MAJLIS ANUGERAH DESA CEMERLANG 2013

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS ANUGERAH DESA CEMERLANG 2013

DI KAMPUNG PARIT HAJI ALI, PARIT RAJA, MUKIM 8, SRI GADING, BATU PAHAT

PADA HARI KHAMIS, 26 JUN 2014

JAM 3.30 PETANG

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

 

YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia

 

Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah 

 

Yang Berhormat Exco-Exco Pembangunan Luar Bandar

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa

Ketua Setiausaha Negara

 

Yang Berbahagia Datuk Seri Ibrahim bin Muhamad

Ketua Setiausaha 

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

 

Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri

 

Pengerusi- Pengerusi JKKK dan JKKKP

 

Pemimpin-Pemimpin Masyarakat

 

Hadirin yang saya hormati sekalian, 

 

1. Pertamanya marilah kita memanjatkan rasa penuh syukur ke hadrat  Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2013 pada hari ini. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat negeri Johor berterima kasih serta sangat berbesar hati atas pemilihan negeri ini khususnya di Kampung Parit Haji Ali, Batu Pahat sebagai lokasi penganjurannya kali ini.

 

2. Saya juga ingin merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang sanggup turun padang bersama-sama rakyat Johor dari pelbagai lapisan umur dan latar-belakang untuk bersama-sama meraikan majlis gilang-gemilang ini.

 

3. Di atas kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana komitmennya dalam usaha untuk membangunkan kawasan luar Bandar di negeri Johor. Ini dapat dilihat menerusi penyaluran peruntukkan sebanyak RM400 juta tahun ini yang disalurkan menerusi agensi-agensi di bawah KKLW seperti MARA, KEMAS, RISDA, FELCRA, INFRA dan KEJORA. Terima kasih saya ucapkan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

 

4. Telah terbukti setiap siri penganjurannya Anugerah Desa Cemerlang ini, kampung-kampung dari negeri Johor sentiasa berada     di kedudukan terbaik. Kejayaan ini sudah semestinya adalah hasil  permuafakatan daripada semua penduduk, di samping komitmen daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama-sama pemimpin di peringkat mukim, daerah dan negeri.

 

5. Menyedari bahawa program Anugerah Desa Cemerlang ini mampu memberi manfaat kepada rakyat, maka atas sebab itulah Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penganjuran program seumpama ini. Saya yakin, program seumpama ini mampu menjayakan usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan kampung-kampung di negeri ini sebagai kampung terbaik di negara ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

6. Melalui penganjuran program ADC ini, secara tidak langsung kita dapat menilai prestasi dan pencapaian kampung di negara kita. Ini juga merupakan satu indikator ke arah mewujudkan masyarakat yang cemerlang bersesuaian dengan matlamat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Di samping membantu meningkatkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, kebersihan, kesihatan dan keceriaan, kerohanian dan patriotisme serta teknologi maklumat di kalangan penduduk luar bandar.

 

7. Pencapaian kampung-kampung ini telah menjadikan role model atau mentor kepada kampung-kampung lain dalam usaha pengupayaan kepimpinan sosial dan ekonomi kampung. Misalnya, apabila Kg Parit Tengah, Seri Merlong berjaya dinobatkan sebagai  kampung pertama Negeri Johor selaku Johan ADC Kebangsaan tahun 1996-1997, maka kampung tersebut telah menjadi sumber inspirasi, rujukan utama dan penanda aras kepada kampung-kampung lain di negeri Johor untuk mencapai kecemerlangan yang sama. Hasilnya, dalam 12 siri pertandingan seumpama ini, kampung-kampung di Negeri Johor sentiasa mendominasi tempat terbaik apabila menjadi johan kebangsaan sebanyak 3 kali dan menjadi kampung pemenang untuk tiga (3) tempat teratas dalam setiap siri pertandingan. Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Johor.

 

8. Suka juga saya ingin berkongsi pengalaman negeri Johor bahawa kampung-kampung yang berjaya dalam pertandingan ini bukan sahaja gah di gelanggang pertandingan semata-mata, malah berjaya mentransformasikan nikmat kecemerlangan ADC menjadi sebuah kampung homestay dan pelancongan desa yang mampu menjana pendapatan tetap berjumlah RM50,000 hingga RM100,000 setahun.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

9. Pembangunan kampung-kampung di negeri ini menjadi salah satu tumpuan utama Kerajaan Negeri Johor. Tumpuan diberikan kepada penyediaan kemudahan asas yang menjadi keperluan utama kepada penduduk kampung di negeri ini. Ini termasuk penyediaan bekalan air bersih, bekalan elektrik dan juga kemudahan infrastrutktur jalan raya yang baik.

 

10. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui kerjasama yang erat dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah mengaturkan beberapa perancangan pembangunan di kampung-kampung dan kawasan luar bandar. Antara kerjasama yang dijalankan dengan KKLW adalah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Jalan Luar Bandar (JALB), Lampu Jalan Kampung (LJK), Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PMLB) dan Program Pembangunan Kawasan (PPK) serta banyak lagi. Usaha-usaha ini dialksanakan supaya kemajuan ekonomi di negeri Johor dapat disebarluaskan ke kawasan kampung-kampung dan luar bandar supaya kemajuan di negeri Johor dapat dinikmati oleh rakyat pelbagai lapisan.

 

11.   Selain itu, dalam usaha untuk memastikan infrastruktur jalan raya di kawasan kampung dan luar bandar di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan baik, Kerajaan Negeri telah pun menjalankan pelan pelebaran jalan-jalan kampung Pejabat Daerah (JKPD). Pelebaran jalan di kawasan kampung itu adalah sepanjang 1074 kilometer dan telah bermula sejak tahun 2012 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2015. Untuk program ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk tempoh tiga tahun.

 

12. Daripada pelbagai usaha yang disebutkan tadi, jelaslah bahawa Kerajaan tidak pernah meminggirkan pembangunan di kawasan kampung atau luar bandar. Malah Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kawasan-kawasan kampung dan luar bandar   di negeri ini tidak tercicir dari arus pembangunan yang semakin pesat sedang berlaku di negeri ini ketika ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

13. Bagi mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak kerana sudi hadir dan dapat bersama-sama dengan rakyat Johor pada hari ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Dato' Sri Mohd Shafie Apdal kerana Kementerian Luar Bandar memilih Johor sebagai destinasi penganjurannya pada hari ini.

 

14.   Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana kejayaan penganjuran majlis pada hari ini. Tahniah saya ucapkan. Diharapkan penganjuran ADC ini akan terus dianjurkan di masa-masa akan datang.

 

Sekian, wabillahitaufik walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com