dan terkehadapan. Kesemua ini menuntut satu pengislahan yang seruis, jujur dan berterusan. 

 

39. Atas dasar ini, saya suka untuk berkongsi dengan Datuk Seri Naib Presiden, bahawa di Johor, pergerakan ke arah pengislahan UMNO ini sudah bermula. Dan akan semakin rancak dijalankan.

 

40. Semenjak konvensyen UMNO yang lepas, banyak yang telah kami lakukan. Rumah penyelidikan dan institut pemikir khusus untuk UMNO Johor, Bait Al Amanah, telah kami tubuhkan dan mula beroperasi.

 

41. Pejabat Perhubungan Negeri akan diuruskan secara profesional oleh golongan profesional. Agar ia menjadi institusi moden yang tata kelolanya setelus, sebaik dan semaju institusi lain.

 

42. Kami akan lancarkan Pelan Masa Depan UMNO untuk tempoh 10 tahun, yang mengariskan 11 agenda besar UMNO meliputi pelbagai ikhtiar untuk melebarkan memodenkan UMNO.

 

43. Kami akan tubuhkan Sekolah Politik dan Kepimpinan UMNO, untuk menyediakan pemimpin terbaik bangsa. UMNO NEXT GENERATION!

 

44. Semua ini kerana kami lakukan kerana UMNO harus berkelangsungan.  Jika tidak UMNO, siapa lagi yang melakukannya untuk orang Melayu.

 

INISIATIF EKONOMI DAN KEBAJIKAN DI JOHOR

 

45. Namun, mengislahkan UMNO sahaja tidak memadai. UMNO sebagai sebuah pemerintahan harus berupaya mengurus negeri dan masyarakat Johor dengan baik. 

 

46. Rakyat memberi amanah kepada UMNO bukan kerana ia parti Melayu paling lama. Dalam politik, tiada apa yang memilih kita kerana faktor sentimental. 

 

47. Mereka memilih dan mengundi UMNO kerana mereka yakin kita boleh mentadbir dengan baik dan berkebajikan.

 

48. Hanya dengan keupayaan mengurus sebuah pemerintahan dengan baik, telus dan berkemajuan, UMNO akan terus diyakini.

 

49. Maka kerana itu, UMNO Johor bersungguh-sungguh, mengurus dan mentadbir Johor dengan amanah, dengan adil dan dengan cekap.

 

50. Kerana kita  mahu menjadikan Johor negeri terbaik di Malaysia. Negeri paling maju. Negeri paling berjaya, dengan masyarakat yang sejahtera.

 

51. Alhamdullilah, sedikit demi sedikit, telah nampak bibit kejayaanya. 

 

52. Lihat sahaja pengganguran. Kini, Johor mempunyai peratusan pengangguran hanya 2.9% iaitu antara yang paling rendah di Malaysia. 

 

53. Lihat sahaja kemiskinan. Johor mempunyai kadar kemiskinan hanya 0.9%, yang juga antara terendah di negara selepas Putrajaya. 

 

54. Lihat sahaja angka pelaburan. Samada pelaburan langsung asing atau pelaburan domestik, Johor mencatatkan jumlah pelaburan paling tinggi di Malaysia, iaitu RM26 billion dalam tempoh 6 bulan pertama 2015.

 

55. Pergilah ke mana sahaja di Johor.  Kita lihat  pelbagai projek pembangunan.  Jalan yang baik. Kilang yang pelbagai. Sekolah berdiri gah. Masjid di mana-mana. Biasiswa kita berikan. Malah pasukan bola sepak kita pun, JDT,  diuruskan dengan luar biasa cemerlangnya.  

 

56. Dalam Johor yang moden ini bukan hanya tentang prasarana fizikal. Kami sangat mengambil berat keperluan membentuk dan memperkasa jiwa dan nurani anak bangsa.

 

57. Memartabatkan Islam adalah agenda keutamaan kami di Johor. Ada dua perkara besar untuk kepentingan bangsa dan Islam yang sedang kami usahakan.

 

58. Pertama, transformasi sekolah dan pendidikan agama. Penggunaan teknologi dan applikasi terkini serta latihan semula para pendidik sekolah agama akan dijalankan dengan serius dan berperingkat. 

 

59. Kita tidak mahukan sekolah agama sekadar menjadi pendidikan sampingan dan tambahan di Johor. Sekadar sistem yang ada, tidak bertambah. Tiada, tidak berkurang. 

 

60. Tetapi kita mahu sekolah dan pendidikan agama muncul sebagai pendidikan yang moden dan diarusperdanakan. Sistem pendidikan yang diberi perhatian dan menjadi pilihan. 

 

61. Malah ia harus menjadi sistem pendidikan yang melibatkan masyarakat untuk ikhlas menyumbang dan mempunyai rasa pemilikan yang akrab dan intim terhadapnya.

 

62. Kedua, kami sedang meneroka secara terperinci untuk menggunakan kaedah dan mekanisme ekonomi berasaskan Islam sebagai instrumen melestarikan ekonomi orang Melayu. 

 

63. Ini termasuklah menginstitusikan waqaf dan mengkaji semula keberkesanan pengagihan zakat. Mesti ada keberanian untuk mencari jalan lain mengurus keperluan sosio ekonomi orang Melayu selain hanya mengunakan kaedah ekonomi konvensional.

 

64. Kesemua ini, semuanya adalah menjurus kepada usaha meningkatkan kebajikan orang Melayu. Sekaligus secara tidak langsung memartabatkan Islam. Dan inilah perjuangan sebenar UMNO

 

Datuk Seri Presiden Naib Presiden, 

 

FOKUS KINI PADA PENYATUPADUAN DAN MASA DEPAN

 

65. Kami sedar, kesemua agenda ini hanya akan menjadi realiti jika kerajaan kita stabil, jika parti kita kuat, jika kita diyakini.

 

66. Malangnya, pada waktu ini, pada ketika ini, kita harus berlaku benar. Mengakui bahawa parti, pada detik ini tidak berada dalam kedudukan yang sebaiknya. 

 

67. UMNO memerlukan harapan baru. UMNO perlu menyelesaikan segala kemelutnya segera. Kita tidak boleh lagi menunggu lama. 

 

68. Semakin kita biarkan semakin membarah segala masalah tersebut dalam UMNO.

 

69. Tiada pelan B untuk UMNO kecuali kembali bersatu semua hati-hati kita untuk mempertingkatkan segala usaha dan ikhtiar, untuk mendesak kepimpinan parti memyatakan dengan jelas jalan kehadapan untuk UMNO. 

 

70. Ini bukan persoalan enteng. Ini adalah tentang  kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.   

 

71. Maka kerana itu lah kami menyandar harapan pada Datuk Seri Naib Presiden untuk memainkan peranan penting ini.

 

72. Mengajak kepada kesatuan. Memberikan harapan bahawa ada jalan keluar dari semua isu yang melemaskan ini.  

 

KEWIBAWAAN KEPIMPINAN NAIB PRESIDEN

 

73. Datuk Hisham, Saudara adalah masa depan UMNO. Orang seperti tuanlah yang suatu hari nanti akan memimpin parti, bangsa dan negara ini.

 

74. Melihatkan kepimpinan dan kewibawaan Datuk Seri Naib Presiden, saya tidak boleh menyembunyikan satu perasaan dan pemikiran. Saya harus berlaku jujur dan berkongsi perkara ini dengan anda semua.

 

75. Saya percaya yang saya sedang melihat calon dan sosok terbaik untuk menerajui kepimpinan tertinggi negara suatu waktu nanti. 

 

76. Calon dan sosok yang boleh mengembalikan keyakinan kepada parti dan membawa perubahan. 

 

77. Calon dan sosok yang boleh meneruskan legasi dan asas perjuangan UMNO yang murni dan besar. 

 

78. Benar, segala-galanya hanya masa yang menentukan.

 

79. Namun, Datuk Seri adalah orang yang telah melalui setiap peringkat dan metamorforsis pemimpin UMNO. Datuk Seri pernah berada di bawah dan memahami akar umbi. 

 

80. Datuk Seri bukan pemimpin yang terjun dari atas dan terus memegang jawatan tinggi. Bukan pemimpin yang datang tanpa pernah memahami keluh kesah akar umbi.

 

81. Tuan lahir dari keluarga yang sangat berjaya pada bangsa. Keluarga pendiri bangsa! Tuan berpendidikan baik, berfikiran termaju, berpengalaman luar biasa.

 

82. Maka berikanlah kepimpinan dikala bangsa dan negara sangat dahagakan pencerahan. 

 

83. Maka, saya dan seluruh UMNO Johor akan terus menyokong serta mendoakan agar YB Datuk Seri, akan terus melakukan perkara yang benar untuk UMNO, untuk bangsa dan untuk ibu pertiwi. 

 

84. Lakukan apa jua ikhtiar untuk mengembalikan hari hari indah UMNO. Lakukanlah apa jua usaha agar UMNO terus semarak mekar dan indah,  tersemat di jiwa setiap seorang bangsa Melayu.

 

85. Kami sangat merindui UMNO sewaktu masa gemilangnya dulu. Masa bila kita sangat kukuh, sangat berbakti dan sangat dihormati. 

 

86. Jika bukan tuan, satria mana lagi yang akan kami harapkan?

 

87. Bila lagi, jika bukan sekarang? Johor sudah lama melahirkan UMNO, parti keramat ini. Johor juga sudah melahirkan begitu ramai tokoh pendiri bangsa. Dan kami yakin, Johor tidak pernah akan ketandusan melahirkan pemimpin terbaik bangsa jua. 

 

PENUTUP

 

88. Saya akhiri ucapan saya dengan harapan pertemuan kita hari ini akan mencipta dan mengubah sejarah. 

 

89. InsyaAllah, kita berjumpa hari ini, bersilaturrahim, berkasih sayang, semuanya kerana Allah SWT.  

 

90. Semoga kita diberikan Allah petunjuk, kekuatan dan keihklasan untuk terus berjuang mempertahankan amanah besar bangsa kepada kita semua. 

 

91. Semoga Allah terus limpahkan kita kekuatan untuk bertahan dengan apa jua cabaran dan ujian.

 

92. Dan semoga segala usaha baik kita dipermudahkan dan diterima sebagai amal soleh olehNya jua, amin ya rabbal alamin. 

 

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah, 

Wasssalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

davispropertymanagement.com