MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAINS TEKNOLOGI DAN ICT NEGERI JOHOR (MISTI JOHOR 2014)

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAINS TEKNOLOGI DAN ICT NEGERI JOHOR

 (MISTI JOHOR 2014)

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

PADA HARI SELASA, 15 APRIL 2014

JAM 3.00 PETANG

 

 

Yang Berusaha Pengerusi Majlis.

 

Yang Berhormat Tuan Haji Ismail Karim,

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

Yang Berhormat Datuk Mohamed bin Aziz,

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

 

Barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

 

Barisan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.

 

Ketua-ketua Setiausaha.

 

 Ketua-ketua Jabatan. 

 

Dif-dif Kehormat

 

Yang Berbahagia Dato’- Dato’, Datin-Datin,

 

Pempamer MISTI Johor 

 

Rakan-rakan Media.

 

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor

 

Tuan-tuan dan puan-puan.

 

1. Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan Izin-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada petang yang bahagia ini dalam satu Majlis Perasmian Minggu Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (MISTI Johor 2014).

 

2. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Unit Sains Teknologi dan ICT Johor (USTICT)         di atas kesudian menjemput saya pada hari ini, sekali gus diberikan penghormatan untuk merasmikan MISTI Johor 2014. Tahniah di atas kejayaan pihak USTICT yang telah menganjurkan program dwitahunan ini.

 

3. Setinggi-tinggi terima kasih juga diucapkan kepada jabatan serta agensi kerajaan dan swasta yang telah terlibat bagi menjayakan program MISTI Johor 2014 pada tahun ini. Tidak lupa juga kepada pihak korporat yang telah bersama-sama kita pada hari ini. Kerjasama daripada semua pihak amat dihargai dalam usaha menjadi medium penyebaran maklumat berkaitan Sains, Teknologi dan ICT kepada masyarakat Johor, khususnya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

4. Saya difahamkan, program MISTI Johor 2014 ini telah memasuki tahun kelima penganjurannya dan kali ini ia membawa tema “Ke Arah Komuniti Pintar” yang bertepatan dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha memodenkan serta memberi ruang kepada rakyat Johor untuk meneroka serta mendalami bidang Sains, Teknologi dan ICT seiring dengan era globalisasi.

 

5. Oleh itu, minat serta kesedaran terhadap bidang sains, teknologi dan ICT perlu dipertingkatkan di kalangan rakyat negeri ini ke arah menjadi komuniti pintar. Usaha ini perlu dilaksanakan daripada peringkat akar umbi, iaitu golongan pelajar serta belia yang bakal menjadi pewaris pada masa hadapan. Mereka adalah generasi yang lahir pada zaman Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), walaubagaimanapun, pendedahan mengenai kebaikan dan keburukannya perlu dipergiatkan supaya ia tidak disalahgunakan. 

 

6. Sementara itu, minat terhadap bidang sains juga perlu dipertingkatkan supaya kita dapat menghasilkan lebih ramai graduan dalam bidang berkenaan serta mampu untuk melahirkan lebih ramai pakar sains, ahli astronomi dan ilmuwan falak pada masa hadapan. Secara tidak langsung, ia dapat menambah baik modal insan serta dapat menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara ‘in-house’ tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

7. Kita di Johor menyambut seruan ini dengan Kerajaan Negeri memberikan komitmen terhadap usaha menggerakkan serta memangkinkan pembangunan dalam sektor ICT melalui proses transformasi yang dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha memodenkan perkhidmatan awam Johor. Ini seiring dengan azam saya yang mahu memodenkan perkhidmatan awam secara menyeluruh atau “a complete modernization of the civil service”.

 

8. Menyedari keperluan itu, Kerajaan Negeri melalui Unit Sains Teknologi dan ICT negeri Johor (USTICT) telah memperkenalkan pelbagai sistem aplikasi yang boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan sektor awam. Antaranya, ialah aplikasi yang bertindak sebagai medium untuk orang awam membuat aduan melalui Sistem Johor Aduan Awam (e-jawab). Sementara itu, satu Sistem Pengurusan Sekolah Agama Johor sedang dibangunkan dan dijangka akan beroperasi menjelang pertengahan tahun ini bagi menguruskan maklumat Sekolah Agama Negeri secara menyeluruh dan akan digunakan oleh semua Sekolah Agama Negeri.

9. Selain itu, penjawat-penjawat awam juga telah dilatih secara berkala dalam penggunaan aplikasi-aplikasi yang telah dibangunkan bagi meningkatkan perkhidmatan cekap Kerajaan Negeri. Untuk makluman, jabatan-jabatan di negeri Johor telah pun mengaplikasikan inisiatif berkenaan, termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang menyediakan sistem          e-payment portal bagi memudahkan urusan pembayaran antara pemilik tanah dan pihak jabatan, manakala Jabatan Agama Islam Johor melalui aplikasi Sistem Permohonan Nikah, Cerai dan Rujuk secara atas talian (e-NCR) yang merupakan yang pertama diwujudkan di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

10. Di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia juga sedang giat dilaksanakan penyediaan pelbagai kemudahan ke arah bandar dan komuniti pintar. Antaranya, ialah pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi panas dan kritikal bagi membasmi kegiatan jenayah di kawasan berkenaan dengan sebanyak 250 unit CCTV telah dipasang pada fasa pertama dan baki sebanyak 165 dipasang pada fasa kedua. Usaha-usaha ini adalah sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha merealisasikan bandar dan komuniti pintar. 

 

11. Sementara itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil beberapa langkah proaktif dengan menyediakan prasarana dan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi, di mana pihak TM Berhad telah memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi menaik taraf mutu perkhidmatan itu di kawasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia dan sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi kawasan Pengerang. Ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan yang ingin memperluaskan perkhidmatan berkenaan ke seluruh negeri Johor.

 

12. Terkini, Kerajaan Negeri sedang di dalam peringkat membuat kajian terhadap meningkatkan kemudahan capaian ke internet dengan memperluaskan perkhidmatan WiFi di tempat-tempat tumpuan utama, seluruh bangunan kerajaan dan pusat komersial di seluruh negeri ini, di mana penduduk Johor, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar dapat menikmatinya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

13. Saya sedar akan masalah rakyat Johor yang ingin memiliki rumah sendiri. Menyedari masalah kos sara hidup yang semakin tinggi, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif bagi memperkasakan sektor perumahan Johor dengan mentransformasikan semula Dasar Perumahan Negeri yang akan dilaksanakan dan dipantau oleh Jawatankuasa Khas Sektor Perumahan menerusi kajian Pelan Suara Hati Johor. 

 

14. Terdahulu, saya telah pun mengumumkan pembinaan sebanyak 28,000 unit Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik Johor dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2013. Pada hari ini, saya berasa cukup bertuah kerana sekali lagi dapat mengotakan salah satu janji saya kepada rakyat Johor dengan menyediakan Aplikasi Sistem Permohonan Rumah Johor atau e-rumahjohor hasil kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Unit Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (USTICT). Sistem ini beroperasi bagi memudahkan orang awam untuk mendaftar dan memohon rumah mampu milik dan kos rendah yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri secara atas talian atau online.

 

15. Secara tidak langsung, usaha ini juga akan meningkatkan kecekapan Kerajaan Negeri dari segi mengutamakan daerah atau kawasan yang lebih memerlukan pembangunan projek perumahan jenis ini, sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri untuk merancang dengan lebih teliti, selain memastikan bekalan rumah yang tidak melebihi permintaan serta tidak membebankan pemaju perumahan yang terlibat. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

16. Mulai esok, 16 April 2014, secara rasminya sistem ini akan dibuka untuk akses orang awam melalui Portal Rasmi Kerajaan Negeri Johor atau terus ke laman sesawang erumah.johor.gov.my. Oleh itu, saya mengalu-alukan rakyat Johor untuk mengambil kesempatan dan menggunakan kemudahan ini sebaik-baiknya. Bersempena dengan program MISTI Johor 2014 pada hari ini, Kerajaan Negeri melalui SUK Perumahan telah membuka ruang pameran bagi memudahkan penduduk Johor yang berminat untuk memohon dengan mendaftarkan maklumat diri atau mendapatkan maklumat lanjut tentang sistem e-rumahjohor ini.

 

17. Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada rakyat Johor supaya mengambil peluang untuk menimba seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman di MISTI Johor 2014 bagi dimanfaatkan.

 

18. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Perasmian Minggu Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor (MISTI Johor 2014).

 

Sekian,terima kasih

Wabillahitaufik Walhidayah, 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

davispropertymanagement.com