MAJLIS PERARAKAN CHINGAY KUIL KUNO JOHOR BAHRU 2014

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERARAKAN CHINGAY KUIL KUNO JOHOR BAHRU 2014 

DI PENTAS UTAMA, HADAPAN CITY SQUARE, JALAN WONG AH FOOK, JOHOR BAHRU

PADA HARI KHAMIS, 20 FEBRUARI 2014

JAM 9.00 MALAM

 

 

1. Pertamanya, sukalah saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru kerana sudi menjemput saya untuk menghadiri satu temasya yang cukup meriah dan bermakna bagi seluruh masyarakat Cina di negeri Johor iaitu sempena Perarakan Chingay. 

 

2. Selaku Menteri Besar yang baru, saya berpandangan bahawa kemeriahan suasana pada malam ini dengan kehadiran lebih 200 ribu orang pengunjung dan para pelancong dari pelbagai latar belakang, maka adalah wajar Perarakan Chingay ini dikategorikan sebagai Warisan Kebangsaan, sebagaimana yang pernah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada tahun 2012. Apa yang lebih menarik, saya juga turut difahamkan bahawa perarakan ini telah menjangkau usia ke 144 tahun. Dengan usia melebihi satu abad, tiada mana-mana pihak yang boleh menafikan bahawa negara kita sememangnya mengamalkan nilai toleransi yang tinggi dan saling hormat menghormati kepercayaan kaum lain. 

 

3. Dalam konteks ini masyarakat Cina di Malaysia seharusnya berbangga kerana adat dan budaya masih lagi terpelihara dengan begitu baik, bahkan ianya juga lebih baik dari negara-negara lain di Asia Tenggara hatta negara Cina sekali pun. Seperti kita sedia maklum, sewaktu negara China mengamalkan Dasar Tutup Pintu, kebanyakan suku kaum di Tanah Besar itu telah kehilangan  warisan dan khazanah budaya mereka dek kerana faktor revolusi komunis yang ketat dan revolusi budaya yang diamalkan.  Namun di Malaysia bukan sahaja faktor budaya yang dipelihara, tetapi terlebih penting dari itu, setiap kaum di Malaysia juga bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang halangan mahu pun sekatan, malah turut mendapat sokongan dari pihak kerajaan. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

4. Saya difahamkan bahawa menurut sejarahnya, Kuil Kuno Johor ini telah diasas dan dijaga oleh lima suku utama kaum Cina seperti Hainan, Kantonis, Hakka Hokkien dan Teochiew. Bertitik tolak dari situ, kesatuan dan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh kelima-lima suku kaum Cina ini telah membawa kepada upacara perarakan sejauh 10.5 KM menjejaki jalan-jalan utama Bandaraya Johor Bahru demi  meraikan 5 dewa  mengikut suku kaum masing-masing.  Tetapi sekarang perarakan yang dahulunya lebih cenderung kepada meraikan dewa-dewa, kini sedikit sebanyak telah bertukar menjadi sebagai salah satu produk pelancongan tahunan yang penting bagi negeri Johor sekaligus berupaya menarik pengunjung dari dalam dan luar negara. 

 

5. Bercakap soal pelancongan, sektor pelancongan negara telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara dengan jumlah pelaburan RM941 bilion dari tahun 2005-2012 iaitu iaitu sebanyak 6.4 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di Johor pula sektor ini merupakan indikator atau penanda aras penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri dengan penawaran pelbagai produk pelancongan. Malah sempena tahun Melawat Malaysia 2014 Kerajaan Negeri mensasarkan lebih 2 juta pelancong pada tahun ini. Saya percaya perarakan Chingay ini sendiri mampu menjadi menjadi faktor penyumbang kepada kerancakkan pelancongan negeri Johor. Tidak cukup dengan itu, keunikan yang ada pada perarakan ini bukan sahaja boleh menarik para pelancong biasa, tetapi ianya sudah semestinya mampu menjemput para pengkaji, sejarahwan dan para ilmuan untuk mengkaji sejarah dan kesesuaian Perarakan Chingay pada masa sekarang.

 

6. Justeru Kerajaan Negeri pada hari ini amat komited dan memandang serius kepada mana-mana sektor yang membawa pulangan dan hasil kepada ekonomi negeri. Segala usaha sedang giat dilakukan untuk membangunkan negeri Johor sebagai lokasi utama pilihan pelabur dan destinasi menarik pelancong. Sehingga sekarang dengan berbekalkan “Perancangan Strategik Pelancongan: Johor, Permata Asia dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang akan dilancarkan akhir tahun ini, segala perancangan yang dilakukan akan lebih terarah sambil berupaya membangunkan kebolehsaingan Johor dalam pelbagai bidang serta sektor ekonomi. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

7. Sekiranya perarakan Chingay ini melambangkan kesatuan dan perpaduan, saya sangat yakin bahawa maksud tersirat dan falsafah perarakan ini mampu meningkatkan kesedaran rakyat akan kepentingan perpaduan dan permuafaktan sebagai teras kestabilan politik, ekonomi serta sosial negara. Saya akui bahawa perjuangan untuk memperkukuhkan perpaduan kaum merupakan perjuangan yang tiada sempadan dan tiada penghujung.  Pokoknya di sini, nilai permuafakatan yang ingin kita semai dan bentuk sepatutnya tidak hanya terhad pada waktu-waktu perayaan, sebaliknya permuafakatan ini mesti diterjemahkan dalam kehidupan kita agar ianya menjadi resmi gerak kerja dan tingkah laku kita seharian. 

 

8. Kita yakin bahawa Johor kini lebih membangun dan berdaya saing. Namun dalam keghairahan kita mengejar kemajuan, perpaduan mesti menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan itu sendiri. Sebolehnya kita mengambil peluang dengan kehadiran upacara seperti Chingay ini untuk kita memahami dan mempelajari budaya orang lain dengan lebih dekat lagi. Di tengah kemajmukan masyarakat dan rakyat yang berbilang bangsa, wujudkanlah perpaduan itu dalam kepalbagaian dan lengkap melengkapilah kelebihan dan kekurangan sesebuah kaum dengan kaum yang lain. Kaum Melayu memerlukan kaum Cina begitu juga sebaliknya Kaum India sudah tentu memerlukan kaum Melayu. Percayalah setiap kaum di negeri ini mempunyai kedudukan yang istimewa dalam banyak perkara. Baik kaum Cina, India mahu pun Melayu tidak boleh mendabik dada dengan mengamalkan Dasar ‘Ethnocentrism’ sambil mendakwa kamilah kaum yang lebih baik dari kaum yang lain. 

 

9. Sejarah telah mengajar kita banyak perkara dan sekiranya kita tidak berhati-hari dalam soal perpaduan, segala yang telah dibina oleh nenek moyang kita akan hanya menjadi satu legasi dan memori yang terlalu sukar untuk dicapai kembali. Sikap bertolak ansur dan saling percaya mempercayai merupakan kunci kepada kita untuk mengeratkan semula hubungan antara kaum di negeri ini. Inilah pengorbanan awal yang perlu kita lakukan dan inilah tanggungjawab yang mesti kita beri pada negeri Johor. Tanpanya runtuhlah negeri dan tanpanya cacatlah segala usaha yang sedang dilakukan. Marilah kita bersama-sama pada hari ini melupakan perbezaan dan mulakan hari ini dengan mengutamakan ciri-ciri persamaan agar kita boleh berganding bahu untuk menjadikan negeri Johor lebih sejahtera dan sentosa. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

10. Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, sokongan dari semua pihak adalah diperlukan.Kerajaan pada hari ini tidak boleh berfungsi dengan baik jika ada pihak tidak mahu mengambil peluang untuk bersama-sama dalam arus pembangunan negeri. Suara masyarakat Cina amat diperlukan di Johor untuk kita bersama membentuk jambatan penghubung supaya segala masalah atau pun perkara yang melibatkan kaum Cina dapat disalurkan melalui saluran yang betul. Yakinilah, Kerajaan pada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang boleh dibergantung harap. Jika tuan-tuan dan puan-puan menyuarakan sesuatu, Kerajaan akan mendengar dan cuba melakukan sesuatu. Namun dalam masa yang sama, tatkala Kerajaan memerlukan sokongan dan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan, saya mengharapkan perkara yang sama juga dilakukan. 

 

11. Sebagaimana saya pernah berikrar sebelum ini dalam banyak majlis bahawa Kerajaan Negeri pada hari ini adalah sebuah kerajaan yang inklusif, sambil memegang kepada tiga panji-panji besar iaitu Merakyatkan Kerajaan, Pembangunan Pro-Rakyat dan Muafakat Johor. Setiap anak Johor tidak kira bangsa, agama mahu pun kaum akan dipastikan bahawa tiada seorang pun tercicir dari arus kerancakkan pembangunan negeri. Jadinya sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa kepercayaan dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan adalah elemen yang sangat penting untuk kita melayari bahtera pembangunan negeri dengan jayanya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

12. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah berjaya mengadakan satu majlis yang besar ertinya kepada kaum Cina. Saya juga berharap agar usaha Persatuan Tiong Hua untuk menempa nama sebagai The World Cultural Heritage dari UNESCO akan bertemu kejayaan.

 

13. Untuk itu saya sudahi dengan doa agar perarakan pada mala ini dapat disempurnakan dengan selamat sambil menjunjung tinggi semangat permuafakatan. 

 

Sekian, terima kasih.

davispropertymanagement.com