MAJLIS PEMBAHAGIAN BUNGKUSAN DAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA ANGGOTA KESELAMATAN, OKU, IBU TUNGGAL DAN PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PEMBAHAGIAN BUNGKUSAN DAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA ANGGOTA KESELAMATAN, OKU, IBU TUNGGAL DAN PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN 

PADA HARI SELASA, 7 JULAI 2015

JAM 4.30 PETANG

 

Assalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpahan kurnia dan    izin-Nya, kita dapat berkumpul dalam majlis Khatam al-Quran bagi peringkat Negeri Johor serta NGO-NGO Negeri Johor kali ini.

 

2. Majlis ini akan turut menyempurnakan penyampaian bungkusan serta sumbangan AidilFitri kepada anggota-anggota keselamatan, warga-warga Kelainan Upaya serta para ibu tunggal, serta Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan. 

 

3. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan usaha mulia ini. Khususnya para dermawan yang ikhlas menghulurkan bantuan, derma, serta zakat perniagaan. 

 

4. Terima kasih kerana berbudi kepada yang memerlukan. Terima kasih kerana sudi bersama-sama meringankan beban sebahagian dari masyarakat kita. Semoga segala usaha murni ini menerima limpahan berkat dari Allah SWT, Insya-Allah.

 

Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian,

 

5. Hari ini kita memasuki fasa terakhir Ramadan Kareem. Hari ke-20. Marilah kita terus mengabdi diri pada Ilahi, melaksanakan segala ibadah dengan tulus, demi mengejar pahala berlipat kali ganda. Demikianlah besar hikmah dan mulianya bulan ini. 

 

6. Ia mengajar kita erti berlumba-lumba mengerjakan amal maaruf, amalan kebaikan. Mengajar kita erti mencegah segala kemungkaran. Dan pada masa yang sama, mengajar kita erti saling mengingati mereka yang kurang bernasib baik. 

 

7. Semoga segala pengabdian, amalan dan didikan dalam madrasah Ramadan kali ini, boleh kita teruskan sekalipun selepas menjelmanya Syawal nanti. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

8. Dalam Islam kita diajar, bahawa dalam setiap harta yang kita miliki terdapat sebahagian hak orang lain. Dan perkara ini diterjemahkan melalui pengeluaran zakat oleh mereka yang mampu dan memenuhi syarat-syaratnya.

 

9. Zakat ditetapkan oleh Allah SWT sebagai salah satu Rukun Islam. Dan seringkali kefarduannya disebut berdampingan dengan solat, dalam 28 ayat Al-Quran. 

 

10. Perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa, Islam menyemai rasa kepedulian terhadap sesama manusia. Islam adalah ajaran komprehensif yang mengakui hak individu dan hak kolektif masyarakat secara sewajarnya. 

 

11. Islam mengakui adanya perbezaan pendapatan dan kekayaan pada setiap orang. Islam mengakui setiap orang mempunyai perbezaan keterampilan, inisiatif, usaha, dan kemampuan. Namun perbezaan itu tidak seharusnya menimbulkan kesenjangan yang terlalu lebar antara yang kaya dengan yang miskin.

 

12. Kerana kesenjangan yang terlalu lebar tersebut adalah bersalahan dengan syariah Islam itu sendiri. Tidak sesuai dengan fitrah manusia dan masyarakat. Malah bercanggah dengan konsep keadilan, kesaksamaan dan kebajikan.

 

13. Oleh kerana itu, kita mempunyai kewajipan moral untuk memastikan kekayaan dan kelebihan sedemikian tidak hanya berlegar di tangan segelintir orang. Selari dengan ayat 7 Surah Al-Hasyr yang menyebut bahawa ‘supaya harta itu tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya di antara kamu’.

 

14. Maka Islam menganjurkan solusi yang adil. Jalan yang tidak membebankan. Jalan yang pragmatik. Iaitu perkongsian harta dan pendapatan melalui zakat, infak, hibah dan wakaf. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

15. Sejak kecil kita telah dididik tentang zakat. Bahawa kita harus membayar sebahagian kekayaan bersih atau hasil usaha kita apabila apa yang telah kita miliki tersebut melebihi nisab.

 

16. Zakat adalah tekad untuk mensucikan masyarakat dari penyakit kemiskinan tanpa membedakan suku, ras, dan kelompok. Dan yang lebih penting, zakat merupakan komitmen seorang Muslim, dalam mensuadayakan masyarakat. Sekaligus mengikis sifat bakhil dan individualistik dalam diri seseorang mukmin.

 

17. Maka mereka yang hartawan dan berada harus membelanjakan hartanya menurut amanah yang telah disyariatkan Islam. Membelanjakannya dengan cara yang akan menjamin kepentingan jangka pendek dan jangka panjang ummah. Melakukannya sebagai sebahagian dakwah dan ibadah kita.

 

18. Melakukannya untuk mencari keredhaan Allah SWT. Melakukannya dengan berkeyakinan bahawa pembayaran zakat tidak akan mengurangi kekayaan seseorang, sebaliknya membersihkannya.

 

19. Malangnya, masih ramai yang tidak menunaikan tanggungjawab ini. Masih ramai yang mengambil mudah dan memandang enteng kewajipan berzakat. Barangkali masih ramai yang rendah pengetahuan tentang zakat. Atau barangkali juga kerana rendahnya kepercayaan dan keyakinan masyarakat untuk menyalurkan zakat melalui institusi milik pemerintah. 

 

20. Lalu perkara ini menyebabkan ramai di kalangan masyarakat kita cenderong menyalurkan zakat secara langsung kepada pihak, yang menurut mereka, berhak menerimanya. 

 

21. Walaupun kita tidak boleh menghalang orang ramai menghulurkan zakat secara terus kepada golongan yang memerlukan. Tetapi kita juga harus sedar bahawa jika trend tersebut berterusan, maka tujuan zakat sebagai dana pengembangan ekonomi pasti tidak tercapai. 

 

22. Trend sebegini hanya akan menjadikan zakat tidak lebih sekadar dana sumbangan untuk penggunaan bersifat sementara. Kerana itu kita mesti memastikan impak dan kesan pemberian dan penerimaan zakat itu dilestarikan. 

 

23. Biar kesannya boleh membantu menyelesai masalah kemiskinan dan keperluan ummah. Dan boleh membangunkan ekonomi dan mewujudkan pertumbuhan negeri. 

 

24. Bukan setakat memenuhi keperluan golongan fakir di hari raya. Sedangkan setelah lebaran berlalu, mereka kembali kepada keadaan asal. Terjatuh semula ke dasar dalam hierarki ekonomi dan status sosial. Kembali terpinga-pinga mencari jalan bagi memenuhi keperluan ekonomi harian mereka yang terhad. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

25. Di Johor, ia mesti menjadi dasar kita agar pembahagian dana zakat, dilakukan dengan cara yang memberikan keutamaan kepada usaha menjadikan golongan miskin mampu berdikari. Mampu membina kehidupan yang lebih baik. Dan mampu keluar dari belenggu kehidupan yang daif.

 

26. Kerana Islam sangat melarang seseorang menjadi pengemis. Justeru, pengurusan dana zakat mesti dilakukan secara profesional dan berkesan. Agar ia bukan sahaja sampai kepada mereka yang memerlukan. Sebaliknya sampai dengan cara yang terbaik yang membolehkan mereka mengubah kehidupan mereka.

 

27. Agensi pungutan zakat mesti mempunyai sasaran. Kita tidak boleh hanya menunggu orang datang membayar zakat. Kita mesti mendidik masyarakat untuk tampil dan membayar zakat, memberi infak dan hibah. 

 

28. Berlumba-lumba melakukan kebaikan. Bersungguh-sungguh memberi dengan tulus dan ikhlas. Secara sukarela, sebagai suatu budaya dan amalan. Bukan sekadar kemurahan hati yang bermusim.

 

29. Sudah sampai masanya kita mempunyai sasaran pungutan dan pengagihan zakat yang berorentasikan pencapaian. Dan mempunyai strategi pengagihan yang mampu menterjemahkan manfaat sebenar zakat dan hibah kepada masyarakat. 

 

30. Pengagihan yang boleh menggalakkan pertumbuhan industri kecil-mikro umpamanya. Ikhtiar inovatif sebeginilah yang akan mewujudkan ruang berdikari, mengurangkan kadar pengangguran dan akhirnya mampu merapatkan kesenjangan sosio-ekonomi.

 

31. Hanya dengan strategi komprehensif sebegini, syiar Islam akan terus dijadikan pedoman dalam menyelesaikan kesulitan urusan hidup manusiawi. Dan maqasid syariah itu dapat dicapai dengan baik.

 

32. Justeru, pada kesempatan ini, saya menyarankan kepada Majlis Agama Islam Johor dan badan berkaitan zakat di Johor untuk merangka “Zakat Johor Blueprint”. Iaitu satu dokumen strategik untuk membangunkan secara besar-besaran potensi zakat demi masa depan dan kemakmuran Johor.

 

33. Sudah tiba masanya zakat menjadi elemen penting perbendaharaan Johor dan masyarakatnya. Telah sampai waktunya kita menjelaskan strategi kita untuk menjadikan zakat sebagai elemen suadaya ummah, sebagai instrumen membasmi kemiskinan. 

 

34. Dan sebagai saluran yang memungkinkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi berlaku secara inklusif. Atau dalam erti kata mudahnya, kita mesti memberikan dimensi moden kepada zakat dalam sistem ekonomi moden negeri Johor.

 

35. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa jumlah kutipan terkumpul zakat perniagaan di antara Januari dan Jun 2015 adalah berjumlah RM19,925,476.81 juta, berbanding RM17,266,898.33 bagi tempoh yang sama tahun lepas.  Ini adalah merupakan peningkatan pungutan zakat perniagaan sebanyak 15.40%.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

36. Pengorbanan para pejuang bangsa dan tanahair amat luar biasa. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih kita. Malah tiada apa yang kita lakukan akan setimpal dengan derma bakti yang mereka telah curahkan. 

 

37. Justeru, pada kesempatan yang sederhana ini, kita di Johor, ingin melakukan perkara yang sewajarnya. Iaitu menginsafi dan mengenang pengorbanan perajurit dan ahli pasukan keselamatan kita.  

 

38. Yang telah bersabung nyawa di sempadan negeri, bertarung kudrat di udara dan berjuang bermati-matian di samudera biru, semata-mata demi memastikan kita semua dapat mengecap nikmat sebuah keamanan.

 

39. Kerajaan Negeri hanya mampu melakukan segala yang terdaya, bagi meringankan beban yang dipikul, yang ditanggung oleh mereka yang ditinggalkan ayah, ibu, suami, abang, adik, kakak dan anak yang bertugas dalam barisan pasukan keselamatan negara. 

 

40. Atas rasa mengenang budi dan jasa, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan sumbangan berjumlah RM291,000 kepada balu, anggota pasukan keselamatan dari PDRM dan ATM yang ditimpa musibah kelainan upaya ataupun cedera. 

 

41. Kerajaan Negeri juga tidak pernah melupakan golongan berkelainan upaya dan ibu tunggal dalam masyarakat kita. Mereka semua adalah tanggungjawab kita. Mereka adalah sebahagian daripada kita. Derita dan bahagia mereka, suka dan duka mereka, adalah sebahagian daripada jiwa dan rasa bangsa dan masyarakat kita.

 

42. Justeru, saya menyimpan impian dan azam. Selagi hayat dikandung badan, selagi amanah terpikul dibahu yang menua ini, saya pasti akan melakukan apa jua yang mungkin untuk meringankan beban rakyat Johor yang kurang bernasib baik. 

 

43. Pada yang berkelainan upaya, InsyaAllah, saya akan cuba sebaiknya untuk membantu. Pada ibu-ibu tunggal yang memerlukan pembelaan, saya amat kagumi semangat kalian. Dan InsyaAllah, saya bertekad memberikan yang terbaik agar kalian menerima bantuan yang selayaknya .

 

44. Saya faham, segala bantuan yang dihulurkan hari ini sangat sederhana jumlah dan sifatnya. Tetapi saya harap, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi musim perayaan yang bakal menjelang.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

 

45. Sempena Ramadan yang masih tersisa dan Lebaran yang bakal menjelma nanti, saya menyeru kepada semua agar mengambil pendekatan bersederhana dalam apa jua yang  kita lakukan. Raikanlah Aidilfitri dengan kesederhanaan, seperti yang sering diajarkan Islam. 

 

46. Dan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat menyambut Aidilfitri, minal aidil wal faizin, Maaf Zahir Batin daripada saya, isteri dan seluruh anggota keluarga saya. Semoga Aidilfitiri tahun ini membawa erti yang lebih bermakna buat kita semua. InsyaAllah.

 

47. Dengan lafaz suci Bismillahhirahmannirrahim saya menyempurnakan Majlis Pembahagian Bungkusan & Sumbangan Hari Raya kepada anggota pasukan keselamatan, Orang Kelainan Upaya, Ibu Tunggal serta penyerahan Zakat Perniagaan.

 

Sekian, terima kasih dan Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com