MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DAN PELANCARAN YAYASAN PASIR GUDANG 2015

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DAN PELANCARAN YAYASAN PASIR GUDANG 2015

PADA HARI JUMAAT, 05 JUN 2015

JAM 8.30 MALAM

 

 

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

1. Alhamdulilah, marilah kita merafa’kan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita berkumpul untuk bersama-sama hadir pada MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DAN PELANCARAN YAYASAN PASIR GUDANG 2015. 

 

2. Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja Yayasan Pasir Gudang di atas kejayaan menganjurkan majlis makan malam amal ini. Saya juga mengalu-alukan semua pihak yang hadir pada hari ini, khususnya, para dermawan yang sudi memberikan sumbangan dalam mengukuhkan ikhtiar kemasyarakatan kita di parlimen Pasir Gudang ini.

 

3. Semoga segala usaha yang kita lakukan pada hari ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT, insyaAllah.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

4. Dua tahun dulu, saya menubuhkan Yasasan Pasir Gudang.  Tujuannya adalah untuk menjadi wadah bagi kebaikan dan transformasi sosial.  Kerana saya yakin kita mesti berhenti mempersoalkan antara yang maju dan belum maju.  Antara yang kuat dengan yang lemah.  Antara yang kaya dengan yang miskin.  Antara yang biasa  dengan yang berkelainan upaya.

 

5. Tetapi apa yang harus kita lakukan ialah merapatkan jurang ini.  Kita mesti memberi pembelaan pada apa yang saya panggil ‘the last, the least and the lost’.  

 

6. Dan inilah misi Yayasan yang ditubuhkan ini. Ia diasaskan untuk menjadi jambatan dalam menghubungkan  jurang dan jarak keberadaan kita.  Ia jadi saluran setiakawan kita pada mereka yang mendambakan bantuan.  Ia tanda kepedulian kita.  Ia adalah ikhtiar kita agar segala bantuan, segala dharmabakti masyarakat, dapat mengalir dengan baik, dengan ikhlas. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

7. Semenjak saya kembali menerajui pentadbiran  Negeri Johor yang sangat tercinta ini, salah satu gagasan saya ialah untuk menyuburkan Muafakat di kalangan rakyat Johor.  Ia bukan selogan semata-mata.  Malah ia bukan hanya satu ‘tag line’.  Ia adalah satu dasar dan strategi kita untuk menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik. 

 

8. Menghakupayakan  masyarakat.  Menjadikan Negeri dan masyarakat kita lebih mandiri dan bersuadaya.  Menjadikan rakyat Johor lebih bingkas dan saling membantu.  Mengurangkan kebergantungan pada Kerajaan. Dan menyemarakkan aspirasi ‘we have each other’.  Dan Yayasan Pasir Gudang ini adalah manifestasi hasrat ini.

 

9. Ia adalah satu inisiatif yang saya panggil Muafakat Untuk Johor.  Ia jadi satu platform untuk sebuah kolloborasi yang unik bagi membantu masyarakat.  Yang menyaksikan golongan inteligensia untuk idea dan pemikiran bernas.

 

10. Golongan hartawan dan pemodal, tampil menymbang wang ringgit dan keperluan kebendaan.  Golongan masyarakat sivil, membantu melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.  Golongan wartawan untuk hebahan dan publisiti.  Golongan muda sebagai sukarelawan.

 

11. Semuanya menggunakan Yayasan ini, sebagai platform untuk menyumbang dan memberi kepada masyarakat.  Semuanya ingin memainkan peranan mereka, dengan kemampuan masing-masing, yang sedikit, yang banyak, demi sebuah kebaikan.  Semua tampil kehadapan, secara sukarela, dengan tulus dan ikhlas.

 

12. Inilah dia apa yang saya katakan “MUAFAKAT UNTUK JOHOR’.  Melaluinya kira ringankan bebanan golongan kurang kemampuan, termasuk yang terlibat dengan masalah kewangan.  Melaluinya kita bantu  mereka yang  miskin.  Melaluinya kita upayakan orang Kelainan Upaya (OKU).  Melaluinya kita santuni warga emas, mereka yang sakit, ibu tunggal, anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan untuk pelajaran dan persekolahan. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

13. Pada kesempatan malam ini, saya sangat  terima kasih.  Saya harus menyatakan betapa saya sangat tersentuh dengan ingatan baik, sumbangan serta bantuan pelbagai pihak untuk Yayasan ini.  Terutamanya sumbangan besar kewangan  daripada syarikat-syarikat dan industri di sekitar kawasan Perindustrian Pasir Gudang.  Juga pada mereka yang menyumbang keringat, yang menyumbang tenaga dan pemikiran. 

 

14. Saya sangat berterima kasih!  Ramai sekali yang tampil menyumbang dan membantu masyarakat dalam lingkungan Pasir Gudang ini.  Dan saya sangat yakin, kalian tidak tampil bukan kerana saya Menteri Besar. Tetapi kerana kalian yakin, inilah perkara yang betul untuk dilakukan. Ini adalah tanggungjawab bersama. Inilah dermabakti kita untuk masyarakat, untuk bangsa dan negara.

 

15. Dan saya  ingin menyatakan dengan jelas di sini.  Bahawa segala sumbangan tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya dimanfaatkan untuk melakukan pelbagai kebaikan di kawasan Pasir Gudang ini. 

 

16. Melalui sumbangan tulus kalian selama ini, kita telah wujudkan pusat tuisyen komuniti di Taman Cendana, di Taman Air Biru, di Kampung Pasir Putih dan di Sungai Tiram. 

 

17. Kita boleh jayakan program Tuisyen Skor yang melibatkan seramai 240 pelajar.  Kita laksanakan projek  Online Learning YPG yang melibatkan 112 sekolah menengah dan 128 sekolah rendah.  Dan 19 buah sekolah itu berada  sekitar Pasir Gudang.  Kita berjaya menganjurkan pelbagai Seminar Kecemerlangan Pelajar bagi pelajar-pelajar PMR, SPM dan STPM. 

 

18. Dan kita laksanakan juga program khas untuk anak-anak Orang Asal.  Melalui projek Tuisyen Untuk Orang Asal, kita adakan kelas  pada setiap hari sabtu di Kampung Pasir Salam.  Ia memanfaatkan bukan sahaja penduduk Kampung Salam, tetapi juga Kampung Teluk Kabung dan Kampung Pasir Putih. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

19. Selain pelbagai ikhtiar pendidikan, Yayasan ini juga  terlibat dalam banyak lagi aktiviti dan program sivik dan kemasyarakatan lain.  Kita telah bangunkan pelbagai program belia.  Kita jayakan kursus kemahiran kerjaya belia.  Kita anjurkan bengkel keusahawanan belia. 

 

20. Kepada mereka yang kurang berada, kita salurkan program bantuan makanan.  Untuk ibu-ibu keluarga miskin ini, kita latih mereka tentang kemandirian melalui bengkel kemahiran keusahawanan ibu-ibu.  

 

21. Kita wujudkan khairat untuk kematian dan bencana alam.  Malah kita lakukan pelbagai dermabakti ini, kerana kita percaya di Pasir Gudang ini , `we have each other’.  Kitalah Pasir Gudang. Masalah lingkungan kita adalah masalah kita dan tanggungjawab kita.  Dan kita ingin selesaikan cara kita.   

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

22. Satu perkara yang ingin saya nyatakan disini ialah, cara kita mengoperasikan Yayasan Pasir Gudang ini juga telah mengambil pendekatan moden.  Kita wujudkan laman sesawang. Kita sediakan permohonan online.  

 

23. Kita bangunkan  Pelan Strategik MPPG 2015-2020. Ia melakarkan strategi kita memperkembangkan penglibatan kita dalam masyarakat Pasir Gudang.  Ia juga mengukur pencapaian kita berdasarkan sasaran dan objektif yang telah kita tetapkan.

 

24. Semua ini membawa satu maksud besar. Kita mahukan akuntabiliti.  Kita mahu semua wang dan bantuan yang diterima, dibelanjakan dengan amanah, dengan telus dan mempunyai impak.  Kita mesti meyakinkan semua pemberi dana, bahawa setiap sen sumbangan mereka dibelanjakan dengan tujuan yang terancang dan telus.

 

25. Kerana kita adalah institusi milik masyarakat.  Kita adalah ‘a civic movement’ dan pertanggungjawaban kita bukan kepada ahli lembaga pemegang amanah tetapi kepada masyarakat keseluruhan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

26. Saya mengakhiri ucapan saya dengan ucapan terima kasih sekali lagi. Atas semua bantuan yang telah diberikan kepada Yayasan ini.

 

27. Dengan lafaz bismillahirrahmannirrahim saya merasmikan MAJLIS MAKAN MALAM AMAL DAN PELANCARAN YAYASAN PASIR GUDANG 2015. 

Sekian, Terima Kasih.

Wabillahitaufik walhidayah 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

davispropertymanagement.com