ANUGERAH SUKAN JOHOR 2013

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI ANUGERAH SUKAN JOHOR 2013

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

PADA HARI RABU, 20 OGOS 2014

JAM 8.30 MALAM 

 

 

Bismillahirrahmannirahim 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua dapat kita bersama-sama bertemu di bulan Syawal yang mulia ini bersempena Majlis Malam Anugerah Sukan 2013. Di kesempatan ini, diharapkan masih tidak terlewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua yang hadir.

 

2. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak Majlis Sukan Negeri Johor di atas inisiatif yang di ambil dalam usaha untuk menganjurkan Majlis Malam Anugerah Sukan Johor 2013 ini. 

 

3. Terima kasih diucapkan di atas penghormatan yang diberikan untuk saya berucap pada majlis malam ini buat julung kalinya yang bertujuan menghargai dan memberi pengiktirafan di atas jasa dan pengorbanan atlet-atlet dan penggiat-penggiat sukan. Mereka ini telah mengharumkan nama negeri ke arah memartabatkan lagi industri sukan negeri ke peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

4. Hari ini, rakyat Johor khususnya berasa amat berbangga dengan pelbagai kejayaan yang telah kita kecapi dalam bidang sukan dari segi pembangunan dan penganjuran sukan di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa. Antaranya adalah kejayaan pasukan bola sepak negeri Johor ataupun JDT yang telah berjaya menjuarai Liga Super 2014 baru-baru ini. Ia adalah satu kejayaan yang amat membanggakan buat kita semua.

 

5. Seterusnya, kejayaan pasukan ragbi negeri Johor dalam menjulang Piala Agong buat julung kalinya tahun lalu juga adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Malah, pada kejohanan Sukma di Perlis baru-baru ini, kejayaan kontinjen negeri Johor merangkul 23 pingat emas bolehlah di anggap sebagai detik permulaan kepada pembangunan sukan di negeri Johor. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

6. Di sebalik kejayaan Johor mengecapi pelbagai kejayaan dalam arena sukan, tetapi jumlah kemunculan jaguh-jaguh sukan peringkat antarabangsa dari negeri ini boleh disifatkan sebagai kecil jumlahnya. Ini kerana hanya sebilangan sahaja atlet kita yang cemerlang di peringkat antarabangsa dan ini perlu diperbaiki kerana saya yakin anak Johor mampu mengecapi kejayaan yang lebih daripada apa yang sedang kita capai pada hari ini.

 

7. Untuk itu, saya menyarankan agar semua persatuan sukan dan jurulatih menyediakan perancangan memperkasakan pasukan dan atlet secara berterusan mengikut fasa-fasa yang berasaskan Sains, Hasil Kajian mahupun bersandarkan kepada pengalaman kejurulatihan yang dimiliki oleh para pegawai pembimbing. Jadikanlah pertandingan sukan di peringkat negeri mahupun nasional sebagai sasaran untuk mengukur prestasi atlet kita agar sentiasa berada di tahap yang optimum. Semua persatuan seharusnya meneruskan program latihan melalui inisiatif sendiri ataupun dengan program latihan khas yang disediakan oleh Majlis Sukan Negeri Johor. Program latihan yang berterusan ini perlulah dibimbing dan diselia oleh Institut Sukan Negara yang juga boleh membantu dari aspek nasihat pemakanan atlet, psikologi atlet, prinsip-prinsip latihan, rehabilitasi dan pencegahan kecederaan dalam sukan.

 

8. Dalam pemilihan atlet di mana-mana kejohanan peringkat negeri mahupun kebangsaan, saya menyeru kepada yang berkenaan supaya dahulukan atlet yang cemerlang dan berpotensi tinggi untuk menyumbang kepada negeri kita. Sikap profesionalisme hendaklah sentiasa diutamakan dan elakkanlah sikap mengutamakan kepentingan peribadi kerana ia adalah satu sikap yang boleh merosakkan arena sukan di negeri kita. Hendaklah kita telus dan tunjukkan komitmen tinggi sesuai dengan tujuan kita melibatkan diri dalam NGO dan persatuan sukan.

 

9. Sementalah itu, Majlis Sukan Negeri pula, disarankan menyediakan platform pemilihan atlet sebelum diterima sebagai pra-atlet. Bukalah peluang seluas-luasnya kepada kepada para atlet dperingkat akar umbi            di negeri ini agar mereka yang layak mendapat peluang yang sewajarnya untuk menyinar       di persada sukan tanah air. Dengan cara ini, kita akan dapat elakkan ’tangkap muat’ dalam penyediaan sesebuah pasukan. Biarlah kontinjen kita kecil untuk pergi bertanding di sesuatu kejohanan itu tetapi ia perlulah mempunyai kualiti dan mempunyai potensi tinggi untuk menyinar.

 

10. Saya yakin dan percaya jika kesemua cara ini diterapkan oleh semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan di negeri ini, lebih ramai atlet serta jaguh sukan tanah air dapat dilahirkan dari negeri Johor. Insya-Allah.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

11. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam pembangunan sukan di negeri ini. Malah, pembangunan sukan tidak pernah terpinggir dalam setiap perancangan kerajaan untuk negeri yang sama-sama kita cintai ini. Justeru, Kerajaan Negeri telah merancang untuk menaiktaraf infrastruktur sukan di negeri ini menjadikannya sebagai bertaraf antarabangsa antaranya bagi sukan olahraga, renang dan tenis. 

 

12. Justeru, Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Sukan Negeri Johor sedang menyusun semula pembangunan sukan di negeri ini. Ini antara lain akan melibatkan kerjasama pintar dengan Jabatan Pelajaran Negeri, institusi-institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan sukan, agensi-agensi kerajaan, korporat-korporat dan ibu bapa. Komunikasi yang berkesan melalui perjumpaan yang kerap dilaksanakan dapat menguatkan persefahaman dalam pembangunan sukan. Dengan cara ini, lebih banyak bakat-bakat sukan di peringkat akar umbi akan dapat dikenalpasti untuk mewakili negeri Johor di kejohanan-kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

13. Pada era ini, sukan bukanlah hanya satu hobi mahupun amalan gaya hidup semata-mata, tetapi sukan kini adalah satu kerjaya untuk setiap rakyat. Mungkin untuk melihat sukan sebagai satu kerjaya di negara ini adalah sesuatu perkara yang baru, tetapi di negara maju ia bukanlah sesuatu yang asing malah ramai jutawan sukan telah dilahirkan di negara-negara mereka.

 

14. Bagaimanapun, dengan adanya jaguh sukan tempatan seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang dan beberapa nama besar lain lagi, ia telah membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya yang boleh memberikan hasil lumayan kepada para atlet. Justeru, saya menyeru kepada rakyat di negeri ini terutamanya mereka di bangku sekolah, ceburilah bidang sukan dengan serius dan komited. Ingatlah bahawa pada hari ini sukan dilihat sebagai sebuah industri yang berpotensi di masa akan datang.    

 

15. Atas sebab itulah, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan, dorongan dan dokongan   di atas setiap usaha-usaha untuk membangunkan industri sukan ke arah yang lebih cemerlang. Di samping itu, pihak Kerajaan juga amat positif untuk menjadikan Johor sebagai hub pembangunan sukan di rantau ini. Insya-Allah.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

16. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang-pemenang Anugerah Sukan Johor 2013 pada malam yang berbahagia ini. Semoga kemenangan yang diraih ini dapat menjadi contoh serta tauladan kepada atlet-atlet yang lain untuk terus berusaha memajukan diri dan mencipta rekod peribadi dalam sukan masing-masing. Diharapkan anugerah seperti ini dapat menjadi perangsang dan pemangkin dalam usaha untuk membangunkan industri sukan di negeri Johor.

 

17. Bagi mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Negeri Johor di atas kejayaan melaksanakan tanggungjawab untuk membangunkan industri sukan di negeri ini. Diharapkan setiap usaha yang dilaksanakan oleh kita ini akan sentiasa diberkati oleh Allah SWT. 

 

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik walhidayah

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh

davispropertymanagement.com