MAJLIS IFTAR BERSAMA KETUA PERONDA SRS & PENYERAHAN PERALATAN SRS

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS IFTAR BERSAMA KETUA PERONDA SRS &

PENYERAHAN PERALATAN SRS 

PADA HARI RABU, 01 JULAI 2015

JAM 6.00 PETANG

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh 

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor kepada semua.

 

1. Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor yang telah menjayakan majlis ini. 

 

2. Saya amat berbesar hati dan gembira sekali dapat bertemu tuan-tuan dan puan-puan, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan masing-masing dari seluruh negeri Johor.  

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

 

3. Satu perkara paling mendasar dalam menjalani kehidupan yang bermutu ialah keselamatan lingkungan. Keselamatan lingkungan dan persekitaran menjelmakan apa yang saya panggil keselamatan insani. 

 

4. Keselamatan insani ini merangkumi rasa dan perasaan yang selamat, tenteram dan damai yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan baik. Perkara ini membenarkan kita fokus kepada pekerjaan dan perniagaan, memberikan anak-anak kita rasa selamat untuk keluar dan bermain dengan rakan-rakan dan jiran persekitaran mereka, serta meyakinkan bahawa harta benda kita juga terpelihara selamat bila lingkungan kita selamat.

 

5. Mempunyai lingkungan yang selamat ini bukan fenomena kehidupan moden. Ia bermula seawal sejarah manusia, di mana semenjak manusia memilih untuk hidup berkumpulan, hidup dalam kelompok yang di panggil komuniti, berbangsa-bangsa, bersuku-suku, bermasyarakat dan bernegara.

 

6. Semuanya mempunyai satu tujuan iaitu untuk menjamin lingkungan, keselamatan antara satu dengan yang lain dan memulihara kepentingan keselamatan bersama.

 

7. Pasti nostalgia kita terimbas pada suasana desa dan kampung halaman kita dahulu. Betapa tenteramnya ia, damai, selamat, bahkan rumah di kampung kita dahulu, tidak pernah ada kunci, pagar dan tembok yang tinggi berduri. Malahan, waktu itu tiada cctv dan jaga, walhal tiada segalanya yang saya panggil ‘the elements of insecurity’. 

 

8. Perkara ini kerana kita yakin dan percaya antara satu sama lain, masyarakat di lingkungan kita saling berusaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan desa kerana wujud muafakat untuk menjaga antara satu sama lain.

 

9. Namun, semua nilai ini semakin susut. Kita sedang menghadapi apa yang saya panggil defisit keselamatan lingkungan yang membarah.  Kawasan kediaman dan kejiranan kita, terutama di kawasan perbandaran seringkali menjadi medan pencerobohan privasi yang menyebabkan harta benda kita terancam.  Malahan, kadang kala keselamatan diri kita dan keluarga sendiri juga terancam.

 

10. Penjenayah era moden mula menjadikan kawasan kejiranan moden sebagai modus operasi mereka yang menyebabkan kita tercalar dengan rasa kurang selamat. Ini menyaksikan kawasan kejiranan kita dipenuhi dengan segala macam tembok, dinding pemisah, cctv dan segala macam alat penggera.

 

11. Kehidupan apa semua ini? Kita bukan hidup dalam linkungan penjara. Kita hidup dalam lingkungan sebuah masyarakat!

 

12. Maka kerana itu, kita mesti mengembalikan keselamatan lingkungan kita, mengembeleng tenaga, masa dan apa jua ikhtiar untuk mengatakan tidak kepada pencerobohan privasi, ancaman kepada keselamatan diri dan harta benda kita.

 

13. Maka kerana itu, ikhtiar seperti Penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) itu relevan. Ia menjadi instrumen penting bukan sekadar untuk mewujudkan rasa selamat di lingkungan kita dan membasmi segala bentuk jenayah dan pencerobohan, tetapi yang lebih penting, mewujudkan kesedaran tentang pentingnya menjaga keselamatan sebagai tanggungjawab bersama.

 

14. Ikhitiar ini sekaligus menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dan bermuafakat di kalangan penduduk pelbagai kaum dengan pelbagai kepercayaan. 

 

15. Institusi seperti SRS inilah yang mengukuhkan Johor dan masyarakatnya untuk menjadikan Johor masyarakat yang dihakupayakan untuk berkembang menjadi lebih besar dan mandiri.

 

16. Kerana kalian tidak menunggu pemerintah dan kerajaan serta pihak berkuasa untuk menjamin keselamatan.  Kalian melakukannnya dengan mengumpul dan membina semangat kolektif masyarakat di lingkungan kalian, menggembelengkan semua pihak, yang tua, muda, Melayu, Cina, India, semuanya bersama dalam memastikan kawasan kejiranan sejahtera, aman dan selamat.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

17. Inilah yang ingin kita bina dan suburkan. Semua orang perlu memainkan peranan untuk Johor dan Malaysia yang lebih sejahtera.  Kita di Johor dan rakyatnya mesti menjadi sebuah kemasyarakatan walau apa pun kedudukannya, mempunyai pertanggungjawaban pada keluarga, lingkungan dan tanah airnya.

 

18. Bila saya melihat tuan-tuan dan puan-puan, terdetik di hati saya bahawa inilah sebenarnya erti sebuah patriotisme, dimana sifat rakyatnya yang patriotik bertanggungjawab dan terpanggil untuk memberi dan bukan sahaja menjadi penerima. 

 

19. Masyarakat perlu sedar bahawa peranan membanteras jenayah tidak hanya digalas oleh pasukan keselamatan. Lingkungan kita adalah tanggung jawab kita. Ia milik kita. Hakikatnya, keselamatan kita, dan lingkungan kita, adalah tanggungjawab bersama sepertimana peribahasa hidup sandar menyandar, bagai aur dengan tebing

 

20. Justeru, Kerajaan Negeri terinsiprasi untuk memperkasakan peranan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela di seluruh negeri Johor.  Oleh itu, bermula pada 2015 pihak Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan sejumlah peruntukan untuk Mengukuh Keeratan Sosial dan Memastikan Keselamatan Sekitaran Komuniti, dengan peruntukan berjumlah RM 900,000.00.

 

21. Saya benar-benar berharap, peruntukan ini akan menjelmakan pelbagai kebaikan yang membolehkan SRS dilengkapi dengan peralatan rondaan bersesuaian dengan peranannya. Fungsi dan peranan SRS perlu dilebar luaskan dengan pelbagai kempen kreatif agar lebih ramai yang menawarkan diri menjadi relawan dan menjadi Agen Keselamatan Komuniti. 

 

22. Harapan saya juga agar lebih banyak SRS dapat diwujudkan di semua daerah serta di pelbagai penjuru di Johor ini agar terjelma kesejahteraan yang bening, terlahir masyarakat yang hidup aman, damai dan selamat dalam lingkungannya dan terus subur semangat bermuafakat untuk kebaikan.  Ingatlah bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat. 

 

Hadirin yang dikasihi, 

 

23. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini baik secara langsung mahupun tidak langsung terutamanya pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor. Semoga kerjasama erat seperti yang ditunjukkan dalam penganjuran majlis ini dapat kita teruskan lagi di masa akan datang. 

 

24. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan selamat meneruskan ibadah puasa dan mempertingkatkan lagi amalan sepanjang bulan Ramadhan. 

 

25. Marilah kita berlumba-lumba melakukan kebaikan, bukan setakat di bulan yang sangat mulia ini sahaja, malahan di bulan-bulan yang lain juga.

 

Sekian, terima kasih.

wabillahi taufik walhidayah 

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

 

 

davispropertymanagement.com