MAJLIS ANUGERAH MEDIA JOHOR

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS ANUGERAH MEDIA JOHOR 

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

PADA HARI RABU, 05 MAC 2014

JAM 8.00 MALAM

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh

Selamat 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke-hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-NYA dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam ini bersempena Majlis Anugerah Media Johor 2013.  Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput saya sekaligus merasmikan majlis pada malam ini.

 

2. Saya percaya bahawa malam ini merupakan malam yang dinanti-nantikan oleh semua warga media terutamanya para pemenang yang bakal membawa pulang hadiah dan wang tunai. Saya yakin, majlis ini akan berupaya memberikan satu suntikan baru kepada pengamal media dalam usaha mencorak dan mengukir wajah baru dunia media massa. Justeru, di kesempatan ini, bagi pihak kerajaan negeri Johor saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang anugerah yang bakal diumumkan sebentar nanti.  

 

3. Saya turut difahamkan bahawa majlis pada malam ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bagi meraikan sumbangan serta peranan pihak media dalam memberi liputan terhadap agenda pembangunan sosial, ekonomi serta politik di negeri Johor. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

4. Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kita memerlukan komitmen, sokongan dan kerjasama dari seluruh lapisan rakyat termasuklah para pengamal media.    Di samping memberikan publisiti dan laporan, pihak media juga perlu melipatgandakan usaha selain lebih kreatif dalam memberikan kesedaran dan menggalakkan penglibatan rakyat bagi menjayakan usaha-usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

 

5. Dalam konteks pembangunan hari ini, bilamana kita menyebut tentang negeri Johor, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa negeri ini sedang pesat membangun secara seimbang baik dari segi, pelaburan, infrastruktur, sosial, mahupun spiritual. Malah kita berasa amat bersyukur kerana keseimbangan pembangunan yang kita sedang lakukan ini sememangnya berlandaskan kepada dua Road Map utama iaitu Pelan Suara Hati Johor dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor. 

 

6. Secara ringkasnya, Pelan Suara Hati Johor bertindak sebagai satu pelan yang akan menangani 7 fokus utama  yang telah diutarakan oleh rakyat seperti, perumahan, kesihatan, ekonomi dan keusahawanan, agama, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat, keselamatan serta infrastruktur. Bagi melihat keberhasilan 7 fokus utama ini, setiap Pengerusi Jawatankuasa akan bertanggungjawab bukan sahaja menetapkan KPI masing-masing bahkan dalam pada masa yang sama mengukur KPI itu sendiri. Manakala, bagi Pelan Strategik Pertumbuhan Negeri Johor, kita bakal melihat Johor menjadi negeri yang berpendapatan tinggi bukan sahaja melalui pelaburan, malah lebih dari itu menerusi pertumbuhan ekonomi yang mapan dipacu oleh teknologi dan infrastruktur moden, mempunyai modal insan yang berkemahiran tinggi serta mewujudkan peuang dan ekosistem perniagaan yang lebih kompetitif.

 

7. InsyaAllah, kedua-dua pelan ini akan dilancar dalam masa terdekat dan dalam tahun ini. Apabila kedua-dua pelan ini dilancarkan kelak, Kerajaan Negeri yakin bahawa limpahan pembangunan akan turut mewarnai kawasan-kawasan di luar Wilayah Iskandar dan pengagihan ekonomi itu akan terus dirasai oleh anak-anak Johor. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

8. Namun begitu, dalam setiap apa yang dirancang tidak akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya rakyat tidak mengetahui kewujudan dasar tersebut dan inisiatif yang terkandung di dalamnya. Hakikatnya, kesemua dasar dan inisiatif hanya akan berkesan dan membuahkan hasil apabila mendapat sokongan dan dokongan padu yang tidak berbelah bahagi daripada semua rakyat.

 

9. Saya melihat di sinilah terletaknya signifikan dan pentingnya peranan media dalam membantu pentadbiran saya iaitu memberikan maklumat kepada rakyat Johor tentang pendekatan-pendekatan yang akan saya ketengahkan.  Betapa hebat pun sesuatu perkara jika tidak dipromosi dan dipasarkan dengan baik maka ia akan menjadi tidak bermakna dan sia-sia.

 

10. Sebab itulah peranan media amat penting dalam menyampaikan maklumat dan seterusnya membantu mencorak persepsi dan penglibatan masyarakat dalam pembangunan di negeri ini.  Diharapkan rakyat di negeri Johor dapat bersama-sama mengambil bahagian secara aktif bagi menjayakan serta menikmati kesejahteraan daripada setiap inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

 

11. Dalam era teknologi moden seperti hari ini, maklumat menjadi semakin cepat merebak dengan adanya medium media baru. Rakyat tidak lagi hanya bergantung kepada media massa semata-mata untuk mendapatkan berita sebaliknya, ia kini terletak hanya di hujung-hujung jari sahaja dengan adanya pelbagai gajet yang semakin canggih dan berteknologi tinggi.

 

12. Pun begitu, saya yakin dan percaya bahawa media massa masih menjadi rujukan utama kepada rakyat di negara ini untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai sesuatu isu itu. Ini kerana, sejak kebelakangan ini terlalu banyak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap kemudahan media sosial dengan menyebarkan pelbagai fitnah dan tohamahan. Maka untuk itu, pengamal media perlulah mempunyai sifat tanggungjawab dan beramanah dalam menyampaikan fakta yang benar lagi tepat kepada rakyat agar mereka dapat membuat penilaian sema ada sesuatu isu itu benar atau salah. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

13. Saya melihat hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan pihak media perlu terus dipereratkan lagi. Sebenarnya, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan media di Johor telah sekian lama terjalin malah ia menjadi semakin erat dengan tertubuhnya Kelab Media Johor sejak 22 tahun lalu.

 

14. Sejak penubuhannya pada 1992, Kelab Media Johor bukan sahaja berjaya menjadi jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dan pengamal media, malah, ia turut telah berjaya menjadikan kelab ini sebagai antara kelab media yang paling aktif dan yang terbaik di negara ini. Saya juga difahamkan bahawa negeri-negeri lain kini menjadikan Johor sebagai contoh sekali gus memasang impian untuk mempunyai sebuah persatuan media sehebat Kelab Media Johor di negeri mereka. Atas kesempatan itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga Kelab Media Johor.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

15. Sebelum mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua warga media yang memenangi anugerah pada malam ini. Jasa dan pengorbanan semua pihak terutama wartawan selama ini amat saya dihargai. Maka dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya merasmikan Majlis Anugerah Media Johor 2013. 

 

Sekian terima kasih.

davispropertymanagement.com