MAJLIS PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI JOHOR 2014

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERAYAAN HARI GURU 

PERINGKAT NEGERI JOHOR 2014 

DI MAKTAB RENDAH SAINS MARA, 

TUN DR. ISMAIL, PONTIAN, JOHOR

PADA HARI KHAMIS, 22 MEI 2014

JAM 2.30 PETANG

 

 

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, 

Salam sejahtera dan salam Muafakat Johor

 

1. Pertamanya izinkan saya memanjat rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor pada hari ini. 

2. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama meraikan dan memeriahkan majlis pada hari ini. Sudah tentulah peluang untuk bertemu dan bermesra serta mengenali para guru di negeri ini dengan lebih dekat lagi tidak akan saya lepaskan, maka sebab itulah, saya dengan hati terbuka menerima jemputan untuk kita sama-sama raikan para guru yang begitu banyak jasanya kepada negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

3. Tarikh 16 Mei merupakan hari istimewa buat setiap insan bergelar guru. Tarikh ini merupakan tarikh istimewa yang memberi peluang kepada kita semua untuk menyatakan penghargaan dan penghormatan terhadap setiap jasa serta bakti para guru di seluruh negara. Tidak kiralah, sama ada guru itu bertugas di tadika, di sekolah mahupun di institusi-institusi pengajian tinggi, semua golongan warga pendidik dianggap sebagai istimewa kerana andalah yang membimbing anak bangsa sehingga menjadi insan berguna.

 

4. Setiap kali tibanya tarikh 16 Mei, maka setiap kali itu jugalah saya teringat kepada kata-kata hikmat sasterawan negara, Usman Awang yang juga merupakan anak Johor. Usman Awang pernah menyebut bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermulanya daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis.  Pada saya, inilah satu ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mana tidaknya, kesungguhan para guru dalam mendidik anak-anak murid ada kalanya terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga dan anak-anak mereka sendiri hanya semata-mata mahu memastikan anak bangsa kita menjadi insan berguna.

 

5. Insya-Allah, segala bakti yang dicurahkan oleh para guru akan mendapat ganjaran yang setimpal, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Keikhlasan itu sangat penting kerana dari ikhlasnya guru yang mengajar, maka anak-anak didiknya juga akan mendapat ilmu yang berkat. Ilmu yang berkat inilah yang akan melahirkan anak-anak yang mampu menjadi pelapis muda yang berilmu, beriman dan bertaqwa.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

6. Jika kita imbas pencapaian sistem pendidikan di Malaysia, maka tiada siapa dapat menafikan bahawa kita sangat progresif. Kita mempunyai banyak cerita kejayaan. Benar, memang banyak lagi yang perlu dipertingkatkan tetapi itu semua adalah sebahagian daripada evolusi yang dinamik. 

 

7. Ada yang mengaitkan kejayaan kita dengan kurikulum yang bersepadu, sistem sekolah yang teratur, guru yang terlatih serta banyak lagi faktor kepada kejayaan sistem pendidikan kita. Namun, pada saya, sistem pendidikan kita tidak akan mempunyai satu rekod kecemerlangan yang baik sekiranya kita tidak mempunyai barisan guru-guru yang berdedikasi. Apa jua sistem, teknologi mahupun imbuhan, tanpa wibawa guru yang ikhlas, semuanya pasti tidak akan membuahkan sebarang kejayaan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

8. Tugas guru hari ini tidak seperti 40 tahun lalu yang mana tahap ‘kehormatan’ dan darjat guru sangat tinggi. Namun, hari ini kita berada pada zaman yang berbeza. Kita kini berada pada zaman tekonologi yang serba canggih. Cara komunikasi antara kita juga kini telah berubah dengan adanya sistem teknologi makumat. Kini generasi muda yang merupakan para pelajar lebih gemar memilih untuk berkomuniasi di media-media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan sebagainya.

 

9. Maka untuk itu, saya menyeru kepada para guru agar dapat menguasai media sosial denga sebaik-baiknya. Dengan cara ini, guru-guru akan lebih mudah untuk berkomunikasi dengan para pelajar. Selain itu, pembelajaran juga akan lebih menarik dan tidak membosankan. Ini sekali gus mampermudahkan penerimaan ilmu kepada anak-anak murid. Saya yakin, jika penggunaan teknologi maklumat ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, prestasi kualiti sistem pendidikan kita mampu mencapai ke satu tahap yang lebih baik lagi.

 

10. Ingatlah bahawa para guru adalah agen perubahan. Sesuai dengan tema sambutan Hari Guru untuk tahun ini iaitu Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi, guru-guru perlulah sentiasa bersedia untuk berubah dan menguasai setiap kemudahan yang ada bagi meningkatkan lagi produktiviti kerja masing-masing. Guru yang cemerlang adalah guru yang mampu untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan di dalam iklim pendidikan mereka.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

11. Agihan pendapatan kita sudah semakin melebar. Anak-anak dari kalangan berpendapatan tinggi berkemampuan untuk lebih berjaya dalam pendidikan. Ini kerana mereka mampu pergi ke sekolah yang lebih mahal dan terbaik serta mendapat khidmat bimbingan peribadi atau tuisyen di luar waktu persekolahan.

 

12. Bagaimanapun, mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana pula, tidak mampu melakukan semua itu. Lalu harapan mereka hanyalah pada sekolah awam dan sistem pendidikan nasional. Justeru kita memerlukan sistem pendidikan yang cemerlang secara keseluruhan, dan bukan hanya sekolah terpilih. Kita ingin memberikan pendidikan terbaik, pada yang kaya mahupun yang miskin, tanpa mengira di daerah dan kota mana sekalipun. Inilah strategi kita dalam menterjemahkan ‘inclusive development’.  

 

13. Menyedari hakikat itu, sebab itulah Kerajaan Negeri menerui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperkenalkan program Tuisyen SPM YPJ bagi pelajar sekolah menengah aliran sains tingkatan 5 di negeri ini. Sebanyak 50 peratus daripada kos kelas tuisyen yang akan dijalankan di sekolah-sekolah terlibat itu akan ditanggung oleh pihak YPJ manakala selebihnya akan dibiayai oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah masing-masing. Dengan pengenalan program tuisyen seumpama ini, ia sekali gus dapat membantu pelajar dari luar bandar yang kurang berkemampuan untuk mendapat khidmat kelas tambahan di luar waktu persekolahan mereka.

 Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

14. Sejak kebelakangan ini, saya bimbang apabila melihat generasi muda Malaysia semakin pudar semangat nasionalismanya. Mereka sudah mula menjauhkan diri daripada cerita dan perjalanan unik Malaysia. Ini tidak boleh kita biarkan. Untuk itu, saya mengajak semua guru agar terus gigih memastikan semua anak muda Malaysia bangga dengan identitinya, tahu perjalanan Malaysia dan memahami fabrik kepelbagaian di negara kita ini. 

 

15. Bukan setakat mengetahui, tetapi memastikan bahawa cerita Malaysia senantiasa diyakini, istimewa dan menjadi inspirasi kejayaan mereka dan generasi mendatang.  Cerita tentang kerukunan semua kaum membina Malaysia sehingga menjadi sebuah negara yang semakin pesat membangun seperti hari ini. Cerita tentang kepelbagaian yang menjadi kekuatan sebenar Malaysia. Cerita tentang muafakat Malaysia. Semua ini penting untuk anak-anak kita ketahui kerana mereka akan menjadi pemimpin negara ini suatu masa nanti. 

 

16. Lalu saya amat berharap agar guru-guru memainkan peranan untuk mengembalikan semangat nasionalisme anak-anak muda kita. Lihatlah sekolah-sekolah terbaik di beberapa negara maju di dunia ini, mereka bukan sahaja memberikan pendidikan akademik dengan cemerlang, tetapi peribadi pelajar mereka juga diperteguhkan dengan asuhan semangat menyumbang kepada negara dan kesediaan untuk memimpin. Inilah yang wajar kita contohi dan saya yakin dengan kualiti guru yang ada di negara kita pada hari ini, kita mampu untuk merealisasikannya. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

17. Kekaguman saya kepada guru-guru tidak pernah luntur sejak dari dulu lagi. Saya kagum dengan semangat para guru dalam perjuangannya. Kerana merekalah kita berada di mana kita berada pada hari ini. Maka untuk itu, tidak lengkap rasanya ucapan saya pada hari ini jika saya tidak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru baik di negeri Johor mahupun di seluruh Malaysia. Selamat Hari Guru saya ucapkan. Terima kasih di atas segala bakti yang dicurahkan selama ini.

 

18. Dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Johor. 

 

Sekian. Terima kasih.

Wabillahitaufik walhidayah 

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com