PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN DAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2014

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN DAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG

PERINGKAT NEGERI JOHOR TAHUN 2014

DI DATARAN LEDANG, TANGKAK

PADA HARI AHAD, 17 OGOS 2014

JAM 9.30 PAGI

 

 

Bismillahirrahmannirahim 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor tahun 2014. 

 

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa yang terlibat di atas daya usaha dan kejayaannya kerana dapat menganjurkan majlis ini dengan lancar. Semoga majlis ini mencapai objektif dan memberi manfaat kepada kita semua.

 

3. Saya amat mengharapkan agar majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama antara kita.  Ia juga sangat penting untuk mengenang perjalanan kita sebagai sebuah bangsa dan negara yang merdeka. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

4. Dalam beberapa hari sahaja lagi, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-57. Sepanjang 56 tahun negara kita merdeka, kita telah dilimpahi dengan pelbagai nikmat kebebasan, keamanan dan perpaduan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum mahu pun agama. Nikmat ini membolehkan rakyat hidup lebih selesa, makmur serta bertolak ansur   dalam   menjalin hubungan dan perpaduan kaum.

 

5. Namun yang demikian, dalam kita meniti usia kemerdekaan negara yang telah melebihi setengah abad ini, masih terdapat lagi sebilangan masyarakat kecil yang tidak tahu tentang erti sebenar kemerdekaan. Untuk itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa ingat mengingati bahawa sambutan kemerdekaan yang dianjurkan pada setiap tahun ini bukan hanya untuk mengenang kembali detik-detik perjuangan menuntut kemerdekaan, tetapi apa yang lebih utama adalah keupayaan mengisi ruang kemerdekaan itu sendiri. Salah satu daripada mengisi ruang kemerdekaan itu ialah dengan menanam sifat kasih dan sayang kepada tanah air. Dan sifat kasih serta sayang kepada tanah air itu bukan setakat hanya mengibarkan bendera. Ia tidak mencukupi dengan hanya meraikan sambutan bulan kemerdekaan dengan perarakan yang gah dan sekadar riuh rendah serta sorak gembira laungan kemerdekaan. Hakikatnya rasa merdeka dan kasih serta sayang kepada negara itu harus berakar teguh di dalam fikiran dan sanubari kita dengan kegigihan dan rasa kepunyaan yang mendalam pada tanah air. 

 

6. Atas sebab itulah kita mengalu-alukan tema sambutan Kemerdekaan kali ke-57 ini iaitu “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”, ia begitu signifikan dengan situasi di negara kita pada hari ini. Perasaan cinta pada bangsa dan negara ini adalah merupakan sebahagian daripada sifat patriotisme dan Malaysia memerlukan rakyatnya yang sentiasa mempunyai sifat-sifat patriotik. Perasaan cinta dan sayang kepada negara itu juga bermaksud mempunyai rasa prihatin dan peduli kepada permasalahan bangsa dan negara.

 

7. Bagaimanapun, nilai-nilai patriotisme bukanlah boleh dibentuk begitu sahaja. Patriotisme mempunyai musuh utama iaitu wujud dalam masyarakat sifat dan tindakan yang merugikan kehidupan bersama sebagai sebuah bangsa. Kegilaan materialistik, sikap tidak prihatin serta tidak mengambil endah kepada kepentingan bersama tetapi hanya mementingkan kepentingan peribadi, keluarga ataupun golongan tertentu perlu dielakkan kerana ia adalah sesuatu yang tidak patritotik.

 

8. Hari ini kita menghadapi kesukaran untuk meyakinkan generasi muda supaya mereka dapat menjiwai semangat patriotisme dan menjadi patriot yang sejati. Memang benar, selama ini kita sering menyeru supaya generasi pelapis kita sentiasa mempunyai perasaan cinta kepada negara tetapi kita tidak pernah memberi alasan yang kukuh mengapa rakyat Malaysia perlu mencintai negara ini dengan sepenuh jiwa mereka. 

 

9. Justeru, pada hari ini saya terpanggil untuk memberikan alasan itu dan alasannya hanyalah satu iaitu kita perlu mencintai Malaysia dengan sepenuh jiwa kita kerana kita mempunyai tanggungjawab yang masih belum selesai untuk melaksankan visi kita bersama yang disebut sebagai Malaysia. Kita semua adalah Malaysia. Kita semua sebenarnya dimiliki oleh bangsa dan negara yang kita cintai ini iaitu Malaysia.

 

10. Ingatlah, kita tidak mempunyai tanah air yang lain. Kita lahir, membesar, bersekolah, mencari kehidupan serta membina kebahagiaan hanya di negara ini sahaja. Di sinilah peranan generasi muda sangat penting. Kerana merekalah generasi pelapis yang akan meneruskan visi Malaysia pada masa akan datang. Merekalah yang bersemangat untuk mempunyai pandangan yang berbeza serta memiliki idealisme luhur yang sudah semestinya berlainan dengan generasi terdahulu.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

11. Di kala harapan kita sangat besar kepada generasi muda pada hari ini, namun kita juga bimbang kerana generasi muda hari ini hidup dengan penuh keselesaan dan dibuai dengan obsessi material dan teknologi yang semakin canggih ketika ini. Mereka menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan bangsa. Pada mereka semuanya berada dalam keadaan baik sahaja dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka dan tidak perlu difikirkan. Lebih menyedihkan apabila ada segelintir anak muda langsung tidak mahu menghayati kemerdekaan sebaliknya lebih menantikan perayaan Hari Kemerdekaan dengan berkumpul dan mengibarkan Jalur Gemilang sahaja.

 

12. Maka untuk itu, kita semua bertanggungjawab untuk memperbetulkan perkara ini. Jika generasi muda prhatin dengan diri mereka sendiri, maka mereka juga harus peka terhadap kehendak bangsa dan tanah air mereka. Semangat patriotisme itu perlu wujud dan mereka harus mengambil berat tentang negara yang merupakan tanah air mereka tanpa melupakan akan sejarah negara yang kita sama-sama cintai ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

13. Antara matlamat utama kemerdekaan negara adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang mampu memberi kebaikan bersama untuk setiap rakyat. Dan kejayaan negeri Johor pada masa kini adalah hasil daripada sistem nilai muafakat antara rakyatnya yang berbilang kaum serta bersedia menerima, mencorak dan mewarnai kepelbagaian itu sebagai satu sumber kekuatan bersama. Sepanjang lipatan sejarah negeri Johor sendiri, ia telah  menyaksikan sumbangan kejayaan dari semua pihak tanpa mengenal erti perbezaan ras, kepercayaan agama, status mahu pun warna kulit. Inilah makna sebenar muafakat, di mana setiap anak-anak Johor tidak kira kepelbagaiannya sanggup berkorban dan bertolak ansur antara satu sama lain.

 

14. Sebab itulah pada hari ini kita melancarkan logo Muafakat Johor bagi menggambarkan bahawa semangat permuafakatan yang telah sekian lama terjalin di kalangan rakyat itu haruslah sentiasa dibangun dan dipertahankan. Dengan adanya logo Muafakat Johor ini, ia akan sentiasa mengingatkan kita betapa nilai-nilai permuafakatan merupakan salah satu daripada faktor penting kepada kejayaan negeri Johor pada hari ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

15. Marilah kita semua bersama-sama menjadikan sambutan kemerdekaan pada    tahun ini   lebih bermakna bagi rakyat negeri Johor dalam menikmati pembangunan yang sedia ada dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi, sosial dan lain-lain berasaskan permuafakatan yang progresif. Kibarkanlah bendera negara kita di setiap tempat dengan rasa penuh bangga sebagai tanda sokongan kita kepada kempen kibar Jalur Gemilang. 

 

16. Untuk itu, sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa yang telah terlibat melaksanakan program ini dengan jayanya. Seterusnya diharapkan agar acara seperti ini dapat memartabatkan lagi semangat kehidupan bermasyarakat demi keutuhan dan perpaduan negeri Johor. 

 

17. Maka dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2014.

 

Sekian, terima kasih.

davispropertymanagement.com