SEMINAR KEBANGSAAN PERSURATAN MELAYU NEGERI JOHOR

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI SEMINAR KEBANGSAAN PERSURATAN MELAYU NEGERI JOHOR

DI HOTEL PUTERI PACIFIC, JOHOR BAHRU

PADA HARI SABTU, 11 OKTOBER 2014

JAM 8.00 MALAM

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Yang Berhormat, Datuk Zulkurnain Hj. Kamisan, EXCO Kerajaan Johor merangkap 

Yang DiPertua Majlis Kebudayaan Negeri Johor.

 

Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Yang Berbahagia Prof. Datuk Wira Dr. Abd.Latiff Abu Bakar, 

Ketua 1 GAPENA

 

Yang dihormati Saudara Amiruddin Md. Ali Hanafiah, 

Ketua 1 Persatuan Penulis Johor.

 

Yang dihormati wakil-wakil dari Riau, Kepulauan Riau, dan Singapura serta wakil-wakil dari seluruh negara. 

 

1. Terlebih dahulu saya merafakkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, kita semua diberikan kesempatan untuk berada dalam satu majlis yang besar ertinya khususnya kepada para penulis dan ahli persuratan serta masa depan persuratan Melayu. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak penganjur mengundang saya untuk bersama-sama dalam memartabatkan persuratan Melayu. Dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapakan selamat datang kepada kesemua perserta sama ada dari Malaysia mahupun negara-negara jiran yang terlibat ke Persidangan ini dan ke Negeri Johor Darul Ta’zim. 

 

2. Hari ini saya mempunyai tiga (3) perkara untuk dikongsikan dengan tuan-tuan sekalian. Pertama, Sejarah Persuratan Melayu di Johor. Kedua, Persuratan Melayu dan Kerencaman Citra Peradaban Melayu dan yang ketiga, Persuratan Melayu: Cabaran dan Masa Depan.

 

Pertama: Sejarah Persuratan Melayu di Johor.

 

3. Setelah Empayar dan Kesultanan Melaka ditundukkan oleh Portugis pada tahun 1511, bahasa Melayu yang menjadi lingua franca pada masa tersebut akhirnya telah turut beralih dan bertapak di wilayah Johor-Riau. Sejak itu, lahirlah istilah bahasa Melayu Johor-Riau; yang seterusnya menjadi induk kepada perkembangan bahasa Melayu di Asia Tenggara. 

 

4. Di Palembang contohnya, lahir kitab Hikayat al-Salikin (karya Abdul Samad al-Falambani). Di Banjarmasin lahir Sabil al-Muhtadin (karya Arshad al-Banjari). Tentulah kita tidak boleh melupakan Raja Ali Haji yang memberikan sumbangan besar terhadap persuratan Melayu melalui Tuhfat al-Nafis. Namun, yang hendak saya tekankan di sini ialah Persuratan Melayu Johor yang beliau telah pamerkan dalam Hikayat Negeri Johor. Kemuncak kepada perkembangan alam persuratan ini; yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara atau bahasa komunikasi adalah kemunculan Pulau Penyengat yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau. Dalam rantaian karya dan perkembangan ini, kita dapat lihat betapa Johor pernah menjadi tapak berkembangnya persuratan Melayu di Kepulauan Melayu. 

 

5. Saya fikir sebagai pencinta Persuratan Melayu, pasti kita tidak akan lupa yang DBP sebenarnya telah ditubuhkan di negeri Johor iaitu di Johor Bahru; hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956. Pengarah pertamanya juga orang Johor; iaitu Prof. DiRaja Ungku Aziz, yang terus mempromosikan pantun Melayu hingga kini. Dari Mejar (B) Dato' Muhd Said Sulaiman sebagai penggerak bahasa Melayu, Allahyarham Datuk Hassan Ahmad sebagai pejuang bahasa Melayu dan kini, kita mempunyai Datuk Dr. Awang Sariyan, yang dikenali sebagai tokoh bahasa Melayu di negara ini, hinggalah ke Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang; Johor tidak pernah ketandusan melahirkan para sasterawan dan pencinta bahasa. Antaranya Allahyarham Gunawan Mahmood, Zam Ismail, Adibah Amin, Khadijah Hashim, sehingga kepada generasi baharu Dr. Shamsuddin Othman, WB Rendra, Dr. Talib Samat dan HM Tuah Iskandar. Kita melahirkan Allahyarham Pak Shahrom Husin, dan Allahyarham Pak Matlob budayawan yang tiada tolok bandingnya. Malah, Johor turut pernah melahirkan Tokoh Warisan Orang Hidup, Allahyarham Hj. Ali Badron. Pendek kata, ini semua membuktikan Persuratan Melayu Johor telah bermula dan berkembang giat sejak dahulu lagi. 

 

Saudara-saudara sekalian

 

Kedua: Persuratan Melayu dan Kerencaman Citra Peradaban Melayu 

 

6. Sir Frank Swettenham pada abad ke-19 menggambarkan orang Melayu sebagai bangsa yang cukup sederhana. Keadaan peribadi orang Melayu ini bersih dan suka menghormati orang. Orang Melayu kaya dengan nilai susila namun tegas dalam amalan hidup berprinsip. Sasterawan negara USMAN AWANG pula melalui puisinya mengambarkan:

 

Melayu itu orang yang bijaksana,

Nakalnya bersulam jenaka,

Budi bahasanya tidak terkira,

Kurang ajarnya tetap santun,

Jika menipu pun masih bersopan.

 

7. Persuratan Melayu bukan sahaja kaya dengan nilai bahasa yang rencam namun sarat dengan kepelbagaian elemen yang melambangkan masyarakat Melayu dan budaya bangsanya. Misalnya, dalam himpunan perumpamaan dan peribahasa kita, amat jelas akan pengaruh hukum dan tabii alam atas kehidupan orang Melayu. Sejak dilahirkan kita dinasihati untuk melentur buluh biarlah dari rebungnya. Akrabnya tali keluarga ibarat air, dicincang tidak putus. Kita diperingat tentang semangat setia kawan dan jangan menjadi seperti enau dalam belukar, yang melepaskan pucuk masing-masing. Malah kita diberi peringatan bahawa perbuatan yang jahat pasti menerima balasan kerana sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

 

8. Dalam konteks persuratan Melayu dan kepentingan gaya penulisan pula, saya suka untuk menarik minat tuan-tuan dan puan-puan tentang kepentingan ejaan dan kosa kata yang tepat dengan merujuk dua kesilapan pemahaman peribahasa yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Yang pertama: Seperti melepaskan batok di tangga; yang bermaksud membuat sesuatu perkara secara tidak bersungguh-sungguh atau semberono.

 

9. Berani saya katakan bahawa, jika tidak pun semua mungkin majoriti daripada kita akan menyebut dan memahami peribahasa ini sebagai melepaskan batuk (yakni perbuatan batuk) di tangga. Namun hakikatnya, sebutan dan makna sebenarnya adalah; Seperti melepaskan batok di tangga. Batok dalam peribahasa ini, yang dieja dengan huruf vokal ‘O’ dan bukannya ‘U’ bukanlah batuk seperti yang kita faham. Sebaliknya, merujuk kepada batok; iaitu alat yang digunakan orang Melayu lama untuk mencedok air dalam tempayan untuk membasuh kasi sebelum naik ke atas rumah, yang diperbuat daripada tempurung kelapa. Maka, tindakan melepaskan batok secara santai dan bersahaja di atas tangga atau ke dalam tempayan selepas membasuh kaki ini, dinisbahkan dengan tindakan membuat pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh.

 

10. Yang kedua, peribahasa: Harapkan pagar, pagar makan padi, yang bermaksud mereka yang diamanahkan dengan sesuatu tanggungjawab bertindak mengkhianati tugas. Dalam peribahasa ini, kalau kita teliti dan kaji, adalah tidak masuk akal. Kerana, bagaimana mungkin untuk ‘pagar’ makan padi? Tidak logik! Apabila dikaji, peribahasa ini ditemui dalam tulisan jawi yang dieja menggunakan huruf ‘pa’, ‘ga’ dan ‘ra’ dan dibaca bunyi sebagai ‘pagar’. Sedangkan, yang dimaksudkan oleh ejaan tersebut adalah ‘pegar’ yang merupakan sejenis burung yang digunakan untuk menjaga padi dengan menghalau dan memakan serangga. Maka, bacaan sebenar peribahasa ini adalah harapkan pegar, pegar makan padi. 

 

11. Kesemua perkara ini menunjukkan bahawa, dari zamindar hingga wedana, panjarwala hingga nakhoda, malah dari raja hingga hamba, daftar ejaan dan khazanah kosa kata persuratan Melayu bukan sahaja amat luas, unik dan berseni, malah melambangkan sosiobudaya, etika dan gaya hidup orang Melayu. 

 

Saudara-saudara sekalian, 

 

Ketiga: Persuratan Melayu Johor: Cabaran dan   

Masa Depan

 

12. Langgam bahasa yang santun serta ketelitian susunan nahu bahasa Melayu merupakan suatu disiplin yang memerlukan penerokaan dan evolusi yang dinamik. Ini bagi memastikan bahasa Melayu akan terus kekal relevan dan yang lebih penting, bersifat mesra perubahan dan mesra zaman. Ramai yang canggung, berasa tertumbuk acapkali status dan kedudukan bahasa Melayu disanggah ketuanannya. Namun, ramai jua yang hanya setia memeluk tubuh, menjadi tukang lihat dan pak sorak yang tidak sanggup menitiskan keringat dan memerah kudrat agar kehebatan dan kesenian bahasa ini diangkat. 

 

13. Oleh itu, kita wajar mempromosikan Persuratan Melayu agar dikenali di rantau ini mahupun di seantero dunia. Saya fikir bahasa yang ditutur lebih 300 juta orang di dunia ini perlu dipertahankan; malah menjadi bahasa utama yang digunakan dalam Persidangan-persidangan rasmi di rantau ini suatu masa nanti. Adakah ini sesuatu yang mustahil? Atas nama pejuang persuratan; perkara ini merupakan suatu cabaran yang wajar disahut lebih-lebih lagi dalam era moden yang mengangkat bahasa Inggeris.

 

14. Bagi memastikan Persuratan Melayu ini terus hidup bukan sahaja di Johor, malah di Nusantara khususnya di keempat-empat wilayah ini; saya fikir sebuah Pusat Persuratan Melayu Nusantara perlu diwujudkan dengan Johor sebagai pusat utama. Manakala, wilayah lain akan membantu perkembangan ini melalui penubuhan sekretariat di wilayah berkenaan. Bagi memastikan Pusat Persuratan ini benar-benar bergerak; saya rasa suatu forum khusus antara Johor, Riau, Kepulauau Riau dan Singapura; perlu diadakan. Saya cadangkan nama sebagai Forum Selatan. Forum ini perlu membincangkan hala tuju Persuratan Melayu di nusantara dan pemerkasaannya. Cadangan penubuhan Pusat Persuratan Melayu Nusantara dan forum khusus ini bukan bermakna untuk menyaingi mana-mana badan atau agensi yang telah ditubuhkan. Akan tetapi, pusat ini nanti lebih ke arah menggerakkan budaya Melayu, dan pemikir Melayu melalui tulisan.

 

15. Dalam konteks negeri Johor, saya difahamkan Persatuan Penulis Johor akan menerbitkan sebuah Antologi Suara Hati Johor yang akan memuatkan segala harapan, keluh kesah dan berbagai-bagi lagi isu daripada Pelan Suara Hati Rakyat Johor yang akan digarap dalam bentuk puisi. Bagi saya, ini merupakan suatu perkembangan positif yang menyaksikan persuratan menjadi medium menyebarkan aspirasi kerajaan yang menguntungkan rakyat.

 

Saudara-saudara sekalian,

 

16. Hasil karya persuratan akan terus hidup walaupun penulisnya sudah tiada. Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang terus dibaca dan dianalisis. Sulalatus Salatin, masih dikaji dan dibicarakan oleh ramai orang. Pendek kata, tulisan ini akan terus hidup kerana perkataan yang kita ucap secara lisan, akan lesap bersama angin yang lalu. Namun wacana yang kita ungkap dalam tulisan, akan tertancap sebagai makalah ilmu. Maka, selaku agen perubahan zaman, setiap karya yang penulis hasilkan adalah tanggungjawab, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk tatapan dan rujukan generasi akan datang.

 

17. Suatu ketika dahulu di Johor, terdapat Pakatan Bahasa Melayu DiRaja Johor. Pakatan ini aktif menggerakkan persuratan Melayu dan turut memperjuangkan tulisan Jawi dengan menerbitkan buku Panduan Bagi Ejaan P.Bm.P.B. Diraja Johor pada tahun 1937. Walaupun pakatan ini telah tiada, kita mahu perjuangan dan semangat gerakan ini diteruskan. Persatuan Penulis Johor yang diasaskan pada tahun 1965, perlu menggerakkan aktiviti yang bersifat nasional dan merakyat agar terus hidup. PPJ perlu berani meneroka ruang yang lebih besar agar menjadi sebuah gerakan rakyat dalam memastikan Persuratan Melayu terus subur. 

 

18. Kini, kita mempunyai Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). DBPWS perlu memainkan peranan lebih besar untuk mendokong perkembangan persuratan selari dengan zaman globalisasi.  Justeru, saya ingin mencadangkan agar satu Dana Khas Untuk Program Persuratan diwujudkan khusus untuk membantu badan penulis di negeri ini. Dana khas yang diwujudkan ini hendaklah diberikan setiap tahun dan bukannya bermusim. 

 

19. Saya juga difahamkan Johor pernah melaksanakan program Dialog Selatan pada tahun 1992, yang melibatkan Johor, Riau, dan Singapura atau sering disebut SIJORI. Tentulah kita tidak pernah melupakan program Dialog Selatan yang telah diadakan lebih 20 tahun lalu. Namun, dalam konteks kini, kita perlu melakukan perubahan; apatah lagi kini telah ada empat wilayah dengan lahirnya Kepulauan Riau. Bagi memastikan setiap program dilaksanakan dengan lancar, kerajaan telah meningkatkan geran peruntukan daripada RM20,000 kepada RM50,000 kepada Persatuan Penulis Johor sejak tahun lepas, semata-mata untuk menggalakkan PPJ terus bergerak aktif bukan sahaja dalam hal-hal penulisan, tetapi jauh lebih penting menjadi jentera atau agen dalam memastikan bahasa Melayu terus berada di tempat yang sepatutnya.

 

20. Dalam gerakan seterusnya; untuk memastikan pengembangan budaya ini tidak terhenti di sini; saya fikir Johor Bharu dan Tanjung Pinang serta Pekan Baru boleh dijadikan sebagai Bandar Kembar Persuratan Melayu.

 

Saudara-saudara sekalian,

 

21. Laksamana Hang Tuah pernah berkata TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA. Soalnya bagaimana orang Melayu akan berhadapan dengan cabaran-cabaran yang semakin hebat dekad ini.

 

Bagaimanakah Melayu abad ke dua puluh satu?

Masihkah tunduk tersipu-sipu,

Jangan takut melanggar pantang, Jika pantang menghalang kemajuan.

Jangan segan menentang larangan, Jika yakin kepada kebenaran.

Jangan malu mengucapkan keyakinan, Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana, Memegang tali memegang timba,

Memiliki ekonomi mencipta budaya, Menjadi TUAN di negara MERDEKA.

 

22. Akhirnya, setinggi-tinggi terima kasih daripada pihak kerajaan kepada Persatuan Penulis Johor yang mengundang saya untuk bersama-sama berada dalam pertemuan yang bersejarah ini, serta Dewan Bahasa dan Pustaka dan semua pihak jawatankuasa kerja dalam membantu pelaksanaan memartabatkan Persuratan Melayu Johor ini. Kita juga tidak lupa budi baik jiran tetangga dari Riau, Kepulauan Riau dan Singapura; yang bersama-sama membangunkan persuratan Melayu pada hari ini. Juga terima kasih kepada semua peserta dari Johor dan seluruh negara yang ingin melihat dunia persuratan terus mekar di tanah berdaulat ini. 

23. Dengan harapan dan doa, saya berharap seminar ini berjaya membuahkan hasil demi kebaikan ahli persatuan serta manfaat orang Johor, rakyat Malaysia serta seluruh warga Nusantara. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, saya merasmikan Seminar Kebangsaan Persuratan Melayu Negeri Johor 2014. 

 

Sekian, terima kasih. 

Wabillahitaufik walhidayah 

wassalamualalikum warahmatullahi wabarakatuh. 

davispropertymanagement.com