PERASMIAN PELANCARAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI JOHOR

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI PERASMIAN PELANCARAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI JOHOR

DI PUSAT ISLAM ISKANDAR, JOHOR BAHRU

PADA HARI SABTU, 25 OKTOBER 2014

8.45 PAGI

 

 

 

Bismillahirrahmannirrahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis.

 

Yang Berhormat

Tuan Haji Abd Mutalip bin Haji Abd Rahim

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor 

 

Yang Berhormat

Tan Sri Mohamad bin Haji Aziz

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor

 

Yang Berhormat

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

 

Yang Berhormat

Dato’ Haji Ismail bin Karim

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

 

Sohibus Samahah Yang Berhormat

Dato’ Haji M. Tahrir bin Dato’ Haji Shamsuddin

Mufti Negeri Johor

 

Yang Berhormat

Dato’ Haji Abd Razak bin Hassan

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor

 

Dato’-Dato’, Datin-Datin

 

Ketua-ketua Jabatan

 

Pemimpin-pemimpin Masyarakat

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izin-Nya kita dapat berhimpun dan bertemu bagi meraikan kedatangan tahun baharu Hijrah 1436. Setinggi-tinggi selawat serta salam ke atas Penghulu Segala Nabi, junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para solihin. 

 

2. Permulaan tahun baharu hijrah merupakan suatu peristiwa yang cukup bermakna. Hari ini, genap kali ke-1436 tahun kita memperingati peristiwa besar hijrah Rasulullah SAW, dari Tanah Haram Mekah Mukarramah ke Kota Madinatul Munawwarah. Penghijrahan besar yang menjadi titik tolak dan pemangkin perubahan pemasyhuran syiar Islam ke serata alam.

 

3. Sesungguhnya, sambutan Maal Hijrah bertujuan untuk kita semua mengingati dan menghayati segala keikhlasan dan pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Keikhlasan dan pengorbanan jiwa dan raga atas nama agama sepenuhnya yang semata-mata ingin memastikan kelangsungan Islam yang memberi sinar kepada seluruh umat manusia dipertahankan. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

4. Hijrah adalah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, malah dalam sejarah peradaban manusia keseluruhannya. Dalam konteks sirah Rasulullah SAW, hijrah bukan sahaja suatu manifestasi keimanan yang tidak tertanding, malah merupakan suatu penzahiran contoh strategi dan perancangan berkesan dalam usaha membentuk tamadun agung. Perkara ini nyata memberi pengajaran terbaik kepada umat Islam dalam menggembleng usaha untuk melakukan persiapan dan membina kekuatan dalam menentang musuh Islam hari ini dan pada masa akan datang. Oleh yang demikian, dalam memahami peristiwa hijrah besar ini, adalah perlu untuk kita turut mengkaji keadaan sebelum dan selepas penghijrahan tersebut. Maka, suka untuk saya menyorot di sini sedikit rentetan sejarah Hijrah.

 

Sorotan Sejarah Hijrah

 

5. Dr. Martin Lings dalam ‘Muhammad - His Life Based On the Earliest Sources’ menceritakan kerapian perancangan Hijrah Rasullallah SAW. Ancaman dan penolakkan keras Kafir Quraish ketika itu menyebabkan rancangan Hijrah dilakukan secara teratur dan pemindahan umat Islam dijalankan secara berperingkat-peringkat. Ini bagi mengelakkan rasa syak dan tindakan balas oleh mereka yang menentang Islam. Perancangan yang sulit, rapi dan berstruktur ini ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. 

 

6. Sekarang kita beralih pula dan melompat terus kepada situasi selepas penghijrahan. Selain memupuk penerimaan baik kaum Ansar ke atas Muhajirin, Baginda turut mendirikan menjadikan Masjid Quba’ sebaik tiba di sana. Malah, sekalipun ada pandangan yang menyatakan bahawa Magna Carta Libertatum yang diishtiharkan oleh King John pada 15 Jun 1215 sebagai antara deklarasi hak asasi manusia yang terawal di dunia, hakikatnya, Sahifah Madinah atau Piagam Madinah telah lama mendefinisikan hak-hak dan tanggungjawab pelbagai kaum dan kabilah di dalam sebuah negara Islam berdaulat. Selain menyediakan kerangka masyarakat dan adat bernegara, Piagam Madinah dipercayai undang-undang perlembangaan tersusun yang pertama di dunia.

 

7. Berdasarkan sorotan ringkas sejarah hijrah ini, jelaslah betapa Hijrah bukan sahaja dilakukan dengan menyatukan umat Islam. Sebaliknya, ia merupakan suatu proses teliti yang mempunyai perancangan strategik dan berlaku dalam pelbagai bentuk dan peringkat. 

 

8. Sesungguhnya, amat naif dan menyedihkan andai kita menyangka bahawa, hanya kerana kita berjuang di jalan Allah menegakkan agama yang benar, maka kita pasti akan beroleh kejayaan. Sebaliknya, kita perlu memahami bahawa sesuatu perjuangan yang diakhiri dengan kejayaan yang besar, lazimnya dimulakan dengan perancangan yang teliti pada awalnya. Berperang tanpa strategi, ibarat berjuang tanpa nadi.

 

Hadirin sekalian, 

 

9. Kita maklum bahawa, selain dilalukan secara terancang, Hijrah telah menyaksikan keterlibatan semua pihak. Daripada Saidina ‘Ali yang menggantikan tempat tidur Rasulallah, Abdullah Bin Uraiqit Al Laythi selaku penunjuk arah dan pemandu jalan yang bukan pun beragama Islam, ‘Amir bin Fuhayrah, hamba Abu Bakar As-Siddiq yang mengembala kambing bagi melindungi jejak Rasulallah dan Saidina Abu Bakar, ‘Abdullah bin Abu Bakar, anak Saidina Abu Bakar yang menjadi pengintip sehinggalah kepada ‘Asma Abu Bakar yang membekalkan makanan ke Gua Thur. Kesemuanya berperanan dan menyumbang atas kapasiti masing-masing.

 

10. Perkara ini mengajar kita bahawa, dalam agama, semua pihak harus dan boleh menyumbang dalam bentuk dan kapasiti masing-masing. Tanggapan bahawa penyebaran dakwah dan pengukuhan kedudukan Islam adalah tanggungjawab pemerintah dan ahli agama semata-mata adalah meleset jauh sama sekali. Sebaliknya, setiap daripada kita hendaklah sentiasa memantapkan pemahaman agama yang kukuh agar dapat melakukan hijrah kita yang tersendiri dengan menyumbang kepada nama baik agama.

 

Inisiatif dan Hijrah Kerajaan Negeri

 

11. Alhamdulillah, di negeri Johor, kita amat bersyukur kerana terdapat banyak usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor yang bermatlamat memantapkan penghayatan hijrah ini. Malah kebanyakkan program yang dirancang mensasarkan untuk memartabatkan lagi Agama Islam di negeri Johor yang secara umumnya merupakan salah satu daripada fokus Pelan Suara Hati Johor. Dalam konteks ini, bagi pihak kerajaan, segala usaha ke arah mengangkat syiar Islam ini merupakan perjuangan dan hijrah yang tersendiri.

 

12. Di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor misalnya, kita telah melaksanakan pelbagai program rakyat untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang jelas betapa kita semua memikul satu tanggungjawab yang sama, iaitu memartabat dan memperkasakan Agama Islam di peringkat yang lebih tinggi lagi.

 

13. Dalam menyediakan manfaat berterusan kepada rakyat pula, kerajaan negeri turut memperhebat dan mempertingkat program-program dakwah di seluruh negeri Johor dengan perlaksanaan program sebanyak 96 kali gerak kerja iaitu sebanyak 8 kali sebulan sepanjang tahun. Program-program membudayakan al-Quran di Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun serta Syarikat Swasta secara mingguan pada setiap hari khamis juga menjadi medium memartabatkan Islam dan perlu dilaksanakan secara berterusan. Segala inisiatif ini dilengkapkan dengan usaha Kerajaan negeri untuk lebih menitikberatkan sistem pendidikan Agama Islam di negeri Johor dengan merangka pelan strategi pendidikan yang moden dan konklusif. Bagi saya, ini juga hijrah. 

 

14. Namun, saudara dan saudari sekalian, hijrah ini bukan sahaja berlaku dalam situasi yang memerlukan kita bergaul dengan masyarakat. Malah, hijrah dalam konteks individu juga perlu diberikan perhatian. Ini termasuklah sentiasa berusaha dan berubah untuk menjadi mukmin yang lebih baik saban hari.

 

15. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibNya”. Daripada ayat itu, jelaslah bahawa Islam menuntut kita membawa perubahan supaya kita menjadi umat yang lebih baik di masa hadapan. Untuk itu, saya menyeru kepada umat Islam, marilah kita semua, sama ada secara individu atau pun bersama-sama saudara kita yang lain, berhijrah dan menjadi lebih baik dari hari ini. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

16. Dengan segala inisiatif kerajaan dan agensi berkaitan yang menjurus ke arah pemantapan kedudukan Islam, apakah bentuk hijrah yang boleh kita, secara individu, lakukan hari ini? Bagi saya, hijrah terbaik yang boleh kita lakukan adalah dengan cuba untuk hidup berlandaskan prinsip agama sehingga menyerlahkan kesempurnaan Islam.

 

Hijrah Meninggalkan Ekstremisme

 

17. Belakangan ini, sikap masyarakat kita yang terlalu taksub dengan sesuatu fahaman atau ideologi semakin menjadi-jadi. Ketaksuban sedemikian pastinya boleh memecahbelahkan umat yang akhirnya akan membuatkan kita menjadi umat yang lemah dan tidak berdaya saing. Sejajar dengan tema sambutan Maal Hijrah 1436 kali ini iaitu “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, amat bersesuaian dengan suruhan serta saranan Allah SWT agar umat manusia yang diciptakan daripada pelbagai suku, kaum dan puak seharusnya hidup bermuafakat, harmoni dan bertoleransi antara satu sama yang lain. Saya percaya, perkara ini selari dengan konsep Muafakat Johor yang kita sarankan.

 

18. Terimalah hakikat bahawa citarasa serta cara kita melihat sesuatu perkara itu berbeza di antara satu sama lain. Bersetujulah untuk tidak bersetuju. Bukankah kita diajar bahawa perbezaan pendapat itu satu rahmat. Junjunglah semangat cintakan Islam setinggi-tingginya kerana seharusnya martabat Islamlah yang perlu kita semua sentiasa utamakan.

 

19. Malah, dalam arus globalisasi pada hari ini kita sering mendengar betapa Islam itu sering dikaitkan dengan fahaman ekstermisme. Kepengganasan telah digambarkan ekslusif kepada Islam sekaligus menjadi penyemarak fahaman songsang Islamophobia. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana hakikatnya Islam yang berlandaskan keamanan dan perdamaian amat menyeru umatnya supaya sentiasa bersederhana dalam setiap perkara yang dilakukan. Dalam sesi perdebatan Is Islam A Peaceful Religion?  di Oxford Union, Mehdi Hassan, seorang wartawan politik British telah menyelar keras dakwaan tidak berasas sesetengah pemikir liberal yang menuduh melulu bahawa Islam menyuburkan tingkah laku ganas dan melampau.

 

20. Justeru, dalam kontek ini, saya menyeru masyarakat di negara ini untuk melakukan hijrah kita untuk meninggalkan perkara-perakra yang akan mengaitkan Islam dengan fahaman melampau yang didokongi tafsiran sesat dan terpesong. Berhijrahlah dengan bersifat adil kepada Islam. Malah pamerkan adab dan perasaan hormat antara satu sama lain yang teras kepada perpaduan, lebih-lebih lagi di negara kita yang majmuk dan rencam budaya bangsanya.  

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

Kesimpulan

 

21. Secara kesimpulannya, saya suka menggariskan lima (5) perkara untuk kita hayati dan amalkan bersama sepanjang tahun baharu ini: 

a. Pertama: Hijrah mengajar kita bahawa agenda agama hendaklah dilakukan secara berstrategi, berperingkat-peringkat dan bukannya secara melulu;

b. Kedua:  Kita semua berperanan dalam mengembangkan dan mempertahankan kesyumulan syiar Islam dengan bentuk dan kapasiti kita;

c. Ketiga: Sentiasalah berusaha dan berubah untuk meningkatkan potensi dan pencapaian diri;

d. Keempat: Berusahalah untuk meninggalkan dan mengelakkan fahaman atau pendekatan ekstremis yang terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar; dan yang terakhir

e. Kelima: Ayuhlah berazam untuk menyumbang kepada agama dengan penuh rasa ketaqwaan, istiqamah dan ikhlas. 

 

22. Akhir kalam, perbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda Nabi SAW, moga-moga kita menjadi sebahagian daripada mereka yang dipilih untuk bersama Baginda di sana nanti. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor bagi tahun 1436 Hijriyah bersamaan 2014 Masihi.

 

Sekian, terima kasih.

davispropertymanagement.com