MAJLIS PELANCARAN PROGRAM IQRA DAN FARDU AIN (IQFA) NEGERI JOHOR

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM IQRA DAN FARDU AIN (IQFA) NEGERI JOHOR

PADA JUMAAT, 13 FEBRUARI 2015

JAM 9.00 PAGI

 

Pertama: Pendidikan Awal Agama Sentiasa Menjadi Prioriti Kerajaan Negeri

 

1. Salah 1 daripada 7 fokus utama yang digariskan dalam Pelan Suara Hati Johor adalah hasrat melihat Kerajaan Negeri mengangkat agama Islam dan pengamalannya ke kedudukan yang tinggi di semua peringkat usia. Dari kanak-kanak sehinggalah dewasa. 

 

2. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bersetuju memasukkan dan memulakan program Iqra & Fardu Ain atau IQFA di Tabika-tabika KEMAS seluruh negeri. Bagi tahun 2015 Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menambah peruntukan sedia ada. Ini menjadikan peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM 457,600 yang mensasarkan sejumlah 52 Tabika KEMAS di seluruh kawasan Parlimen. 

 

3. Bajet ini diyakini mampu memberi manfaat kepada lebih 1,300 orang kanak-kanak Tabika KEMAS agar mereka mampu menguasai ilmu fardu ain dan bacaaan al-Quran dengan lebih baik. Lebih penting, pendekatan sebegini membolehkan KEMAS menawarkan pakej pendidikan awal yang lengkap, duniawi dan ukhrawi. 

 

4. Dan bagi memastikan perkara ini dilaksanakan dengan serius dan berkesan, Kerajaan Negeri bukan sahaja akan menilai Jabatan KEMAS sebagai agensi pelaksana program ini. Malah, pemantauannya akan dijalankan secara langsung dan dijadikan KPI bagi Exco Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

 

Kedua: Menjadikan Pendidikan Islam Melangkaui Aspek Ibadah dan Fekah. 

 

5. Di Johor, harapan saya adalah untuk melihat modal insan yang kita lahirkan bukan sahaja berjaya daripada aspek akademik. Sebaliknya turut dilengkapi ketinggian agama, keluhuran akhlak dan keutuhan jatidiri. Kesemua ini hanya boleh dilakukan sekiranya Islam dijadikan dasar dan panduan dalam mengelola kehidupan harian kita. Dan ia harus bermula dari pendidikan di seawal peringkat yang boleh. Perkara ini selari dengan hadis Baginda Rasulallah SAW yang bermaksud: ‘Tuntutlah Ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad’.

 

6. Kesilapan terbesar kebanyakan kita hari ini adalah melihat konteks ilmu agama dan pendidikannya dengan satu pandangan sempit yang tidak tepat, iaitu sekadar pengajaran tentang hukum hakam agama, panduan fardhu ‘ain dan persoalan-persoalan asas fekah. Tidak lebih daripada itu. Pemahaman sebegini adalah terpesong dan perlu dibetulkan segara.

 

7. Middle East Institute merumuskan, konsep ilmu dan penerokaan yang berterusan tidak boleh dipisahkan dalam sistem pendidikan Islam kita. Malah capahan dan cakupan khazanah ilmu yang terkandung dalam Al-Quran dan Tamadun Islam sendiri amat luas dan mengujakan. Sehinggakan banyak para pengkaji Barat merumuskan yang Tamadun Eropah dan Era Renaissance terhutang budi dan perlu berterima kasih kepada Tamadun Islam. Perkara ini pernah diulas oleh Philip Ball dalam The Sunday Times pada tahun 2008.

 

8. Lebih menarik, buku berjudul The House of Wisdom, karya Jonathan Lyons pada tahun 2009 menceritakan dengan terperinci tentang sistem pendidikan di Bayt al-Hikmah di Baghdad yang diasaskan oleh Khalifah Al-Ma’mum, yang telah memberi pengaruh besar kepada pembebasan dunia sains di Barat. Perkara yang sama turut dilihat dalam The Qur’an, The Bible and Science oleh Dr. Maurice Bucaille dari Perancis. Yang penting, kesemua penelitian tersebut merumuskan kepentingan pendidikan awal Islam yang dirangka dengan cara yang menarik, berkesan dan berhikmah.

 

9. Malangnya, saya tidak keberatan untuk menyatakan yang sistem pendidikan agama sedia ada, khususnya di peringkat awal termasuklah yang dikendalikan oleh KEMAS sendiri hari ini, masih turut terperangkap dengan mentaliti lama ini yang tidak selari dengan tuntutan Islam sendiri tentang konsep ilmu. Iaitu terlalu memfokuskan kepada aspek ibadah dan hukum hakam feqah semata-mata.

 

10. Jesteru, saya ingin menyeru malah mencabar agar pihak KEMAS Johor sentiasa berusaha mencari formula dan pendekatan baharu agar pendidikan awal Islam anak-anak kita dapat disusun dan disampaikan dalam bentuk yang unik dan menarik. Lebih penting, falsafah pendidikan dan ilmu dalam Islam diterjemahkan dengan cara yang menggambarkan kesyumulan agama dan hubungan intimnya dengan pelbagai disiplin ilmu. 

 

11. Segala idea baharu yang segar ini bukan sahaja akan memanfaatkan anak-anak bangsa kita di Johor, malah, sekiranya disusun dan diperkasa dengan terancang boleh diangkat ke peringkat KEMAS Kebangsaan untuk dipertimbangkan dan digunakan dengan lebih meluas. Pendek kata, KEMAS perlu lebih kemas!

 

Tuan-tuan yang saya hormati,

 

Ketiga: Peranan Besar Pendidikan Islam Peringkat Awal

 

12. Satu lagi salah tanggapan dan pemahaman sempit yang masih wujud dalam masyarakat kita adalah pandangan yang melihat pendidikan awal agama sebagai sesuatu yang mudah dan boleh diambil mudah. Sebab itulah, jika kita perhati, dalam kebanyakan kelas pengajian awal pendidikan agama, yang kita tekankan adalah cara-cara bersolat dan membaca Al-Quran melalui sukatan Iqra’. 

 

13. Akan tetapi, jarang sekali kita tekankan kepada anak-anak kecil kita kemahiran berfikir. Persoalan-persoalan yang bertanyakan tentang mengapa kita perlu bersolat, apakah keperluan dan kepentingannya dan mengapa perlunya anak-anak kita memahami dan mengkaji Al-Quran. Akhirnya, akan lahir generasi yang boleh bersolat tetapi tidak mengerjakannya dengan taat, generasi yang mahir membaca Al-Quran tetapi tidak pun berminat mengkaji dan mendalaminya. 

 

14. Sesungguhnya, pendidikan awal agama mempunyai peranan yang penting. Malah paling penting. Hasil jangka masa panjang suatu sistem Pendidikan Islam yang berkesan dan betul sebenarnya lebih daripada sekadar memberikan asas pemahaman agama. 

 

15. Dalam konteks hari ini, secara tidak langsung, pendidikan agama peringkat awal yang berkesan akan turut membawa makna berikut:

 

a. Pertama: Ia adalah satu inisiatif pemantapan rukun pertama dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Dengan yang demikian, kita akan melahirkan anak bangsa yang tahu dan faham pegangan hidupnya;

 

b. Kedua: Ia merupakan pendekatan halus dan bersifat asas ke arah pengurangan segala kemelut sosial yang merunsingkan kita. Perkara ini merupakan suatu belenggu yang hanya boleh dijernihkan dengan pemantapan pengisian rohani golongan muda;

 

c. Ketiga: Pendidikan Islam yang berkesan juga secara tidak langsung adalah satu proses persiapan generasi masa hadapan yang memahami akan tugas dan tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara;

 

d. Keempat dan terakhir: Ia adalah ikhtiar perintisan dalam penerokaan dan pengembangan khazanah ilmu sedia ada ke satu tahap yang lebih baik sekaligus memupuk minat yang baik terhadap Islam.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

Keempat: Peranan Keluarga dan Ibu Bapa Dalam Menyemai Minat Terhadap Islam

 

16. Sekalipun segala bentuk penekanan ini saya rujuk dan sandarkan kepada pendidikan Islam peringkat awal yang dikelolakan oleh KEMAS, saya juga ingin menyatakan yang sebenarnya kita semua berperanan dalam hal ini. Pepatah Melayu yang mengungkapkan perumpamaan seperti ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, bapa borek anak rintik, seperti ketam mengajar anak berjalan lurus, sebenarnya menggambarkan peranan besar keluarga dan ibu bapa dalam pendidikan awal anak-anak dan kesannya kepada mereka.

 

17. Jesteru, sekalipun secara formalnya, KEMAS adalah pilihan pendidikan awal Islam yang berkesan, akan tetapi, pemupukan minat dan kecenderungan mengkaji agama Islam secara mendalam dan meluas haruslah dipupuk di peringkat paling asas, iaitu dalam institusi keluarga.

 

18. Di kesempatan ini, saya ingin menyarankan tiga (3) perkara berikut kepada semua ibu bapa dan keluarga  iaitu:

 

a. Pertama: Mewujudkan bi’ah solehah yang mesra ilmu di rumah. Misalnya menjadikan buku-buku sebagai ganti kepada barangan permainan yang selama ini dijadikan hadiah kepada anak-anak kita;

 

b. Kedua: Mencabar anak-anak untuk meneroka dan mempunyai ilmu pengetahuan yang melebihi tahap kita sendiri selaku ibu bapa; dan

 

c. Yang ketiga dan terakhir: Menanam pemahaman bahawa menuntut ilmu adalah ibadah dan bukan sekadar bertujuan mendapat pulangan dan kepentingan material semata-mata.

 

19. Kepada para pendidik, ibu bapa malah kakitangan Kerajaan Negeri sendiri, semoga kejayaan dalam melahirkan murid-murid yang berjaya menyertai Program IQFA ini, akan mencetus semangat dan kesungguhan untuk menghasilkan usaha yang lebih holistik dan berjaya pada masa akan datang. Semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan cekap, dan akan sentiasa dimudahkan urusan dan diberkati oleh Allah SWT.

davispropertymanagement.com