MAJLIS PENUTUP KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2014

TEKS UCAPAN 

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR 

MAJLIS PENUTUP KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2014

DI DATARAN MAHKOTA, KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA

PADA HARI SELASA, 24 JUN 2014

JAM : 2.30 PETANG 

 

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ .

 

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ اْلعَالَمِيْنَ . وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ اْلاَنْبِيَآءِ وَاْلمُرْسَلِيْنَ ،  وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, 

Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim 

 

Dan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah. 

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

 

Segala Puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan  besar  Nabi Muhammad S.A.W. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat negeri Johor Darul Ta’zim, patik dengan penuh ta’zim dan menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencemar Duli berangkat disepanjang Kembara Mahkota 2014.

 

Kembara Mahkota ini sememangnya telah menjadi lebih bermakna dengan keberangkatan –

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, 

Tunku Mahkota Johor,

 

Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim,

Tunku Temenggong Johor, 

 

Serta Paduka Putera-Putera dan Puteri, yang telah bersama-sama bermesra dengan rakyat jelata

Ampun Tuanku,

 

Patik mohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik berucap kepada para hadirin sekalian.

 

Ampun Tuanku,

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Abd. Rahim bin Ramli

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor

 

Yang  Berhormat  Tan Sri Mohammad bin Aziz

Speaker Dewan Undangan  Negeri Johor 

 

Yang  Berhormat  Dato’ Haji Ismail bin Karim

Setiausaha Kerajaan Johor 

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Yang Berhormat Ahli-Ahli Jumaah Majlis Jumaah Diraja Johor

 

Serta Saudara Saudari sekalian 

 

1. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri dan sekalian rakyat jelata berasa syukur sekembalinya Tuanku beserta rombongan kembara dalam keadaan yang selamat dan dipelihara oleh Allah SWT. Pada kesempatan ini, patik ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan Tuanku menempuh perjalanan sejauh 858 km merentasi 10 daerah  sekali gus menyempurnakan program selama empat hari ini. Sememangnya, sepanjang kembara ini Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menunjukkan kekuatan dan ketahanan mental serta fizikal yang tiada bandingnya kepada seluruh rakyat Negeri Johor. 

 

2. Apa yang lebih menakjubkan ialah Kembara Mahkota 2014 ini telah mendapat sambutan yang begitu meriah daripada segenap lapisan masyarakat di setiap destinasi persinggahannya. Rakyat telah keluar beramai-ramai dan berkumpul di sepanjang laluan Kembara Mahkota sambil memberikan lambaian mesra kepada Tuanku serta rombongan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpusu-pusu menunggu ketibaan rombongan Tuanku untuk bersalam-salaman. Pendek kata, hasrat Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk bersama, berjumpa dan bertanya khabar rakyat dapat dilaksana.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

3. Di sepanjang program Kembara Mahkota Johor ini, rakyat dapat melihat sendiri keperibadian Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta keluarga Diraja Johor dengan lebih dekat lagi. Rakyat Johor amat berbangga kerana mempunyai seorang Sultan yang sanggup bercemar duli untuk turun padang dan melihat sendiri keadaan rakyat di seluruh pelusuk negeri Johor. Inilah satu kelainan yang ditonjolkan oleh Tuanku sekali gus menunjukkan bahawa program-program Diraja tidak terhad dalam persekitaran tertentu sahaja.

 

4. Kejayaan penganjuran program Kembara Mahkota Johor ini secara tidak langsung menunjukkan sikap bertanggungjawab Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai pemerintah di negeri ini terhadap rakyat jelata. Maka atas sebab itulah, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan padu terhadap penganjuran program Kembara Mahkota Johor sejak dari kali pertama ia dianjurkan lagi. Ini kerana, Kerajaan Negeri yakin, penganjuran program ini banyak memberi manfaat kepada negeri ini terutamanya dalam merapatkan lagi hubungan antara Istana dan rakyat jelata.

 

Ampun Tuanku

 

5. Mengambil kesempatan ini, patik menjujung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk mengalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat di negeri ini. Pelbagai aktiviti serta pameran melibatkan kesedaran kesihatan yang dianjurkan sepanjang program Kembara Mahkota Johor ini diharapkan sedikit sebanyak dapat melahirkan masyarakat yang sihat.

 

6. Patik juga menjunjung kasih kerana kesudian Duli Yang Maha Mulia Tuanku memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Pejabat Daerah dan Persatuan Teksi di setiap daerah di negeri ini. Kesudian Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam menghulurkan sumbangan ini menunjukkan sikap prihatin Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap rakyat di negeri ini.

 

7. Selain itu, patik dapat melihat penganjuran program Kembara Mahkota Johor kali ini telah menonjolkan beberapa budaya dan warisan rakyat di setiap daerah di negeri ini. Tidak cukup dengan itu, beberapa permainan tradisional seperti tarik tali dan memanjat tiang licin juga turut dipertontonkan. Ini sekali gus dapat menghidupkan kembali adat serta budaya kita agar ia tidak larut ditelan zaman.

 

Ampun Tuanku, 

 

8. Adalah menjadi harapan besar kepada Kerajaan Negeri supaya program Kembara Mahkota Johor ini dapat diteruskan setiap tahun dengan penyertaan yang lebih besar dan penambahan acara-acara baru yang bermanfaat dan berkualiti. Semua usaha ini amat penting untuk dirakamkan dalam sejarah negeri Johor bagi generasi yang akan datang.

 

9. Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan Program Kembara Mahkota 2014 dapat dijalankan sebagaimana yang telah dirancang. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah SWT dan mendapat keredhaan dariNya. 

 

Ampun Tuanku

 

10. Dengan segala hormat takzim dan tawadhuknya, sekali lagi patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke majlis pada hari ini. 

 

11. Akhir sekali, patik yakin bahawa rakyat berbilang kaum di negeri ini akan sentiasa menanti-nantikan kedatangan program Kembara Mahkota ini yang telah semakin sebati di dalam kehidupan mereka saban tahun. Kerajaan Negeri dan rakyat jelata ingin mengucapkan tahniah sekali lagi di atas kejayaan Tuanku pada program kembara kali ini. Patik mendoakan agar dilanjutkan usia Tuanku dan dirahmati oleh Allah SWT. 

 

12. Demikian juga, patik berdoa semoga dikurniakan taufiq dan hidayah kepada:

 

i. Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Syah.

 

ii. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,

  Tunku Mahkota Johor.

 

iii. Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim,

  Tunku Temenggong Johor, 

 

iv. Yang Amat Mulia Paduka Putera-Putera dan Puteri serta kerabat-kerabat DiRaja sekalian berada dalam keadaan sihat walafiat, aman makmur dan sejahtera. 

 

13. Patik sekalian bermohon ke hadrat Ilahi semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan bertambah-tambah Daulat dan kemuliaan untuk terus memerintah Negeri Johor Darul Ta’zim dengan adil dan saksama. 

 

Sekian, wabillahitaufik walhidayah 

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Ampun Tuanku

davispropertymanagement.com