MAJLIS PERJUMPAAN DENGAN BAKAL-BAKAL HAJI ROMBONGAN KERAJAAN JOHOR TAHUN 1436H/2015M

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PERJUMPAAN DENGAN BAKAL-BAKAL HAJI ROMBONGAN KERAJAAN JOHOR 

TAHUN 1436H/2015M

PADA HARI AHAD, 02 OGOS 2015

JAM 12.00 TENGAHARI

 

Bismillahirrahmanirrahim

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

1. Pertama sekali marilah kita memanjatkan rasa penuh syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor bagi tahun 1436H/ 2015M.

 

2. Peluang serta kesempatan yang ada pada hari ini untuk berjumpa dengan tuan-tuan dan puan-puan sudah tentu tidak akan saya lepaskan dan amat saya hargai. 

 

3. Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana terpilih untuk menjadi salah seorang penerima tambang Haji Kerajaan Johor untuk tahun ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

4. Pada saya kesempatan mengerjakan ibadah haji adalah sesuatu yang sangat istimewa. Ada beberapa sebab saya katakan ia istimewa.

 

5. Pertama, soal haji dan umrah atau kesempatan ke Tanah Haram, tidak pernah berkait dengan wang, kedudukan, pangkat dan masa. 

 

6. Ramai sahaja orang hari ini yang mempunyai banyak wang namun tidak berkesempatan ke Tanah Suci. Ramai sahaja hari ini orang yang banyak masa lapangnya namun tidak kesempatan ke Tanah Suci. Dan ramai sahaja hari ini orang yang berkuasa dan berpangkat besar, namun masih tetap tidak berkesempatan ke Tanah Suci.

 

7. Dan pada masa yang sama, ramai sahaja orang di ceruk kampung dan desa yang hidupnya kais pagi dan makan pagi, namun sudah pernah sampai ke sana. Malah berkali-kali.

 

8. Ada sahaja orang yang pekerjaannya biasa-biasa sahaja, waktunya terhad kerana sibuk mencari rezeki untuk keluarga, dan tidak pula dia berpangkat atau berkedudukan. Namun telah berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah Mukarramah.

 

9. Perkara ini mengingatkan saya kepada pesan seorang teman. Bahawa urusan kita ke Tanah Suci ini tidak pernah berkait dengan sama ada kita berduit, berpangkat atau berkesempatan. Tidak pernah.

 

10. Tetapi hanya kerana satu sahaja sebab, iaitu kita telah dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya. Tanpa jemputan dan keizinan daripada-Nya, kita tidak mungkin akan sampai ke rumah-Nya. Kita tidak mungkin akan berpeluang menjadi tetamu-Nya.

 

11. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan amat bertuah. Kerana kali ini, tuan-tuan dan puan-puan semua dijemput oleh-Nya untuk bertandang ke Baitullah. Bertandang sebagai tetamu yang mulia. Maka, tahniah sekali lagi dan perbanyakkanlah rasa syukur kepada Allah SWT atas jemputan dan kesempatan yang amat bermakna ini.

 

12. Kedua, ibadah haji adalah satu-satunya ibadah yang amat menuntut pengetahuan dan pemahaman tentang sejarah awal Islam dan sirah para anbiya’. 

 

13. Dalam rukun haji seperti saie antara Safa dan Marwah misalnya, kita diajak untuk mengenang tentang peristiwa Siti Hajar, yang berlari-lari anak mencari air bagi anaknya Nabi Ismail A.S yang masih bayi ketika itu.

 

14. Amalan tawaf pula mengajar kita tentang kedatangan Islam ketika zaman jahiliyyah. Dan menjadi satu ajaran baharu yang memuliakan manusia. Lalu, amalan bertawaf Arab jahiliyyah yang dilakukan secara tidak senonoh pada masa dahulu, telah ditukar dengan amalan bertawaf yang membesarkan Allah SWT.

 

15. Kesemua ini bukan sekadar amalan fizikal. Namun amalan yang mendekatkan kita kepada asal agama Islam. Mendekatkan kita kepada sejarah panjang agama yang mulia ini.

 

16. Sebab ketiga kenapa ibadah haji adalah ibadah yang istimewa adalah kerana kod etika dan syarat pemakaian yang ketat. 

 

17. Setiap hari kalau kita ke masjid atau surau-surau, kita akan dapat melihat perbezaan kedudukan dalam masyarakat. Ada yang berpakaian mahal untuk bersolat. Ada juga yang memakai pakai lama asalkan bersih dan menutup aurat. Ada perbezaan taraf di situ sekalipun kita solat dalam saf yang sama.

 

18. Begitu juga dengan ibadah berpuasa. Bagi yang mempunyai rezeki lebih, berbuka puasa di hotel-hotel mewah adalah perkara biasa. Bagi yang kurang berkemampuan, menjamu juadah yang dibeli dari bazar ramadhan menjadi kelaziman. 

 

19. Kesemuanya bergantung kepada kedudukan ekonomi dan setebal mana poket masing-masing. Kita makan dan minum pada tahap dan darjat yang berbeza-beza, sekalipun kita berbuka puasa pada saat masuk waktu yang sama masanya. 

 

20. Namun tidak dengan ibadah haji. Tidak kiralah siapa, sekaya atau sefakir mana, berketurunan hamba atau anak raja, berpangkat atau tidak berkerja, kesemuanya harus menyarungkan telekung dan ihram putih. Itu sahaja. Tiada perbezan dan tiada pengecualian. Putih kesemuanya.

 

21. Jadi ibadah haji ini mengajar kesamarataan. Kebersamaan. Semasa wukuf di padang Arafah misanlnya, kita diajar bahawa kita ini kesemuanya anak cucu Nabi Allah Adam AS. 

 

22. Yang sama keturunannya. Yang sama aqidah dan pegangan agamanya. Yang bersama-sama melata di muka bumi ini atas satu tali persaudaraan. Dan yang sedang dalam kembara mencari mardho tillah sebelum kita dibangkitkan dan bertemu dengan Allah semula. 

 

23. Dan lebih menarik, ibadah haji ini bersifat serampang dua mata. Selain mengajak kita menyorot sejarah kedatangan dan asal Islam pada masa lalu, ibadah haji juga memberi sisi masa depan. 

 

24. Iaitu keadaan dan gambaran bagaimana saat kita dihimpunkan di Padang Mahsyar nanti. Ini adalah sesuatu yang unik dan hanya dalam ibadah haji.

 

25. Jadi, atas ketiga-tiga sebab ini saya sentiasa merasakan ibadah haji ini adalah sesuatu yang sangat istimewa.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

26. Kerajaan Negeri percaya, ada bahagian-bahagian daripada kemajuan dan kemakmuran negeri ini adalah hasil doa-doa ikhlas tuan-tuan dan puan-puan juga. 

 

27. Jadi kerajaan ini sekadar ingin berkongsi kemakmuran negeri ini dengan memperuntukkan sejumlah kecil pendapatan kita untuk menghantar tuan-tuan dan puan-puan ke Mekah.

 

28. Pada tahun ini kita telah memperuntukkan sebanyak RM2.0 juta bagi urusan permohonan tambang haji percuma kerajaan. 

 

29. Dengan kos bayaran tambang haji sebanyak RM6,040.00 bagi seorang jemaah haji, maka jumlah penerima tambang haji yang dicadangkan pada tahun 2015 ini adalah seramai 319 penerima sahaja dengan kos sebanyak RM1,926,760.00.

 

30. Selain itu, dua orang Pembimbing Haji yang dipilih oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan ditanggung tambang, makan dan minum serta penginapan sebanyak RM17,270.00 seorang dengan bayaran saguhati RM2,000.00 seorang menjadikan perbelanjaan keseluruhan Rombongan Haji Kerajaan Johor Tahun 1436H/2015M berjumlah RM1,965,300.00.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

31. Seperti yang kita semua sedia maklum, Kota Suci Mekah termasuk Masjidil Haram kini sedang dalam proses pembinaan dan penstrukturan semula. Banyak kawasan-kawasan di situ kini dalam proses pembinaan.

 

32. Maka untuk itu, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan sekalian hendaklah sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing. 

 

33. Dengarlah taklimat dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh petugas-petugas Tabung Haji kita di sana. Jangan berebut-rebut. Banyakkan bersabar dan kawallah tingkah laku dan tutur kita sepanjang di Tanah Haram nanti.

 

34. Bagi mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua penerima tambang Haji percuma Kerajaan Johor untuk tahun ini. 

 

35. Jalanilah ibadah ini dengan penuh penghayatan. Doakanlah kami di tanah air. Dan sampaikan salam dari seluruh umat Islam di Johor kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. 

 

36. Saya doakan agar segala urusan tuan-tuan dan puan-puan dipermudahkan. Dan semoga memperoleh haji yang mabrur, insyaAllah.

 

Sekian, terima kasih.

 

Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

davispropertymanagement.com