MAJLIS PELANCARAN JOHOR BERSIH DAN LESTARI PERINGKAT NEGERI JOHOR

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PELANCARAN JOHOR BERSIH DAN LESTARI PERINGKAT NEGERI JOHOR 

PADA HARI  AHAD, 19 APRIL 2015

PADA JAM 8.30 PAGI

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh , 

Salam 1 Malaysia Dan Salam Muafakat Johor

 

1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana di atas limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama dalam majlis perasmian program Johor Bersih dan Lestari pada pagi yang indah ini.

 

2.  Pada kesempatan ini juga, saya merakamkan ucapan terima kasih Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah selaku penganjur program, kerana sudi mengundang saya pada pagi ini.

 

3.  Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua yang hadir pada pagi ini dan bersama menyokong satu lagi program yang bakal  menjadi pencetus kepada perubahan paradigma serta landskap pemikiran rakyat Johor mengenai tanggungjawab terhadap penjagaan tahap serta mutu kebersihan persekitaran kehidupan kita saban hari.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

4.  Saya ingin memberitahu bahawa cabaran paling besar kepada keselamatan manusia bukan lagi peperangan.  Bukan juga terrorisme.  Tetapi serangan penyakit berjangkit. Pandemic!

 

5.  Lihat sahaja bagimana kesan jangkitan ebola kepada ekonomi dan masa depan penduduk Liberia, penduduk Sierra Leone dan penduduk di beberapa negara Barat Afrika.  Ia adalah tragedi yang dampaknya, tidak terungkap dalam imaginasi kita.

 

6. Ia menyebabkan ratusan ribu kanak-kanak menjadi yatim piatu. Jutaan penduduk tiada pekerjaan. Kerajaan menjadi ‘a failed state’. Sebuah kerajaan dan masyarakat yang berfungsi dengan baik, gagal berfungsi dek dahsyatnya serangan ebola ini.

 

7.  Dan ianya bersifat global. Ianya bergerak pantas kerana pergerakan pantas manusia di seluruh pelusuk dunia.  Jika itu boleh berlaku di Afrika, maka Malaysia tidak terkecuali.  Dan kita pernah mengalaminya. H1N1,  virus Nipah,  selsema burung dan entah apa lagi virus yang hanya menunggu masa untuk terjelma.  

 

8.  Tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa denggi adalah penyakit tropika yang paling cepat merebak di dunia.  Bahawa denggi itu adalah apa yang dipanggil oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai  ‘the world’s fastest tropical pandemic threat’.  50 tahun dahulu denggi hanya dikesan di beberapa negara. Sekarang, pada saat ini, ia hadir di 125 negara.  Ia adalah penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. 

 

Dan kita tidak ada vaksin yang berkesan. Vaksin yang kita miliki sekarang ini hanya mempunyai keberkesanan hanya 30%.

 

9.   Pada tahun lepas, denggi menjangkiti 50 juta manusia, dan menyebabkan ratusan ribu kematian.  Dan ia adalah jumlah yang sangat konservatif.  Dan tahun lepas, beberapa kes denggi telah mula dilaporkan di beberapa negara Eropah.  Semua penyakit ini, denggi, selsema burung dan pelbagai lagi bukan nya tidak boleh dihindari.  Ia boleh dicegahi. Dan ia boleh berlaku hanya jika kita mengubah cara hidup kita.

 

10. Hanya bila kita mementingkan kebersihan seperti kita mengutamakan pendidikan dan mengutamakan pekerjaan kita.  Hanya bila kita merasakan kebersihan itu adalah sebahagian dari budaya hidup.  Hanya bila kebersihan itu menjadi norma dan kepercayaan bahawa ia sebahagian dari kehidupan bertamadun.  Hiduplah dengan cara hidup yang bersih!

 

11.  Kebersihan mencermin peribadi kita.  Kebersihan adalah gambaran sikap, tabiat, pemikiran dan gaya hidup kita.  Dan kebersihan bukan setakat menjadikan kita peribadi yang sihat.  Tetapi ia memberi watak kepada kita. Ia cerminan nilai kita.  Tetapi peribadi yang bersih sahaja tidak memadai. Ia harus mejadi cara hidup dan gaya hidup kita dan lingkungan.  Rumah, tandas, persekitaran semua mesti bersih.  Ia tanggungjawab kita dan bukan tanggungjawab ‘cleaners’ semata-mata.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

12.  Kebersihan bukan sahaja tuntutan fitrah.  Ia tuntutan wahyu.  Ia ajaran agama kita. Ia adalah sebahagian dari kehidupan manusia yang beriman.  Dan kita diajar tuntutan wahyu bahawa kebersihan adalah sebahagian dari iman ini sedari kecil.  Sewaktu kita mula diajar bagaimana kita kita harus solat.  Bagaimana wuduk itu dilakukan.  Dan kenapa kita berwuduk.

 

13. Justeru kalau kita mengamalkannya dengan baik, membudayakannya, pasti segala macam penyakit, segala macam ancaman kesihatan yang lahir dari persekitaran yang kotor dan jijik, tidak akan mengancam kehidupan kita.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

14.  Semenjak mengetuai pentadbiran negeri Johor, saya menanam azam untuk menjadikan Johor dan masyarakatnya maju dan berdaya saing.  Hidup dalam kualiti hidup yang bermutu, sihat dan penuh nilai kerohanian.  Dan adalah menjadi impian saya untuk melihat Johor yang membangun dan maju serta Islami itu juga sangat bersih, hijau, dan kemas bersistem.

 

15.  Apa maknanya menjadi metropolis, gah dengan bangunan pencakar langit dan gaya hidup moden tetapi Johor dan penduduknya, mempunyai lingkungan persekitaran yang tidak bersih, tidak kemas dan tidak diselenggara.  Maka kerana itu, metropolis yang kita ini bina, yang ingin kita bangunkan, mesti juga mempunyai tahap kebersihan setanding negara maju.  Maka kerana itu kerajaan negeri telah memperkenalkan Program Johor Bersih dan Lestari pada pembentangan bajet 2015 Negeri Johor.

 

16. Ianya diperkenalkan dengan hasrat mewujudkan gelombang perubahan sihat dan bersih dalam suasana kehidupan rakyat negeri Johor serta lingkungannya secara bersama.  Dan Strategi ini bukan sekadar menjadikan Johor itu bersih.  Tetapi juga harus boleh mengubah dan membentuk minda, sikap dan tabiat serta budaya masyarakat Johor.  

 

17.  Masyarakat yang mempunyai minda masyarakat kelas pertama, mempunyai ciri-ciri sebagai warga yang bertanggungjawab, memegang teguh nilai serta etika yang progresif dan tinggi di dalam menzahirkan aspek kebersihan.  Dan masyarakat Johor yang mahukan peningkatan tahap keindahan, persekitaran dan kelestarian alam sekitar di dalam negeri tercinta kita ini. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian;

 

18.  Lalu dimana ini semua harus bermula?.  Pendidikan dan pembudayaan kebersihan ini harus bermula di rumah.  Dan harus bermula seawal mungkin. Bukan sekolah, bukan tanggungjawab guru.  Ia tanggungjawab kita sebagai orang tua. Malah jika kita tidak boleh mendidik agama, tidak boleh mengajar bahasa inggeris dan matematik di rumah,, itu semua boleh diterima.

 

19.  Tetapi jika tidak boleh mengajar anak agar menjaga kebersihan diri, menjaga kesihatan diri, memastikan rumah senantiasa bersih dan kemas,  maka kita gagal sebagai orang tua.  Saya percaya bahawa agenda membudayakan kebersihan dalam keluarga adalah agenda peribadi dan agenda keluarga.  Bukan tanggungjawab Kerajaan.  Rumah kita adalah lingkungan peribadi kita.  Ia tanggungjawab kita. Ia adalah medan kita membentuk keluarga kita dengan keperibadian yang baik, yang soleh, yang alim, yang seimbang.

 

20.  Tiada gunanya kita berbelanja jutaan ringgit, melaksanakan pelbagai kempen serta menyebarluas agenda-agenda ke arah kebersihan di merata ceruk pelusuk negeri, sekiranya kita sebagai ibu bapa, tidak mendidik anak-anak kita tentang aspek kebersihan di bawah bumbung rumah kita sendiri.

 

MEMBENDUNG PENULARAN WABAK DENGGI

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian;

 

21. Saya ingin menyentuh sedikit mengenai laporan terkini kes denggi.  Situasi denggi bagi negeri Johor pada Minggu Epid (Epidemiologi) ke 13/2015 yang berakhir 4 April 2015 lalu, telah mencatatkan sebanyak 140 laporan kes demam denggi dalam seminggu, peningkatan 28 kes (25%) berbanding minggu sebelumnya.  Selain itu, statistik kumulatif kes demam denggi sehingga Minggu Epid ke 13/2015 adalah sebanyak 1,880 kes, peningkatan sebanyak 22.8% kes berbanding sejumlah 1,531 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lepas. 

 

22.  Alhamdulillah, usaha berterusan agensi-agensi berkaitan di dalam memerangi wabak ini telah dapat mengurangkan kadar kematian akibat denggi.  Kumulatif kematian akibat denggi sehingga Minggu Epid ke 13/2015 ialah 4 kes, dan bilangan ini menurun 8 kes, berbanding tempoh yang sama pada 2014, iaitu sebanyak 12 kes kematian.

 

23.  Kita perlu teruskan langkah-langkah agresif membendung penularan penyakit ini. Pemusnahan tempat pembiakan dan penghapusan bekas berpotensi pembiakan aedes, masih kunci utama dalam mengelakkan penularan penyaki demam denggi.  Aktiviti ini juga haruslah dilakukan secara mingguan dan secara konsisten.

 

TABUNG PENYELENGGARAAN 1MALAYSIA (TP1M)

Hadirin yang dimuliakan;

 

24.  Dalam usaha memantapkan lagi tahap kebersihan di kawasan-kawasan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menerusi Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), telah meluluskan 25 buah kawasan pemajuan, membabitkan 6 buah PBT dengan anggaran kos sebanyak RM12,574,554.16.

 

25.  PBT yang terlibat dalam projek TP1M ini adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Pontian (MDP), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).  

 

26.  Sehubungan dengan inisiatif itu juga, pihak kerajaan negeri telah bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM1,261,376.54 menerusi Tabung Pembangunan Perumahan, Infrastruktur dan Sosial, di bawah kawalselia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK Perumahan).  Selain itu, pihak MBJB akan menanggung kos penyelenggaraan sebanyak RM422,301.20, dan MPJBT pula bertanggungjawab ke atas tanggungan berjumlah RM83,392.50. Jumlah keseluruhan bantuan pihak kerajaan Negeri Johor membabitkan peruntukan berjumlah RM1,767,070.24.

 

TASKFORCE

Hadirin yang dimuliakan;

 

27.  Kerajaan negeri serius di dalam menangani isu kebersihan ini.  Justeru, kerajaan negeri telah bersetuju mewujudkan suatu Taskforce Kebersihan, bagi memastikan setiap pelan serta agenda tindakan kebersihan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.  Taskforce ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri, dan dianggotai 2 Timbalan iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Haji Abd. Latif Haji Bandi, dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Datuk Haji Ayub Rahmat.  Pegawai-Pegawai Daerah pula akan mempengerusikan Taskforce ini di peringkat daerah-daerah.

 

28.  Taskforce ini akan bertemu setiap 2 bulan bagi memastikan tahap kebersihan, momentum penguatkuasaan serta keberkesanan kempen kebersihan berjalan seperti yang direncanakan.  Perancangan sebegini penting, kerana kerajaan negeri mahu setiap pelan tindakan dijalankan berlandaskan Indeks Prestasi Utama (KPI) setiap pihak yang terlibat dan membuahkan kejayaan.

 

29.  Johor Bersih dan Lestari bukan hanya tanggungjawab kerajaan negeri. Jauh sekali, persepsi yang mengatakan bahawa ini adalah program yang melibatkan hanya pihak kerajaan semata-mata.  Hakikatnya, ini adalah program bersama. Program yang perlu digerakkan bersama. Setiap lapisan masyarakat harus digerakkan dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri yang boleh kita banggakan dari aspek kebersihan dan kelestariannya.  

 

30.  Kerajaan negeri juga berhasrat menubuhkan pasukan Briged Kebersihan dan Kelestarian bagi memantau serta menguatkuasakan peraturan berkaitan pembuangan sampah.  Di kesempatan ini, sekalung tahniah kepada pasukan penyokong bolasepak Johor yang telahpun mengorak langkah, memulakan gelombang Zero Waste setiap kali menonton perlawanan membabitkan pasukan-pasukan dari Johor.

 

31. Sekali lagi saya merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh hadirin yang datang memberikan sokongan padu kepada program Johor Bersih dan Lestari ini.  Marilah kita bersama menghayati program ini dan lebih penting lagi, memastikan negeri yang kita cintai ini lestari dan ideal untuk kita diami, hari ini, esok dan hari-hari akan datang.

 

32. Dengan lafaz Bismillahnirahmannirahim, saya dengan ini merasmikan Program Johor Bersih dan Lestari 2015.

 

davispropertymanagement.com