MAJLIS PELANCARAN INISIATIF AKSES BARANGAN 1MALAYSIA KE KEDAI TUKAR

 

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PELANCARAN INISIATIF AKSES BARANGAN 1MALAYSIA KE KEDAI TUKAR

PADA HARI  SABTU, 25 APRIL 2015

PADA JAM 2.30 PETANG

 

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam 1Malaysia Dan Salam Muafakat Johor 

 

1. Saya mengajak semua yang hadir untuk kita sama-sama melafaz setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT. Alhamdulillah, sesungguhnya hanya dengan rahmat-Nya, kita berpeluang berhimpun hari ini bersempena Majlis Pelancaran Inisiatif Akses Barangan 1Malaysia Ke Kedai Tukar & Johor Mart. 

 

2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan serta ruang yang diberikan kepada saya untuk berucap, serta berkongsi hasrat dan aspirasi Kerajaan Negeri dalam perkara ini.

 

3. Tidak ketinggalan, terima kasih kepada MARA dan KPDNKK di atas komitmen berterusan untuk membangunkan usahawan Bumiputera.  Khususnya dalam bidang peruncitan, serta kerjasama merealisasikan inisiatif Akses Barangan 1Malaysia ke Negeri Johor dan JohorMart ini.  Begitu juga kepada pihak UNIKL dan UNIKL MITEC atas usahasama yang terjalin, demi membolehkan program dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

4. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang kompetitif. Kita berada dalam kedudukan 25 negara paling kompetitif ekonominya mengikut Indeks Kompetetif Global. Dan ekonomi kita antara yang paling pesat tumbuh di kalangan negara membangun.  

 

5. Semua pencapaian ini kita kecapi, hanya dalam satu generasi selepas kemerdekaan negara.  Ini berlaku kerana dua faktor penting. Pertama, peranan besar sektor perniagaan kecil dan sederhana. Kedua, kegigihan usahawan kita. 

 

6. Usahawan menjadi pemangkin pertumbuhan, pencetus inovasi dan kreativiti, dan berdaya tahan.  Hari ini, izinkan saya memperkatakannya dan menghargai peranan usahawan-usahawan kita.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

 

7. Usahawan menjadi latar cerita perniagaan kita di Johor.   Cerita tentang mereka yang membuat keputusan untuk melakukan perniagaan secara bersendirian, berseorangan.  Mereka menubuhkan perniagaan dan memilikinya.  Mereka adalah usahawan-usahawan berani.  Berani mengambil risiko.  Berani menyahut cabaran.  Mereka yang mengusahakan kedai kopi, kedai runcit, kedai ubat, kedai sukan, kedai perabot.  Pergilah ke Jalan Wong Ah Fook dan persekitarannya.  Kedai-kedai di sana itu telah wujud semenjak permodenan Johor.  Dan ia masih wujud, dan kekal beroperasi sehingga hari ini. 

 

8. Semua ini banyak pengajarannya.  Pertama, kita mesti mengakui peranan perniagaan kecil dan sederhana. Mereka telah banyak menyumbang kepada kebolehsaingan Malaysia.  Mereka adalah pemain-pemain kecil tetapi mereka jugalah kapten perusahaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri sehingga hari ini.  

 

9. Pengajaran kedua, perniagaan kecil telah memberi pencerahan kepada Kerajaan. Bahawa kita mesti menjadi negeri dan negara yang meraikan semangat keusahawanan.  Dan kita mengambil iktibar dari semangat dan cerita mereka.  Kita belajar betapa dalam sektor perdagangan, kita akan hanya berkembang dan berdaya saing, jika kita mempunyai usahawan yang tegar, tidak gentar, punya jatidiri usahawan sebenar.  

 

10. Pengajaran ketiga yang boleh kita ambil iktibar adalah, perniagaan kecil dan sederhana harus menjadi keutamaan dalam agenda pertumbuhan inklusif kita.  Atas alasan inilah, dasar pertumbuhan, pembangunan dan pengagihan ekonomi Johor dilakarkan agar tidak meminggirkan sesiapa jua.

 

11. Teliti kembali Bajet Negeri Johor sejak dua tahun lepas.  Semua insentif yang kita berikan, agihan dan program yang kita anjurkan, banyak tertumpu kepada inisiatif memperluas taraf keusahawanan masyarakat kita.  Kita mahu Johor menjadi negeri yang bersifat keusahawanan dan biar ekonomi Johor ini digerak, dibangun, dijayakan oleh semangat “Keusahawanan Johor’. 

 

Tuan-tuan dan Puan–puan,

 

12. Bila kita bercakap tentang perniagaan kecil dan sederhana, salah satu sektor penting yang mempunyai asas kukuh di Malaysia ialah pemborongan dan peruncitan.  Malaysia sangat berjaya dalam bidang ini.  Kita berada di tangga ke-9 Indeks Pembangunan Runcit Global, yang mempamerkan peratusan daya tarikan pasaran pada kadar 66.7%.  Ini menunjukkan yang peruncitan mempunyai potensi yang sangat luar biasa. Ia dijangka akan menyumbang sebanyak RM84 bilion daripada pendapatan negara kasar dan  mewujudkan lebih 370,000 pekerjaan dalam masa 10 tahun mendatang.

 

13. Dan kerana itulah, kita perlu membangunkannya dengan serius.  Maka salah satu strateginya ialah menerusi Program Transformasi Kedai Runcit atau Tukar (TUKAR).  Ianya adalah sebahagian dari agenda besar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.  Tujuannya ialah untuk memodenkan kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif.  Dalam Bajet 2015 yang lalu, Kerajaan Negeri teloah memperuntukkan tambahan RM1.5 juta kepada peruntukan terdahulu dengan hasrat untuk memperbanyakkan kedai TUKAR ini.  Kini, Johor mempunyai 50 kedai TUKAR. Dan sasaran kita, menjelang 2020 Johor mempunyai 400 buah kedai TUKAR. 

 

14. Dan di Johor, seperti lazimnya, kita tidak akan mudah berpuas hati. Kita ingin pergi lebih jauh. Bukan setakat TUKAR. Kita juga ada ‘JohorMart’.  JohorMart ini adalah satu lagi daya usaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama PUJB Retail dan MARA.  Ianya mahu memupuk dan membudayakan sektor peruncitan di kalangan  golongan bumiputera.  TUKAR dan JohorMart bukan setakat menukar penampilan.  Yang ingin ditukar - pemikiran, sikap dan budaya keusahawanan itu sendiri.  Maka kerana itu, hari ini saya ingin menyarankan tiga strategi penting bagi memastikan sektor peruncitan kita maju, mapan dan berdaya saing.

 

Pelaburan Dalam Produktiviti

15. Pertama, kita mesti melabur untuk meningkatkan produktiviti. Meningkatkan produktiviti ini penting kerana tanpa produktiviti, ia sekadar rutin yang tidak mencabar. Kata orang ‘it is business as usual’.  Dan meningkatkan produktiviti bererti meningkatkan keberkesanan. Dan perniagaan yang produktif ialah perniagaan yang cekap kos atau‘cost–efficient’. 

 

Pelaburan Dalam Individu dan Pekerja

16. Kedua, kita mesti melabur dalam pembangunan individu dan pekerja kita.  Dan ini mesti dilakukan secara berterusan dan pada semua peringkat.  Layanan baik, sapaan yang mesra, pengetahuan mendalam tentang produk terjual, penampilan yang segak, semuanya penting kepada pelanggan. 

 

Pelaburan Dalam Teknologi

17. Ketiga, pelaburan dalam teknologi sangat penting.  Kehidupan kita hari ini bersandarkan teknologi. Dan kerana itu, pemain sektor peruncitan juga harus melakukan pelaburan untuk lebih inovatif. Teknologi komunikasi umpamanya, membolehkan produk ditawarkan melangkaui pelanggan tradisional.  Ianya lebih luas, lebih menguntungkan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

18. Saya menutup ucapan saya dengan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak dalam penganjuran majlis ini.  Semoga setiap usaha yang kita dirahmati dan diberkati Allah SWT.

 

19. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan MAJLIS PELANCARAN INISIATIF AKSES BARANGAN 1MALAYSIA KE KEDAI TUKAR & JOHOR MART.

 

Sekian, terima kasih.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com