MAJLIS PERASMIAN ANUGERAH KELUARGA BAHAGIA PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2013

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERASMIAN 

ANUGERAH KELUARGA BAHAGIA 

PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2013

DI HOTEL RENAISSANCE, PERMAS JAYA

PADA HARI AHAD, 09 FEBRUARI 2014

JAM 3.00 PETANG

 

 

 

Bismillahirrahmanirrahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

1. Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bertemu sempena Majlis Perasmian Majlis Anugerah Keluarga Bahagia, Peringkat Negeri Johor bagi tahun 2013.

 

2. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim di atas daya usaha dan kejayaannya menganjurkan majlis seumpama ini. Diharapkan agar majlis ini akan menjadi suatu majlis yang dapat memberi makna yang cukup besar kepada kita semua.

 

3. Sememangnya kunci keluarga bahagia adalah terletak kepada sikap kepimpinan seorang ketua dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Justeru, pelbagai dalil Al-quran dan sunnah Rasulullah SAW memerintahkan suami isteri agar saling menyayangi dan bergaul mesra demi menjaga kerukunan dan keutuhan rumah tangga mereka. Sebagaimana sabda baginda; setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

4. Dari hadith ini secara langsungnya jelas menunjukkan bahawa ibu bapa merupakan pemimpin yang paling utama dalam membentuk dan mencorakkan sesebuah keluarga sentosa lagi bahagia. Mereka perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Setiap anggota keluarganya pula perlu mempunyai kesedaran untuk menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan hati yang tulus dan ikhlas. 

 

5. Sekiranya institusi yang paling asas ini berada pada landasan yang betul, masyarakat akan menjadi hebat dan unggul. Begitulah sebaliknya, sekiranya institusi keluarga itu lemah, masyarakat akan menjadi lesu dan hilang daya juang.

 

6. Bagi memastikan kekuatan kekeluargaan dalam sesebuah institusi keluarga, lima teras utama yang bersifat sejagat harus diberikan perhatian yang wajar. Lima teras tersebut adalah memelihara agama, keselamatan, akal, maruah dan harta. Sekiranya lima teras ini dipelihara, ia pasti dapat mengukuhkan lagi semangat kekeluargaan yang diinginkan. Hal ini jika dapat dilakukan secara berterusan, institusi keluarga yang dibina pasti dapat berfungsi dengan baik dan efisyen.

 

7. Tidak cukup dengan itu, bagi memastikan sebarang masalah dapat diselesaikan dengan baik, setiap keluarga juga perlu menunjukkan kemesraan dan keserasian yang tinggi sesama mereka dan mempamerkan sikap timbang rasa dan fleksibiliti. Oleh yang demikian, keutuhan kekeluargaan itu dapat disemai dan dipupuk secara berterusan demi kemasyhuran negeri tercinta kita.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

8. Sememangnya negeri Johor kini sedang rancak melakukan pelbagai bentuk pembangunan ke arah kemajuan negeri. Namun, dalam kesungguhan kita mengejar pembangunan, Kerajaan Negeri tidak pernah sesekali bersikap lalai dalam menitikberatkan keharmonian sesebuah institusi kekeluargaan.

 

9. Apa yang kita inginkan hari ini ialah keseimbangan antara tuntutan pembangunan material dan pembangunan sosial. Ini penting kerana Kerajaan Negeri pada hari ini amat menginsafi bahawa pembangunan keluarga bahagia itu dapat membentuk modal insan yang kuat demi masa depan negara.

 

10. Tidak guna jika kita kaya dengan memiliki pelbagai pembangunan yang berterusan tetapi miskin modal insan yang berkualiti. Oleh yang demikian, peranan sesebuah institusi keluarga adalah amat penting untuk meneruskan kesinambungan membentuk modal insan sebagai peneraju dan benteng masa hadapan.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

11. Bagi menyokong kesentosaan institusi kekeluargaan ini, pelbagai program yang telah dan akan dilaksanakan melalui usahasama kerajaan negeri dan agensi-agensi mahupun badan-badan bukan kerajaan seperti program-program modal insan, program keibubapaan, program keluarga bahagia, modul keluarga sakinah, dan karnival wanita.

 

12. Saya juga menyimpan harapan yang besar agar setiap antara kita mengambil peluang dan terlibat sama dalam program-program sedemikian demi mengukuhkan kestabilan hidup ke arah rumah tangga bahagia. Saya percaya, usaha yang bersungguh-sungguh seperti ini akan dapat mendatangkan faedah dan kesan positif yang berpanjangan.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

13. Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang-pemenang Anugerah Keluarga Bahagia pada hari ini dan semoga kemenangan yang diraih dapat menjadi contoh serta tauladan kepada keluarga-keluarga yang lain untuk terus berusaha ke arah pembentukan keluarga bahagia.

 

14. Tahniah kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, di atas peranan dan usaha yang telah dijalankan dalam membangun dan mengukuhkan peranan serta fungsi institusi keluarga di negeri ini. Semoga usaha kita ini diberkati oleh Allah SWT jua.

 

15. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Anugerah Keluarga Bahagia Peringkat Negeri Johor 2013.

 

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik walhidayah,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com