MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU AGAMA KERAJAAN JOHOR PERINGKAT NEGERI KALI KE-18 TAHUN 2015

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU AGAMA KERAJAAN JOHOR PERINGKAT NEGERI 

KALI KE-18 TAHUN 2015

PADA HARI KHAMIS, 30 JULAI 2015

JAM 10.00 PAGI

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

الحمد لله ربّ العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، سيّدنا محمّد وعلى آله وأصحابه أجمعين. أمّا بعد؛

 

Terima kasih saudara pengacara majlis,

 

Yang Berhormat Tuan Haji Mutalip bin Abdul Rahim,

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor

 

Yang Berbahagia Tuan Haji Norizan bin Kulob

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor

 

Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Nasir bin Haji Amir,

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor

 

Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Han bin Ramin

Pegawai Daerah Ledang

 

Penolong-penolong Pengarah, Pegawai-pegawai Pendidikan Islam Daerah dan Pegawai-pegawai,

Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor

 

Yang dihormati Tokoh-tokoh Guru, Dato’-Dato’, 

Datin-Datin, para Pengetua, Guru Besar, Guru-guru serta sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

 

1. Alhamdulillah, terlebih dahulu izinkan saya merafaqkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpahan rahmat-Nya, saya berpeluang bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan, untuk sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Negeri Kali ke-18 Tahun 2015 ini. 

 

2. Saya berasa sangat rendah diri berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan. Rendah diri kerana berhadapan dengan orang-orang yang sangat berjasa pada agama dan bangsa saya. Rendah diri kerana dikelilingi oleh para mu’alim yang tidak pernah kenal lelah, menyampai risalah Illahi.

 

3. Maka pada kesempatan yang sangat penting ini, saya dan seluruh rakyat Johor ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan rasa terhutang budi kami yang amat mendalam. Kerana tuan-tuan dan puan-puan, telah mengambil tugas menyempurnakan fardhu kifayah bagi pihak kami dan yang lain.

 

4. Kerana tuan-tuan dan puan-puan telah mengabdi diri, membentuk dan mendidik hati-hati kecil anak-anak kita. Tentang ketauhidan, tentang ketaqwaan, tentang akhlak mahmudah dan tentang nilai menjadi insan kamil.

 

5. Tanpa kalian, mana mungkin sistem sekolah agama di Johor ini kekal membangun zaman-berzaman. Tanpa kalian, tidak mungkin ratusan ribu anak-anak Johor akan terus belajar dengan tekun. Saban hari dan saban tahun, di seluruh sekolah agama, di desa, di bandar, di pergunungan mahupun di pulau di tengah samudera luas di Johor.  

 

6. Dan jika segala jasa ini ingin saya sebut, segala dharmabakti ini ingin dikenang, tidak mungkin ada kata-kata yang setimpal yang boleh saya petik untuk menggambarkan besarnya budi dan jasa tuan-tuan pada anak bangsa kita. Melainkan sekadar terima kasih dan terima kasih.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

7. Hari ini saya ada satu agenda dan tugas penting. Dan saya ingin meyakinkan tuan-tuan dan puan-puan mengapa agenda ini saya katakan penting.  Biar saya terangkan. 

 

8. Semua orang maklum bahawa Johor mempunyai sistem pendidikan agama yang tersusun dan kemas. Ini menjadikan sistem pendidikan agama Johor sebagai sistem sekolah agama paling meluas dan membangun di Malaysia. 

 

9. Namun usianya yang hampir 100 tahun dan jumlahnya yang hampir 600 buah itu bukanlah pencapaian paling besar sistem sekolah agama di Johor.

 

10. Kejayaan yang paling menyerlah ialah institusi ini telah berjaya menyumbang dalam menjadikan masyarakat Islam di Johor, sebagai masyarakat yang paling bersederhana. Moden, tetapi Islami. Membangun tetapi bermoral. Berbudaya tetapi kekal mematuh syari’ah. 

 

11. Kejayaan sistem kita adalah apabila ia berjaya menjadikan masyarakat Islam di Johor hidup seiring dengan kemodenan. Dan kerana itulah, dalam apa jua keadaan, walau di mana pun kita pergi, orang Islam Johor terserlah kesederhanaanya.

 

12. Tetapi masa telah berubah. Dunia dampak globalisasi tidak lagi seperti dulu. Di sebalik kejayaan kita membangunkan sistem persekolahan Islam selama ini, tempias globalisasi menuntut kita memikirkan semula, bagaimana bahtera pendidikan bangsa yang kita layari selama ini harus kita kemudi.

 

13. Kerana gelora globalisasi itu sangat dasyat. Hari ini menjadi Muslim yang sederhana dan moden sahaja tidak mencukupi. Apatah lagi kalau kita menjadi Muslim yang sekadar faham feqah dan fardhu ain. Pasti sukar untuk kita mendepani semua cabaran ini.

 

14. Justeru, pada pagi yang baik dan damai ini, saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan, untuk bersama-sama membulatkan tekad. Marilah kita bersama-sama bermuafakat, melakukan pengislahan. 

 

15. Marilah kita bermuafakat, memberi wajah baharu pada pendidikan Islam dan institusinya di Johor. Marilah kita bermuafakat, melakukan transformasi sistem sekolah agama kita yang telah banyak berjasa ini.

 

16. Marilah kita bersama-sama gigih berfikir tentang masa depan sekolah agama agar ia terus berkelangsungan dan relevan. Bukan sekadar menjadi ‘madrasah di pinggir syurga’. Yang hidup segan mati tak mahu. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

17. Ajakan dan tekad saya ini jelas. Saya mahu sekolah agama kita ditransformasikan. Diislahkan dengan erti kata yang sebenar. Yang mendatangkan impak yang baik. Bukan sekadar misi kosong. Bukan sekadar retorik politik.

 

18. Bukan kerana saya seorang Menteri Besar, lalu untuk memenuhi acara dan mengambil hati, maka saya bercakap tentang sesuatu yang suka didengar. Tanpa benar-benar memaksudkannya. 

 

19. Tetapi, saya menganjurkan perkara ini, kerana saya percaya, saya memikul satu tanggungjawab. Bukan sahaja sebagai pentadbir negeri, tetapi sebagai seorang Muslim. Seorang Muslim yang percaya bahawa sebagai manusia kita mahukan kebaikan untuk masyarakat kita. 

 

20. Ada empat sebab kenapa saya katakan pengislahan sekolah agama ini perlu, wajar dan mendesak. Biar saya jelaskan satu persatu.

 

Pertama: Persekitaran Global Menuntut Pengislahan Sekolah Agama

 

21. Persekitaran global telah mengubah kehidupan kita untuk selamanya. Dan tidak ada tanda-tanda bahawa arus perubahan yang deras melanda ini akan berhenti. Kini, kita hidup dalam dunia sains. Dunia teknologi. Dunia digital. Yang kesemuanya hanya di hujung jari.

 

22. Jadi, mana mungkin untuk kita boleh hanya duduk berdiam diri. Membiarkan institusi paling penting ummah, kaku, lesu dan ketinggalan zaman.

 

23. Maka sistem pendidikan kita harus turut diubah agar bersifat sezaman. Ia mesti  relevan dengan dampak kepantasan maklumat yang datang. Kita memerlukan sistem pendidikan yang boleh menggunapakai dan segala lambakan pengetahuan dan maklumat di sekeliling kita. Bukan dilemaskan olehnya.

 

24. Kita memerlukan sistem yang luas, progresif dan sistem yang boleh memanfaatkan segala bentuk aplikasi dan pendekatan moden untuk mengukuhkan kefahaman anak-anak kita tentang Islam. Sistem pendidikan agama yang menarik minat generasi digital atau kini dikenali sebagai Gen-Z.

 

25. Agar apabila generasi digital ini ke sekolah, kita boleh menggunakan pelbagai maklumat di alam maya ini untuk menjelaskan secara rasional mengapa agama dan hukum hakamnya berfungsi sedemikan rupa.

 

26. Sesungguhnya era yang menyaksikan pendidikan agama yang menggunakan pendekatan mendengar dan menerima sahaja maklumat telah berakhir. Era sekarang ialah era yang memerlukan agama dijelaskan dengan fakta, dengan maklumat, dengan sejarah, dengan imaginasi, dengan saintifik. Maka kerana itulah peislahan ini harus kita lakukan. 

 

Kedua: Sekolah Agama Sebagai Pendidikan Arus Perdana

 

27. Kita harus akui, sistem sekolah agama bukan lagi sekadar pelengkap kepada pendidikan bersepadu. Ia bukan sekadar sekolah yang mengajarkan sisipan fardu ain dan kifayah.

 

28. Sebaliknya, kini, sekolah agama telah menjadi sekolah arus perdana. Sudah ramai golongan pertengahan dan atasan yang menyedari dan menuntut sistem pendidikan yang menyeluruh, duniawi dan ukhrawi.

 

29. Sistem pendidikan yang tidak memisahkan agama dari sains. Sistem yang mampu memberikan dimensi agama pada teknologi, pada sejarah, pada geografi, pada fizik dan pada matematik.

 

30. Oleh kerana trend ini semakin menyerlah, maka kita harus bersedia menerima dan melakukan pembaharuan. Kita tidak boleh berkeras dengan cara yang lama, sistem yang lama dan imej yang lama.

 

31. Sebaliknya, sekolah agama kita mesti direkayasa dan dimodenkan menjadi jalan penyelesaian ke arah pendidikan yang lebih seimbang, lebih komprehensif. Tetapi pada masa yang sama, tetap menekankan elemen Islam. 

 

Ketiga: Sekolah Agama Harus Membongkar Bakat dan Potensi Pelajar

 

32. Cakupan pendidikan yang baik bukan sekadar institusi yang tersusun, bangunan yang kondusif dan guru-guru yang terlatih. Ia adalah misi dan ikhtiar mencungkil bakat dan potensi terbaik anak bangsa. 

 

33. Saya sangat gusar bila sistem sekolah agama kita hanya menjadi tempat pelajar mendapat sijil kelas khas. Dan kemudian mempersoalkan nilai dan kegunaan sijil ini.  Perkara ini harus kita ubah segera. Sistem sekolah agama kita mesti menjadi medan mengasah bakat terbaik orang Islam. Bukan lagi hanya tentang sijil darjah khas.

 

34. Lebih-lebih lagi, ummah hari ini berhadapan masalah kekontangan bakat-bakat besar yang boleh diharapkan untuk memimpin negara. Yang boleh menjadi sosok teladan. Yang boleh menjadi inspirasi untuk kita maju dan terkehadapan. Yang boleh mengajak kita berlumba-lumba melakukan kebaikan.

 

35. Maka, menjadi misi penting kita memastikan lahirnya pemimpin masa depan yang berketrampilan dan berjiwa rakyat. Dan di mana lagi semua ini harus disemai dan disuburkan jika tidak di sekolah agama kita? Di sekolah di mana kita bukan setakat menyubur nilai dan akhlak. Tetapi mengajar anak-anak kita untuk memimpin. 

 

36. Agar, apabila mereka dewasa dan menjadi pemimpin kelak, mereka menjadi pemimpin yang tidak makan suap. Pemimpin yang bermoral dan soleh. Pemimpin yang punya prinsip dan meletakkan kepentingan bangsa, negeri dan negara pada kedudukan tertinggi. Bukan yang menghambakan diri pada pangkat, gelaran dan serta ganjaran mewah. Tetapi yang benar-benar mencintai perjuangan.

 

37. Dan apabila bercakap tentang bakat, saya juga ingin merujuk kepada keperluan kita menarik bakat terbaik untuk mengajar dan berbakti di sekolah kita. Mana mungkin kita mampu mencungkil dan mengasah bakat terbaik di sekolah jika sekolah kita sendiri tidak dipimpin oleh bakat-bakat terbaik?

 

38. Sekolah yang berprestasi tinggi mahupun universiti-universiti terbaik pasti selalunya dipimpin oleh bakat terbaik. Mereka tersohor kerana mempunyai pentadbiran dan tenaga pengajar yang ulung dan unggul ilmunya.

 

39. Kita lihat sahaja sekolah vernakular Cina. Mereka berjaya kerana guru mereka adalah dari bakat terbaik. Teringat saya cerita seorang sahabat. Bagaimana seorang kawannya, yang menjadi seorang profesor di sebuah universiti tempatan, bersara awal hanya kerana ini berkhidmat dan membantu membangunkan sekolah Cina. Bukan sebagai guru besar atau penasihat. Tetapi sebagai seorang guru biasa yang tekun mendidik di bilik darjah.  

 

40. Dan dia melakukanya hanya kerana dia ingin berbakti pada bangsanya. Berbakti agar bahasa, budaya dan tradisi masyarakatnya terus terpelihara. Jadi, saya mendambakan lebih ramai lagi bakat terbaik bangsa kita yang akan kembali berbakti untuk sistem sekolah agama kita, insya-Allah.

 

Keempat: Mengangkat Sekolah Agama Bererti Mengangkat Peranan Islam

 

41. Yang terakhir, saya yakin bahawa kita mesti melakukan pengislahan ini kerana Islam itu sendiri memainkan peranan besar dalam politik, ekonomi, dan dalam pembangunan bangsa kita. Islam adalah faktor dominan dalam pentas politik global. 

 

42. Jika kita boleh membangunkan sistem perbankan dan kewangan Islam sehingga menjadikan Malaysia pasaran kewangan Islam berstatus global dan terbaik di dunia, sudah semestinya kita juga boleh melakukannya untuk pendidikan Islam.

 

43. Jika kita boleh menjadikan industri pakaian dan hiburan berunsur Islami, adakah mustahil untuk sistem pendidikan kita juga menjadi rujukan dalam pembangunan manusiawi.

 

44. Maka tuan-tuan, atas empat sebab ini, saya menekankan yang pengislahan sekolah agama ini adalah wajar, mendesak dan penting.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

Sekolah Agama Adalah Warisan Sejarah dan Khazanah Bangsa

 

45. Sistem sekolah agama adalah satu-satunya institusi milik ummah yang tidak pernah ditembusi pengaruh penjajah. Beratus tahun kita dijajah, bermula dengan Portugis, sehinggalah Belanda, beralih kepada Jepun dan Inggeris. 

 

46. Pelbagai institusi dan struktur sosial kita termasuklah istana, diceroboh dan dikongkong oleh penjajah. Namun, satu-satunya institusi yang tidak pernah disentuh oleh penjajah ialah sistem persekolahan Islam.

 

47. Dan sistem persekolahan Islam inilah yang sejak sekian lama menjadi benteng paling kuat orang Melayu. Ia bukan sekadar memberikan pendidikan. Ia memberikan inspirasi dan kesedaran nasionalisme. Ramai sekali pemimpin kemerdekaan tanah air ini yang terdidik dan dibentuk pemikiran dan perjuangannya di pondok dan sekolah agama.

 

48. Malah sekolah agama dan madrasah tradisionallah yang menjadi pusat berputiknya gerakan nasionalisme dan kemerdekaan. Ia memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan tanahair.

 

49. Logiknya, jika institusi agama pernah memainkan peranan yang amat besar suatu waktu dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan, pasti institusi ini juga boleh berperanan besar dalam mengisi kemerdekaan dan membina masa depan bangsa.  

 

50. Maka, marilah kita memainkan peranan masing-masing. Memajukan sistem sekolah agama demi Islam yang kita yakini. Dan menjadikannya institusi sekolah agama moden dan bersifat sezaman, yang sesuai dengan fitrah Islam yang relevan sepanjang zaman. 

 

51. Marilah kita memastikan setiap anak-anak yang memasuki sistem sekolah agama kita diberikan pendidikan terbaik, bimbingan terbaik dan perhatian terbaik. Agar mereka akan terbentuk menjadi insan terbaik, yang kamil, yang soleh, yang budiman.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

52. Di bahu kita yang semakin menua ini, terpikul amanah yang paling besar. Mendidik putera-puteri Islam menjadi manusia yang berguna pada agama dan bangsa. Dan kita di Johor amat mendambakan ‘ummatan wassatan’.

 

53. Marilah kita bermuafakat membangunkan Islam. Marilah kita bermuafakat mempersembahkan Islam sebaik-baiknya. Dengan ilmu, dengan akal dan dengan akhlak yang dibentuk dalam generasi pewaris.

 

54. Marilah kita bermuafakat memberikan yang terbaik untuk ummah. Memberikan keringat bakti yang tiada tolok bandingnya, kerana semua ini adalah perjuangan untuk Islam jua. Malah kalian selaku pendidik adalah pewaris nabi dan ambia.

 

Pembangunan Pro Rakyat Jadi Komitmen Utama

Kerajaan Negeri

 

55. Bagi saya dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri, kami akan sentiasa akan mendukung usaha murni ini. Dengan segala kapasiti yang ada.

 

56. Kita baiki ratusan sekolah agama. Kita selesaikan masalah pembangunan tergendala bagi puluhan sekolah yang terbengkalai. Kita bangunkan pula puluhan lagi yang baharu. Kita semak dan naikan ganjaran dan upah guru-guru sekolah agama. Kita bela kebajikan mereka.

 

57. Kesemua ini demi memastikan kita melunaskan komitmen melakukan yang pembangunan pro rakyat. Pembangunan yang memanfaatkan orang biasa. Pembangunan yang akan memastikan semua orang, kaya dan miskin, akan mendapat didikan wahyu dan Islam dengan selayaknya. 

 

58. Saya dan pentadbiran negeri berikrar akan terus bekerja keras untuk merealisasikannya. Kerana apa yang telah kami lakukan ini hanyalah sebahagian kecil dari usaha besar kita untuk memajukan sistem sekolah agama di Johor. Dan saya percaya inilah manifestasi sebenar hasrat kita merakyatkan Kerajaan. 

 

59. Merakyatkan kerajaan agar menjadi penyatu dalam menggembeleng segala kekuatan masyarkat untuk melakukan kebaikan kepada bangsa, agama dan tanahair. 

 

60. Semoga Johor insya-Allah suatu hari nanti, akan menjadi negeri yang mendapat limpahan rahmat dan pengampunan dari-Nya.

 

61. Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” saya merasmikan sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Negeri Kali ke 18 Tahun 2015. “Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu”

 

Sekian, 

Wabillahitaufik wal-Hidayah, 

wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

davispropertymanagement.com