MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA ANJURAN BERSAMA PIJ HOLDINGS SDN BHD DAN PERISIND SAMUDRA SDN BHD

 

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA ANJURAN BERSAMA PIJ HOLDINGS SDN BHD DAN PERISIND SAMUDRA SDN BHD

PADA HARI  AHAD, 26 APRIL 2015

PADA JAM 2.30 PETANG

 

Bismillahirahmanirahim.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

 

Yang Dihormati Saudara Pengacara Majlis

 

Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina binti Othman Said,

Ahli Parlimen Pengerang

 

Yang Berhormat Senator Dato’ Adam bin Abdul Hamid

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor

 

Yang Berhormat Dato’ Ismail bin Karim,

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

 

Yang Berusaha Tuan Haji Burhan bin Amin,

Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor

 

Yang Berusaha Tuan Haji Rozan bin Mohd Sa’at,

Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd

 

Yang Berusaha Encik Shafiee bin Sanip,

Ketua Pegawai Eksekutif Perisind Samudra Sdn. Bhd.

 

Barisan Ketua-ketua Jabatan

 

Barisan Kepimpinan Perbadanan Islam Johor dan Kumpulannya

 

Dif-dif Jemputan.

 

Rakan-rakan Media.

 

Tuan-tuan, Puan-puan dan Sidang Hadirin yang dihormati sekalian.

 

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama melafazkan rasa setinggi-tinggi syukur atas limpah kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berhimpun petang ini di Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan Bumiputera.

 

2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya PIJ Holdings Sdn Bhd dan Perisind Samudra Sdn Bhd atas kesudian untuk menjemput saya untuk berucap dan berkongsi harapan saya dan Kerajaan Negeri dalam perkara ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

3. Semasa saya mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dua tahun lepas, saya menanam azam. Saya bertekad untuk menjadikan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi paling pesat di Malaysia. Johor Bahru harus menjadi seperti Kuala Lumpur yang kedua.  Dan saya mempunyai sebab berfikir dan menyimpan tekad sedemikian. 

 

4. Pertama, kerana saya yakin bahawa cerita kejayaan ekonomi Malaysia bukan hanya disumbangkan oleh aktivi perniagaan di Kuala Lumpur semata-mata. Pertumbuhan ekonomi Malaysia pesat kerana banyak aktiviti ekonomi berlaku di pelbagai pelusuk negara ini.  Batu Pahat dengan industri perabot dan tekstilnya.  Kerteh dengan aktiviti petroleum luar persisirnya. Pulau Pinang dengan industri semi-konduktor dan perkilangan. Johor Bahru dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang dengan industri hilirannya. Malah tempat seperti Sekinchan, Kuching, Bintulu, Sandakan, Tanjung Malim, Kulim, Kuantan serta pelbagai kota dan daerah, semuanya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia.

 

5. Kedua, saya yakin bahawa Johor adalah ‘the natural choice’ untuk menggantikan Lembah Kelang sebagai pusat kegiatan ekonomi utama Malaysia. Kerana ia mempunyai kedudukan yang sangat strategik. Ia bersebelahan dengan ekonomi negara maju, Singapura. Ia berjiran dengan Melaka, sebuah negeri yang juga pesat membangun.  Ia mempunyai pelabuhan yang modern. Prasarana yang baik.  Kelas pertengahan yang besar. Kesepaduan masyarakat majmuknya.  Semua ini menjadikan Johor mempunyai kebolehsaingan. 

 

6. Tetapi faktor ketigalah yang saya rasa paling penting.  Johor mempunyai industri kecil dan sederhana yang membangun.  Dan mempunyai golongan usahawan yang berdaya saing. Lihat sahaja bagaimana mereka telah menjadikan Batu Pahat kawasan perindustrian paling dinamik di Malaysia. Batu Pahat mempunyai jumlah syarikat awam paling banyak selepas Kuala Lumpur. Pergilah ke Pasir Gudang. Lihat sahaja betapa pesatnya sektor perindustrian di sana. Dan kita semua rasai betapa rancaknya pembangunan di Johor Bahru.  Semuanya terbangun dek kerana gigihnya usahawan di Johor. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

7. Tetapi di sebalik keyakinan, tekad dan azam saya, ternyata saya tidak boleh menafikan kerisauan saya. Saya risau kerana yang terlihat berjaya, kebanyakannya usahawan bukan Bumiputera. Yang nampak agresif dan mencipta kejayaan, bukan usahawan Bumiputera.

 

8. Hati kecil saya mengakui bahawa banyak lagi yang harus dilakukan untuk usahawan orang Melayu. Kelas menengahnya masih perlu dilipatgandakan. Kelas usahawannya perlu lebih diramaikan.  Kerana jika tidak, jurang antara kaum akan semakin melebar.  Dan bila ia melebar, maka ia menjurus kepada ketidaksaksamaan.  Lalu implikasinya, jika tidak dibendung ialah ‘exclusion’.  Dan ‘exclusion’ adalah ramuan pencetus konflik.

 

9. Maka kerana itu, saya mengambil pendekatan lain untuk mengurus ekonomi Johor.  Pendekatan baharu.  Pendekatan bersandarkan prinsip inklusif.  Tidak akan meminggirkan sesiapa jua.  Menonjolkan potensi siapa jua. Adil dan saksama kepada siapa jua.  Yang memerlukan akan terus dibantu.  Yang boleh mandiri, akan didukung.  Yang ketinggalan akan dibimbing.   

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

10. Tadi saya nyatakan bahawa orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam pelbagai sektor ekonomi.  Angka-angka yang kita ada, dan saya pasti semua mengetahuinya, menzahirkan jurang itu sebenarnya masih sangat besar.  Dan kita sukar memahami kenapa ini berlaku.  Tetapi ada beberapa kemungkinan yang saya rasa menyebabkan berlaku sedemikian.

 

11. Pertama, mungkin kerana kesan berterusan dasar penjajah yang pernah menjajahi kita.  Mereka mengasingkan kita.  Masyarakat Melayu dijadikan kumpulan pentadbir.  Masyarakat India menjadi sumber buruh.  Masyarakat  Cina menjadi kapitan ekonomi dan perniagaan.  Lalu, kita secara tradisinya sudah terbiasa dengan mentadbir, berkhidmat dengan kerajaan.  Ia menjadi pilihan paling natural kepada kita.  

 

12. Kedua, mungkin kerana sifat orang Melayu itu sendiri.  Tidak begitu ‘enterprising’.  Kurang ‘adventerous’.  Tidak mahu mengambil risiko.  Sangat bergantung kepada Kerajaan.  Selesa dengan segala kemudahan, hak dan jaminan Kerajaan.  Tiada desakan untuk keluar dari linkungan yang selesa. 

 

13. Dan ketiga, mungkin kerana gagalnya kita menjiwai risalah Islam yang sebenar. Kita tahu Islam mengajar kita untuk berdagang, berniaga.  Bahawa 9 daripada 10 rezeki itu datang dari perniagaan.  Dan kalau kita dalami sirah, Rasulullah SAW, Junjungan yang sangat kita kasihi, bukan sekadar utusan Allah SWT.  Baginda seorang peniaga yang berjaya.

 

14. Dan semestinya kita ingat bagaimana Islam datang ke nusantara ini. Semuanya melalui perdagangan. Bukan dengan peperangan, bukan penaklukan dan  semestinya, bukan dengan kilasan bilah pedang.  Pedagang Arab dan India, datang dengan bahtera pelayaran yang jauh, berniaga, berdagang dan pada waktu yang sama, membawa risalah Islam. 

 

15. Justeru Islam itu sebati dengan perdagangan.  Sebati dengan perniagaan.  Dan jika kita menjiwai risalah Islam itu dengan sebenar-benarnya, maka pasti kita juga memilih jalan ini.  Tetapi nampaknya tidak ramai yang melihat perniagaan dan perdagangan itu sebahagian daripada risalah dan tradisi Islami.     

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yan dihormati,

 

16. Tetapi untuk kita terus berpolimik, membicarakan kenapa orang Melayu tidak berjaya dalam perniagaan, tidak akan membawa kita ke mana jua.  Ia tidak produktif.

 

17. Dan kerana itulah, saya mengambil jalan untuk melakukan pelbagai ikhtiar bagi membangunkan kelas usahawan Melayu di Johor.  Saya tidak akan membuang masa menunding jari.  Dan pendekatan saya hanya dua.  Pertama, mengubah pemikiran bangsa kita.  Kita mesti menghantar mesej yang jelas bahawa kelas usahawan yang besar hanya akan wujud jika kita mengubah pemikiran dan membudayakan nilai keusahawanan.  Keusahawanan ialah tentang ‘mindset’ dan pemikiran.  Susuk yang ingin menjadi usahawan ini mesti berani, mesti tidak gentar mendepani risiko, mesti tegar, bangun semula bila kecundang, bila jatuh. Mereka yang tidak kenal putus asa. Tidak kenal erti kalah. Mereka yang siapsiaga.  Yang saya simpulkan sebagai ‘resilient’. 

 

18. Kedua, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan membongkar potensi ini. Menonjolkan mereka yang innovatif ini.  Membantu.  Membimbing mereka. Menyediakan ruang dan latihan bagi mengasah potensi mereka ini. Menjadikan mereka lebih ‘sosphisticated’.

 

19. Saya mempunyai sebab kenapa ini perlu.  Kerana ‘modern business’ tidak memadai dengan hanya punyai semangat, punyai ‘resilient’.  Ia memerlukan  pengetahuan, memerlukan strategy, memerlukan ‘network’, memerlukan ‘sophistication’.  

 

20. Maka kerana itulah, jika diimbas kembali Bajet Negeri Johor sejak dua tahun lepas, pelbagai inisiatif telah kita perkenalkan untuk meluaskan budaya keusahawanan dan membantu pembangunan mereka.  Semua insentif yang kita berikan, semua agihan dan program yang kita anjurkan.  Semuanya menjurus kepada membina, memperluas dan memperkukuhkan kelas keusahawanan masyarakat kita. 

 

21. Kerana kita mahu Johor menjadi negeri yang bersifat keusahawan.  Impian kita ialah ekonomi Johor ini digerak, dibangun, dijayakan oleh semangat “Keusahawan Johor” ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

INKUBATOR USAHAWAN JOHOR – MEMPERKASA USAHAWAN BUMIPUTERA

 

22. Kehadiran kita hari ini adalah sebahagiaan dari penzahiran hasrat ini.  Saya sangat berterima kasih kepada Permodalan Islam Johor kerana mendukung aspirasi Kerajaan ini. Program Inkubator Usahawan Johor ini diilhamkan untuk mempertingkatkan kebolehsaingan usahawan baru di Johor.  Dan ini khusus kepada orang Melayu.  Kerana mereka masih jauh ketinggalan.  Amat penting untuk institusi seperti PIJ memimpin usaha seperti ini.  Kekuatan Islam harus diterjemahkan dalam pelbagai aspek kehidupan.  Dan sangat penting untuk kita melabur dalam program strategic seperti ini.  Ia bukan sahaja melahirkan usahawan tetapi juga mempersembahkan Islam sebagai ‘ad-din’, sebagai cara hidup. 

 

23. Sejumlah RM 3 juta telah diperuntukkan untuk tujuan pelaksanaannya dalam tempoh 2 tahun ini. Modus operandinya, PIJ Holdings dengan kerjasama PSSB akan membangunkan inkubator usahawan atau ruang pejabat kecil di tanah seluas 1 ekar di Pengerang, Kota Tinggi. Dijangkakan program ini boleh memuatkan sehingga 40 unit inkubator.

 

24. Kemudahan asasnya lengkap, sewanya rendah, lokasi juga strategik.  Saya percaya Inkubator Usahawan Johor ini akan banyak membantu usahawan-usahawan baru yang mula bertapak.  Dan dengan pelbagai aktiviti ekonomi di Pengerang, semoga akan bermulalah perjalanan kejayaan inisiatif ini, InsyaAllah.   

 

RUANG KOTAKNIAGA & KHIDMAT SOKONGAN DI PENGERANG

 

25. Selain itu, PIJ juga telah membangunkan konsep KotakNiaga bagi membantu ushawan Melayu merebut peluang dari kepesatan pembangunan di Pengerang.  KotakNiaga adalah ruang perniagaan yang akan dibangunkan bagi menampung pelbagai bentuk perniagaan sokongan untuk memenuhi keperluan semasa di RAPID Pengerang.  Saya difahamkan bahawa KotakNiaga akan menawarkan ruang niaga bagi perniagaan sokongan, juga dilengkapi dengan prasarana dan infrastruktur asas. 

 

26. Selain itu PIJ melalui PSSB juga akan melaksanakan projek penempatan sementara eksekutif ‘Lakeview Terrace’ yang akan menampung keperluan penginapan eksekutif di PIPC sebagai pelengkap kepada keperluan para pelabur di sekitar RAPID. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

27. Setiap rancangan pembangunan yang dirangka perlulah mengutamakan percambahan nilai faedah untuk perkongsian bersama rakyat, khususnya untuk memperkasa sosioekonomi terutamanya Bumiputera di negeri Johor.  Inilah makna sebenar pertumbuhan inklusif. 

 

28. Saya dan seluruh jentera Kerajaan Negeri akan terus mendokong dan memberikan bantuan kepada PIJH atau mana-mana agensi diluar sana untuk melaksanakan aktiviti pembangunan sebegini.  InsyaAllah, selagi sasaran dan matlamatnya adalah untuk manfaat bersama rakyat, saya akan terus memberi sokongan.

 

29. Akhir sekali, dengan segala sukacitanya,  dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan Bumiputera, anjuran bersama PIJ Holdings Sdn. Bhd. dan Perisind Samudra Sdn. Bhd.

 

Sekian,

 

Wabillahitaufiq wahidayah,

Wassalammualaikum warahmullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com