ANUGERAH MEDIA JOHOR 2014

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

ANUGERAH MEDIA JOHOR 2014

PADA HARI  RABU, 08 APRIL 2015

PADA JAM 8.00 MALAM

 

 

AssalamualaikumWarahmatullahiWabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

 

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jua, maka kita dapat bersama-sama pada malam ini bagi meraikan Majlis Anugerah Media Johor 2014. Di awal ini juga, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak urusetia, khususnya Jabatan Penerangan Johor, kerana sudi menjemput saya untuk menyempurnakan majlis pada malam yang berbahagia ini.  

 

2. Seperti kita sedia maklum, Majlis Anugerah Media Johor yang diadakan setiap tahun ini adalah salah satu wadah Kerajaan Negeri untuk menghargai peranan serta sumbangan para petugas media yang telah bersama-sama Kerajaan baik secara langsung mahupun tidak langsung di dalam agenda pembangunan negeri. Ia adalah satu pengiktirafan kepada warga media yang bukan sahaja berperanan sebagai penyampai; penyebar maklumat dan dasar-dasar kerajaan, malahan punyai tanggungjawab serta amanah penting bagi menyuburkan nilai Muafakat Johor di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

 

3. Berlandaskan peranannya yang begitu inklusif, sudah tentulah impaknya amat besar kepada masyarakat dan negara.  Lebih-lebih lagi, dalam era media baharu yang mengalami ledakan dan perubahan saban masa, media perlu terus menjadi agen penyampai maklumat tepat dan melaporkannya dengan penuh rasa tanggungjawab. 

 

Rakan-rakan media yang diraikan,

 

Perubahan Dimensi Dunia Kewartawanan dan Gelombang Wartawan Maya

 

4. Pada dekad ini, kita dapat saksikan dunia kewartawanan telah berubah. Pemain media utama telah kehilangan monopoli terhadap berita dan pemberitaan. Era yang menyaksikan maklumat dan berita itu hanya berada dalam kawalan dan manipulasi oleh segelintir kecil mereka yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan telahpun berakhir. 

 

5. Malah, kerajaan juga berhadapan dengan cabaran yang serupa, iaitu kawalan terhadap maklumat. Kemunculan golongan wartawan akar umbi atau ‘grassroots journalists’ telah memberikan dimensi baharu dalam penyebaran maklumat dan budaya pemberitaan. Seperti yang diceritakan oleh Pemenang Pulitzer Prize Award 2008, Thomas L. Friedman, golongan wartawan akar umbi ini semakin ramai setiap hari. Dan mereka tidak mewakili mana-mana pihak kecuali diri mereka sendiri. 

 

6. Mereka ini tidak pro sesiapa. Mereka hanya pro berita dan maklumat. Mereka mengambil gambar, melapor, membuat analisis dan menulis rencana mengikut citra mereka. Hanya berbekalkan sebuah smartphone dan komputer riba, mereka berhubung dengan bebas, ringkas dan pantas di pentas global.  

 

7. Kesemua ini berlaku dek ledakan pengaruh media sosial dan teknologi internet. Satu dunia yang dipacu medium sosial seperti facebook, instagram, twitter dan blog. Penghuninya adalah mereka yang saya panggil ‘the digital native’ atau natif dunia digital. 

 

8. Persoalannya ialah, bagaimana kita harus mendepani semua ini? Dan persoalan yang lebih besar ialah, adakah fenomena ini akan memberikan kewartawanan suatu nilai baharu, kualiti unggul dan makna yang objektif dalam tuntutan kewartawanan yang bebas, bermutu dan beretika? Atau kehadiran mereka ini ibarat datang tidak bertambah, pergi tidak berkurang?

 

9. Saya mengutarakan persoalan ini kerana banyak yang telah diadukan tentang kredibiliti dan kebolehyakinan masyarakat terhadap berita yang disampaikan golongan wartawan rakyat atau ‘citizen journalists’ ini. Tetapi hakikatnya, ramai juga berkeyakinan bahawa 'citizen journalists' telah mengambil alih peranan wartawan dalam banyak segi. Mereka lebih dipercayai. Biarpun ketika melaporkan perkara yang batil dan tidak benar mereka berjaya mensensasikannya. Impaknya sangat besar dan sukar dineutralkan. 

 

10. Lantas, kita perlu melakukan lebih banyak usaha demi memastikan kredibiliti menjadi perkara pokok sesuatu berita. Benar, syarikat media tradisional berhadapan masa yang sangat sukar untuk terus menguasai berita dan penyebarannya. Benar, dalam keadaan tertentu, media sosial telah menenggelamkan media dan kewartawanan yang objektif. 

 

11. Namun, saya juga yakin pengamal media sosial tidak akan dapat menjadi pengganti kepada kewartawanan tradisional. Malah, kredibiliti media tradisional tidak akan begitu mudah diganti oleh gerombolan wartawan alam maya yang menganut populariti, kontroversi dan elemen sensasi semata mata.

 

12. Ini kerana walau dalam keadaan apa pun, kita masih memerlukan wartawan turun ke lapangan, merakam segala peristiwa dan memberikan konteks kepada peristiwa tersebut. Lebih penting, mereka bukan sahaja melaporkan peristiwa tetapi moral peristiwa tersebut. Ia mesti dilakukan dengan menampilkan perspektif yang berbeza, sesuai kesannya kepada persekitaran, masyarakat dan negara. 

 

Peranan Wartawan Profesional Dalam Dunia Yang Dipacu Teknologi

 

13. Inilah peranan sebenar kewartawanan. Anda semua tidak bisa diganti. Anda adalah elemen penting kepada kebebasan, keadilan dan demokrasi. Analisis, pemikiran bernas dan pemerhatian teliti anda semua, memberikan citra kepada sesebuah berita dan peristiwa. Dan perkara ini datang dengan pengalaman, latihan dan integriti yang mendala

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

14. Pada kesempatan ini juga, saya ingin menyarankan agar rakan-rakan media terus mendalami ilmu kewartawanan dengan melengkapkan diri masing-masing dengan aspek-aspek baharu pemberitaan terkini.  Pembaharuan di dalam aspek pemberitaan yang dilengkapi dengan penggunaan peralatan serta aplikasi serba canggih semata-mata, tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan sekiranya kita tidak melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang seiring dengan permodenan itu.  

 

15. Sifat untuk terus menimba ilmu pengetahuan, serta menzahirkan aspek Pembelajaran Sepanjang Hayat itu, perlu menjadi teras kepada peningkatan mutu dan kerjaya seseorang wartawan. Spektrum pemberitaan bukan hanya terhad kepada melaporkan berita semata-mata, malah turut meliputi aspek-aspek penceritaan dan laporan maklumat yang efektif, berwibawa, komprehensif serta berinfomasi dan ini amat penting ditekankan di dalam jiwa setiap petugas media.

 

16. Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar rakan-rakan media mengambil kesempatan serta peluang yang ada untuk mendalami ilmu kewartawanan masing-masing. Ketika ini, banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan kursus-kursus kewartawanan dan media, di pelbagai tahap serta bidang pengkhususan.  

 

17. InshaAllah, Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong dan akan berusaha membantu pelaksanaan hasrat rakan-rakan media Johor, sekiranya ada di kalangan rakan-rakan media di negeri ini yang berhasrat menyambung pengajian mereka di dalam bidang kewartawan dan media.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

18. Akhir kata, saya amat berharap agar pengamal media akan terus terlibat sama sebagai rakan kongsi aktif dalam agenda pembangunan di Negeri Johor. Bersama menjadi entiti yang boleh disandarkan oleh semua pihak dalam membuat penilaian objektif, adil dan bermutu dalam sesuatu perkara. Kerana apa yang wartawan tulis, bukan sekadar tulisan dan laporan; ia cerminan citra dan menifestasi pemikiran masyarakat dan bangsa.  Ia adalah paparan maju mundurnya tamadun bangsa.

 

19. Sekali lagi, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang telah bertungkus lumus menjayakan program Anugerah Media Negeri Johor 2014 ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, saya juga ingin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pemenang yang bakal diumumkan sebentar lagi. Kepada yang kurang bernasib baik, saya doakan agar anda dapat terus tingkatkan usaha, melaksanakan tanggungjawab serta amanah dengan lebih baik lagi pada masa akan datang.

 

Akhir kalam, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Anugerah Media Johor 2014.

 

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com