MAJLIS PRA-PELANCARAN DAN PENDAFTARAN PERUMAHAN MAMPU MILIK UEM SUNRISE BERHAD

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PRA-PELANCARAN DAN PENDAFTARAN PERUMAHAN MAMPU MILIK UEM SUNRISE BERHAD 

DI SEK. MEN. KEB. GELANG PATAH, JOHOR

PADA HARI SABTU, 01 MAC 2014

JAM 2.30 PETANG

 

 

 

1. Terlebih dahulu, izinkan saya melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka kita dapat bersama-sama hadir dan berkumpul di dalam majlis yang cukup bermakna sempena Pra-Pelancaran dan Pendaftaran Perumahan Mampu Milik di Nusajaya yang dibangun dan dimajukan oleh UEM Sunrise Berhad.

 

2. Saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi mengundang saya untuk memberikan ucapan bersempena majlis ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UEM Sunrise Berhad, kerana berjaya mengadakan majlis ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Program Perumahan Rakyat

 

3. Sektor perumahan negara mempunyai peranan yang sangat penting bagi merealisasikan hasrat Malaysiauntuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan melalui Pelan Transformasi Kerajaan  (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah memberikan penekanan yang khusus untuk meningkatkan keupayaan pemilikan perumahan golongan berpendapatan rendah di mana YAB Perdana Menteri sendiri semasa pembentangan bajet 2013 telah menyatakan bahawa ‘kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Maka atas sebab itu, kerajaan negeri ingin mengambil tanggungjawab untuk memastikan rakyat Johor dapat memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah yang selesa untuk setiap isi rumah bagi melahirkan generasi yang cemerlang. 

 

Merancang Dan Menyediakan Perumahan Rakyat

 

4. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif memperkasakan sektor perumahan Johor dengan mentransformasi semula Dasar Perumahan Negeri yang mana akan dilaksana dan dipantau oleh Jawatankuasa Khas Sektor Perumahan serta diukur keberhasilannya menerusi Key Result Area Perumahan Pelan Suara Hati Johor. Atas kesedaran bahawa Kerajaan Adalah Payung Rakyat, kerajaan negeri dengan penuh rasa tanggungjawab telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjayakan program pembinaan 28,000 Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun akan datang.  20,000 buah rumah disasarkan untuk dibina di kawasan Iskandar Malaysia dan selebihnya akan dibina di lain-lain kawasan yang telah dikenalpasti termasuklah kawasan luar bandar.

 

5. Alhamdulillah, berdasarkan rekod semasa, sebanyak 25,522 unit rumah telah dan sedang dibina oleh para pemaju di seluruh Johor. Antara projek yang telah berjaya disiapkan sejak mula dilaksanakan tahun lepas adalah 639 unit perumahan mampu milik di Taman Setia Indah. Manakala dalam masa terdekat, iaitu penghujung tahun 2015, 304 buah rumah mampu milik di Johor Bahru dan 612 unit di Batu Pahat bakal disiapkan oleh pemaju dalam masa yang telah ditetapkan. Manakala pada tahun ini, dijangka sebanyak 1,150 unit rumah di bawah kategori Projek Perumahan Rakyat di kawasan Sungai Melana, Johor Bahru akan ditawarkan untuk disewa oleh rakyat Johor dengan sewa bulanan serendah RM124 sahaja.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

6. Jika tuan-tuan dan puan-puan menilai perancangan dan agenda yang cuba kerajaan negeri laksanakan, iainya tidak lain dan tidak bukan adalah meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang paling tinggi. Adalah penting untuk saya nyatakan bahawa kerajaan negeri telah sedaya upaya menggunakan daya tenaga intelektual, bijak pandai dan golongan profesional agar kita dapat menghasilkan satu perancangan yang terbaik, mapan dan membina daya saing rakyat agar Johor menjadi Permata dari selatan yang bersinar terang. Tiada maknanya jika peluang ekonomi dan pekerjaan disediakan seluas-luasnya akan tetapi rakyat terbanyak akhirnya tidak mampu untuk membeli rumah di negeri sendiri. Jadinya usaha kita menggerak dan menyediakan rumah mampu milik ini adalah usaha serampang dua mata yang mana rakyat negeri Johor akan menikmati manfaat yang berpanjangan.

 

Peranan Pihak Swasta – UEM Sunrise Berhad

 

7. Pihak kerajaan negeri amat berbesar hati dan mengalu-alukan kesediaan pihak pemaju swasta untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan negeri bagi menjayakan agenda menyediakan rumah yang mesra dan selamat untuk rakyat negeri Johor demi melahirkan lebih ramai generasi Darul Ta’zim yang berminda cemerlang dan mempunyai jasmani yang seimbang, kerana pendidikan sosial dan sahsiah anak-anak adalah bermula daripada tempat tinggal yang kondusif dan selesa.

 

8. Membina dan menyiapkan rumah dengan kos yang berpatutan untuk perlindungan ahli masyarakat adalah merupakan sesuatu yang mulia dan terpuji, kerana tidak semua pihak dan ahli masayarakat mempunyai keupayaan, tenaga dan kepakaran untuk membina rumah sendiri, selain pembiayaannya yang mungkin lebih tinggi berbanding membeli rumah yang telah siap. Penyediaan rumah kos rendah dan mampu milik tidak menjanjikan keuntungan yang besar kepada pemaju, lebih-lebih lagi jika tempoh masa untuk menyiapkannya mengambil masa antara 18 bulan hingga 2 tahun. Jika untung menjadi keutamaan, pastinya kebanyakan pihak pemaju akan mengutamakan perumahan kos tinggi dan mensasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi semata-mata.

 

9. Oleh itu, kesediaan UEM Sunrise untuk sama-sama terlibat untuk menyediakan perumahan mampu milik wajar dihargai oleh warga Nusajaya. Dan hakikatnya secara sedar ataupun tidak, pihak UEM Sunrise mahupun pihak pemaju yang lain, dalam jangka masa panjang telah menyumbang kepada keseimbangan sosio ekonomi, perlindungan dan keselamatan rakyat Johor di Nusajaya terutamanya. Kerjasama Kerajaan Negeri dengan UEM Sunrise ini adalah selaras dengan polisi Majlis Perumahan Negara dan Dasar Perumahan Negeri bagi memastikan aspirasi rakyat untuk memiliki rumah sendiri tercapai. Saya difahamkan perumahan mampu milik yang dilaksanakan UEM Sunrise di Nusa Bayu adalah melibatkan 80 unit rumah teres berharga RM80,000, 241 unit rumah teres berharga RM150,000 dan 30 unit rumah kedai berharga RM200,000.

 

10. Selain daripada komitmen yang ditunjukkan dalam projek perumahan mampu milik, pihak pemaju turut digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kelestarian pembangunan komuniti. Oleh itu, penglibatan pihak UEM Sunrise dalam aktiviti bersifat tanggungawab sosial atau CSR seperti membina masjid, sekolah rendah dan menengah integrasi, dewan serbaguna, sekolah agama dan pusat komuniti amatlah pihak kerajaan negeri hargai.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

Kepentingan Rakyat Adalah Keutamaan

 

11. Demi menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya, pihak kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju perumahan yang gagal untuk melaksanakan program perumahan yang dipersetujui walaupun kebenaran untuk merancang telah diberikan. Ketegasan ini adalah perlu bagi memastikan keperluan dan kebajikan rakyat terus terpelihara untuk tempoh jangka masa yang panjang.

 

12. Pihak kerajaan negeri telah pun menyatakan komitmen untuk menjaga kepentingan rakyat Johor yang telah memberikan kepercayaan kepadakerajaan Barisan Nasional untuk mengurus dan mentadbir negeri ini dengan sebaik-baiknya melalui kemenangan yang diberikan dalam PRU13 yang lepas.

 

13. Oleh itu, pihak kerajaan negeri ingin menyeru kepada pihak pemaju dan agensi-agensi terlibat untuk sama-sama menghayati aspirasi rakyat yang menaruh harapan yang tinggi untuk melihat agenda transformasi yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri dihayati dalam setiap perancangan dan tindakan kita semua.

 

Penutup

 

14. Untuk itu, saya menyeru kepada semua pihak agar bersama-sama menggembleng tenaga untuk menggalas tanggungjawab dan hasrat kerajaan Negeri bagi mendukung harapan rakyat keseluruhannya untuk memiliki rumah kediaman yang selesa dan selamat untuk dihuni, berekreasi dan berkomuniti. InsyaAllah jika kita memenuhi impian mereka, hasilnya kelak adalah rakyat yang berkualiti, negeri yang lestari dan kehidupan yang aman harmoni.  

 

15. Sekali lagi tahniah dan penghargaan juga tidak dilupakan kepada pihak UEM Sunrise selaku urusetia majlis yang telah berjaya mengaturkan persiapan majlis yang begitu meriah pada petang penuh harmoni ini dengan jayanya. Akhir kata dengan lafaz Bismillahirrahnmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pra Pelancaran dan Pendaftaran Perumahan Mampu Milik di Nusajaya oleh UEM Sunrise Berhad.

 

Sekian, Terima kasih.

davispropertymanagement.com