UCAPAN BAJET NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM TAHUN 2015

UCAPAN

 

BAJET NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM 

TAHUN 2015

 

 

‘MEMBANGUNKAN JOHOR SECARA INKLUSIF’

 

OLEH :

 

YANG AMAT BERHORMAT 

DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

 

 

PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR

BERTARIKH 13 NOVEMBER 2014

 

MEMBANGUNKAN JOHOR SECARA INKLUSIF

 

A. MUKADIMAH

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Muafakat Johor

 

1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya untuk membentang dan menerangkan kepada Dewan yang Mulia ini, cadangan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2015. Namun, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini, mewakili seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, ahli-ahli Dewan serta semua lapisan rakyat Negeri Johor, merafakkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas termeterainya ikatan perkahwinan bersama Che’ Puan Khaleeda binti Bustamam yang berlangsung baru-baru ini.

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

2. Saya bersama-sama dengan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri menegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa tanggungjawab kami adalah melakukan perkara yang paling wajar dan adil untuk Johor dan rakyatnya; yakni memberikan yang terbaik untuk Negeri Johor Darul Ta’zim. Namun tugas ini jauh dari selesai. Banyak lagi yang harus dirancang dan dilakukan. Dan hari ini, saya ingin melakar agenda seterusnya untuk Johor yang lebih membangun dan sejahtera; justeru Bajet 2015 adalah permulaan sebahagian daripada ikhtiar besar ini.

 

3. Berdasarkan segala yang akan dibentangkan hari ini, Dewan ini akan dapat melihat betapa pertumbuhan ekonomi kita adalah kukuh, berdaya saing, peluang pekerjaan berkualiti semakin bertambah serta jumlah defisit telah dan akan terus dikecilkan serta ditangani dengan baik. Namun begitu, jalan hadapan bagi Johor ialah manfaat kemakmuran ekonomi yang diagih adil secara inklusif, kehidupan rakyat disejahterakan dan perbendaharaan Kerajaan ditadbir dengan penuh telus dan amanah. Insya-Allah, dengan semangat muafakat, muhibah, pemikiran berpandangan jauh, dan kerja keras semua rakyat, Johor akan menjadi ‘the new economic powerhouse’ bagi Malaysia.

 

4. Maka, izinkan saya membentangkan Belanjawan Negeri Johor dengan tema ‘Membangunkan Johor Secara Inklusif’. Agenda ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat Johor dan lingkungannya, akan terus menikmati kehidupan aman, damai serta sejahtera. Malah akan berupaya untuk terus mara mencatatkan kejayaan demi kejayaan.

 

5. Apakah itu pembangunan inklusif? Pembangunan inklusif adalah pendekatan terkini dalam pembangunan ekonomi. Ia bertujuan memperbaiki taraf sosio-ekonomi dan memberikan pelbagai kesejahteraan hidup secara lebih adil, saksama dan menyeluruh. Pendekatan ini sangat relevan terutamanya untuk negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia; yang menyaksikan jurang keberadaan semakin melebar. Ada dua sebab utama mengapa pertumbuhan ekonomi dan program pembangunan kita mesti bersifat inklusif. 

 

Pertama: Memulihkan Kesenjangan Agihan Kekayaan Dan Kemakmuran Ekonomi

 

6. Pertumbuhan ekonomi global menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan, konsisten serta meyakinkan. Namun pada masa yang sama, jurang keberadaan antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar. Kajian Oxfam ‘Oxford Committee for Famine Relief’ menyatakan bahawa 80 individu terkaya dunia menguasai separuh dari milikan kekayaan global. Ini adalah jurang keberadaan yang meruncing dan harus dibetulkan. Maka fokus kita bukan sahaja memastikan pertumbuhan ekonomi terus segar dan pesat tetapi dividen kesejahteraan mesti dinikmati secara lebih saksama dan menyeluruh oleh masyarakat. Apa maknanya pembangunan yang pesat ini sekiranya meminggirkan ramai anggota masyarakat daripada mengecap peluang ekonomi dan kehidupan sosial yang lebih baik.

Kedua: Memberikan Kesejahteraan Hidup Yang Melangkaui Aspek Material 

 

7. Jurang dalam kerangka pembangunan seringkali dikaitkan dengan kadar pendapatan. Malah kemiskinan selalu diukur dengan hanya merujuk angka pendapatan. Namun, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup melangkaui hanya jumlah pendapatan. Isu dasar seperti peluang dan kualiti pekerjaan yang rendah dan terhad, tahap kesihatan yang tidak setaraf negara maju, kualiti pendidikan yang terkebelakang serta keupayaan untuk menjadi mandiri dan berupaya menjana pendapatan yang boleh mensejahterakan adalah turut termasuk dalam cakupan sesebuah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. Ini semua adalah ukuran sebenar dan tanda aras yang sah bagi sesebuah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. 

 

8. Berdasarkan kedua-dua alasan utama ini, pentadbiran saya telah mengambil pendekatan komprehensif untuk menilai semula strategi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Johor yang mesti melihat dan mengambil kira melangkaui indikator kewangan tradisional, ‘beyond traditional monetary indicators’. 

 

9. Oleh yang demikian, Belanjawan 2015 yang akan saya bentangkan pada hari ini akan mempunyai tiga fokus utama iaitu:

 

Pertama; menggariskan dengan jelas dasar, strategi, pelan tindakan dan pendekatan baharu yang boleh merangsang dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Johor dengan kadar yang lebih pesat dan mapan;

 

Kedua; memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang direncanakan bersifat inklusif; dan

 

Ketiga; melaksanakan amalan perbelanjaan yang berhemah, terancang serta berorientasikan pencapaian.

 

10. Saya yakin ketiga-tiga fokus ini akan mampu menangani ‘kesenjangan’ dan ‘jurang’ agihan kekayaan dalam masyarakat kita sekaligus memberikan kesejahteraan hidup melangkaui aspek material.

 

B.    PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI

 

PRESTASI DAN KEDUDUKAN EKONOMI MALAYSIA

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker, 

 

11. Bagi memberikan konteks yang lebih jelas, izinkan saya merumuskan secara ringkas prestasi dan kedudukan semasa ekonomi Malaysia, yang menunjukkan trend yang memberangsangkan. Dalam tempoh suku pertama 2014 sahaja, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar adalah sebanyak 6.2%, iaitu kadar tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku keempat 2012. Malah, pencapaian ini adalah lebih baik berbanding Filipina (5.7%), Indonesia (5.2%), Singapura (5.1%) dan Thailand (-0.6%). 

 

12. Prestasi dan pencapaian ini adalah hasil daripada langkah positif program transformasi Kerajaan yang dilaksanakan sejak 2009. Selain daripada aktiviti ekonomi domestik yang kekal cergas serta perdagangan luar yang bertambah baik, keadaan ini turut disokong oleh asas-asas ekonomi yang mantap seperti paras simpanan domestik yang tinggi, rizab antarabangsa yang kukuh, sistem perbankan yang teguh, kadar pengangguran yang rendah dan momentum kegiatan pelaburan yang terus rancak.

 

13. Berdasarkan Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDICI) yang dikeluarkan oleh firma perunding pengurusan global, A.T. Kearney, Malaysia kini berada di kedudukan ke-15, berbanding tempat ke-25 yang dicatatkan pada tahun 2013. Keyakinan ini turut dicerminkan dengan peningkatan tertinggi pelaburan langsung asing sebanyak RM38.2 bilion pada tahun 2013 berbanding RM28.5 bilion pada tahun 2012. 

 

PRESTASI DAN KEDUDUKAN EKONOMI JOHOR

 

14. Bagi negeri Johor, seiring dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia, ekonominya telah berkembang pada kadar 4.9 peratus pada tahun 2013 melebihi kadar nasional iaitu 4.7 peratus. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, bagi tahun 2013 Johor menjadi di antara penyumbang utama kepada momentum pertumbuhan nasional selain kawasan Lembah Klang. KDNK bagi negeri Johor telah merekodkan nilai sebanyak RM72.28 bilion yang secara konsisten didominasi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

 

15. Sektor perkhidmatan telah mencatatkan pertumbuhan 4.1 peratus dengan nilai KDNK sebanyak RM35.16 bilion yang didorong oleh kerancakan aktiviti subsektor penginapan & restoran serta perdagangan borong dan runcit. Manakala sektor pembuatan negeri Johor telah merekodkan pertumbuhan 4.6 peratus dengan nilai RM 24.4 bilion pada 2013. Pertumbuhan ini dijangka akan bertumbuh pesat pada beberapa tahun akan datang setelah menerima jumlah pelaburan yang besar iaitu lebih RM 33 bilion bagi tempoh 19 bulan bermula Januari 2013 sehingga Julai 2014.

 

16. Kerancakan pertumbuhan juga dapat dilihat dalam sektor perlombongan & pengkuarian serta pembinaan yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 14.3 peratus dan 8.1 peratus dengan nilai masing-masing sebanyak RM96 juta dan RM2.5 bilion. Meskipun sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu sebanyak 2.9 peratus dengan nilai RM8.75 bilion, Johor kekal sebagai penyumbang kedua utama sektor pertanian nasional dengan sumbangan 15.6 peratus daripada jumlah KDNK pertanian Malaysia.

 

17. KDNK Johor dijangka mampu mencapai pertumbuhan 5.6 peratus hingga 6.1 peratus pada tahun 2014. Ini didokong oleh pelaburan tinggi pada tahun 2013 yang dijangka dapat direalisasikan sepanjang tahun ini. Statistik terkini berkaitan pelaburan bagi sektor pembuatan, Johor sekali lagi mencatatkan nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM18.7 bilion sehingga Julai 2014 sekaligus mengatasi nilai pelaburan tahun 2013 iaitu RM14.4 bilion. Daripada jumlah tersebut RM12.7 bilion merupakan pelaburan langsung tempatan (DDI) dan RM5.9 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI). 

 

18. Peningkatan ini merupakan penerimaan pelaburan yang tertinggi yang belum pernah dicapai pada tahun -tahun sebelumnya. Ini memberi keyakinan bahawa negeri Johor mempunyai potensi dan kekuatan dalaman yang besar dan tidak hanya bergantung kepada pelaburan langsung asing sahaja. 

 

19. Meskipun pola pelaburan telah berubah kepada pelaburan domestik, kerajaan tidak menafikan sumbangan pelaburan asing dengan pelbagai negara termasuk Jepun, Singapura dan China terus menyuntik modal pelaburan mereka ke dalam ekonomi Johor. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  di atas  usaha gigih dan pelbagai kerjasama di dalam pelbagai aspek yang ditunjukkan bagi merealisasikan pencapaian negeri Johor di dalam bidang pelaburan ini.

 

20. Bagi memastikan prestasi pembangunan ekonomi di Negeri Johor kekal berdaya maju, Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir penyediaan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor yang merupakan kesinambungan kepada Pelan Induk Ekonomi Negeri Johor 2010-2020. Pelan ini turut mengambil kira perancangan terkini yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh dan memanfaatkan lebih ramai rakyat Negeri Johor.

 

C. PERUNTUKAN BAJET 2015

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

21. Bajet 2015 menganggarkan Kutipan Hasil berjumlah RM1,239.23 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM1,235.41 juta. Oleh itu, lebihan bagi Bajet Mengurus tahun 2015 adalah sebanyak RM3.82 juta. Bajet 2015 juga menyediakan peruntukan pembangunan dengan anggaran berjumlah RM366.20 juta.

 

22. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2015, jumlahnya dianggarkan sebanyak RM1,239.23 juta berbanding anggaran tahun 2014 yang berjumlah RM1,064.60 juta. Daripada jumlah tersebut, Hasil Cukai dianggarkan sebanyak RM425.96 juta, Hasil Bukan Cukai RM607.97 juta dan Terimaan RM205.29 juta.

 

23. Di bawah Peruntukan Mengurus berjumlah RM1,235.41 juta, sejumlah RM384.60 juta adalah bagi Emolumen, RM307.49 juta disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan, manakala RM494.15 juta diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM21.22 juta disediakan untuk Pembelian Aset dan RM27.95 juta untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.

 

24. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2015 adalah berjumlah RM366.20 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM260.03 juta disediakan bagi perbelanjaan Infrastruktur serta Kemudahan Pentadbiran, RM39.09 juta bagi Program Pembangunan Agama Islam, RM20.74 juta bagi Program Pertanian dan Kemudahan Asas, RM31.52 juta bagi Projek Pengairan Dan Saliran, RM2.16 juta bagi Perumahan dan sejumlah RM 12.16 juta disediakan bagi Perhutanan dan Pelancongan manakala selebihnya sebanyak RM0.5 juta diperuntukkan bagi wang cadangan belanja mengejut.

 

D. LIMA STRATEGI UTAMA BAJET 2015

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

25. Walaupun prestasi ekonomi Johor tampak kukuh dan berdaya saing, namun seperti yang saya katakan sebentar tadi, pertumbuhan ekonomi bukanlah segala-galanya. Saya sedar dan peka bahawa cabaran yang lebih besar ialah menangani ‘cakupan ketaksamaan yang mencapah’ atau ‘the multidimensional nature of inequalities’.

 

26. Dalam konteks ini, pentadbiran saya percaya rakyat lebih tahu apa yang mereka perlu dan mahu. Justeru, melalui aduan, saranan, harapan dan luahan rasa rakyat dalam Pelan Suara Hati Johor, yang merupakan suatu pendekatan inovatif dalam membangunkan satu bentuk baharu kerjasama dan penyertaan dalam tadbir urus, kerajaan akan memastikan pembangunan yang dirancang akan bersifat menyeluruh dan inklusif. Terutamanya semasa proses penggubalan dan pelaksanaan polisi yang memberi kesan besar kepada rakyat. Tidak kiralah sama ada dalam bentuk perolehan monetari mahupun kesan dimensi-dimensi ekonomi yang lain.

 

27. Menyedari hakikat ini, kerajaan memberikan tumpuan untuk menterjemahkan aspirasi pembangunan inklusif ini dengan menggariskan LIMA STRATEGI UTAMA yang akan didukung oleh pelbagai program dan inisiatif strategik iaitu;

 

         STRATEGI  PERTAMA : MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MERANGSANG PELABURAN

 

         STRATEGI  

         KEDUA : MEMANGKIN KESEJAHTERAAN HIDUP RAKYAT

         STRATEGI  KETIGA : MEMBANGUNKAN MASYARAKAT BERILMU DAN BERKEMAHIRAN BAGI MENDUKUNG PERALIHAN KE ARAH EKONOMI BERASAS PENGETAHUAN

 

 

         STRATEGI  KEEMPAT : MEMBUDAYAKAN INOVASI,  KREATIVITI  DAN KEUSAHAWAN  YANG BERDAYA SAING GLOBAL

 

         STRATEGI       KELIMA   MEMODENKAN PRASARANA SERTA MENGUKUHKAN KEPERCAYAAN AWAM TERHADAP PENTADBIRAN DAN INSTITUSI KERAJAAN

 

********

 

STRATEGI PERTAMA:  MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MERANGSANG PELABURAN

 

28. Fokus kita ialah mengangkat kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan yang kompetitif, menarik dan mengekalkan sebanyak mungkin pelaburan langsung asing dan domestik sekaligus mewujudkan pekerjaan bermutu dalam masa paling pantas. Johor yang kita dambakan tidak lagi sekadar ‘economically distance from Singapore’ tetapi pesaing dan pelengkap yang mempunyai nilai tambah tersendiri. Strategi Pertama ini akan disokong oleh tiga inisiatif strategik berikut;

 

(i) Merancakkan Pertumbuhan Dalam Bidang Keberhasilan   Strategik

 

29. Di bawah inisiatif ini, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha menarik pelaburan strategik ke Johor dan Iskandar Malaysia. Suka saya nyatakan di sini sejak tahun 2006 sehingga September 2014, jumlah pelaburan komited yang terkumpul di Iskandar Malaysia adalah setinggi RM156 bilion yang menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap prospek dan potensi pembangunan ekonomi di Negeri Johor.

 

30. Lebih penting, setiap pelaburan di Johor sama ada pelaburan domestik atau pelaburan langsung asing, harus menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor. Kebergantungan kepada buruh asing harus dikurangkan. Berdasarkan unjuran menerusi Pelan Induk Ekonomi Negeri Johor 2010-2020 dianggarkan sebanyak 1.827 juta rakyat Negeri Johor akan termasuk dalam golongan pekerja berbanding 1.563 juta pekerja pada masa ini.

 

31. Justeru kita akan terus memberi penekanan kepada sektor-sektor pertumbuhan ekonomi baru iaitu industri minyak dan gas, perkhidmatan dan bioekonomi. Pemfokusan ini walaubagaimanapun tidak akan sesekali mengabaikan kepentingan pertumbuhan sektor ekonomi lain. Kerajaan akan terus berusaha menarik pelaburan dalam sektor ekonomi tradisional seperti industri tekstil, perabot, pengilangan serta pertanian. 

 

32. Bagi sektor strategik minyak dan gas, Kerajaan Negeri Johor akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS untuk menjayakan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC). Projek PIPC ini memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti industri berteknologi tinggi dan berinovasi, dan melibatkan pekerja-pekerja berilmu, berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Oleh yang demikian, Kerajaan Johor berharap ia akan dapat menarik lebih ramai bakat terbaik untuk bekerja dan menetap di Johor sekaligus menyumbang kepada kerancakkan ekonomi domestik Johor.

 

33. Bagi sektor perkhidmatan, kerajaan akan memberi fokus kepada industri pelancongan, pendidikan dan kesihatan. Dalam disiplin pendidikan, Iskandar Malaysia dan Pagoh di daerah Muar akan terus diketengahkan sebagai pusat pendidikan tinggi dengan usaha menarik pelaburan luar dan domestik. Untuk sektor kesihatan pula, pengalaman luas Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) akan dimanfaatkan bagi menjadikan Johor Hab Kesihatan dan Perawatan Global.

 

34. Pertumbuhan Johor akan juga dipacu dengan pesat oleh sektor bioekonomi dengan penumpuan kepada tiga perkara utama;

 

Pertama: Menyokong pertumbuhan industri kecil dan sederhana yang berorientasikan bioteknologi melalui program 'Jelajah Bioekonomi Johor' dengan peruntukan RM250 ribu. Ini akan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan tempatan di daerah-daerah dalam negeri Johor melalui proses Penjenamaan dan Promosi. Pada waktu yang sama, usaha membangunkan usahawan berasaskan ‘bio’ akan dijalankan dengan mengenal pasti keperluan perniagaan seperti membuka pasaran baharu dan mengenal pasti rakan teknologi dan komersil. Ini akan membolehkan lebih banyak lagi usahawan tempatan melibatkan diri dalam ‘rantaian ekonomi bernilai tinggi yang baharu’. Selain daripada itu program ini juga merupakan satu bentuk medium untuk mengumpul kekuatan bidang bioteknologi di negeri Johor melalui media utama.

 

Kedua: Mempergiat penglibatan masyarakat dalam sektor bioteknologi melalui Program Pembangunan Bioekonomi Komuniti (BCDP) dengan kos pembangunan sebanyak RM8.9 juta dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui BiotechCorp. Program ini akan melibatkan kerjasama antara pembekal teknologi dari syarikat-syarikat Bio-Nexus dan berasaskan ‘bio’ dengan kumpulan komuniti hampir 100 orang peserta bagi setiap daerah melalui ‘contract farming’ atau perladangan kontrak. Inisiatif ini akan membantu mempertingkatkan nilai tambah hasil pertanian masyarakat melalui program bimbingan terancang dan perkongsian teknologi. Selain meningkatkan daya saing ekonomi dan pendapatan masyarakat, ia juga akan mendedahkan masyarakat kepada teknologi pertanian termaju. Projek permulaan akan dijalankan di daerah Kota Tinggi dan Segamat. Lima sektor telah dikenal pasti iaitu Lembu Tenusu, Tanaman Rumput Ternakan, Tanaman Herba, Tanaman Stevia dan Perusahaan Madu Lebah.

 

Ketiga: Kerajaan akan memperuntukkan RM700 ribu bagi melaksanakan program untuk membina upaya modal insan dalam sektor bioteknologi melalui penubuhan ‘National Biotechnology Talent Development Centre’ (NBTDC) di Johor. NBTDC akan bertindak memberikan maklumat dan latihan berkenaan industri bioteknologi kepada pelajar di universiti sebagai pendedahan awal dalam bidang pekerjaan. Inisiatif ini mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor bioekonomi dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan pesat industri strategik ini.

 

35. Pengurangan rintangan perdagangan juga akan diberikan keutamaan bagi membolehkan Johor terus menjadi destinasi pelaburan pilihan yang kompetitif. Oleh itu, Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) yang berperanan antara lain sebagai ‘one stop centre’ bagi memudahkan proses kedatangan pelabur telah diperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk tahun 2015 bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

 

(ii) Mengukuhkan Ekonomi Desa Melalui Pertanian Lestari

 

36. Ramai yang berpandangan bahawa ekonomi Johor yang berpendapatan tinggi hanya boleh dipacu melalui pertumbuhan pesat sektor perkhidmatan dan pelaburan-pelaburan besar. Ini adalah pandangan yang tidak tepat. Walau semaju mana sekalipun sesebuah masyarakat dan negara, sumbangan sektor pertanian sangat penting. Malah sektor pertanian tunggak sebenar pertumbuhan bioekonomi dan elemen penting dalam memastikan kelangsungan agenda keselamatan makanan Malaysia.

 

37. Bagi tahun 2015, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi menjayakan Program Galakan Usahawan oleh Jabatan Pertanian Johor bagi mempertingkatkan kebolehsaingan kumpulan usahawan dalam sektor pertanian. Ia akan diagihkan melalui tiga projek iaitu projek industri kecil (PIK), projek pembangunan tanah terbiar (PPTT) dan Skim Pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI). 

 

38. Untuk memastikan kecukupan bekalan daging tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Johor Corporation akan meningkatkan pengeluaran daging lembu berskala besar melalui ladang satelit mereka di KotaTinggi, Muar dan Segamat. Ia akan melibatkan 21 peserta dengan penghasilan 18,900 ekor lembu matang setahun dengan peruntukan RM3 juta. 

 

39. Kerajaan juga melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperuntukkan RM2 juta bagi membantu pengusaha tanaman nanas yang mempunyai keluasan kurang daripada 15 ekar bagi meningkatkan pengeluaran mereka.

 

40. Menyedari bahawa keluasan tanah pertanian adalah semakin berkurangan, Kerajaan telah membuat keputusan untuk membeli sekaligus menyelamatkan tanah-tanah pertanian yang dimiliki oleh Orang Melayu supaya tidak terjual kepada pihak lain. Bagi tujuan tersebut Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM20 juta kepada Permodalan Darul Ta’zim untuk pembelian tanah-tanah pertanian ini dan ia akan disewakan kepada koperasi-koperasi dan usahawan Bumiputera terpilih di negeri Johor untuk membangunkan aktiviti-aktiviti pertanian.

 

(iii) Menjadikan Johor Jauhari Selatan Dan Destinasi Pelancongan Terbaik Malaysia

 

41. Sektor pelancongan adalah antara sektor paling pantas pertumbuhannya di peringkat global ekoran peningkatan jumlah kelas pertengahan yang drastik dampak globalisasi. Johor tidak boleh ketinggalan dalam menjadikan sektor pelancongan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Johor mempunyai potensi yang sangat besar. Malah kedudukannya antara Melaka dan Singapura menjadikan Johor sangat strategik untuk menjadi Hub Pelancongan Wilayah Selatan. Pada tahun 2013, Negeri Johor adalah negeri kedua paling dikunjungi oleh pelancong antarabangsa di Malaysia selepas ibu negara Kuala Lumpur. 

 

42. Bagi merancakkan industri pelancongan, Kerajaan Negeri mensasarkan Johor mesti mempunyai lima produk pelancongan berkepentingan global menjelang tahun 2017.

 

Lima produk tersebut ialah:

 

Pertama: Membangunkan alam sekitar Endau Rompin sebagai pusat pelancongan dan penyelidikan alam sekitar terulung di Asia Tenggara.

 

Kedua: Kedudukan Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai sebagai tapak RAMSAR akan dipulihara dan dibangunkan sebagai tapak rekreasi dan penyelidikan paya bakau berkepentingan antarabangsa yang mesti dilawati. 

 

Ketiga: Menjadikan Johor Pusat Kebudayaan Melayu utama dunia. Johor harus dikenali sebagai destinasi yang mempamerkan kerencaman dan  ketinggian budaya Melayu yang unik. Ia akan menjadi pusat busana, seni, tarian, bahasa, serta warisan alam Melayu yang kaya. 

 

Keempat: Menjadikan Johor pusat persidangan bertaraf antarabangsa, dan

 

Kelima: Menjadikan Johor hab pelancongan keluarga dengan tarikan seperti Angry Birds Indoor Theme Park,Legoland, Hello Kitty World, Johor Premium Outlet, Desaru, dan aktiviti rekreasi persekitaran Gunung Ledang serta pelbagai lagi destinasi tarikan yang sesuai untuk bersama keluarga.

 

43. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan melalui ECER telah memperuntukkan RM31.4 juta bagi membangunkan prasarana ekopelancongan dengan konsep Hutan Hujan ke Terumbu Karang atau ‘Rainforest to Reef’di Taman Negara Endau Rompin. Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun hadapan dalam tempoh lima tahun. 

 

44. Bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan Wetland, IRDA akan menganjurkan ‘4th Iskandar Malaysia Eco Tourism Summit’ pada tahun 2015. Ini penting untuk mempromosikan Iskandar Malaysia sebagai destinasi eko pelancongan terkemuka di rantau ini di samping dapat menjana ekonomi rakyat terutama rakyat luar bandar melalui program Kawan Iskandar Malaysia.

 

45. Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi menaiktaraf jalan akses ke kawasan pelancongan Tanjung Piai, Pontian.

 

46. Bersempena Tahun Festival Malaysia 2015, pelbagai festival sukan, seni dan budaya akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta. Dua Festival yang dijangka bakal menjadi tumpuan antarabangsa ialah Festival Layang-Layang Sedunia dan Festival Zapin. Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga telah meluluskan kos sebanyak RM4.85 juta bagi menaik taraf Bukit Layang - Layang di Pasir Gudang sebagai kawasan tarikan utama pelancongan dengan dana permulaan berjumlah RM1 juta akan diperuntukkan pada tahun 2015.

 

47. Bandar Johor Bahru juga akan dibangunkan sebagai ‘Urban and Heritage Trail’ bagi memperlihatkan kepada dunia kekayaan warisan Johor. Ini termasuk menjenamakan dan menaiktaraf prasarana pelancongan, menjenamakan semula Bazar JB, mewujudkan Stesen Seni dan menyediakan perkhidmatan bas percuma JB Di Hatiku.

 

48. Di Nusajaya ini sendiri, Taman Warisan Semulajadi Nusajaya akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama UEM Sunrise melibatkan kawasan 300 ekar. Sebagai permulaan dana sebanyak RM25 juta telah disediakan bagi pembangunan projek ini. Kawasan riadah ini akan menempatkan Taman Tanaman Tropika dan Taman Koleksi Tumbuhan, yang kedua-duanya dikhususkan untuk tujuan pelancongan, riadah, pendidikan dan penyelidikan sekaligus flora dan fauna sebagai anugerah alam yang berharga terus dipelihara.

 

STRATEGI KEDUA: MEMANGKIN KESEJAHTERAAN HIDUP RAKYAT

 

49. Memandangkan kesejahteraan hidup rakyat melangkaui perolehan material merupakan salah satu sasaran penting pembangunan inklusif, maka ia merupakan salah satu strategi utama Bajet 2015 ini. Dalam Strategi Kedua ini, lapan inisiatif akan dilakukan iaitu:

 

(i) Mengurangkan Kemiskinan 

 

50. Sesungguhnya penyakit masyarakat yang paling menggusarkan adalah kemiskinan sehinggakan Rasullullah SAW sendiri berlindung dari kemiskinan sebagaimana Hadith Riwayat Imam Muslim, Baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari kefakiran, kehinaan dan dari menzalimi orang lain atau dizalimi oleh orang lain.” Maka, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berusaha menjadikan kemiskinan hanya tinggal sebagai sejarah di Negeri Johor Darul Ta’zim. Namun membasmi penyakit kemiskinan tidak semudah merawat dan membebat penyakit-penyakit lain. Kita tidak ada formula khusus yang mampu menyelesaikannya dengan pantas. 

 

51. Tambahan pula, kemiskinan sentiasa berubah sifat dan wajah. Dahulu, kemiskinan dikaitkan dengan jumlah kain sarung yang dimiliki. Kemudian ia diukur dengan pendapatan isi rumah. Sekarang kemiskinan bukan lagi berkisar persoalan tidak mempunyai makanan mencukupi di atas meja atau tidak mempunyai rumah untuk didiami atau tidak mampu menikmati pendidikan. Sebaliknya, ia juga merupakan suatu ‘keadaan minda’ atau “a state of mind” terhadap perubahan, kerja keras dan ikhtiar berterusan. Perkara ini nyata jauh lebih sukar untuk diperangi. 

 

52. Kini, di Johor masih terdapat golongan miskin tegar walaupun jumlahnya telah berkurangan dengan sangat signifikan. Statistik Kumpulan Isi Rumah Berdaftar e-Kasih Negeri Johor pada Oktober 2014 menunjukkan jumlah miskin tegar ialah 152 orang, manakala kategori miskin ialah 2,779 dan mudah miskin ialah 122 orang.  

 

53. Untuk tahun 2015, Program Bantuan Rumah akan diteruskan melalui;

 

(i) Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.93 juta untuk membina 40 unit rumah baru dan membaik pulih sebanyak 30 buah rumah.

 

(ii) Majlis Agama Islam Johor, dengan peruntukan sejumlah RM8 juta untuk membina 200 unit rumah baru dan membaik pulih 75 unit rumah.

 

54. Kemiskinan tidak mungkin dapat dibasmi tanpa pendidikan. Memastikan anak-anak golongan miskin dapat belajar dengan sempurna dan mengejar kejayaan adalah perkara pokok. Oleh itu, mulai tahun hadapan Majlis Agama Islam Johor melalui hasil kutipan zakatnyaakan menyediakan satu inisiatif baharu iaitu bantuan makanan sihat untuk anak-anak golongan miskin di Sekolah Rendah Agama Johor. Setiap murid yang layak diberi RM2.50 seorang setiap hari sepanjang sesi persekolahan selama setahun. Sebanyak RM6.6 juta diperuntukkan bagi dimanfaatkan oleh 15 ribu orang murid.

 

55. Tidak ketinggalan, Kerajaan Negeri akan turut memberikan perhatian terhadap kebajikan golongan orang Asli. Untuk tujuan ini, sebanyak RM100 ribu diperuntukkan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi penganjuran program yang memberikan ilmu kerohanian dan kepimpinan kepada mereka.

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

56. Kerajaan Negeri juga sangat prihatin dengan nasib golongan nelayan di pesisir pantai dan Sungai Johor yang pendapatan mereka sedikit terjejas dek derasnya pembangunan yang sedang berlaku di selatan Negeri Johor. Oleh yang demikian, dalam usaha membantu mereka sebagai permulaan dianggarkan seramai 1,800 nelayan Selatan Johor yang disahkan kelayakannya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menerima bantuan sebanyak RM1 ribu seorang pada tahun hadapan dengan jumlah keseluruhan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta. Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mereka.

 

(ii) Menyediakan Tempat Berlindung Untuk Membina Keluarga Yang Kukuh

 

57. Kita biasa dengan ungkapan Rumahku Syurgaku. Sesungguhnya, rumah yang selesa akan memberikan natijah kesihatan yang baik, pencapaian lebih cemerlang di sekolah, institusi keluarga yang bahagia dan kukuh, masalah sosial yang berkurangan serta masyarakat yang bersatu. Rumah bukan lagi hanya kehendak. Ia adalah keperluan asas. Kerajaan Johor berazam memastikan setiap warganya mempunyai tempat perlindungan yang sesuai dan selesa. Fokus kita ialah menggembleng tenaga dengan pelbagai pihak untuk membina sebanyak mungkin rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Johor.

 

58. Bagi menampung keperluan permintaan yang semakin meningkat, baru-baru ini saya telah mengumumkan Kerajaan Negeri telah meningkatkan sasaran pembinaan rumah mampu milik daripada 28 ribu kepada 37 ribu unit rumah di bawah kategori perumahan mampu milik yang akan dibina sehingga akhir tahun 2018. Kerajaan Negeri menjangkakan sebanyak 8,900 unit perumahan mampu milik dapat dibina oleh syarikat berkaitan kerajaan dan pemaju-pemaju swasta di seluruh Negeri Johor bagi tempoh dari bulan Jun 2014 sehingga tahun 2015. Selain itu, sebanyak 6,300 unit rumah kos rendah termasuk Projek Perumahan Rakyat sedang dalam proses pembinaan di pelbagai peringkat untuk memenuhi keperluan rakyat Johor yang berpendapatan rendah.

 

59. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Islam Johor (PIJ) telah mengenal pasti dua kawasan strategik di sekitar Johor Bahru yang sesuai untuk pembangunan Taman Perbadanan Islam pada tahun 2015. Pembangunan atas kawasan seluas 15 ekar di Telok Jawa dan 14 ekar lagi di Larkin sesungguhnya sangat bermakna kerana Taman Perbadanan Islam terakhir yang pernah dibina adalah pada penghujung tahun 1980an, iaitu melebihi dua dekad lepas. Kedua–dua Taman Perbadanan Islam ini dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dan akan turut diwartakan sebagai Rezab Melayu yang pembangunannya diharap dapat mengimbangi dan mengurangkan jurang pemilikan hartanah kaum Melayu di daerah Johor Bahru.

 

60. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan sebahagian rakyat berpendapatan rendah yang didapati sukar memperolehi pinjaman daripada institusi kewangan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bersedia menjual rumah-rumah miliknya melalui Skim Sewa Beli dengan sasaran sebanyak 5,000 unit bagi tahun 2015. Ini termasuk 1,000 unit rumah berharga antara RM42 ribu hingga RM80 ribu yang akan disewa beli oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ). Yang lebih penting, rumah-rumah yang disewa beli oleh MAIJ ini akan ditawarkan untuk diduduki sementara secara percuma oleh penerima bantuan zakat yang berkelayakan dan golongan asnaf fakir miskin. Antara kawasan perumahan yang akan ditawarkan secara sewa beli ini adalah Rumah Pangsa Taman Cendana 1 dan Cendana 2 di Pasir Gudang, Rumah Pangsa Kangkar Pulai, Rumah Pangsa Seri Alam dan Rumah Pangsa Kos Rendah bagi penempatan semula setinggan yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL).

 

61. Bagi menghargai sumbangan kakitangan awam, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan juga mensasarkan untuk membina 2 ribu unit rumah pada tahun 2015 di bawah Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M). Di bawah skim ini sebanyak 694 unit akan dibina di daerah Kulaijaya dan beberapa kawasan lain di daerah Johor Bahru telah dikenalpasti. Ia juga termasuk penjualan 512 unit kuarters dan rumah sewa kerajaan berhak milik strata yang telah diperolehi menerusi pulangan penswastaan kepada penghuni-penghuni yang mendiaminya dengan syarat mereka masih belum memiliki rumah dan berkelayakan. 

 

62. Bagi memberikan peluang yang lebih luas kepada rakyat yang berada pada peringkat pertengahan, Kerajaan Negeri akan menaikkan had minimum kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembelian Rumah Mampu Milik Johor dan Kedai Kos Sederhana masing-masing daripada RM6 ribu dan RM7 ribu kepada RM8 ribu.

 

63. Kerajaan sedar dan peka terdapat kos yang terpaksa ditanggung oleh pembeli Rumah Mampu Milik Johor. Secara purata setiap pembeli yang membeli rumah kos rendah terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM2 ribu bagi pembayaran kos-kos seperti fi Perjanjian Jual Beli, Duti Setem, deposit air dan elektrik serta lain-lain. Oleh yang demikian Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk memberikan baucar RM1 ribu kepada pembeli bagi membantu mereka meringankan beban di dalam pembelian rumah. Baucar ini akan diberi semasa pembeli mengambil kunci rumah yang sedia didudukibermula 1 Januari 2015. Baucar tersebut boleh dituntut daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan).

 

(iii)Mengukuhkan Agenda Johor Dalam Merekayasa Sosial

 

64. Pembangunan pesat Johor Bahru tidak harus sama sekali meminggirkan kedudukan orang Melayu. Matlamat menyusun semula masyarakat yang mendasari Dasar Ekonomi Baru (DEB) terus relevan dengan tuntutan semasa. Pembangunan Johor yang inklusif harus memastikan keperluan khusus orang Melayu terbela dan diperkukuhkan tanpa menafikan hak kaum-kaum lain.  

 

65. Menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk memastikan orang Melayu terus berupaya menetap di kawasan bandaraya Johor Bahru dan menyumbang kepada kelestarian pembangunannya. Bagi mengimbangi pembangunan projek perumahan swasta yang rata-ratanya adalah di luar kadar kemampuan golongan Bumiputera, beberapa agensi Kerajaan Negeri akan bersama-sama memainkan peranan yang lebih aktif dalam membangunkan projek–projek perumahan di seluruh Negeri Johor untuk golongan Bumiputera.

 

66. Di bawah inisiatif ini, Johor Corporation akan mengambil alih tanah seluas 382 ekar di Kem Tebrau bagi tujuan membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan Bumiputera sekaligus mengatasi masalah setinggan yang terdapat di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri berazam memastikan semua setinggan yang hampir kesemuanya Bumiputera dibantu untuk memiliki rumah sendiri.

 

67. Kerajaan Negeri juga telah membuat keputusan untuk tidak memperbaharui hakmilik pajakan 196 ekar tanah di Kawasan Perindustrian Larkin, daerah Johor Bahru. Kawasan ini akan diwartakan sebagai Rizab Melayu secara berperingkat mengikut tarikh luput pajakan dan dijadikan kawasan penempatan orang Melayu. Semua ini menunjukkan betapa Johor berusaha segigih mungkin untuk bukan sahaja mengekal, malah meningkatkan jumlah tanah Rizab Melayu bagi memastikan orang Melayu terus hadir di Johor Bahru walaupun ia pesat membangun.

 

68. Saya ingin  membuat penegasan penting tentang isu tanah Rizab Melayu di Johor. Sebelum tahun 1957, keluasan tanah Rizab Melayu di Johor adalah 152 ribu hektar. Ini meliputi 8 peratus daripada keluasan Negeri Johor. Sehingga September 2014, jumlah  keluasan tanah Rizab Melayu adalah 432 ribu hektar iaitu peningkatan sebanyak 280 ribu hektar iaitu merupakan 22.8 peratus daripada keluasan negeri Johor. Oleh itu, yakin dan percayalah bahawa kepentingan orang Melayu, khususnya tanah Rizab Melayu, tidak pernah dan tidak akan sesekali dipinggir dan digadaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam usaha kita membangun dan memodenkan Johor.

 

69. Saya ingin tegaskan bahawa Agenda Johor dalam merekayasa sosial bukan hanya tertumpu kepada kaum Melayu sahaja. Ia adalah agenda yang inklusif, sarat dengan keprihatinan terhadap keperluan semua penduduknya tanpa mengira bangsa dan anutan agama. Menyedari keperluan khusus masyarakat India, Kerajaan Negeri bersetuju memperkenalkan beberapa langkah intervensi bagi memastikan kepentingan mereka terbela dengan baik. Satu peruntukan sebanyak RM4 juta pada 2015 telah disediakan yang mencakupi aspek pendidikan (sebanyak RM1.5 juta), kebajikan (RM1.5 juta) dan membantu pembangunan usahawan masyarakat India (RM1 juta). Dana ini akan diletakkan di bawah seliaan Yang Berhormat EXCO yang mewakili masyarakat India. 

 

70. Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan sifatnya yang majmuk turut membawa bersamanya cabaran-cabaran getir yang jika tidak ditangani dengan berhikmah akan mengancam kestabilan sosial dan kemakmuran negara. Amalan bernegara yang baik meruntun agar masyarakat hidup bermuafakat dengan aman. Maka, di bawah inisiatif strategik ini, rasa kekitaan dan hormat-menghormati antara kaum akan dipupuk. Kita percaya bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Maka, bagi mengukuhkan integrasi etnik, keeratan sosial dan memupuk penerimaan kepelbagaian budaya dan agama, kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Permuafakatan Perpaduan Negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM750 ribu.

 

(iv) Mewujudkan Johor Yang Bersih Dan Alam Sekitar Yang Lestari

 

71. Persekitaran yang bersih, nyaman dan bebas penyakit amat diperlukan oleh masyarakat Johor dalam menikmati kehidupan selesa yang berkualiti. Persekitaran kita mesti bersih dan sihat kerana ancaman wabak penyakit bukan lagi sekadar ancaman kepada kesihatan, malah telah dikategorikan sebagai ancaman keselamatan negara bukan tradisional. Lihat sahaja wabak Ebola di Afrika yang telah menjadi isu kesihatan global yang sangat serius. 

 

72. Kita percaya, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Maka, Program Johor Bersih Dan Lestari 2015 adalah strategi Kerajaan Negeri untuk mewujudkan gelombang perubahan sihat dan bersih dalam suasana kehidupan rakyat Johor dan lingkungannya. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan memperuntukkan RM5 juta pada tahun 2015. Selain daripada itu, sebanyak RM500 ribu peruntukkan pada tahun 2015 akan digunakan untuk memperkasakan pasukan Perubahan Komunikasi Tingkahlaku (COMBI) di peringkat Jawatankuasa JKKK, Zon Ahli Majlis dan sekolah-sekolah bagi menangani masalah denggi. Garapan tenaga dan ikhtiar semua masyarakat, dari peringkat sekolah sehinggalah pemimpin atasan diharap dapat menjadikan Johor negeri yang mempunyai kualiti kesihatan dan kebersihan setanding negara maju. 

 

73. Bagi memastikan alam sekitar terus lestari dan mapan, Kerajaan Johor dengan kerjasama Kerajaan Pusat akan memulakan pelaksanaan ‘Water Blueprint’ Sungai Skudai dengan peruntukan berjumlah RM900 ribu melalui pihak IRDA. Projek ini akan memastikan kebersihan sungai Skudai daripada sisa pepejal, efluen industri, buangan penternakan dan pertanian. Selain memugar kesedaran penduduk pinggir sungai, inisiatif ini sangat penting kerana kesejahteraan rakyat dan kehidupan nelayan sepanjang sungai tersebut amat bergantung padanya.

 

74. Bagi tujuan pemeliharaan alam sekitar Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membekukan sebarang aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal (pengeluaran) di seluruh negeri Johor bermula tahun 2015.

 

(v) Membudayakan Sukan Dan Gaya Hidup Sihat Untuk Kebingkasan Malaysia

 

75. Selari dengan prinsip Al-aqlu salim, fi jismi salim, akal yang cerdas datang dari badan yang sihat, Kerajaan Negeri Johor akan memperbanyak kegiatan sukan dan aktiviti belia agar mereka menjalani kehidupan remaja yang sihat dan bermanfaat. Sukan diiktiraf sebagai wahana yang berjaya menyatukan segenap anggota masyarakat di samping menjadi instrumen yang menggambarkan semangat patriotik dan daya saing sesebuah bangsa. Malah sukan adalah industri yang sangat pantas berkembang.

 

76. Penganjuran sukan berprestij global bukan sahaja mendatangkan pulangan ekonomi yang lumayan, malah membantu menarik kedatangan pelancong yang ramai selain memperkenalkan sesebuah negara itu di persada global. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada pasukan JDT yang telah menjuarai Liga Super Malaysia pada musim ini dan berjaya ke peringkat akhir Piala Malaysia 2014 buat julung-julung kalinya selepas 24 tahun. Kejayaan Pasukan Bola Sepak Harimau Selatan melangkah ke suatu tahap yang tidak terjangka selama ini bukan sahaja mengharumkan nama Johor malah mengikat muafakat segenap rakyat Johor baik yang tua mahupun muda.  

 

77. Maka, di bawah inisiatif strategik ini, dengan harapan rakyat Johor akan lebih cenderung dan aktif mengamalkan gaya hidup sihat, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan pembangunan seperti berikut:-

 

Pertama: Larkin Central Park  akan dibangunkan mulai 2015 dan dilaksanakan secara berfasa. Antara elemen pembangunannya ialah;

 

(i) Menaiktaraf Stadium Larkin dengan anggaran kos RM40 juta.

 

(ii) Menambahbaik dan menaiktaraf arena akuatik dengan peruntukan RM20 juta.

 

(iii) Membina stadium tertutup baharu di Larkin dengan nilai pembangunan sebanyak RM 60 juta, dimana ketiga-tiga projek ini merupakan usahasama antara Kerajaan Negeri dan Johor Corporation.

 

Kedua: Pembinaan stadium bagi acara trek padang dan balapan di Taman Mount Austin Johor Bahru, dengan peruntukan sebanyak RM60 juta yang akan dilaksanakan melalui kaedah penswastaan.  

 

Ketiga:  Membina 56 gelanggang serbaguna dan 30 Gym Muafakat Johor dalam usaha kerajaan menyahut seruan gaya hidup moden dan sihat golongan muda. Ini dianggarkan akan menelan belanja sejumlah RM11 juta melalui peruntukan Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Johor.

 

Dan yang akhirnya keempat: Menambahkan beberapa lagi pusat rekreasi terutamanya di Iskandar Malaysia selari dengan citra masyarakat yang memerlukan ruang riadah bersama keluarga.

 

(vi) Memperkasa  Agenda Belia

 

78. Sesungguhnya belia adalah aset terpenting dan pewaris kesinambungan masa depan kita. Menyedari golongan belia merangkumi hampir 40 peratus daripada jumlah penduduk Johor, maka adalah wajar aspek pembangunan dan pemerkasaan golongan ini diberi perhatian. Oleh itu, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan cadangan pembangunan Hab Belia Tempatan di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Hab Belia Antarabangsa dengan peruntukan sebanyak RM23.4 juta. Hab-hab Belia ini akan diurus dan dikendalikan sepenuhnya oleh golongan belia, khusus untuk memastikan semua aktiviti adalah berorientasikan gaya hidup belia dan golongan muda. 

 

79. Sifat kesukarelawanan amatlah penting di semua peringkat terutamanya di kalangan golongan belia. Oleh itu Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM400 ribu bagi tahun 2015 bagi menggerakkan Sukarelawan Darul Ta'zim melalui aktiviti-aktiviti yang mampu dirasai oleh masyarakat seperti motivasi pelajar oleh sukarelawan siswa, pembangunan sukarelawan di peringkat sekolah, khidmat masyarakat di kalangan belia serta sukarelawan sukan. Sehingga kini seramai 13 ribu ahli sukarelawan telah berdaftar dan saya berharap lebih ramai belia akan mendaftar dan menyertai program ini.

 

80. Kerajaan Negeri akan terus berusaha melahirkan atlet yang unggul dan kompeten. Jika tahun 2014 kita telah mengorak langkah dengan memulakan program pembangunan atlet di peringkat sekolah menengah, bagi tahun 2015 kita akan mulakan pula program pembangunan atlet seawal usia 10 tahun dengan memfokuskan kepada sukan bolasepak, sepak takraw serta sukan padang dan balapan. Namun begitu aktiviti belia dan sukan akar umbi tidak akan dipinggirkan. Sebaliknya akan terus diperkasa agar belia secara umumnya tidak hanyut dengan perkembangan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi semata-mata sekaligus melupakan kepentingan aktiviti fizikal. Pelaksanaan program-program ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM 3 juta.

 

81. Sukacita dimaklumkan bahawa satu lagi projek pemangkin di Iskandar Malaysia iaitu Iskandar Malaysia Motorsports City and Fast Track  akan dibangunkan pada tahun 2015 dengan pelaburan komited sebanyak RM3 bilion. Lebih penting, kewujudan projek pemangkin ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan baharu dalam sektor automotif dan sukan permotoran, malah akan turut membuka peluang-peluang latihan dan kemahiran kepada anak-anak muda dan golongan belia tempatan dalam bidang automotif, permotoran dan yang berkaitan dengannya. Saya berharap peluang menarik ini akan direbut dan dimanfaat sebaiknya oleh semua apabila projek ini siap kelak.

 

82. Bahana paling besar pada masa depan putera-puteri bangsa adalah penyalahgunaan dadah. Banyak usaha telah dilakukan untuk menanganinya tetapi segalanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Namun, berputus asa bukan suatu pilihan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri tekad memperuntukkan sebanyak RM500 ribu  bagi program-program pencegahan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dadah. Kita harap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) akan mempertingkatkan lagi ikhtiar kesukarelawanan untuk membenteras penyalahgunaan najis dadah di kalangan generasi muda di seluruh Johor. 

 

(vii) Memperkasa Sumbangan dan Profesionalisme Wanita

 

83. Kerajaan Negeri menyambut baik akan pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Perdana Menteri yang memartabatkan peranan wanita. Kerajaan Negeri akan meneruskan kesinambungan pembangunan wanita ini dengan memberi peluang kepada wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal yang berminat dalam keusahawanan untuk mengikuti Program Kemahiran Inkubator Ibu Tunggal (I-KIT), Program Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita) dan Program Teras Pembangunan Wanita dengan memberi penekanan kepada tiga kategori golongan wanita iaitu Wanita Profesional, Wanita Pertengahan dan Wanita Amatur menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 150 ribu.

 

84. Begitu juga dengan pembangunan Wanita India di Negeri Johor; berdasarkan peruntukan untuk pembiayaan keseluruhan yang disediakan di bawah AIM oleh Kerajaan Pusat untuk usahawan wanita India, Kerajaan Johor mensasarkan seramai 100 orang usahawan wanita India Johor akan mendapat manfaat daripada pengagihan ini.

 

85. Kerajaan Negeri juga berharap agar wanita Johor akan dapat merebut peluang untuk terlibat aktif dalam pengukuhan Program Pengarah Wanita yang mensasarkan 30 peratus penglibatan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan. Saya menyeru syarikat milik kerajaan dan swasta di Johor untuk memberi peluang kepada lebih ramai wanita profesional menjadi ahli lembaga pengarah.

 

86. Selain itu diharapkan peluang wanita untuk kembali kepasaran kerja melalui program ‘1Malaysia Support for Housewife’ yang menitikberatkan latihan kemahiran dan galakan suri rumah serta wanita profesional kembali ke pasaran pekerjaan berdasarkan kelayakan profesional melalui ‘Program Women Career Comeback’ yang akan diwujudkan oleh pihak Talent Corp dapat dimanfaat sepenuhnya oleh wanita Johor. Secara mudahnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan ini, sudah tentu mampu menerajui pembangunan dan pemerkasaan profesionalisme wanita di Johor.

 

(viii) Memelihara Budaya Dan Warisan Johor 

 

87. Biar mati anak, jangan mati adat. Kebudayaan dan warisan merupakan keseluruhan cara hidup yang mendefinisikan sesuatu bangsa. Ia seharusnya difahami sebagai suatu penjelmaan corak dan gaya hidup yang dapat dilihat secara zahir dalam keseluruhan ruang litup kehidupan sesebuah peradaban. Dengan yang demikian kebudayaan menjadi citra jati diri sesuatu bangsa. Saya sangat berbangga mengumumkan bahawa inisiatif strategik ini bakal turut menyentuh pemerkasaan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dalam usaha membangunkan Johor yang inklusif tanpa mengesampingkan kerencaman budaya dan warisan berzaman yang indah.

 

88. Pusat Pentadbiran YWJ yang telah ditempatkan di Kompleks Mawar akan ditambah baik secara berfasa dan bakal menempatkan pelbagai program-program kebudayaan dan kesenian seperti Akademi Pembinaan Karaktor, kelas pembugaran tulisan jawi, kelas zapin, serta pelbagai lagi paparan seni seperti seni tenunan songket dan sebagainya dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi tahun 2015. 

 

89. Demi kelangsungan permainan tradisional yang kian dipinggirkan, Kerajaan Negeri akan memberi suntikan sebanyak RM250 ribu untuk diserap dalam kokurikulum di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negeri Johor melibatkan program pengenalan permainan tradisonal seperti congkak, sepak raga dan galah panjang serta menganjurkan pertandingan di peringkat zon, daerah dan negeri. 

 

90. Selain itu peruntukan RM1 juta akan disediakan bagi tujuan mempromosi kebudayaan, kesenian dan warisan Johor melalui penganjuran festival besar-besaran agar ianya mampu memberi impak dan terus bugar tak lapuk di bawa arus permodenan hari ini.

 

91. Namun pembugaran budaya dan warisan Johor pasti tidak akan ke mana jika para aktor, budayawan dan penggiat seni tidak diberikan imbuhan dan pengiktirafan sewajarnya. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan kira-kira RM300 ribu setahun bagi tujuan insentif kerjaya khusus kepada tenaga kerja seni kebudayaan YWJ. 

 

92. Bagi mengekalkan warisan Johor untuk tatapan generasi mendatang, peruntukan RM20 juta daripada Tabung Amanah Warisan Johor akan diperuntukkan bagi Projek Kembara Wangsa. Peruntukan ini akan digunakan untuk menaiktaraf prasarana dan pemulihan tapak-tapak bersejarah di sepanjang Sungai Johor, Kota Tinggi. Impak daripada projek ini, beberapa kawasan di sepanjang Sungai Johor akan dijadikan tapak warisan berkepentingan nasional. 

 

93. Menyedari peri pentingnya sejarah dirakam dan diperlihatkan secara saintifik dan sistematik, Muzium Timbalan Setia Negeri dan Muzium Mersing akan dibangunkan pada tahun 2015 dengan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM4.3 juta. Melalui penubuhan ini, diharapkan kekayaan khazanah warisan kita akan  terus dapat dikaji dan dihayati dengan lebih baik.

 

94. Tidak ketinggalan, bagi memastikan kelangsungan budaya dan penulisan masyarakat tempatan, sebanyak RM100 ribu diperuntukkan kepada Persatuan Penulis Johor bagi melaksanakan dan menyebar luas pelbagai aktiviti penulisan dan persuratan mereka.

 

STRATEGI KETIGA: MEMBANGUNKAN MASYARAKAT BERILMU DAN BERKEMAHIRAN BAGI MENDUKUNG PERALIHAN KE ARAH EKONOMI BERASAS PENGETAHUAN

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker, 

 

95. Pelaburan membangunkan potensi manusia adalah pelaburan paling strategik bagi sebuah bangsa. Matlamat kita ialah untuk membongkar potensi setiap warga Johor menerusi penyediaan peluang pendidikan dan latihan yang bersesuaian dan anjal di pelbagai peringkat. Perkara ini akan mengambil kira pilihan, potensi dan merit pelajar serta menghapuskan perkara-perkara yang menghalang penyertaan mereka selama ini. Maka, bagi menyokong Strategi Ketiga ini, inisiatif strategik penting yang akan dilaksanakan ialah;

 

Membina Upaya Insan Untuk Kekuatan Bangsa

 

96. Pembinaan dan pengupayaan insan demi kekuatan bangsa ini akan dijalankan dalam pelbagai peringkat mengikut keperluan dan kepentingannya. ‘Program International Student Assessment’ (PISA) yang dilaksanakan oleh The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) menunjukkan bahawa kanak-kanak yang memasuki kelas pra sekolah pada usia awal menunjukkan pencapaian dan kemahiran sosial yang lebih baik. Oleh itu, lebih banyak pelaburan dan kerjasama strategik akan dilakukan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak dibuka seluasnya kepada keluarga dengan latar belakang sosio-ekonomi yang kurang berkemampuan.

 

97. Sekalipun Kerajaan Negeri Johor menyedari bahawa pendidikan adalah bidangkuasa Kerajaan Pusat tetapi kerjasama erat antara kedua-dua pentadbiran akan dipertingkat terutama dalam menyediakan akses kepada asuhan awal kanak-kanak. Dasar Kerajaan Negeri Johor mensasarkan agar menjelang tahun 2017, setiap anak-anak di Negeri Johor yang berusia empat tahun ke atas sudah berada dalam kelas pendidikan awal. Perbincangan khusus dengan Kemas, Yayasan Permata dan pelbagai pihak lain akan dilaksanakan untuk mencari pendekatan paling sesuai dalam merealisasikan inisiatif ini. 

 

98. Memastikan pelajar yang tamat persekolahan menengah dilengkapi kemahiran yang relevan akan turut menjadi keutamaan kita. Ini adalah masalah yang sangat rumit. Pertama, jumlah mereka adalah ramai. Peluang untuk ke pendidikan tinggi amat terhad dan semakin kompetitif. Tidak ramai yang mampu membiayai pendidikan secara persendirian. Namun begitu, Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bagi menyediakan laluan latihan kemahiran yang sesuai agar mereka boleh membina masa depan yang baik. 

 

99. Jika Edu City terfokus kepada pendidikan tinggi, pelengkap kepada kepelbagaian laluan dalam sistem pendidikan ialah menjadikan Johor pusat serantau bagi latihan kemahiran. Justeru, satu kawasan 100 ekar telah dikenalpasti di daerah Kota Tinggi bagi pembangunanHab Kemahiran Johor atau ‘Johor Skill Hub’ oleh Yayasan Pelajaran Johor dengan anggaran nilai pembangunan sebanyak RM225 juta yang akan menyediakan pengajian kemahiran meliputi sektor minyak dan gas, pengangkutan, pelancongan, bioteknologi dan kesihatan.   

 

100. Sebagai sebahagian dari cita-cita melengkapkan Johor sebagai Hab Kemahiran terkemuka, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan menubuhkan ‘Centre of Excellence for Maritime Related Activities’. Usaha ini adalah bagi memenuhi permintaan tinggi tenaga kerja dalam industri maritim dan pelabuhan. Usaha ini akan didokong oleh pelbagai pihak dalam industri maritim seperti Johor Port Berhad, Pelabuhan Tanjung Pelepas, IRDA, Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pelbagai agensi lain. Adalah dijangkakan bahawa pusat latihan ini dapat melatih seramai 15,000 orang dalam masa 5 tahun akan datang bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri berkaitan.

 

101. Program Johor Talent yang diperkenalkan pada tahun 2014 akan terus dipergiatkan. Ia akan mencari bakat terbaik dari kalangan graduan kita untuk diberikan peluang latihan industri atau ‘internship’ di sektor awam dan syarikat milik Kerajaan Negeri dengan hasrat memberi pendedahan dan menyediakan mereka seawal mungkin sebagai pemimpin hari muka untuk Johor.

 

102. Saya sentiasa percaya generasi muda khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menyumbang secara tersendiri dan bermakna kepada pembangunan negara. Justeru Program Duta Jauhar yang telah dilancarkan pada tahun ini akan diteruskan. Sebanyak RM 1.5 juta akan diperuntukkan kepada Program Duta Jauhar ini bagi tahun 2015 agar mana-mana mahasiswa IPT yang mempunyai idea inovatif dan mampu mengislahkan masyarakat boleh memohon dana untuk menyokong dan melaksanakan projek mereka.   

 

103. Untuk membantu membongkar bakat terbaik bangsa, satu skim biasiswa yang digelar “Biasiswa Sultan Ibrahim” akan diperkenalkan semula melalui YPJ. Ini adalah langkah permulaan yang sangat bermakna. Selama ini semua bantuan pendidikan adalah dalam bentuk pinjaman dan khusus untuk pendidikan pra siswazah. Namun mulai tahun 2015, kita mula memperkenalkan semula bantuan biasiswa bagi mencari bakat terbaik bagi ijazah tinggi peringkat Sarjana dan Kedoktoran Falsafah. Sebanyak RM 260 ribu akan diperuntukkan bagi tujuan tersebut. 

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

104. Setelah 44 tahun usia penubuhan Johor Corporation mulai tahun 2015, saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan dua skim penajaan pendidikan sulung Johor Corporation iaitu:

 

Pertama: ‘JCorp Education Sponsorship Program’ (JESP) bagi menaja pelajar-pelajar pra siswazah dalam empat bidang keutamaan dan kritikal iaitu ekonomi, kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan. Biasiswa ini akan memanfaatkan seramai 100 pelajar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16 juta. 

 

Kedua: JCorp juga akan melatih seramai 100 akauntan bertauliah dengan menempatkan pelajar-pelajar terbaik di firma-firma perakaunan terbaik di dalam dan luar negara. Inisiatif ‘JCorp Chartered Accountancy Program’ (JCAP) ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.2 juta. 

 

105. Mulai tahun 2015 juga, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 1 juta untuk membolehkan anak-anak Johor yang datang dari kalangan keluarga berpendapatan rendah yang berjaya ke IPTA mendapat sumbangan bagi meringankan beban bayaran pendaftaran masuk universiti. RM1 ribu bagi pelajar baharu di peringkat Ijazah sementara RM500 untuk pengajian di peringkat Diploma. 

 

106. Kerajaan juga akan meneruskan program Tuisyen SPM YPJ yang dibiayai secara kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) dengan Yayasan Pelajaran Johor dengan perbelanjaan sebanyak RM2 juta. Inisiatif ini akan menyediakan pelajar aliran Sains di Johor untuk lebih bersedia bagi menghadapi peperiksaan awam selain membimbing mereka selepas waktu persekolahan. Ia akan dilaksanakan di 148 buah sekolah yang terpilih dengan penglibatan seramai 3,100 orang pelajar. 

 

107. Bagi mereka yang telah menamatkan pelajaran dan berjaya hasil bantuan pinjaman pendidikan Kerajaan Negeri dan agensinya, maka amatlah wajar jika mereka mula membayar balik pinjaman pendidikan tersebut agar boleh membantu pendidikan rakyat Johor yang lain. Sehingga hari ini seramai 13,300 peminjam YPJ yang sedang dalam tempoh pembayaran balik pinjaman. Justeru, bagi menggalakkan bayaran balik tersebut, suka saya mengumumkan potongan ‘rebat’ sebanyak 25% akan diberikan kepada mereka yang membuat pembayaran balik secara penuh pinjaman pendidikan YPJ berkuatkuasa serta merta sehingga Jun 2015. 

 

108. Bagi menyelaras inistiatif strategik yang memperkasakan bakat dan potensi rakyat Johor ini, Kerajaan Negeri menetapkan bahawa semua penjawat awam Johor mesti mengikuti sekurang-kurangnya 7 hari kursus atau latihan setahun bagi membangunkan potensi kerjaya mereka. Inisiatif ini penting dan wajar kerana perubahan pantas persekitaran yang dibawa arus globalisasi menuntut penjawat awam dilengkapi pengetahuan terkini. Selain itu, dalam setahun kuota sebanyak 25 orang Pegawai Tadbir Negeri Johor (PTNJ) akan disediakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana bagi melahirkan penjawat awam yang berkelayakan dan mampu memberi perkhidmatan yang lebih cekap. Tanpa program sebegini, kita khuatir akan wujud ‘jurang urus tadbir’ yang akan membantut modenisasi Negeri Johor dan Malaysia. 

 

109. Aspirasi kita dalam membangunkan Johor yang kompetitif tidak akan terjelma tanpa bakat terbaik. Ini adalah fenomena global. Malaysia dan Johor tidak terkecuali. Zaman budaya ‘the know who’ telah berakhir. Melalui segala inisiatif ini, Johor akan mencari bakat terbaik untuk mengisi dan menerajui perkhidmatan awam, agensi kerajaan serta syarikat milikan Kerajaan agar dapat terus melonjak ke hadapan.

 

110. Insya-Allah, melalui Strategi Ketiga ini juga, kita akan dapat menyaksikan suatu kelahiran masyarakat dan golongan muda Johor yang lebih berupaya dan berkebolehan dalam menyumbang kepada Johor dan negara kita Malaysia.

 

STRATEGI KEEMPAT: MEMBUDAYAKAN INOVASI, KREATIVITI DAN KEUSAHAWAN  BERDAYA SAING GLOBAL

 

111. Malaysia adalah negara yang mempunyai ramai usahawan berbakat dan budaya keusahawanan yang sangat menebal terutamanya di kalangan masyarakat Cina. Malah ekonomi Malaysia selama ini dipacu oleh ramai usahawan berbakat ini. Lalu Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha mencari dan membuka ruang seluas-luasnya agar mana-mana jua warga Johor yang mempunyai bakat besar, tanpa mengira usia, keturunan dan daerah asal, mesti dihakupayakan. 

 

112. Dalam hal ini, strategi kita mesti berubah. Kita mesti mempergiat usaha mencari dan bukan hanya berpeluk tubuh menunggu mereka datang kepada kita. Ini kerana, kebanyakan mereka yang berbakat ini sangat muda, tidak mempunyai modal apatah lagi layak mendapat bantuan atau pembiayaan dari institusi perbankan. Di negara membangun seperti Malaysia, usahawan muda dari golongan kurang berada acapkali terbeban dengan lebih banyak rintangan dalam mendapatkan dana dan pembiayaan. 

 

113. Justeru pada tahun 2015, sekurang-kurang sembilan program berimpak baharu akan diperkenalkan bagi membantu melatih, melahir dan membudayakan usahawan berdaya saing global.

 

Pertama: Penjenamaan semula Perbadanan Usahawan Johor Berhad kepada Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC) yang telah beroperasi sejak September 2014. Ini adalah inisiatif yang sangat penting. EDC adalah strategi Johor untuk menjadikan keusahawanan penyumbang utama pertumbuhan ekonominya. Ia akan melakar halatuju dan menjadi pemangkin utama dalam mencari dan membongkar bakat usahawan yang mempunyai idea-idea besar dan kreatif.

 

Kedua: EDC akan menguruskan semua unit premis komersial milik kerajaan yang telah diperolehi menerusi pulangan penswastaan dan menawarkannya kepada usahawan dan peniaga Bumiputera tulen supaya dapat dimanfaatkan bagi aktiviti perniagaan mereka. Premis komersial tersebut adalah di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kluang, Muar dan Mersing.

 

Ketiga: PIJ pula akan menyediakan inkubator atau ruang pejabat kecil bagi menggalakkan golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Inkubator pertama yang mempunyai 20 ruang pejabat akan dibina di kawasan Bandar Baru Uda dan seterusnya akan dikembangkan ke sekitar Pasir Gudang. Program Bantuan Belia Islam Johor yang merangkumi Program Bantuan Usahawan Belia, Program Bantuan Penjaja Kecil, Program Bantuan ‘Youth Collective’ dan Program Tajaan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Islam juga akan diteruskan. Keseluruhan perbelanjaan yang diperuntukkan bagi kesemua inisiatif ini adalah sebanyak RM3 juta.

 

Keempat: Program (Transformasi Kedai Runcit) TUKAR akan digiatkan dengan tujuan menukar orientasi kedai runcit tradisional kepada kedai moden yang menjual barangan keperluan rakyat. Peruntukan awal RM2 juta pada tahun 2014 akan ditambah lagi sebanyak RM1.5 juta dengan sasaran membantu 50 buah kedai seumpamanya. 

 

Kelima: Kerajaan Negeri dengan kerjasama IRDA mensasarkan pembangunan seribu usahawan muda yang terlibat dalam perniagaan berorientasikan model perniagaan maya. Perniagaan maya adalah gaya hidup baharu masyarakat moden Malaysia. Justeru potensinya sangat besar dan usaha menggalakkan keterlibatan dalamnya sangat penting kepada pembangunan usahawan di Johor.

 

Keenam: Tiga Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan dibina di Ayer Hitam, Kota Tinggi dan Mersing yang akan dijadikan pusat pengumpulan produk-produk IKS negeri Johor. Bagi pusat IKS dan Kraftangan di Mersing, ECER telah memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan pembangunan ini.

 

Ketujuh: Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor juga akan menyediakan 300 ruang perniagaan dengan melibatkan kos RM10 juta dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi Johor terus mapan dengan disokong oleh golongan usahawan baru. 

 

Kelapan: Bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri dengan kerjasama IRDA akan menubuhkan Koperasi Iskandar Malaysia. Koperasi ini akan menyediakan matching grant sehingga RM10 juta untuk perniagaan rantaian kedai runcit harga patut serta menggalakkan penglibatan rakyat di dalam pembangunan Iskandar Malaysia melalui kaedah 'social enterprise'. 

 

Kesembilan: Kerajaan Negeri menerusi PIJakan membangunkan tanah seluas 200 ekar untuk tujuan pembangunan kemudahan sementara aktiviti sokongan di Pengerang. PIJ akan memberikan peluang yang luas kepada usahawan Bumiputera berkelayakkan untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan RAPID Pengerang. Terdapat pelbagai jenis peluang keusahawanan yang boleh diterokai seperti perkhidmatan pergudangan, hotel bajet, restoran, pengangkutan awam dan teksi, agensi khidmat rundingan, agensi pekerjaan, kerja-kerja kontrak seperti pembinaan serta penyelenggaraan, membekalkan bahan keperluan dan lain-lain. Dijangkakan lebih 30 usahawan Bumiputera akan dapat dilahirkan susulan manfaat secara langsung daripada pembangunan RAPID Pengerang ini. 

 

STRATEGI KELIMA: MEMODENKAN PRASARANA SERTA 

MENGUKUHKAN KEPERCAYAAN AWAM TERHADAP PENTADBIRAN DAN INSTITUSI KERAJAAN

 

114. Sesungguhnya membangunkan Johor yang inklusif memerlukan lebih daripada sekadar komitmen dan iltizam politik. Ia mesti didukung oleh dua perkara. Pertama, sokongan padu rakyat keseluruhannya terhadap agenda kerajaan dan kedua, sistem pentadbiran awam negeri yang cekap, moden dan diyakini. Dasar, strategi, operasi dan pengurusan sistem kerajaan hendaklah diiringi dengan ketelusan, keadilan serta akauntabiliti yang kukuh. Malah, perkara ini akan menambah baik dan menggalakkan peranan dan penyertaan masyarakat sivil dalam setiap proses penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan yang mewakili kepentingan bersama. Lalu inovasi dan kreativiti dalam sistem penyampaian Kerajaan akan diberikan penekanan. Kerenah bikorasi dan sistem tadbir urus kita akan dikurangkan. 

 

115. Di bawah Strategi Kelima ini, sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan ditambah baik melalui empat inisiatif strategik iaitu:

 

(i) Menyediakan Prasarana dan Infrastruktur Awam Yang Moden, Cekap  Dan Sistematik 

 

116. Golongan miskin dan kurang berada adalah golongan yang paling banyak menerima manfaat jika kemudahan prasarana dan perkhidmatan awam adalah baik, cekap dan moden. Bekalan air bersih, jalan desa yang baik, akses pada internet, kemudahan sanitasi yang moden, bekalan elektrik yang murah serta pengangkutan awam yang selamat dan cekap bukan lagi pilihan, tapi keperluan dan kemestian. Malah sistem prasarana moden bukan sahaja mendatangkan keselesaan, tetapi menjadi nadi menghubung masyarakat desa dengan kemajuan dan kualiti hidup yang baik. 

 

117. Oleh yang demikian, kita akan terus melabur untuk membangunkan dan memperbaiki prasarana awam di negeri ini. Ia adalah pelaburan yang sangat penting dan mesti dilaksanakan dengan formula baharu yang moden dan lestari tanpa membebankan rakyat. 

 

118. Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi menyelenggara rangkaian jalan-jalan negeri. Selain itu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi tujuan Pembangunan Jalan dan  Jambatan Negeri bagi tahun 2015.

 

119. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat juga akan melaksanakan Projek Mengatasi Masalah Banjir dan Mencegah Hakisan Pantai yang menjejaskan kualiti hidup seramai 50 ribu orang. Ia akan melibatkan peruntukan RM22.14 juta dari Kerajaan Negeri dengan agensi pelaksananya ialah Jabatan Pengairan dan Saliran JPS, Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM45 juta bagi program pencegahan hakisan di sepanjang Perairan Tanjung Piai, Pontian.

 

120. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan peruntukansebanyak RM50.15 juta untuk Negeri Johor dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi mempertingkat keberkesanan dan capaian prasarana awam di luar bandar. Peruntukan ini meliputi bekalan air luar bandar sebanyak RM11 juta, jalan-jalan luar bandar sebanyak RM38.15 juta dan bekalan elektrik luar bandar sebanyak RM1 juta.  Hasil peruntukan ini, kehidupan kawasan luar bandar akan berubah wajah dan menerima manfaat prasarana yang lebih baik dan berkualiti. 

 

121. Bagi memperkemas halatuju sektor pengangkutan awam di Negeri Johor, satu Pelan Induk dengan peruntukan sebanyak RM800 ribu akan disediakan merangkumi 2 bahagian utama iaitu Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor dan Pelan Tindakan Pengangkutan Awam Daerah. Pelan ini akan menetapkan halatuju jangka pendek, sederhana dan panjang sektor ini bagi negeri Johor dan setiap daerah.

 

122. Bagi memperjelas dan menggambarkan kesemua fungsi ini, penjenamaan semula Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) kepada satu jenama peringkat negeri Johor diperlukan. Inisiatif ini akan memperkukuhkan fungsi Perbadanan PAIM sebagai sebuah agensi negeri yang proaktif serta menjadi pelengkap dalam menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan di semua Pihak Berkuasa Tempatan.

 

 (ii) Mengukuh Keeratan Sosial Dan Memasti Keselamatan Lingkungan  

 

123. Keeratan dan keselamatan sosial adalah satu lagi aspek kritikal dalam pembangunan. Lingkungan kejiranan dan kehidupan masyarakat hendaklah rukun dan damai. Maka, untuk tujuan khusus ini, Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM900 ribu bagi memastikan kawasan rukun tetangga dan skim rondaan sukarela terus diperkukuhkan di kawasan perumahan. Selain mengukuh perpaduan, ia juga adalah sumbangan tenaga masyarakat untuk memastikan lingkungan kejiranan mereka selamat.

 

124. Kerajaan Negeri amat menghargai peranan yang dimainkan oleh jabatan-jabatan berkaitan keselamatan yang diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Berdasarkan statistik yang dikemukakan oleh pihak PDRM kadar jenayah di Negeri Johor setakat bulan Oktober 2014 didapati telah menurun sebanyak 13.4% atau 1,939 kes. Beberapa pendekatan akan diambil oleh kerajaan pada tahun hadapan dalam usaha berterusan kita untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan.

 

Pertama: Sebanyak RM4 juta akan dibelanjakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memasang lebih banyak lampu awam di kawasan tumpuan ramai bagi mengelakkan kejadian jenayah. 

 

Kedua: Penambahan seramai 1,100 anggota Polis Bantuan yang akan ditempatkan di Iskandar Malaysia.

 

Ketiga: Sebuah lagi Ibu Pejabat Polis (IPD) akan dibina di kawasan Nusajaya yang dianggarkan bernilai RM117 juta.

 

(iii) Membangunkan Desa Lestari    

 

125. Kehidupan desa seringkali mengingatkan kita tentang permulaan kebanyakkan kita yang lahir dan membesar dengan sederhana di desa. Namun, arus deras modenisasi menyebabkan mula lunturnya semangat masyarakat desa dalam menjaga ekologi yang ada di sekitarnya. Kita mesti mengembalikan semangat dan kesedaran warga desa untuk menjaga serta melestarikan lingkungan desa mereka. Bermula dari pembersihan sungai, penanaman semula pokok, mengembalikan tradisi gotong royong, sehinggalah kepada membina rumah jiran yang usang serta memperbaiki jalanraya dan balai raya, semuanya penting dalam mewujudkan desa yang lestari. Sekalipun perkara tersebut hanyalah langkah kecil, akan tetapi langkah kecil sebegini memberi impak dan makna penting dalam pelestarian kehidupan warga desa. 

 

126. Di Sedili Kecil, Kota Tinggi, kerajaan telah memperuntukkan RM4.4 juta bagi tahun 2015 kepada golongan sasar bagi membina 100 unit rumah secara berkelompok. Ia bagi mewujudkan kawasan perumahan di desa dengan terancang dan lestari dan dilaksanakan dengan kerjasama KEJORA.

 

127. Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri dengan kerjasama KEJORA juga akan memperuntukkan RM11.5 juta bagi Program Pembangunan Kampung Tradisional. Ia akan digunakan untuk membina kemudahan awam yang selesa di samping menggalakkan kegiatan sosial, kemasyarakatan dan keagamaan. Tujuannya hanya satu, mengembalikan semangat kerukunan di desa yang kukuh bersandarkan muafakat. 

 

(iv) Melahirkan Masyarakat Yang Islami Dan Beramal Soleh

 

128. Masyarakat Islami adalah masyarakat yang memberikan keselamatan, perasaan aman dan kedamaian. Masyarakat Islami ditata atas dasar akhlakul karimah, persaudaraan, persamaan, toleransi, keadilan dan kemerdekaan. Di Johor, kita mendambakan kehidupan Islami ini, yang menyaksikan masyarakat dinaungi oleh norma-norma Islam, patuh dan tunduk kepada syariat serta suka kepada kebajikan dan amal soleh. Justeru Islam mempunyai kedudukan dan peranan yang sangat kritikal dalam membangunkan Johor yang inklusif.

 

129. Menyedari kepentingan pendidikan Islam dalam mengimbangi derasnya proses permodenan masyarakat di Johor, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melakukan transformasi sekolah agama di Johor secara serius namun berperingkat. Pelan Strategik Pendidikan Islam Johor akan digubal dalam masa terdekat dengan memberi penekanan kepada 4 perkara asas. 

 

Pertama: Melestarikan pendidikan agama dari peringkat pendidikan awal sehingga ke peringkat menegah atas. 

 

Kedua: Menambah baik semua prasarana pembelajaran dan pengajaran dengan penekanan diberikan kepada penggunaan teknologi digital bagi menjadikan pengalaman pembelajaran menarik dan berkesan. 

 

Ketiga: Memastikan guru-guru diberikan ganjaran setimpal dan latihan secukupnya agar mereka boleh menjadi pemangkin dalam menjadikan sistem sekolah agama di Johor antara yang terbaik di Malaysia. 

 

Keempat: Menjadikan Johor Hub Pendidikan Antarabangsa Aliran Agama dengan menarik kedatangan sekolah-sekolah agama moden yang menawarkan kurikulum antarabangsa yang pelbagai.

 

130. Bagi tahun 2015, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM457,600 untuk melaksanakan Program Iqra’ dan Fardhu Ain (IQFA) kepada kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran dan asuhan awal di tadika-tadika KEMAS. Ini bagi memastikan anak-anak kecil dapat menguasai ilmu Al-Quran dan asas Fardhu Ain dengan baik sebelum melangkah masuk ke alam persekolahan rendah secara formal.

 

131. Bagi mengiktiraf guru-guru KAFA yang sangat berjasa, sukacita saya mengumumkan pemberian imbuhan tahunan kepada guru-guru KAFA seperti penjawat awam yang lain. Ini bermakna setiap kali Kerajaan mengumumkan pemberian bonus, golongan guru-guru KAFA juga tidak terkecuali menerimanya. Saya juga dengan sukacitanya menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju agar pembayaran elaun khas cuti bersalin kepada guru-guru KAFA dilaksanakan mulai 2015. Ini bermakna setiap guru KAFA yang bersalin akan mendapat RM824 setiap bulan untuk tempoh cuti bersalin selama 2 bulan. 

 

132. Selain itu, Kerajaan Negeri juga sedang dalam peringkat kajian bagi semakan semula gaji guru agama di Negeri Johor. Insya-Allah, bila kebajikan orang yang menyampaikan kebaikan untuk agama dan bangsa seperti guru-guru agama ini dipelihara, natijahnya adalah sistem sekolah agama kita akan jadi lebih baik dan produktif.

 

133. Suasana pembelajaran yang selesa, bersih dan terselenggara sangat penting kepada perkembangan intelek dan sahsiah anak-anak kita. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan peningkatan tahap kebersihan sekolah-sekolah agama yang mempunyai jumlah pelajar melebihi 1,100 pelajar. Projek rintis ini akan melibatkan 48 buah sekolah di seluruh Negeri Johor. Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju melalui MAIJ untuk memberi RM5 ribu kepada setiap Badan Kebajikan Sekolah Agama Johor yang akan melibatkan 564 buah sekolah dengan perbelanjaan sebanyak RM2.82 juta bagi menampung kos pengurusan mereka.

134. Masyarakat Johor yang Islami juga tidak akan meminggirkan hiburan yang bersesuaian sebagai sebahagian dari santapan rohani selain menjadi instrumen dakwah. Justeru, Festival Kesenian Islam Johor akan dijadikan acara tahunan. Festival ini akan menjadi medan paparan pelbagai dimensi kesenian Islam serta bakal menyediakan alternatif yang sihat kepada hiburan selain menyemai kecintaan anak muda kepada keindahan seni dan tradisi muzik sopan berunsur Islam. 

 

135. Membentuk masyarakat Johor yang Islami juga menuntut Kerajaan dan seluruh rakyatnya senantiasa melakukan kebajikan dan beramal soleh. Oleh itu Johor yang mengangkat aspek kebajikan tidak akan sama sekali melupakan golongan fakir miskin dan mereka yang sangat memerlukan bantuan. Justeru melalui MAIJpelbagai bantuan perubatan dan penjagaan kesihatan serta rawatan hemodialisis akan ditambahbaik dan dipertingkatkan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM44.5 juta. 

 

136. Sehingga hari ini PIJ memiliki beberapa pusat dialisis antaranya seperti di daerah Johor Bahru, Segamat, Kota Tinggi dan Pontian. Justeru itu Kerajaan Negeri melalui PIJbersetuju menambah dua lagi pusat rawatan dialisis iaitu di Ayer Hitam dan Pasir Gudang dengan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.

 

137. Untuk golongan mualaf, Kerajaan Negeri pada tahun 2015 akan memperuntukkan dana zakat sebanyak RM18.4 juta bagi memastikan kebajikan saudara kita ini termasuklah orang Asli yang memeluk Islam senantiasa terbela. Peruntukan ini adalah bagi melaksanakan pelbagai program dan bantuan seperti bantuan perumahan, pelajaran, bantuan hari raya, perubatan, perniagaan dan kebajikan. Insya-Allah dengan usaha sebegini, mereka dapat menghayati dan menikmati Islam dengan penuh rasa terlindung, terbela dan bertaqwa.

 

138. Negeri dan masyarakat yang Islami juga harus mengambil langkah betul untuk memastikan aspek perancangan dan pengurusan tanah perkuburan Islam agar lebih tersusun bagi menangani keperluan semasa dan akan datang. Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah mekanisme baharu bagi pengurusan tanah-tanah perkuburan Islam secara lebih sistematik dan bersepadu.

 

139. Oleh itu, MAIJ akan menubuhkan Tabung Pembangunan Perkuburan Islam Berpusat dan Bersepadu Negeri Johor. Dana dan sumber bagi tabung ini akan dikumpul melalui sumbangan daripada pelbagai pihak termasuklah pemaju-pemaju projek hartanah dengan kaedah “Istibdal”. Usaha ini akan dimulakan di Iskandar Malaysia dengan mewujudkan kawasan tanah perkuburan Islam bersepadu yang baharu dengan keluasan 124 hektar di beberapa lokasi termasuklah Nusajaya (Lima Kedai); Kulaijaya dan Pasir Gudang (Cahaya Masai).

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

140. Bagi memastikan kebajikan pemimpin tempatan terutamanya di peringkat kampung-kampung ditambahbaik, pada tahun 2015 Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan ketua kampung di Negeri Johor sebanyak RM200 iaitu daripada RM800 kepada RM1 ribu.

 

141. Selain itu, bagi menghargai khidmat bakti petugas dan penyelia Pusat Pelatih Dalam Komuniti (PDK) yang melatih golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan mereka sebanyak RM200 iaitu petugas daripada RM800 ke RM1 ribu dan juga elaun penyelia daripada RM1,200 kepada RM1,400 mulai tahun 2015 yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta.

 

142. Masyarakat sivil yang berkesan memerlukan peranan aktif semua pihak. Maka, bagi mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan dana sejumlah RM3 juta bagi memperkasa pertubuhan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat.

 

143. Tidak ketinggalan, Kerajaan Negeri turut menghargai sumbangan penjawat awam seperti yang dilakukan Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan Kerajaan Negeri turut memberi bonus setengah bulan gaji bagi penjawat awam negeri dengan bayaran minimum RM500.

 

144. Akhirnya, kepada semua Ahli-Ahli Dewan Negeri yang begitu khusyuk mendengar ucapan Bajet ini, saya turut memahami bahawa Ahli-Ahli Dewan Negeri pada masa ini berhadapan dengan pelbagai tuntutan tugas yang semakin mencabar dalam memenuhi pelbagai isu kehendak dan keperluan rakyat yang mereka wakili dan perjuangkan. Maka dengan sukacitanya saya turut mencadangkan supaya elaun Ahli-Ahli Dewan Negeri dinaikkan kepada satu kadar bersamaan Gred 54, berkuat kuasa 1 Januari 2015. 

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

 

E. KESIMPULAN

 

145. Lima Strategi pembangunan dan pertumbuhan inklusif dengan pelbagai sentuhan atau ‘touch point’ (102) yang telah saya nyatakan sebentar tadi merupakan intipati utama Bajet 2015. Secara kesimpulannya, Bajet 2015 ini mempunyai rangkaian matlamat yang boleh dirumuskan sebagai A:B:C:, iaitu:

 

A : Anjakan pertumbuhan dan pembangunan yang strategik dan menyeluruh

 

B : Budaya, warisan, agama dan alam sekitar yang dipertahankan; 

dan

 

C : Cakupan dan capahan pembahagian kemakmuran yang adil

 

146. Dan matlamat-matlamat ini akan dicapai menerusi pendekatan 3:2:1: iaitu;

 

3 : Peringkat pembangunan iaitu Johor, Malaysia dan antarabangsa yang akan merangkumi:

 

2 : Aspek pembangunan iaitu: material/fizikal dan pembangunan insan; dan kesemuanya terangkum di dalam 

 

1 : Agenda Johor.

 

Yang Berhormat Tan Sri Speaker, 

 

147. Berdasarkan Matlamat A:B:C: dan Pendekatan 3:2:1: ini, saya percaya, Kerajaan Negeri tekad dan bersemangat untuk tampil memberikan yang terbaik buat setiap warga Johor. Iltizam dan kesungguhan ini walaubagaimanapun tidak akan bermakna andai tidak disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat. 

 

148. Maka, saya ingin menzahirkan harapan yang besar, agar kesemua inisiatif, program pembangunan serta rangkaian bantuan yang kita sediakan dengan teliti dan terperinci dalam Bajet 2015 ini akan mendapat tindak balas positif semua pihak. Tindak balas positif yang perlu diterjemahkan dalam kesanggupan untuk mengambil peluang dan risiko serta bekerja keras ke arah meningkatkan keupayaan diri, keluarga, masyarakat, alam sekitar, agama, warisan budaya serta pertumbuhan ekonomi Johor.

 

149. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya merakamkan penghargaan yang sangat tulus dan mendalam kepada semua penjawat awam di Negeri Johor. Segala pencapaian baik dan membanggakan kita sepanjang tahun ini, dari agenda pembangunan yang berjaya dilaksanakan dengan baik; pertumbuhan ekonomi yang rancak, penyampaian perkhidmatan awam yang cekap hinggalah keupayaan menguruskan defisit, semuanya tercapai kerana dedikasi luar biasa penjawat awam. Segala bakti yang ditabur, segala jasa yang dicurah, hanya Allah jua mampu membalasnya. 

 

150. Akhir sekali, dengan penuh rasa rendah diri, saya dengan ini mohon membentangkan Bajet 2015 dengan tema ‘Membangunkan Johor Secara Inklusif’ bagi Negeri Johor Darul Ta’zim. Semoga usaha ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT.

 

Demikianlah pembentangan Bajet Negeri Johor 2015. Saya mohon mencadangkan.

davispropertymanagement.com