MAJLIS PEMBUKAAN JOHOR MATTA FAIR 2015

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PEMBUKAAN JOHOR MATTA FAIR 2015

PADA HARI JUMAAT, 07 OGOS 2015

DI EXPO@DANGA CITY MALL, JOHOR BAHRU

JAM 10.00 PAGI

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, 

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

 

1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita semua dapat bersama-sama di dalam Majlis Perasmian Johor MATTA Fair 2015 ini. 

 

2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola yang telah menjemput saya untuk hadir dan merasmikan Johor MATTA Fair ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada yang terlibat di atas segala usaha yang telah dilakukan bagi menjayakan program yang menarik ini. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

 

3. Johor MATTA Fair bukanlah pertama kali dilaksanakan.  Malah saban tahun, penduduk Johor serta para pelancong dalam dan luar negara amat menanti-nantikan penganjurannya.  

 

4. Ini kerana, dalam dunia moden yang canggih kini, pelancongan dan pengembaraan ke bumi asing adalah sesuatu yang tidak asing lagi. 

 

5. Bermula dengan fenomena kempen Now Everyone Can Fly oleh AirAsia, ia telah menyebabkan Now everyone can travel. 

 

6. Lebih menarik, bukan sahaja Now everyone can travel, dengan adanya inisiatif seperti yang sering dianjurkan oleh MATTA ini, Now everyone can travel cheap.

 

7. Sebab itulah saya sering tekankan bahawa industri pelancongan tidak seharusnya dilihat sebagai suatu industri santai dan hiburan semata-mata. Sebaliknya, industri perkhidmatan ini menjanjikan pulangan yang besar kepada negara dan ekonomi tempatan.

 

8. Dan pulangan ini dapat dilihat dalam beberapa aspek.

 

9. Pertama, pendapatan negara. Sejak 5 tahun kebelakangan ini, kita telah menyaksikan pertumbuhan pesat industri ini. 

 

10. Dan tidak menghairankan jika industri yang semakin berkembang ini adalah salah satu penjana pendapatan negeri Johor dengan sumbangan sebanyak 5.9%, bersamaan dengan RM4.26 billion dalam Pendapatan Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2013.

 

11. Walau bagaimanapun, di peringkat nasional Johor bukanlah negeri yang paling dilawati. Berdasarkan kajian oleh Pihak Tourism Malaysia, sejumlah 6.4 juta orang pelancong telah bermalam di Negeri Johor, tahun lepas, berbanding seramai 5.7 juta orang pada tahun sebelumnya.  

 

12. Dari jumlah tersebut, pelancong domestik dilihat terus menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah pelancong bermalam di negeri ini, iaitu seramai 4 juta pelancong pada 2014, berbanding 3.1 juta pelancong pada 2013. 

 

13. Maka, pelbagai usaha harus terus dijalankan bagi menjadikan Johor destinasi pilihan yang paling kerap dilawati di Malaysia. Sama ada oleh pengunjung dari dalam negara mahupun pelancong asing.

 

14. Kedua, industri pelancongan berupaya memperkenalkan kita kepada negara luar. 

 

15. Saya masih ingat, pegawai saya ada memberitahu bahawa semasa lawatan mereka ke Ibu Pejabat Partai Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA) di Jakarta minggu lalu, sebaik sahaja dimaklumkan bahawa mereka adalah dari Johor, perkara pertama yang terpacul daripada kakitangan Ibu Pejabat tersebut adalah, LEGOLAND!

 

16. Perkara ini adalah bukti mudah bagaimana sesuatu tarikan pelancongan yang dibangunkan di sesuatu kawasan akan menjadi mercu dan identiti tempat tersebut. Sekaligus mempromosikan kita kepada dunia. 

 

17. Perkara ini nyata selari dengan aspirasi dan tekad kita menjadikan Johor sebagai Jauhari Selatan seperti yang saya nyatakan dalam Bajet 2015.

 

18. Atas dasar ini jugalah kita komited membangunkan pelbagai tarikan perlancongan yang menarik di Johor seperti Legoland, Taman Tema Angry Bird, KSL Dinosaur Waterpark, Johor Premium Outlet (JPO) dan banyak lagi. Setidak-tidaknya kita dapat memberikan variasi pilihan kepada para pengunjung.

 

19. Ketiga, industri pelancongan akan membantu merancakkan industri tempatan. Promosi demi promosi yang dibuat membolehkan aktiviti sokongan seperti perkhidmatan pemandu pelancongan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berasaskan pelancongan serta pakej-pakej penginapan homestay terus hidup subur dan berkembang pesat.

 

20. Menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Johor, kita telah mengambil bahagian di dalam beberapa promosi di seluruh negara termasuk di MATTA Fair di negeri-negeri lain bagi mempromosikan produk pelancongan Johor di pasaran domestik. 

 

21. Ini termasuklah penglibatan di dalam promosi di Kota Kinabalu baru-baru ini, yang merangkumi bukan sekadar pameran pelancongan, malahan turut melibatkan sesi business matching sebagai sebahagian daripada aspek penganjuran Program Explore Johor.

 

22. Di peringkat antarabangsa pula, kalau tuan-tuan sekalian maklum, sekarang sedang berlangsungnya WorldExpo atau MilanoExpo di Milan, Italy yang mengetengahkan tema keselamatan makanan. 

 

23. Dalam pameran terbesar dunia itu, antara perkara yang ditonjolkan oleh negara kita adalah makanan tempatan yang menjadi identiti dan keistimewaan negara. 

 

24. Melalui pameran sebegini, ia akan mencetuskan rasa minat dan ingin tahu orang luar untuk datang dan melawat negara kita. Lebih-lebih lagi bagi pengunjung dari benua yang berlainan iklim dan cuacanya.

 

25. Keempat, melalui pelancongan juga, kepelbagaian budaya, bangsa dan keunikan demografi sosial negara kita dapat ditonjolkan. Tema Malaysia Truly Asia misalnya, adalah antara ‘tagline’ pelancongan yang paling dikenali di dunia.

 

26. Ini pastinya membuka ruang kepada warga dunia untuk mengenali kita dengan lebih dekat dan jelas. Seperti yang disarankan oleh pepatah Melayu sendiri, jauh perjalanan luas pemandangan. 

 

27. Sebenarnya, di peringkat global, pelancongan sudah menjadi satu gaya hidup. Bagi mereka, dalam dunia yang saling terhubung ini, masyarakat kosmopolitan akan turut dicirikan dengan kekerapan dan keupayaan mereka untuk melancong dan melawat negara orang. Pada mereka, To live is to travel.

 

28. Sebab mereka percaya, melalui pelancongan, ia pastinya akan membuka spektrum pemikiran kita kepada dimensi yang lebih luas dan dinamik. Ia menjadikan kita lebih terbuka, lebih tolarent, dan lebih menghormati budaya dan bangsa luar. 

 

29. Kelima, melalui pelancongan juga menyebabkan hubungan dua hala antara negara dapat dieratkan dan perkara ini akan memaksa kita untuk sentiasa memperbaiki dasar luar negara kita.

 

30. Data-data pelancongan menunjukkan bahawa dari sejumlah 27.4 juta pelancong antarabangsa yang mengunjungi negara kita, sebanyak 13.9 juta orang merupakan warganegara Singapura. Sebahagian besar mereka ini berkunjung ke sini menerusi pintu-pintu masuk utama di Johor.

 

31. Perkara ini menuntut satu jalinan kerjasama lebih erat di antara pengiat pelancongan dalam negara dan penggerak industri pelancongan di Singapura.  Banyak kerjasama yang boleh diusahakan, menerusi perkongsian maklumat pelancongan, promosi dan joint-ventures (JV) yang membolehkan situasi menang-menang bagi semua pihak yang terlibat.

 

32. Malah, kita kini sedang giat mempromosikan Negeri Johor sebagai Pusat Persidangan dan Konvensyen, ringkasnya MICE. Perkara ini juga penting bagi mengurangkan kebergantungan industri pelancongan kepada pengunjung semasa musim percutian sahaja. 

 

33. Ini akan menjadikan Negeri Johor sebagai destinasi pelancongan merentas musim dan sepanjang masa.  

 

34. Untuk tujuan ini, beberapa pusat konvensyen sedang dibina di Negeri Johor, terutamanya di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia. Dan kita menjangkakan dalam beberapa tahun ini, penawaran lebih banyak pusat konvensyen yang akan membantu industri MICE lebih berkembang pesat di Johor.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

35. Berdasarkan potensi pulangan serta kelebihan yang akan dijana menerusi industri pelancongan seperti yang saya nyatakan ini, saya menyeru agar berlakunya satu jalinan kerjasama yang berkesan antara pemain industri dengan pihak kerajaan.

 

36. Kalian bertanggungjawab membawa dan mengangkat nama baik negara dan masyarakat kita. Selain menumpukan kepada keuntungan dan aspek komersial, berbanggalah dengan peluang ini. Kalian adalah duta kecil negara kita. Jadikan industri ini sebagai platform untuk kalian memberi pulangan dan nilai tambah kepada negara.

 

Ladies and gentlemen,

 

37. I take this oppurtunity to express our warm welcome to our foreign tourist organizations participating in this fair specifically The Tourism Ministry of Indonesia, Taiwan Visitors Association, Japan National Tourism Organization and India Tourism.  Selamat Datang!

 

38. I sincerely hope that your participation will further enhance tourism-relations between countries, and each organization would be able to work hand-in-hand with Tourism Malaysia and Tourism Johor to cross-promote our countries, state and related tourism products.

 

39. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam penganjuran Johor MATTA Fair 2015 ini, khususnya kepada Jawatankuasa Pengelola yang telah bertungkus lumus berusaha bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar dan mencapai matlamat yang diharap.

 

40. Juga kepada semua yang terlibat secara tidak langsung, semoga bantuan dan kerjasama yang dijalankan dapat memberikan manfaat kepada semua jua.

 

41. Dan dengan lafaz Bismilahirahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Johor MATTA Fair 2015.

 

Sekian, terima kasih. 

Wabillahitaufik Walhidayah, 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com