SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-57 PERINGKAT NEGERI JOHOR

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-57

PERINGKAT NEGERI JOHOR

DI KULAIJAYA, JOHOR

PADA HARI  AHAD,  31 OGOS 2014

PADA JAM 8.00 PAGI

 

 

Bismillahirrahmannirahim 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdulillah, pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke-hadrat Allah SWT kerana pada pagi yang berbahagia ini, kita semua dapat berkumpul bersama-sama meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57. Dengan kesempatan yang ada ini, marilah kita mengulangi ikrar dan komitmen untuk terus menunaikan amanah dan tanggungjawab kita bersama kepada masyarakat, bangsa, dan negara tercinta.

 

2. Ingatlah bahawa nikmat kemerdekaan ini tidak mungkin dapat dirasai tanpa kesepakatan dan perpaduan yang utuh                di kalangan rakyat berbilang kaum. Keamanan dalam negeri dan komitmen penuh rakyat yang bekerja keras merupakan dua pra-syarat utama untuk sesebuah negeri itu berkembang maju dan progresif. Oleh yang demikian, kita perlu terapkan dan kekalkan amalan dan sifat toleransi, hormat menghormati dan bantu membantu di antara satu sama lain serta menolak sama sekali cara hidup yang negatif, tidak bermoral dan ekstrim yang boleh menggugat keharmonian, keamanan, kesejahteraan dan kestabilan masyarakat. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

3. Kemerdekaan adalah sebuah peristiwa yang amat bersejarah. Kira-kira 57 tahun lalu, Stadium Merdeka telah menjadi saksi kepada detik-detik baru dalam sejarah Malaysia. Semua ini adalah hasil pengorbanan daripada para pendiri bangsa yang sentiasa gigih menabur keringat demi memastikan negara yang kita cintai ini dapat mengecapi kemerdekaan yang diidamkan. Kerana perjuangan dan jasa merekalah, hari ini, Malaysia menjadi sebuah negara yang merdeka serta stabil politik, ekonomi dan sosialnya.

 

4. Jasa-jasa dan pengorbanan para pendiri bangsa inilah yang harus kita dan semua anak cucu kita teladani bersama. Perjuangan serta keringat mereka ini tidak boleh disia-siakan. Justeru, hari ini kita perlu memainkan peranan untuk mempertahankan kemerdekaan negara yang telah diperjuangkan oleh mereka sebelum ini. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

5. Melihat kepada pencapaian dan kejayaan negara kita pada hari ini, saya yakin dan percaya para pendiri bangsa pasti berbangga. Dari bangsa yang sewaktu merdeka, sebahagian besar penduduknya tanpa pendidikan dan buta huruf, rakyat 

 

Malaysia kini mempunyai sistem pendidikan yang kuat dan luas serta berjaya menjadi 10 destinasi pendidikan terkemuka dunia. 

 

6. Dari bangsa yang tadinya terkebelakang di Asia, kini Malaysia bergerak deras menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang progresif.  Waktu ini, Malaysia telah menempatkan dirinya antara 20 negara yang mempunyai ekonomi paling kompetetif di dunia.  Dari bangsa yang hampir seluruh penduduknya miskin di tahun 1957, Malaysia di abad ke-21 mempunyai kelas menengah yang terbesar di Asia Tenggara, dan salah satu negara dengan pertumbuhan kelas menengah yang tercepat di Asia.

 

 

7. Dari bangsa yang kerap jatuh bangun diterpa badai politik dan ekonomi, hari ini kita telah menjadi sebuah negara yang matang dan penuh berdemokrasi selain merupakan negara Islam paling progresif di dunia. Pendek kata, Malaysia di abad ke-21 terus tumbuh menjadi bangsa yang semakin bersatu, damai, makmur, dan demokratik. Alhamdulillah, semua ini adalah kerana Malaysia dianugerahkan pemimpin dan rakyat yang sentiasa mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan aman damai.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

8. Sambutan Hari Kemerdekaan yang kita raikan pada hari ini tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Pada hari ini,        di sebalik kegembiraan kita menyambut Hari Kemerdekaan ini, negara sebenarnya masih bersedih dengan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17. Peristiwa-peristiwa yang berlaku ini sangat menyedihkan buat kita semua tidak kira bangsa mahupun kepercayaan agama.

 

9. Pun begitu, saya berasa amat terharu melihat kepada reaksi seluruh rakyat Malaysia dalam menerima realiti kedua-dua tragedi besar ini. Ia kerana rakyat berbilang kaum telah menunjukkan satu komitmen luar biasa dan kasih yang sangat mendalam pada tanah air dalam kita menghadapi saat-saat sukar ini.

 

10. Masyarakat pelbagai agama, bangsa dan kepercayaan, tua dan muda, kaya dan marhain, telah menzahirkan rasa dukacita, prihatin dan harapan yang tidak pernah ternampak sebelum ini.  Di mana jua, terpapar nota ingatan, iklan, poster, momento yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia untuk mereka yang terkorban.

 

11. Di masjid, gereja, rumah ibadat Hindu dan Budha serta Sikh, masyarakat Malaysia terus berdoa agar ada pengakhiran untuk semua ini.  Mereka berdoa untuk memastikan negara kita terus aman dan makmur meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

12. Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar terhadap tragedi yang menimpa negara itu. Pertama, tragedi ini menyakinkan kita bahawa Malaysia mempunyai kekuatan luar biasa bagi menghadapi kemaslahatan negara. Ini kerana, kita mempunyai sebuah bangsa yang kuat dan bersatu-padu. Tragedi yang menimpa negara itu berjaya merapatkan lagi hubungan rakyat pelbagai bangsa dan yang lebih penting ia mengukuhkan cinta dan kasih kita pada Malaysia.

 

13. Kedua, kesatuan kita dalam menempuh saat duka ini telah memperlihatkan ketahanan kita sebagai sebuah bangsa. 

Kita menghadapinya dengan berani, cekal dan gigih sedaya upaya. Ya benar, kita punya kelemahan. Benar kita tidak punya pengalaman luas menangani isu sangat sulit seperti ini. Benar kita mungkin pada awalnya tidak begitu kemas dan bersedia. Tetapi tiada siapa dapat menafikan betapa kita sangat bersungguh-sungguh dalam menangani masalah ini. 

 

Kita tidak pernah berputus asa walau apa pun yang berlaku, malahan pelbagai ikhtiar telah diusahakan.  Inilah apa yang saya panggil ketahanan nasional atau ‘national resilience’. 

 

14. Ketiga, kedua-dua tragedi ini menunjukkan betapa kerjasama antarabangsa sangat penting. Malaysia tidak mungkin boleh menanganinya secara bersendirian. Dan sejak berlakunya tragedi ini, kita dapat melihat betapa Malaysia sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan negara-negara di seluruh dunia. Kerana wibawa kita sebagai sebuah negara yang merdeka, maju dan dihormatilah maka operasi mencari MH370 telah melibatkan kerjasama daripada kira-kira 26 negara asing.  Dan bagi MH17 pula, penyelesaian ‘cara Malaysia’ telah membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan. Semua ini menggambarkan betapa setelah 57 tahun kemerdekaan, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sangat matang, mempunyai wibawa serta aktor penting dan di pandang tinggi di persada antarabangsa.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

15. Apa yang kita lalui kebelakangan ini adalah sebahagian dari peristiwa yang akan mendewasakan kita sebagai sebuah negara dan bangsa.  Setiap negara, setiap generasi, setiap fasa dalam perjalanan sebuah bangsa, pasti ada geloranya. 

 

Lalu pada hari yang sangat berbahagia ini, marilah kita memohon pada Illahi, Tuhan Semesta Alam, untuk memelihara negara dan bangsa ini.  Dan semoga kita terus diberikan kesabaran dan ketabahan untuk membangunkan Malaysia dengan lebih berkeyakinan.

 

16. Marilah kita berdoa, agar Allah SWT, mengubati segala duka dan kesedihan yang sedang menimpa kita ketika ini.

Marilah kita juga mengucapkan syukur, atas nikmat tidak terhingga untuk Malaysia yang sangat aman damai ini. 

Kepada rakyat Malaysia, gelora yang kita hadapi, kesukaran yang kita depani, kesedihan yang kita lalui, semua itu Insyallah, akan berakhir dengan kebahagiaan jua. Semoga dengan semangat iltizam yang tinggi dan istiqomah, negara kita akan terus damai sejahtera, maju dan tenteram buat selama-lamanya. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

17. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar sentiasalah bantu-membantu dan saling ingat-mengingatkan demi masa depan Malaysia yang lebih baik. Kepada para parajurit dan penjawat awam yang berkhidmat di daerah-daerah terpencil, pulau-pulau pedalaman, pergunungan   dan perbatasan negara,   terima   kasih saya ucapkan atas pengorbanan anda semua dan kerana andalah kami rakyat Malaysia pada hari ini dapat merasai nikmat keamanaan. Terima kasih.

 

18. Akhir sekali, saya bagi pihak kerajaan negeri ingin merakamkan penghargaan buat semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke-57 ini. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan kerahmatan dan keredhaan-Nya kepada Malaysia yang merdeka dan berdaulat, utuh berpadu, lagi makmur dan sejahtera rakyatnya.

 

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

 

Sekian, Selamat Hari Kemerdekaan.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh

davispropertymanagement.com