MAJLIS PELANCARAN JOHOR CORPORATION EDUCATION SPONSORSHIP PROGRAM (JESP)

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PELANCARAN JOHOR CORPORATION EDUCATION SPONSORSHIP PROGRAM (JESP)

PADA HARI KHAMIS, 4 JUN 2015

JAM 2.30 PETANG

 

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Yang Berhormat 

Tuan Haji Md Jais Bin Haji Sarday

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Negeri Johor

 

Yang Berhormat 

Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim

Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation

 

Barisan Kepimpinan Johor Corporation

 

Dato’ & dato’ dan datin-datin

 

Para peserta Johor Corporation Education Sponsorship Programme (JESP)

 

Wakil-wakil media

 

Hadirin dan hadirat yang saya kasihi sekalian

 

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah subhanahu wataala, kerana dengan izin-Nya saya diberikan kesempatan untuk bersama-sama hadirin pada Majlis Pelancaran Johor Corporation Education Sponsorship Programme (JESP) pada petang ini.

 

2. Saya sangat berterima kasih kepada Johor Corporation atas undangan dan ruang berucap dalam menghadiri majlis yang penuh bermakna ini. Majlis yang merupakan susulan kepada Johor Corporation Chartered Accountancy Programme (JCAP), yang telah kita lancarkan pada 5 Mac lalu. 

 

3. JESP ini merupakan satu lagi inisiatif yang melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri, sektor korporat dan golongan industri. Inisiatif untuk terus mencari ikhtiar terbaik dalam membangunkan potensi anak muda kita. Malah, inisiatif yang selari dengan aspirasi RMK-11 yang dibentangkan baru-baru ini yang menyarankan agar kita membongkar dan menggilap bakat tempatan dengan sebaik mungkin

 

Saudara dan saudari,

 

4. Saya mengucapkan tahniah kepada pelajar yang terpilih mendapat biasiswa Johor Corporation Education Sponsorship Programme. Saya berbangga dengan kejayaan saudara-saudari.

 

5. Dan saya yakin rasa bangga ini amat dirasai oleh ayah, ibu, keluarga, guru dan sabahat handai kalian. Malah, bila saya melihat wajah mereka yang berada dalam dewan ini, hati saya terdetik. Saya dapat berkongsi dan merasai betapa bahagianya mereka. Kerana saya sendiri pernah melalui dan merasainya ketika saya menghadiri majlis graduasi anak saya Akmal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Lahir satu perasaan gembira dan bangga yang tidak terungkap dengan kata-kata.

 

6. Justeru, hari ini saya memilih untuk tidak bercakap tentang dasar, juga tidak tentang politik atau agenda modal insan yang sudah selalu kita dengar. Hari ini saya ingin bercakap tentang nilai, tentang tanggungjawab moral, tentang sikap dan sifat orang yang terpelajar dan berilmu. Ada tiga perkara yang ingin saya sentuh.

 

7. Pertama. Saudara-saudari kini melalui sebahagian dari banyak lagi kejayaan yang bakal dikecapi. Saya sangat sukacita apabila dimaklumkan bahawa enam daripada 33 penerima J.E.S.P. yang bersama kita hari ini telah terpilih untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. 

 

8. Dan, seorang darinya adalah pelajar yang telah melalui pengajian ‘fast track’ di Permata Pintar U.K.M. untuk terus berada di tahun pertama di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat. Ini adalah sesuatu pencapaian yang amat membanggakan.

 

9. Tetapi semua ini mungkin dan terjadi, kerana ramai di luar sana, yang melabur, yang menyokong dan yang tidak putus berdoa agar saudara saudari berjaya. Bakat, potensi serta kebolehan kalian tidak akan mungkin bisa terbongkar jika tidak kerana pelaburan, pengorbanan dan doa pelbagai pihak.

 

10. Semua ini tidak terjadi secara semula jadi. Ia adalah perjalanan kehidupan yang menyaksikan pelbagai pihak menyumbang dermabakti, bantuan dan dukungan. 

 

11. Ayah ibu yang tidak pernah letih mengabdi masa, mencurah keringat, wang ringgit, malah seluruh jiwa raga, membesar dan mendidik kalian dengan penuh kasih sayang.

 

12. Guru-guru yang budiman, yang senantiasa memberi rangsangan untuk kalian berjaya, dengan dedikasi luar biasa. Walau kalian bukan darah daging mereka.

 

13. Dan kerajaan, yang tidak pernah sekali-kali mengabaikan kewajipan memberikan kemudahan dan peluang yang terbaik pada putera puteri bangsa kita. Tahukah kalian bahawa Kerajaan telah secara konsisten, sejak 30 tahun dahulu, melabur hampir 20% belanjawan tahunan negara kita hanya untuk pendidikan? Sekaligus menjadikan Malaysia negara membangun yang paling banyak melabur dalam pendidikannya.

 

14. Ribuan sekolah dibina, lengkap dengan segala kemudahan agar semua anak Malaysia, punya ruang dan peluang membina dan mengejar masa depan. 

 

15. Ratusan ribu guru kita pilih kita latih. Pergilah ke desa terpencil di Long Lama di Sarawak. Atau di Long Pasia di Sabah. Atau di Dabong di Kelantan. Atau di Tasik Banding Perak. Pasti akan ada guru yang terlatih. Yang keluar meninggalkan nikmat kemewahan hidup kota demi menyantuni anak-anak desa kita yang punya cita-cita. Demi memastikan akan ada sekolah yang berfungsi.

 

16. Apa yang ingin saya sampaikan, ramai sekali yang menyumbang kepada kejayaan saudara-saudari!  Dan pelaburan mereka amat luar biasa nilainya. Kerana tiada pelaburan yang dapat mengatasi pelaburan dalam pendidikan.

 

17. Justeru, walau sehebat dan setinggi manapun pendidikan dan pencapaian perjalanan kehidupan saudara-saudari nanti, ingatlah pada mereka yang telah dan pernah melabur dalam kejayaan kalian. Kenanglah pengorbanan besar mereka. Kenanglah betapa kalian sangat bertuah kerana punya peluang dan ruang untuk jadi pintar, jadi berilmu, jadi berjaya. 

 

18. Jangan jadi kacang lupakan kulit yang hanyut dengan kejayaan sendiri. Jangan jadi enau dalam belukar, yang hanya tahu dan mahu menaikkan diri sendiri. Jadilah padi. Semakin berisi, semakin tunduk membumi, merendah diri. 

 

19. Peringatan ini membawa saya kepada perkara kedua yang ingin saya sampaikan. Bahawa  sebenarnya, tidak cukup hanya dengan mengingati dan mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang melabur dalam kejayaan kita. 

 

20. Kejayaan cemerlang yang telah dan akan terus saudara-saudari lakarkan nanti hanyalah aksara di atas kertas. Ia tidak boleh memberi manfaat dan makna sebenar pada keluarga, bangsa dan lingkungan kita.

 

21. Jadilah anda peguam besar, doktor pakar, akauntan berjaya, ahli perniagaan ternama. Jadilah kalian apa dan sesiapa sahaja. Namun, selagi kalian belum menoleh ke belakang, tunduk ke bawah, melihat dan memahami nasib anak bangsa yang lain, yang masih berjuang dengan takdir, yang masih merempat di biru laut dan di kuning darat, pada saya, anda masih belum berjaya.

 

22. Apa gunanya kejayaan kita, andai kejayaan besar kita itu hanya menjadikan kita kecil dan kerdil di mata masyarakat. Kecil dan kerdil kerana kita lupa asal dan permulaan kita. Ingatlah, sejauh mana kalian terbang, kalian tidak akan boleh dan harus pernah terpisah dari masyarakat. Kalian adalah sebahagian darinya. Dan kerana itu, kalian ada tanggungjawab untuk kembali dan menyumbang kepada mereka. Khususnya kepada mereka yang membolehkan kalian berjaya.

 

23. Hanya bila kalian kembali dan mula menyumbang, kalian akan menjadi warga yang budiman, yang faham akan tangggungjawab, yang berjiwa besar dan berpandangan jauh. Dan saya mengharapkan kalian menjiwai semua nilai-nilai ini.

 

24. Kerana saya mahu kejayaan saudara-saudari hari ini, menjadi inspirasi untuk membolehkan mereka yang lain di luar sana turut terdorong untuk berjaya. Dan inilah perkara ketiga yang ingin saya sentuh.

 

25. Semua yang berjaya hari ini, harus menjadi suri teladan pada generasi kalian, pada sesiapa sahaja yang menyimpan cita-cita untuk berjaya. Kalau saudara-saudari boleh berjaya, tidak ada sebab mereka yang lain di luar sana tidak boleh mencontohi jejak langkah terpuji ini.

26. Lalu bantulah saya dan pentadbiran saya. Mari kita seru dan inspirasikan semua anak di Johor dan Malaysia. Biar siapa pun mereka. Biar apa pun warna, agama dan tutur bahasanya. Yang marhain atau yang dhuafa.

 

27. Kita tanam dan semat dalam pemikiran mereka. Bahawa mereka punya bakat, punya potensi. Bahawa mereka harus punya cita-cita dan punya kebolehan. Mereka harus bermimpi untuk hidup dengan aman, selesa, selamat, berjaya dan bermaruah.

 

28. Dan kita mesti sedarkan mereka. Bahawa kalau kalian diberi peluang, mereka juga akan dibukakan peluang. Kalau kalian boleh melakukannya, pasti mereka juga mampu. Biar semua orang tahu dan sedar. Inilah cerita di Malaysia dan di Johor. Cerita tentang bagaimana kita saling berdiri dan menyokong satu sama lain. 

 

29. Dan saya memerlukan bantuan kalian kerana jika kita tidak melakukannya, saya bimbang ramai akan tertinggal. Kerana persaingan dunia globalisasi hari ini sangat hebat di luar sana. 

 

30. Bagimana kita akan menjadi pemain dalam Komuniti ASEAN dan pelbagai proses liberalisasi perdagangan.

 

31. Bagaimana kita ingin mendahului persiangan sains dan teknologi yang kini menjadi penyelesaian kepada banyak masalah manusiawi dan isu global. 

 

32. Bagaimana kita akan menjadi negara berpendapatan tinggi, negara maju, dan negara terbaik, jika hanya sebahagian kecil bangsa kita yang berilmu dan maju dalam pendidikan. 

 

33. Malah, bagaimana mungkin kita bisa menjadi penganut terbaik kepada agama yang wahyu pertamanya sendiri telah menyentuh tentang membaca, tentang ilmu dan pengetahuan. 

 

34. Kesemua ini menuntut kita berusaha keras dalam melahirkan golongan terpelajar yang berkualiti. Dan, kita harus melakukannya bersama-sama.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

35. Berbicara tentang pendidikan, seperti yang saya sebutkan tadi, banyak pihak yang terlibat. Bukan sahaja pengajar dan pelajar, yang merupakan entiti langsung. Tetapi lebih daripada itu. 

 

36. Kerajaan, pihak penaja, pemain dalam industri malah kita semua. Kita semua adalah pemegang taruh dan pemain penting. Kita adalah entiti tidak langsung dalam pendidikan. Lebih penting, selaku entiti tidak langsung, kita sebenarnya turut memikul peranan yang besar dan penting.

 

37. Ini kerana, pendidikan adalah satu platform yang bukan sahaja mengizinkan kita untuk menyumbang. Sebaliknya, pendidikan adalah platform yang membuka ruang kolaborasi dan penyepaduan semua pihak. 

 

38. Apa yang Johor Corporation lakukan hari ini, adalah contoh sangat terpuji. Ia membuka ruang kolaborasi dan penyepaduan dalam dimensi dan skop yang istimewa nilainya. Yang natijahnya adalah kebaikan kepada bangsa jua.  Dan yang menjurus kepada penggilapan bakat yang kita miliki.

 

39. Johor Corporation tampil dengan berani, gigih dan bersungguh-sungguh dalam ikhtiar membangunkan minda anak bangsa. Dan pelaburan Johor Corporation ini sangat besar bukan sahaja dari nilai kewangan tetapi juga dari kepentingan jangka masa panjang Johor dan Malaysia.

 

40. Justeru saya menyimpan harapan, akan banyak lagi pihak dari sektor korporat dan industri yang tampil dan bersama-sama membangunkan sektor pendidikan kita. Bukan kerana ini adalah permintaan dan gesaan saya. Bukan sahaja kerana insentif potongan cukai. 

 

41. Tetapi inilah citra masyarakat moden yang tinggi nilai manusiawinya. Inilah sikap bangsa yang maju dan tinggi akal budinya. Inilah menifestasi pemikiran termaju. Paling penting, inilah penzahiran semangat dan ruh sebenar Muafakat Untuk Johor yang kita pegang dan dukung.

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

42. Ketahuilah bahawa segala usaha yang kita laksanakan dengan penuh ikhlas, jujur dan amanah demi pembangunan pendidikan anak-anak kita tidak akan pernah sia-sia. 

 

43. Semoga menerusi kerjasama sebegini, akan lahirlah lebih ramai anak bangsa yang bukan sahaja geliga mindanya, namun luhur hati budinya. Prihatin pula pada bangsa, agama dan negaranya.

 

44. Sebelum berakhir, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada para ibu bapa dan warga pendidik atas bimbingan, semangat dan pengorbanan dalam mendidik dan menggilap aset negara. 

 

45. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Johor Corporation Education Sponsorship Programme. 

 

Sekian, terima kasih

Wabilahitaufik walhidayah 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com