MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT POLIS DAERAH SERI ALAM

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT POLIS 

DAERAH SERI ALAM

DI IBU PEJABAT POLIS DAERAH SERI ALAM, MASAI, JOHOR

PADA HARI AHAD, 12 JANUARI 2014

JAM 10.30 PAGI

 

 

Bismilahirahmanirrahim,

Yang Berusaha Saudara Saudari Pengacara Majlis

 

Yang Dihormati,   

Datuk Seri Mohd Bakri Bin Mohd Zinin

Timbalan Ketua Polis Negara

 

Yang Dihormati,

Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM

 

Yang Dihormati,

Dato Mohd Mokhtar Bin Hj Mohd Shariff

Ketua Polis Johor

 

Yang Dihormati,

Ketua-Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah, Dif-Dif Jemputan Seterusnya Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Para Hadirin Sekalian. 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita sama-sama berkumpul dan menghadiri Majis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada hari ini.

 

2. Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor kerana memberi penghargaan kepada saya untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan Kompleks IPD baru ini. Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada pihak PDRM Kontinjen Johor di atas kejayaan penganjuran majlis ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

3. Penubuhan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah ini merupakan lanjutan usaha dan komitmen pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat khususnya dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam. Ini sekali gus selari dengan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

 

4. Suka saya nyatakan di sini bahawa sejak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor pada Mei tahun lalu, saya amat gembira dan berpuas hati dengan komitmen serta prestasi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor dalam menjaga keamanan di negeri ini. Apatah lagi, sejak 2008 lalu iaitu enam tahun berturut-turut kadar jenayah di negeri telah berjaya diturunkan dan ini pada saya merupakan satu pencapaian yang wajar diberi pujian di hargai oleh rakyat pelbagai lapisan di negeri ini.

 

5. Berdasarkan kepada kejayaan itu, jelaslah bahawa dakwaan sesetengah pihak keadaan jenayah di Johor amat membimbangkan dan semakin tidak terkawal adalah tidak benar. Tuduhan seperti ini pada saya merupakan satu usaha untuk memburukkan imej pasukan PDRM di negeri kita ini.

 

6. Kestabilan serta keamanan di negeri ini juga menyebabkan para pelabur dari dalam dan luar negara begitu yakin untuk membuat pelaburan di negeri ini. Perkara ini dapat dilihat apabila pada tahun lalu, Johor menerima jumlah pelaburan tertinggi di negara ini mengatasi Sarawak, Selangor dan Pulau Pinang. Boleh saya katakan, ini juga sedikit sebanyak adalah sumbangan daripada pihak PDRM Kontinjen Johor yang berjaya menurunkan kadar jenayah di negeri kita sehingga berjaya meyakinkan para pelabur untuk ke negeri ini. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

7. Sehubungan itu, dengan terbinanya kompleks yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan logistik, pengoperasian, pengurusan pejabat dan penempatan ini, saya yakin seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam akan dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang, teratur dan berkesan serta dalam suasana kondusif. Kemudahan-kemudahan seperti rumah untuk anggota dan pegawai Polis di IPD ini yang lebih selesa menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa prihatin dalam soal kebajikan keluarga setiap anggota PDRM, selain mengiktiraf peranan penting yang dimainkan warga PDRM dalam membendung jenayah, melindungi masyarakat dan menjaga ketenteraman awam tanpa mengira waktu dan tempat. 

 

8. Projek pembangunan ini juga adalah terjemahan keperihatinan pucuk pimpinan Kerajaan Pusat terhadap keperluan kebajikan warga pasukan Polis. Malahan pembinaan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam ini juga merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap warga PDRM atas pengorbanan dan ketaatsetiaan warga PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab demi menjaga keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat disamping melindung penduduk setempat daripada ancaman jenayah.

 

9. Seperti yang telah sedia maklum, kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam yang mempunyai kekuatan pegawai dan anggota seramai 769 orang ini adalah lebih kurang 531.7 KM persegi dengan populasi penduduk lebih kurang 947,296 orang. 

 

10. Kawasan ini telah membangun dengan pesat dan menjadi tumpuan urusniaga komersil dan pusat industri utama negeri Johor. Kewujudan aktiviti ekonomi ini turut menyumbang ke arah pertambahan kadar penduduk yang tinggi dan memerlukan perkhidmatan kepolisan bagi menjaga keselamatan dan membendung kejadian jenayah di kawasan ini. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

11. Usaha untuk membendung jenayah tidak seharusnya diletakkan di atas bahu pihak PDRM semata-mata. Tetapi sebaliknya masyarakat dari pelbagai lapisan juga perlu turut sama mengambil peranan masing-masing dalam menjaga keamanan serta ketenteraman awam di negara ini. 

 

12. Dalam soal menjaga keselamatan ini, kita semua perlu bermuafakat serta sentiasa peka dengan apa yang sedang berlaku di kawasan sekeliling kita. Masyarakat tidak kira bangsa dan kepercayaan agama perlu berganding bahu untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak PDRM dengan melaporkan setiap kejadian jenayah di kawasan mereka. 

 

13. Selain itu, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) juga berperanan dalam membantu polis untuk membanteras jenayah. Ini boleh dilakukan menerusi kerjasama dengan pihak polis untuk menganjurkan program-program kesedaran jenayah kepada masyarakat. Sebagai wakil kepada masyarakat, pihak NGO berperanan untuk menyampaikan maklumat-maklumat mengenai cara-cara membanteras jenayah kepada masyarakat secara keseluruhannya. Jika semua pihak memainkan peranan mereka, Insya-Allah saya yakin jenayah di negeri ini boleh dibendung.

 

Tuan-Tuan Puan-Puan sekalian

 

14. Polis Diraja Malaysia sedang menambah bilangan bangunan dan balai polis di negeri Johor. Selain daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, antara projek awal yang telah siap dibina ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara. Selain itu, projek-projek pembinaan yang masih lagi dalam perancangan pembinaan adalah Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya dan Balai Polis Kampung Dato’ Othman Saat Pengerang.

 

15. Di samping projek pembinaan balai, Ibu Pejabat Polis Daerah dan juga IPK, Community Police Post (CPP) di Iskandar Malaysia sedang rancak diwujudkan. Kamera litar tertutup (CCTV) juga sedang giat dipasang menerusi inisiatif Bandar Selamat Iskandar Malaysia yang mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan. Status terkini sebanyak 19,336 buah CCTV telah dipasang di 625 buah premis agensi kerajaan dan swasta di Iskandar Malaysia yang telah berdaftar dalam program Safecam.

 

Tuan-Tuan Puan-Puan sekalian,

 

16. Pihak PDRM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membendung kejadian jenayah. Antaranya dengan memperkenalkan program Omni presence dan sistem bantuan kecemasan Community Alerts bagi meningkatkan rasa selamat masyarakat. Selain itu, pihak polis juga telah mewujudkan Polis Komuniti iaitu satu program yang melibatkan masyarakat dalam usaha untuk membanteras jenayah. Selain itu, dengan adanya Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) dan kawalan keselamatan oleh Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), saya yakin ia akan turut membantu pasukan polis memerangi kegiatan jenayah.

 

17. Di samping itu, PDRM Johor juga telah membuat kerjasama dengan pemandu teksi melalui radio teksi yang sedia ada. Menerusi kerjasama itu, para pemandu teksi boleh membantu polis dengan memberi maklumat mengenai berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis. 

 

Tuan-Tuan Puan-Puan sekalian,

 

18. Umum mengetahui bahawa ancaman jenayah merupakan satu masalah sosial yang sangat dekat dengan masyarakat. Ini telah terbukti menerusi kajian Suara Hati Johor yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi menyelami sendiri denyut nadi rakyat di negeri ini. Menerusi kajian tersebut, rakyat di negeri masih bimbang akan masalah-masalah jenayah kawasan mereka. Dengan itu, jelaslah bahawa penurunan indeks jenayah yang ketara di negeri Johor masih belum lagi dapat menangkis persepsi masyarakat dalam hubung kait kebimbangan terhadap jenayah.

19. Menyedari hakikat itu, maka atas sebab itu, saya memuji insiatif yang diambil oleh pihak PDRM Kontinjen Johor yang begitu aktif memberi maklumat serta gambaran sebenar kepada rakyat menerusi portal, Facebook serta Twitter. Penglibatan aktif PDRM Kontinjen Johor di Media Sosial adalah penting bagi menangkis persepsi negatif rakyat terhadap situasi sebenar di negeri Johor.

 

Tuan-Tuan, Puan-Puan sekalian,

 

20. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas segala sokongan yang membolehkan pihak PDRM Kontinjen Johor melaksanakan tanggungjawab yang lebih berkesan melalui prasarana baru seperti kewujudan IPD Seri Alam ini.

 

21. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PDRM  terutama sekali kepada Yang Dihormati Dato’ Mohd. Mokhtar Mohd Shariff sebagai Ketua Polis negeri kerana sentiasa memberi semangat kepada warga PDRM Kontinjen Johor untuk terus menjaga nama baik PDRM dan berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat setempat.

 

22. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha serta komitmen PDRM Kontinjen Johor dalam mendukung hala tuju Kerajaan Negeri agar Johor Darul Ta’zim sentiasa aman dan damai.

 

23. Maka dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim saya merasmikan kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam Johor.

 

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah,  

Wassalammualaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh  

davispropertymanagement.com