MAJLIS PERASMIAN PROGRAM “JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT SETIAP HARI”

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERASMIAN PROGRAM  

“JOM BACA BERSAMA UNTUK 

10 MINIT SETIAP HARI”

DI PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM JOHOR, JALAN YAHYA AWAL, JOHOR BAHRU

PADA HARI SELASA, 22 APRIL 2014

JAM 9.45 PAGI

 

 

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

 Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor

 

Tuan-tuan dan puan-puan.

 

1. Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan Izin-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada pagi yang bahagia ini dalam satu Majlis Perasmian Program “Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Setiap Hari”. 

 

2. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Johor di atas kesudian memanjangkan jemputan kepada saya untuk bersama-sama menjayakan program pada kali in. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Johor di atas kejayaan menganjurkan program ini secara serentak bersama-sama dengan 13 buah perpustakaan negeri yang lain.

 

3. Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada jabatan serta agensi kerajaan dan swasta yang telah terlibat bagi menjayakan program ini di lokasi masing-masing.  Tidak lupa juga kepada pihak media yang telah bersama-sama kita pada hari ini. Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai dalam usaha menjadi program membaca sebagai amalan atau budaya hidup kita. Saya secara peribadi merupakan seorang yang amat menyokong terhadap segala program yang bertujuan melahirkan modal insan berkualiti seiring dengan aspirasi negara kita sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

4. Suka saya memetik kata-kata seorang sarjana dari China iaitu Confucius, beliau pernah mengatakan; 

No matter how busy you may think you are, you must find time for reading or surrender yourself to self-chosen ignorance.

 

5. Mengambil iktibar dari kata-kata itu, maka tidak asing lagi amalan membaca merupakan sebahagian dari proses pembelajaran sepanjang hayat. Di negara kita, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapati purata jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia telah meningkat dari 2 buah buku setahun pada tahun 1996 kepada 8 hingga 12 buah buku setahun hari ini. Peningkatan ini walaupun suatu peningkatan yang signifikan dengan hala tuju Malaysia menuju sebuah negara maju, namun ia belum cukup untuk menggambarkan bahawa membaca telah berjaya menjadi satu budaya di negara kita. 

 

6. Pada pagi ini, kita berada di sebuah perpustakaan milik Kerajaan Negeri Johor yang merupakan wadah dimana khazanah ilmu tersimpan dengan rapi di dalam buku-buku. Buku merupakan warisan manusia sejak zaman-berzaman yang tidak pernah lekang dan hilang. Buku berperanan penting dalam proses pendidikan, lebih-lebih lagi ia mempunyai peranan besar dalam pengembangan kebudayaan dan pembangunan sesuatu bangsa dan negara. Melalui buku juga maka lahirnya ilham pemikiran kritis dari segi politik, falsafah serta sosio ekonomi di kalangan kelompok manusia.

 

7. Sejarah dunia telah membuktikan kepada kita bahawa bilamana usaha untuk menguburkan sesebuah tamadun sesuatu bangsa itu atau mahu dimatikan sesebuah idealism, corak pemikiran, ideologi ataupun budaya maka bukulah yang harus dihapuskan terlebih dahulu. Di Jerman pada tahun 1933 misalnya menyaksikan segolongan mahasiswa di bawah regim Nazi melancarkan “Biblioclasm” bagi menghapuskan buku-buku yang kononnya disifatkan “anti Jerman”. Kira-kira 2000 tahun yang lalu, pihak pemerintah China telah membakar buku-buku yang berbau ajaran Confucis kerana tidak berpuas hati dengan pengaruh ajarannya yang semakin menular. Begitu juga dengan sejarah Islam. Ketika penaklukan kota Baghdad, Perpustakaan Agung Baitul Hikmah yang kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan dimusnahkan oleh tentera Mongol. Diriwayatkan Sungai Tigris bertukar warna menjadi hitam akibat banyaknya buku-buku dibuang.

 

8. Melihat peri pentingnya amalan membaca ini, maka tidak hairanlah surah pertama yang telah diwahyukan oleh Allah SWT juga berkisar tentang pembacaan, bahkan secara terang dinyatakan  bahawa seseorang mahupun sesuatu bangsa itu akan dimuliakan sekiranya membudayakan amalan membaca di dalam kehidupan. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

9. Sebagai sebuah negeri maju, Johor dan rakyatnya mestilah membangun bersama-sama dari segi fizikal dan mental yang dicetuskan melalui nilai pembacaan. Dengan terbentuknya masyarakat yang membaca, kerajaan akan mempunyai warga yang berminda aktif, kreatif dan berfikiran untuk berinovasi selain mengaktifkan minda mereka untuk berfikir dengan lebih waras, fokus, berfikiran terbuka dan mampu melahirkan modal insan yang berkebolehan melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif berbeza.

 

10. Penekanan yang diberi oleh Kerajaan Negeri pada sekarang adalah untuk melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi. Sumber manusia ini perlu digerakkan secara produktif dan proses pendidikan dalam melahirkan modal insan berkualiti mestilah berterusan. Unsur kemahiran dan nilai itu harus diadun bersama agar modal insan yang bakal mewarnai negeri Johor adalah modal insan yang mempunyai nilai tersendiri dalam erti kata sebenar. Tugas kita untuk memastikan negara terus berada di landasan pertumbuhan ekonomi yang kukuh adalah besar dan mencabar. Namun, kita akan menjadi sebuah negara yang benar-benar maju dan kaya dengan nilai-nilai murni, jika kita mempunyai iltizam dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.

 

11. Bagi memastikan modal insan kita kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa dan mampu berdepan dengan cabaran maka penglibatan modal insan di dalam  penerokaan sumber-sumber ekonomi baru menjadi tumpuan. Untuk membangunan modal insan dalam sektor ekonomi baru, kerajaan sedang menyediakan sumber manusia yang berpengetahuan dan mempunyai kompetensi bersesuaian dengan keperluan industri. Di Johor ekonomi-ekonomi baru seperti oil and gas, biotechnology, creative industry, hospitality kini menjadi sumber yang bakal menjana pendapatan tinggi bagi negeri dan rakyatnya. Maka atas sebab itu pembangunan modal insan perlu digilap kerana ianya elemen terpenting dalam memastikan negeri dan negara kita terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan, serta bertunjangkan sains dan teknologi.

 

12. Pokoknya di sini, bagi mencapai status negara maju dan mempunyai modal insan kelas pertama, budaya membaca sebagai sumber ilmu pengetahuan mesti dipasak kuat di dalam kehidupan kita. Untuk mencapai segala apa yang kita hajati dan mencorak pembangunan negeri yang kita impikan, maka Johor dan rakyatnya mesti menjunjung tinggi ilmu pengetahuan kerana dengan ilmu sahaja segala-galanya akan berubah.

 

Tuan-tuan dan puan-puan.

 

13. Negeri Johor tidak mahu ketinggalan dalam meletakkan peranan buku dalam pembentukan masyarakat Johor yang maju.  Pada hari ini kita dapat melihat, semua pihak terlibat dalam program  ini, yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira dari peringkat kanak-kanak, dewasa, pelbagai profesion, dari guru, buruh, pemandu teksi, artis dan juga diwakili oleh semua bangsa, suku kaum dan agama. Maka saya kira inilah salah satu terjemahan konsep Muafakat Johor dan program ini juga berasaskan kerjasama dan pemuafakatan         di kalangan rakyat negeri Johor.

 

14. Sebagaimana saya dimaklumkan, bahawa pengunjung perpustakaan di seluruh Johor meningkat kepada 1 juta orang setahun dengan keahlian mencecah 350,000 orang. Dengan pelancaran program “Jom Baca Selama 10 Minit Setiap Hari pada hari ini, Kerajaan Negeri Johor ingin menyampaikan satu berita gembira kepada seluruh rakyat Johor bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju bahawa seluruh rakyat Johor akan diberi keahlian percuma di semua Perpustakaan Awam di seluruh Johor berkuat kuasa hari ini. Kerajaan Johor berharap dengan insentif ini akan menggalakan seluruh rakyat sering ke perpustakaan untuk membaca.

 

15. Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada rakyat Johor supaya mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam program ini dan dengan harapan budaya membaca akan dapat diteruskan setiap hari oleh seluruh rakyat Johor. Saya juga berharap agar budaya membaca ini disemai dan dipupuk sejak usia awal supaya amalan membaca ini menjadi “suatu keasyikan” dan bukan suatu yang membebankan. Inilah sebenar-benarnya cabaran kepada semua pihak untuk bersama-sama membantu Kerajaan Negeri Johor dalam mewujudkan budaya membaca.

 

16. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Perasmian Program “Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Setiap Hari” bagi Negeri Johor.

 

Sekian, terima kasih

Wabillahitaifuk Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com