MAJLIS PECAH TANAH RUMAH MAMPU MILIK JOHOR JALAN DATIN HALIMAH

UCAPAN

YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PECAH TANAH 

RUMAH MAMPU MILIK JOHOR JALAN DATIN HALIMAH

DI JALAN DATIN HALIMAH, PTD 18233 & 21476

PADA HARI SABTU, 13 DISEMBER 2014

JAM 9.30 PAGI

 

 

 

Bismillahirahmanirrahim.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selamat Sejahtera dan Salam Muafakat Johor.

 

Yang Dihormati Saudara Pengacara Majlis.

 

Yang Berhormat Tan Sri Shahrir Abdul Samad,

Ahli Parlimen Johor Bahru.

 

Yang Berhormat Datuk Abd. Latiff Bandi,

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Ismail Karim, 

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

Yang Berusaha Tuan Haji Rozan Mohd Sa’at,

Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn Bhd.

 

Barisan Ahli Parlimen.

 

Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

 

Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor (ADUN).

 

Barisan Ahli Lembaga Pengarah PIJ.

Barisan Ketua-ketua Jabatan.

 

Barisan Kepimpinan Atasan Kumpulan PIJ Holdings Sdn Bhd.

 

Dif-dif Jemputan. 

 

Rakan-rakan Media. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur, PIJ Holdings Sdn Bhd yang telah sudi menjemput saya bagi menyampaikan sepatah dua kata, sekali gus menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Jalan Datin Halimah, Johor Bahru pada pagi ini.

 

2. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada pihak PIJH yang telah berusaha dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membela golongan Bumiputera dalam memiliki rumah sendiri. Malah, usaha seperti ini adalah sebahagian daripada strategi kerajaan negeri untuk menambahkan keluasan tanah rizab Melayu, terutamanya di dalam kawasan bandar.

 

3. Sesungguhnya, langkah seperti ini jelas menggambarkan bahawa kerajaan negeri sentiasa berada di landasan untuk terus merakyatkan kerajaan dan melaksanakan pembangunan pro-rakyat yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dalam setiap pembangunannya, khusus sektor perumahan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

PELAN SUARA HATI JOHOR – FOKUS PERUMAHAN

 

4. Seperti semua telah sedia maklum, usaha-usaha penyediaan kediaman rumah mampu milik di negeri Johor ini telah pun digerakkan melalui pelaksanaan Pelan Suara Hati Johor. Antara kejayaan yang ditempa adalah peningkatan jumlah bilangan pembinaan rumah mampu milik daripada sasaran awal sebanyak 28,000 unit rumah kepada 37,000 unit rumah untuk tempoh lima tahun sehingga 2018. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menetapkan kuota pembangunan rumah mampu milik sebanyak 40 peratus bagi setiap yang dijalankan di negeri ini.

 

5. Jumlah peratusan ini jelas lebih tinggi berbanding negeri lain yang hanya meletakkan kuota sebanyak 20 hingga 30 peratus sahaja bagi tujuan itu. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Johor mendahului negeri-negeri lain dalam hal menyediakan rumah mampu milik kepada rakyatnya. 

 

6. Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ada menggesa semua negeri mengkaji semula dasar berkaitan rumah kos rendah dan mengemukakan pendekatan telus serta terangkum untuk sistem pengagihan saksama. Kita di Johor telah pun melaksanakan seruan ini melalui Pelan Suara Hati, malah sebanyak 28 pemaju yang gagal untuk membina rumah kos rendah di dalam kawasan Iskandar Malaysia telah pun disenaraihitamkan. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

PERUNTUKAN RM50 JUTA

 

7. Alhamdulillah, hasrat Kerajaan Negeri untuk membina rumah mampu milik mendapat perhatian dan sokongan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), termasuk Johor Corporation dan pada hari ini PIJH melalui PIJ Property Development Sdn Bhd telah menyatakan komitmen sama. Saya yakin dan percaya, menerusi sokongan ini, matlamat Kerajaan Negeri untuk melihat lebih banyak rumah mampu milik dibina di negeri ini akan dapat dicapai. Insya-Allah.

 

8. Apa yang lebih menggembirakan apabila pada hari ini, saya yang juga merupakan Pengerusi PIJ Holdings Sdn. Bhd. sukalah saya mengumumkan bahawa syarikat ini akan membina kira-kira 3,000 unit rumah mampu milik yang dirancang pembinaannya di kawasan bandar raya Johor Bahru. Pembinaan rumah mampu milik di kawasan bandar ini, sedikit sebanyak dapat menyeimbangkan pemilikan hartanah melibatkan semua kaum di kawasan bandar dan ia sekali gus sejajar dengan dasar pengagihan secara inklusif yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri pada hari ini.

 

9. Bagi tujuan itu, tiga lokasi strategik telah dikenal pasti termasuk di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri; Bakar Batu dan Jalan Datin Halimah. Manakala dua Taman Perbadanan Islam (TPI) akan dibina di Larkin dan Telok Jawa, mukim Plentong, sebagaimana yang telah saya umumkan ketika pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini. Untuk makluman, kawasan-kawasan ini akan diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu dan dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

 

10. Selain itu, sukalah juga saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan pinjaman mudah sebanyak RM50 juta bagi menjayakan dan melaksanakan pelbagai program pembangunan perumahan yang telah dirancang oleh kumpulan PIJH. Kemudahan peruntukan pinjaman mudah ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memastikan semua projek yang membolehkan rakyat Bumiputera Islam di negeri Johor ini memiliki rumah sendiri berjalan dengan lancar dan terancang.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

PEMBANGUNAN TANAH WAKAF

 

11. Pembangunan yang dirancang ini adalah untuk memperkasa kedudukan sosioekonomi Bumiputera Islam di negeri ini. Oleh itu, pembangunan secara inklusif wajar diteruskan. 

 

12. Pada kesempatan ini,  saya ingin menyarankan kepada pihak PIJH untuk menjalankan satu kajian terperinci, selain menjalin kerjasama dengan institusi agama di Johor, iaitu Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) untuk bersama-sama mengenal pasti cara efektif dalam pengurusan tanah-tanah Wakaf, serta Baitulmal yang terbiar. Ini kerana, kita sedia maklum bahawa isu tanah Wakaf terbiar ini sering kali diketengahkan. Jika isu wakaf ini dapat diselesaikan, ia akhirnya akan memberi manfaat kepada masyarakat Islam di negeri Johor ini. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

13. Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan PIJH menjalankan pembangunan-pembangunan sebegini sendirian dan saya selaku Menteri Besar Johor akan memastikan PIJH akan terus dibantu. Ini termasuk dalam soal mengurangkan karenah birokrasi dari segi mendapatkan kelulusan tanah. Insya-Allah, jika matlatmatnya dapat memberi manfaat kepada rakyat, saya bersedia untuk membantu. 

 

14. Selain itu, saya juga ingin menzahirkan betapa besarnya harapan saya untuk melihat semua projek yang dibangunkan oleh PIJH benar-benar membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat terutamanya Bumiputera.  

 

15. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pihak PIJH kerana sudi menjemput saya seterusnya menyempurnakan majlis pada hari ini. Sesungguhnya, saya berharap, setiap perancangan PIJH untuk membantuk rakyat khususnya masyrakat Islam di negeri ini akan dapat mencapai matlamatnya. Insya-Allah.

 

16. Dengan harapan tersebut dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Jalan Datin Halimah, Johor Bahru. 

 

Sekian, 

Wabillahitaufiq wahidayah 

wassalammualaikum warahmullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com