MAJLIS PECAH TANAH PROJEK SYARIKAT GREENLAND

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PECAH TANAH 

PROJEK SYARIKAT GREENLAND

PADA HARI ISNIN, 27 JULAI 2015

JAM 9.00 PAGI

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera, Salam Aidilfitri dan Salam Muafakat Johor 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

1. Pertama sekali saya ingin melafazkan ucapan syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan masa yang diberikan untuk kita bersama-sama berada pada majlis yang berbahagia ini.

 

2. Saya dengan sukacitanya merakamkan ucapan terima kasih atas jemputan pagi ini bagi menyaksikan Majlis Pecah Tanah pembangunan Greenland Tebrau Sdn Bhd serta Greenland Danga Bay Sdn Bhd. 

 

3. Sebagai sebuah negeri dalam negara yang pesat membangun, setiap projek pembangunan yang diusahakan sangat penting pada Johor. Tambahan pula, projek ini adalah yang pertama seumpamanya yang menawarkan pembangunan komprehensif di kawasan parlimen Pasir Gudang. 

 

4. Dengan kewujudan ruang pejabat,  hotel antarabangsa, pusat beli-belah dan kemudahan rekreasi, ia akan menjadikan kawasan Pasir Gudang kawasan pertumbuhan ekonomi yang rancak dan menarik. 

 

5. Perkara ini akan membawa beberapa dampak ekonomi yang penting. Antaranya:

 

a. Pertama, peluang pekerjaan baharu akan

terhasil. Ini menjadi satu lagi faktor yang akan membantu kita mengurangkan kadar pengangguran sekaligus meningkatkan tahap ekonomi masyarakat. 

 

b. Kedua, aktiviti perniagaan akan lebih rancak dan pelbagai. Semua ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat.  

 

c. Ketiga, menerusi projek sebegini, satu suasana kehidupan moden yang kondusif dan kosmopolitan akan terjelma.

 

d. Yang terakhir dan paling penting, Senibong dan Pasir Gudang amnya dalam sedikit masa lagi, akan bertukar wajah. Dari sebuah tempat perindustrian yang membosankan, ia bakal muncul menjadi sebahagian daripada metropolis Johor. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

Iskandar Malaysia Sebagai Kuala Lumpur Kedua

6. Bila kita mengilhamkan Iskandar Malaysia, kita bukan sahaja membayangkan hanya kewujudan sebuah pusat pembangunan serantau. Tetapi kita turut merancang konsep pembangunannya dengan teliti. Dan perkara ini dipengaruhi oleh dua kepentingan strategik.

 

7. Pertama, kita memerlukan alternatif untuk Kuala Lumpur. Kuala Lumpur semakin sesak dan sempit, terlalu pantas membangun dan sudah sampai masanya kita mewujudkan Kuala Lumpur Kedua. Yang bukan sahaja baharu, tetapi mempunyai kawasan dan kedinamikan pertumbuhan yang setara dan semaju Kuala Lumpur.

 

8. Kedua kerana kedudukan Johor yang secara semula jadinya strategik. Kita berjiran dengan Singapura. Antara negara paling membangun di dunia. Dan sudah pasti, Malaysia harus menggunakan apa jua peluang, bukan untuk menyaingi Singapura, tetapi membangun seiring dengan Singapura.

 

9. Malaysia dan Singapura saling memerlukan. Ia terhubung secara erat. Ratusan ribu rakyat kedua-dua negara berulang alik saban hari. Dan Johor adalah penghubung kedua-dua negara ini. 

 

10. Maka, apapun perbezaan kita daripada segi politik dan pendirian antarabangsa, yang jelas, demi kepentingan ekonomi dua hala, segala perbezaan sedemikian harus dimanfaatkan atau setidak-tidaknya diuruskan dengan baik.

 

11. Atas dua kepentingan strategik inilah, Iskandar Malaysia diaspirasikan untuk menjadi metropolis yang dinamik dan bertaraf dunia di selatan Johor dan Malaysia.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

12. Membangun metropolis Johor, bukan hanya sekadar mewujudkan sebuah bandar besar yang mempunyai ramai penghuni dan mempunyai aktiviti ekonomi yang rancak.

 

13. Tetapi metropolis yang ingin kita jelmakan adalah sebuah kawasan perbandaran moden, berbudaya dan lestari. Iskandar Malaysia akan menjadi koridor pertumbuhan utama negara, dengan diduduki oleh penduduk yang berdaya saing dan dilengkapi dengan infrastruktur logistik yang termaju.

 

14. Yang menggembirakan kita, percubaan kita di Iskandar ini telah mula menunjukkan kejayaan yang meyakinkan. Sehingga Jun 2015, Iskandar Malaysia telah mencatatkan pelaburan komited kumulatif keseluruhan sebanyak RM172.51 bilion. Daripada jumlah itu, 50 peratus atau kira-kira RM87.80 bilion adalah pelaburan yang telah direalisasikan.

 

15. Lebih penting, semua pelaburan ini telah menghasilkan lebih daripada 600,000 peluang pekerjaan.  

 

16. Namun, Iskandar Malaysia bukan hanya tentang angka-angka. Ia bukan juga sekadar sebuah koridor pembangunan. Malah, ia bukan sekadar tentang pelaburan asing dan domestik serta percambahan peluang pekerjaan.

 

17. Keutamaan kita di Iskandar Malaysia ialah visi besar untuk menjadikan ia sebuah metropolis abad mendatang. Iskandar Malaysia adalah satu langkah berani Malaysia untuk keluar dari zon selesa. Ia adalah eksperimen Malaysia tentang keperluan mewujudkan sebuah daerah metropolis yang moden, berbudaya dan lestari. 

 

18. Ini kerana menjelang tahun 2050, ramalan demografi global mengunjurkan bahawa 70 peratus penduduk dunia akan tinggal di kawasan perbandaran. Pasti Malaysia tidak terkecuali. Maka Malaysia harus bersedia untuk menerima perubahan landskap ini.

 

19. Oleh kerana itulah Iskandar Malaysia dibangunkan untuk menjadi kawasan perbandaran yang akan menjadi asas kehidupan abad mendatang. Yang baharu. Yang sesuai dengan gaya hidup yang moden, berkualiti, berbudaya dan mandiri. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

20. Kita tidak merancang Iskandar Malaysia tanpa falsafah dan asas. Kita mendasarkan pembangunannya dengan konsep pembangunan lestari. Yakni, konsep pembangunan yang tidak hanya memfokuskan kepada kepentingan kita dan generasi hari ini.

 

21. Tetapi turut mengambil kira dan memberi pertimbangan serius terhadap survival dan masa depan generasi mendatang. 

 

22. Antara ciri-ciri pembangunan lestari ini ialah, pertama, kesejahteraan ekonomi Iskandar Malaysia mesti diterjemahkan dalam bentuk keadilan sosial dan pembangunan yang inklusif. Iskandar Malaysia bukan sekadar kawasan untuk orang kaya dan kaum pemodal. Ia adalah kawasan pertumbuhan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia.  

 

23. Kedua, Iskandar Malaysia dibangunkan dengan cara dan pendekatan yang memberikan keutamaan paling tinggi pada kepentingan alam sekitar. Tiada Pelan B untuk pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.  

 

24. Ketiga, ia mesti menghakupayakan masyarakatnya. Semuanya dengan tujuan untuk membolehkan penduduknya, berfikir, bertindak dan menyumbang, selari dengan arus dan tuntutan kemodenan. Mereka harus sama-sama mencorakkan bagaimana Iskandar Malaysia mesti dibangunkan.  

 

25. Dan keempat, Iskandar Malaysia mesti menjadi metropolis yang punya citra, budaya dan karaktor. Ia harus menjadi pusat kelestarian budaya dan tradisi. Ia mesti memulihara segala khazanah bangsa. Ia mesti mempunyai dimensi kreativiti, kesusasteraan dan kesenian. Ia mesti menjadi kota budaya untuk Malaysia.  

 

26. Saya yakin, kita tidak pernah mengilhamkan Iskandar Malaysia untuk menjadi seperti Dubai, atau Abu Dhabi, mahupun Doha. Yang memiliki segala bentuk pencakar langit tertinggi di dunia, kemudahan tercanggih dan terbesar. Namun malangnya, sedikit demi sedikit, semakin pudar dan hilang identiti Arab dan ‘padang pasir’nya. Segala-galanya hanya bersifat aksesori, kosmetik dan berpaksikan kepuasan material semata-mata. Segala-galanya bertentangan dan tidak seiringan dengan citra dan budaya masyarakat asalnya.

 

27. Justeru itu,  di Iskandar Malaysia kita inginkan kelainan. Model pembangunannya lestari, sesuai dengan sifat zamannya. Benar-benar ada falsafah pembangunan dan citra baharu. Dimodelkan dengan meraikan pelbagai dimensi inovasi, demi mewujudkan persekitaran yang progresif dan dinamik. Dan  dicirikan dengan budaya, sejarah dan warisan. 

 

28. Mengutamakan keadilan sosial dan inklusif. Memelihara dan menghakupayakan kepentingan masyarakat tempatan. Serta melindungi dan menyuburkan segala nilai budaya, sejarah dan khazanah bangsa sebagai karakter penting dalam ikhtiar pembangunannya.

 

29. Kerana kita percaya, sesuatu bangsa itu tidak perlu ghairah menjadi orang lain dan melupakan kelebihan budaya bangsa sendiri atas nama desakan kemajuan. 

 

Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar

Tuan-tuan dan Puan-puan,

30. Justeru itu, saya amat mengharapkan apa yang diusahakan di kawasan Senibong ini, menepati dan menyantuni aspirasi pembangunan lestari Iskandar Malaysia. Ia harus seiring dengan Rancangan Pembangunan Komprehensif Iskandar (Iskandar Comprehensive Development Plan) termasuk CDP 2 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. 

 

31. Saya yakin Greenland Sdn Bhd mampu melakukannya. Anda adalah pemain global. Sudah pasti anda telah melihat bagaimana kota besar seperti London, Paris, San Franscisco, Tokyo, Stockholm dan pelbagai lagi, menjadi kota-kota yang hebat dan kekal zaman berzaman.

 

32. Kota yang indah, maju, segar dan rancak. Mereka amat moden tetapi masih berbudaya. Semuanya mempunyai watak dan citra tersendiri. Dan yang menariknya, kota-kota tersebut senantiasa berubah seiring zamannya tetapi terus mendukung nilai sejarah, tradisi dan budaya yang sangat menonjol.

 

Pembangunan Bertaraf Antarabangsa, Berjiwa Tempatan

33. Lalu saya menyeru, bangunkan projek ini dengan jiwa. Dengan nilai. Dengan mengasimilasikan kekayaan budaya dan tradisi Johor dan Malaysia dalam citra yang lebih kosmopolitan.

 

34. Bukalah ruang seluas-luasnya untuk anak-anak tempatan dihakupayakan. Berikan mereka ruang untuk menyumbang idea dan kreativiti mereka dalam mencorakkan wajah Senibong dan Tebrau yang moden ini.

 

35. Paling penting, mesti ada ruang untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana menjadi sebahagian daripada pembangunan besar ini. Projek ini mestilah bersifat terangkum dan inklusif. Agar tiada pihak yang tertinggal untuk bersama-sama meraih laba manfaatnya.

 

36. Paparkan juga di segenap penjuru dan dimensi, bahawa kelestarian alam sekitar di Teluk Tebrau dan Senibong akan menjadi antara agenda paling utama. Pastikan teknologi hijau digunapakai dan dimanfaatkan dengan seluas-luasnya.

 

37. Pastikan juga seluruh kawasan pembanguan ini nanti mempunyai jalur lebar yang baik. Dilengkapi dengan rangkaian komunikasi dengan akses terbuka yang memudahkan.

 

38. Dan jadikanlah kawasan perbandaran moden ini, kawasan pembangunan yang bukan sahaja lestari tetapi berbudaya dan mempunyai karaktor. Ia harus menjadi sebahagian dari kawasan yang kehidupan masyarakatnya penuh dengan warna warni. Tidak membosankan.  

 

39. Pada waktu yang sama, kepentingan asas sosial lain mesti diutamakan. Sekolah, pusat kebudayaan, kawasan rekreasi, dewan komuniti, rumah ibadat. Yakinlah, pembangunan abad ini dan yang mendatang akan semakin bersifat ‘community centric’. Maka dengan itu, dimensi pembangunan sosial seperti ini harus menjadi adalah elemen penting.

 

Tebrau Bay Sebagai Zon Antarabangsa

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

40. Projek pembangunan seluas 128 ekar yang akan dibangunkan dalam 5 fasa ini akan merubah landskap pembangunan di kawasan Pasir Gudang secara transformatif. 

 

41. Maka, bersesuaian dengan sifat dan konsep pembangunannya yang mendahului masa,  Kerajaan Negeri dengan sukacitanya mengumumkan kawasan Tebrau Bay ini sebagai Zon Antarabangsa.

 

42. Saya ingin mengambil kesempatan menekankan dengan jelas apa yang kita maksudkan dengan Zon Antarabangsa ini. Ia bermaksud:

a. Pertamanya: Tebrau Bay selepas ini akan dibangunkan menjadi pusat pelaburan dan industri yang berdaya saing dalam berupaya menarik masuk pelaburan asing dengan lebih banyak dan pelbagai.

b. Keduanya: konsep dan susun atur pembangunan di sini akan direncanakan secara moden dan memenuhi keperluan global. 

c. Ketiga: Ia akan menjadi pusat yang mempunyai watak tempatan namun berkapasiti profesional dan antarabangsa daripada segi keupayaan tawaran perkhidmatan dan produk, kepakaran, sistem pengendalian dan pengurusan serta kemudahan sosial.

d. Dan yang keempat dan terakhir: Daripada segi penjenamaan dan promosi, ia akan mempunyai jenama tersendiri yang akan diangkat dan dibawa ke pentas ekonomi serantau dan antarabangsa sebagai satu lagi pusat pelaburan gobal dan kehidupan dengan gaya hidup yang menarik dan lestari.

 

43. Berdasarkan keempat-empat ciri unik ini, Tebrau Bay selaku Zon Antarabangsa telah diilhamkan atas beberapa keperluan dan matlamat. Antaranya:

a. Tebrau Bay akan menghasilkan satu bentuk pembangunan yang memberi nilai tambah kepada Johor dan Malaysia.

b. Kedua, kita mahu Tebrau Bay menjadi satu lagi ‘brand’ atau produk Johor yang akan menjadi tumpuan dunia, Insya-Allah. 

c. Ketiga, pengisytiharan Tebrau Bay sebagai sebuah Zon Antarabangsa bukan sahaja akan menarik minat pelaburan dan kepakaran luar. Tetapi akan turut merangsang bakat terbaik tempatan untuk bekerja di dalam negara namun dalam persekitaran antarangsa. Dalam erti kata lain, serving the world from home country’.

d. Keempat, kita mengisytiharkannya sebagai Zon Antarabangsa kerana sasaran kita adalah untuk menjadi kuasa ekonomi termaju di Malaysia dan rantau ini. Kita tidak mahu lagi sekadar bersaing dengan pemain-pemain tempatan dan negeri-negeri lain di dalam negara. Kita mahu pergi lebih jauh dari rantau Asia Tenggara.

e. Dan yang kelima dan terakhir, apabila kita memberikannya jolokan Zon Antarabangsa, maka kerajaan sendiri akan turut berkerja keras untuk memastikan imej antarabangsa tersebut dicapai dan dikekalkan. Ini akan secara langsung dan tidak langsung menjadi dorongan untuk memberikan pelbagai perkhidmatan terbaik buat semua. 

 

44. Semoga hasrat murni ini akan dapat sama-sama kita capai.

 

45. Akhir kata, saya ingin sekali lagi merakamkan penghargaan saya kepada pihak Syarikat Greenland dan semua yang terlibat atas kerjasama menjayakan acara ini. Marilah kita bersama-sama menjadikannya suatu realiti.

 

46. Dengan lafaz Bismillah, saya merasmikan majlis perasmian dan pecah tanah Greenland Tebrau dan Greenland Danga Bay. 

Terima kasih. 

davispropertymanagement.com