HARI VASAKHI 2015 DAN MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA KAUM SIKH JOHOR BAHRU

 

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

HARI VASAKHI 2015 DAN MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA KAUM SIKH JOHOR BAHRU

PADA HARI  SABTU, 18 APRIL 2015

PADA JAM 8.30 MALAM

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

1. Saya mengucapkan selamat meraikan Hari Vaisakhi. Saya tahu, hari ini sangat bermakna, besar dan penting dalam masyarakat Sikh. Hari semua kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai, dari jauh dan dekat, berkumpul memperingati kelahiran Khalsa. 

 

2. Saya percaya hari ini adalah saat yang bersifat spiritual dan rohani. Dari Johor, hingga ke Amritsar, dari London ke Ottawa malah di pelbagai kota dan ceruk desa seluruh pelusuk dunia, masyarakat Sikh menzahirkan rasa gembira dan syukur, meraikan semangat kekeluargaan dan memperbaharui iltizam kerohanian mereka.

 

3. Saat beginilah yang menjadikan Malaysia dan masyarakatnya sangat istimewa. Majmuk dan berwarna warni.  Di negara ini, segala fahaman dan kepercayaan, segala amalan kerohanian, segala anutan agama, punya tempat, punya ruang untuk diamalkan dengan aman dan bebas, punya ruang untuk dianuti dengan rasa selamat dan dilindungi.

 

4. Maka saya hadir untuk menyatakan dengan jelas dan tegas. Bahawa pentadbiran saya, akan terus mendukung kebebasan beragama. Dan pentadbiran saya, tidak akan sama sekali mengabaikan kepentingan beragama penduduk Johor yang majmuk ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

5. Mengamalkan agama yang dipilih adalah hak asasi kita.  Ia sangat mustahak dan fundamental. Perkara ini memberi makna kepada perjalanan hidup seseorang individu.  Tanpa agama, pasti tidak akan sempurna fitrah seseorang manusia.

 

6. Oleh kerana itu, mendukung kebebasan asasi untuk mengamalkan kepercayaan rohani adalah amanah kepada kerajaan yang bertanggungjawab.  Ia adalah suatu kebebasan, suatu hak dan ia mesti dihormati, mesti didukung.  Tanpa alasan, tanpa kompromi.

 

7. Perkara sedemikian bukan semata-mata kerana ia dijamin oleh perlembagaan negara.  Tetapi kerana ia menjadi rukun yang memasak kehidupan bangsa yang bertamadun.  Ia adalah tradisi yang mewakili bangsa yang matang dan berfikiran maju.  Ia adalah cerminan bangsa yang berbudaya tinggi.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

8. Saya ada tiga perkara yang ingin saya sampaikan pada hari yang penting ini. Biar saya jelaskan satu persatu.

 

9. Pertama, perayaan Vaisakhi pada tahun ini telah memberikan saya ruang yang sangat bermakna untuk meraikan sumbangan besar masyarakat Sikh pada Johor dan Malaysia.  Sama ada dalam perjalanan sejarah kita yang panjang, mahupun dalam penyertaan agenda pembangunan masa depan kita. 

 

10. Sumbangan kalian sangat besar. Tidak terhitung, tidak terkira.  Dan saya amat berbangga dan berterima kasih dengannya.

 

11. Baik dalam bidang perniagaan,  perubatan, pendidikan, perkhidmatan awam, pelbagai bidang profesional dan pergerakan sivil, masyarakat Sikh telah menjadi susuk  teladan yang disegani.  Kalian tekun, rajin, berdisiplin, bersatu hati dan sangat bertoleransi.

 

12. Bagi saya, kalian adalah model masyarakat mandiri yang ideal.  Dilengkapi keupayaan menyesuaikan diri dengan baik dalam masyarakat yang majmuk dan pluralistik akan  komposisi bangsanya.  Dan senantiasa bersederhana.

 

13. Secara peribadi, saya sangat tersentuh dan berbangga apabila melihat United Sikh, sebuah pertubuhan sivil masyarakat Sikh bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa musibah banjir besar di Kelantan akhir tahun lalu dan juga awal tahun ini.

 

14. Tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa, United Sikh telah menggunakan helikopter menghantar makanan dan bantuan kemanusiaan ke tempat yang sangat terpencil.  Yang tidak boleh dihubungi dengan kenderaan biasa.

 

15. Sumbangan sebeginilah yang senantiasa meyakinkan saya betapa istimewanya kehidupan dalam sebuah masyarakat yang majmuk.  Inilah perkara kedua yang ingin saya nyatakan pada hari ini.

 

16. Kemajmukan Malaysia adalah kekuatan yang semakin dilupakan.  Malah dipandang enteng dan diambil ringan.  Kita mesti lakukan sesuatu untuk masyarakat menghargai betapa bernilainya kepelbagaian itu. 

 

17. Ramai yang tidak sedar dan lupa.  Kemajmukan kita inilah yang menjadikan kita unik.  Ia menjadikan kita dicontohi, diteladani oleh pelbagai masyarakat dunia.  Ia memberikan kita rasa kekitaan, kesepakatan dan perpaduan. 

 

18. Sesungguhnya inilah identiti kita.  Malaysia adalah negara yang mengambil pendekatan ‘salad bowl’ yang berpandukan toleransi dan integrasi.  Dan bukannya pendekatan ‘melting pot’  yang memaksa keseragaman dan toleransi.

 

19. Dan dengan kemajmukan Malaysia ini jugalah kita mengorak langkah menjadikan negara ini maju, aman dan sejahtera.  Lebih penting, kerana kepelbagaian kitalah, kita bermuafakat dalam mengurus negara dan menjadikannya berdaya saing.

 

20. Setiap bangsa, setiap kaum, dengan tradisi, kepakaran, kemahiran dan pengalaman masing-masing, telah bersama-sama menyumbang kepada kepelbagaian pendekatan, saranan dan kerjasama untuk menyelesaikan apa jua permasalahan yang timbul di dalam negara tercinta kita ini. 

 

21. Maka kerana itu juga, saya hadir pada malam ini.  Saya ingin menghantar mesej yang jelas bahawa saya akan mendukung kemajmukan warga Malaysia ini dengan sebenar-benarnya.  Ia sangat dekat di hati saya dan saya percaya, di hati semua kita.  Justeru, bantulah saya untuk menjadikan Johor contoh terbaik dalam perkara toleransi, kemajmukan dan kepelbagaian ini.

 

22. Lalu kerana itu, saya tidak akan pernah jemu menyeru semangat muafakat.  Ia adalah dasar Kerajaan Negeri.  Semangat muafakat adalah gagasan kita untuk mengukuhkan setiakawan, memupuk persefahaman dan membimbing kita untuk mentadbir dengan adil dan saksama. 

 

23. Biar kita saling menyokong dan menguatkan satu sama lain. Kata orang, yang berat sama kita pikul yang ringan sama kita jinjing.  Ke gunung sama kita daki, ke lurah sama kita turuni.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

24. Ketiga,  di Johor ini, jalan ke hadapan adalah untuk kita membangunkan Johor yang maju dan berdaya saing. Tetapi ia mesti dilaksanakan menerusi pendekatan inklusif. Cara Johor ialah cara yang inklusif. 

 

25. Cara yang memastikan, semua bangsa dan agama akan mempunyai tempat, hak, dan peranan.  Tiada satu komuniti, bangsa atau individu yang akan kita pinggirkan. Saya percaya bahawa strategi inklusif inilah yang akan menjadikan Johor negeri paling membangun di Malaysia dalam sedikit masa lagi. 

 

26. Kita percaya bahawa semua orang boleh menyumbang.  Dan semua orang, walau apa pun latar belakangnya, kepercayaannya, kaumnya, punya idea, punya ilmu, punya potensi yang jika kita himpun, kita gerakkan, akan menjadi satu gerakan dan daya kuat yang akan menjadikan masyarakat kita lebih baik.  Dan lebih sejahtera. Lebih maju.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

27. Saya berharap, apa yang kita laksanakan hari ini akan kita jadikan acara tahunan.  Acara yang bukan sahaja menjadikan kita lebih akrab, malah sekali lagi mengangkat keunikan dan kekuatan bangsa kita sebagai masyarakat yang berpadu dan bersatu.  Atas rasa muhibah dan harmoni.

 

28. Barangkali kita boleh corak acara Hari Vaisakhi ini menjadi rumah terbuka masyarakat Sikh.  Seperti rumah terbuka penganut Christian, Tahun Baharu Cina, Tadau Kaamatan, Gawai Dayak dan lain-lain.  Biar ia diraikan oleh rakan pelbagai bangsa dan agama. 

 

29. Biar generasi muda Malaysia faham akan adat resam, kepercayaan dan tradisi pelbagai masyarakat Malaysia.  Biar mereka bukan sekadar mengetahuinya melalui buku dan TV, tetapi mempunyai pengalaman memerhati dengan langsung, kerencaman perayaan yang disambut oleh pelbagai bangsa dan agama di Malaysia tercinta ini. Saya yakin perkara itu akan lebih mematangkan mereka.

 

30. Impian saya ialah Johor akan menjadi contoh terbaik kesepaduan sosial.  Impian saya ialah Johor yang bukan sahaja damai dan sejahtera, malah seluruh masyarakatnya mengatakan tidak, kepada apa jua elemen yang bersifat ektrim, rasis dan melampau.

 

31. Maka pada hari yang berbahagia ini, saya menzahirkan ucapan terima kasih yang sangat tulus dari Kerajaan Negeri kepada masyarakat Sikh kerana peranan besar kalian dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang multi etnik, multi agama dan multicultural.

 

32. Semoga hari ini menjadi ruang untuk kita memperkemas azam dan iltizam untuk terus menyumbang kepada negeri Johor yang kita cintai ini. Sekali lagi, Selamat Hari Vaisakhi. 

 

Terima kasih.

 

 

davispropertymanagement.com