MAJLIS PERASMIAN PROGRAM “EXPORTERS FORUM” MATRADE 2014

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PERASMIAN PROGRAM “EXPORTERS FORUM” MATRADE 2014

PADA HARI KHAMIS, 28 OGOS 2014

JAM 9.30 PAGI

 

 

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdulilah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini sempena majlis perasmian Program ”Exporters Forum” MATRADE 2014 peringkat negeri Johor. 

 

2. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Noraini Ahmad, Pengerusi MATRADE serta pihak penganjur yang sudi mengundang saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis yang penuh bermakna ini.

 

3. Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pihak penganjur di atas kejayaan menganjurkan program Exporters Forum MATRADE 2014 peringkat negeri Johor ini. Saya yakin dengan adanya program seperti ini berupaya untuk membantu mengembangkan lagi jaringan komuniti perniagaan di Johor. Selain itu, peserta juga berpeluang untuk berkongsi pendapat serta membincangkan isu-isu semasa serta masalah berkaitan dengan perdagangan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

4. Sesungguhnya Kerajaan Negeri hari ini sedang ke arah untuk menjadikan ekonomi di Johor sebagai bersifat inklusif. Kita mahu semua rakyat di negeri ini tidak tercicir dan dapat terus sama-sama menikmati kemajuan ekonomi negeri Johor yang semakin berkembang pesat pada hari ini. 

 

5. Komitmen Kerajaan Negeri dapat dilihat apabila inisiatif meningkat ekonomi dan membangunkan usahawan di negeri ini merupakan salah satu daripada fokus Kerajaan Negeri dalam Pelan Suara Hati Johor yang dilancarkan Mei lalu. Menerusi komitmen dan inisiatif ini Kerajaan Negeri mahu melihat lebih ramai rakyat di negeri ini untuk turut sama melibatkan diri dalam bidang keusahawanan sekali gus mengambil peluang kepada setiap potensi ekonomi Johor yang sedang berkembang ketika ini.

 

6. Untuk menjayakan hasrat itu dapat dicapai, Kerajaan Negeri akan memastikan bahawa negeri ini mesra usahawan agar setiap rakyat yang mahu menjadi usahawan sentiasa dibantu dan diberi panduan untuk memastikan perniagaan mereka terus berkembang. Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi beberapa Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) juga telah merangka beberapa program pembangunan usahawan yang matlamatnya untuk melihat lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan di negeri ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

 

7. Sudah semestinya, Kerajaan Negeri Johor mahu melihat usahawan-usahawan di negeri ini mampu untuk mengeksport barangan mereka ke luar negara. Ini sekali gus dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan sekali gus meningkatkan ekonomi serta taraf hidup meraka. Maka, atas sebab itulah, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penganjuran program seperti ini kerana ia mampu menambah pengetahuan serta mendedahkan para usahawan bidang pengeksportan terkini. Dengan adanya program seperti ini, ia berupaya  membantu mengembangkan lagi jaringan komuniti perniagaan di Johor.

 

8. Saya difahamkan, Kerajaan Persekutuan menerui MATRADE telah menyediakan pelbagai program serta inisiatif untuk melonjakkan lagi bidang perdagangan di negara kita. Justeru, saya menyeru kepada para usahawan di negeri Johor untuk sentiasa mengambil peluang serta menyertai program-program yang telah pun disediakan oleh pihak Kerajaan dalam menggalakkan para usahawan menyertai aktiviti perdagangan seperti mengeksport barangan mereka ke luar negara.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

 

9. Bidang pengeksportan sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing di Johor. Ini kerana negeri ini mencatatkan jumlah eksport ketiga terbesar di negara ini apabila pada 2013 jumlah eksport Johor adalah  sebanyak RM181.86 bilion dan angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 16.4 peratus berbanding jumlah sebanyak RM156.21 bilion yang dicatatkan pada tahun 2012. Menurut statistik, pada 2013, eksport utama negeri Johor  adalah produk peralatan jentera dan pengangkutan dengan jumlah nilai eksport sebanyak RM62.84 bilion. Ini diikuti oleh eksport bahan api mineral dan pelincir dengan nilai RM42.76 bilion; barangan pembuatan (RM23.26 bilion); pelbagai barangan pembuatan (RM15.54 bilion) dan bahan kimia (RM14.13 bilion). 

 

10. Saya difahamkan, syarikat-syarikat dari Johor juga aktif dalam dalam menyertai aktiviti-aktiviti berama MATRADE. Ini dibuktikan apabila setakat 31 Julai lalu, sebanyak 1,216 syarikat dari Johor telah berdaftar dengan MATRADE daripada jumlah keseluruhannya di seluruh negara iaitu sebanyak 13,760 syarikat. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada MATRADE di atas kejayaan menarik banyak syarikat untuk menyertai aktiviti-aktiviti perdagangan yang dirangka untuk mereka.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

 

11. Umum mengetahui, pada hari ini Johor dilihat sebagai negeri yang  sangat berpotensi dan mampu menjadi Hub Ekonomi di negara ini. Para pelabur dari dalam dan luar negara juga sentiasa berminat untuk melabur dan meluaskan perniagaan mereka di negeri ini.

 

12. Ini dapat dibuktikan apabila statistik terkini yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA),bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah pelaburan perindustrian di negeri ini adalah sebanyak RM 14.9 bilion. Ini sekali gus meletakkan negeri Johor di kedudukan pertama, diikuti oleh negeri Sarawak di tempat kedua dan Pahang di tempat ketiga.

 

13. Daripada jumlah RM14.9 bilion iaitu, RM4.83 bilion daripadanya adalah darpada pelabur asing, manakala jumlah terkumpul bagi pelaburan dalam negeri adalah sebanyak RM10.84 bilion. Secara tidak langsung, nilai-nilai ini telah menunjukkan bahawa pelabur tempatan dan asing berminat untuk terus melabur di negeri Johor dan menjadikannya sebagai destinasi pilihan untuk membuat pelaburan.

 

14. Sokongan yang ditunjukkan daripada pelabur-pelabur berkenaan telah membantu menggambarkan bahawa negeri Johor adalah negeri yang sejahtera dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk jaringan lebuh raya yang efisien, penyediaan kawasan perniagaan dan kediaman yang kondusif, kemudahan utiliti yang lengkap, selain masyarakatnya hidup dalam keadaan harmoni. Faktor-faktor ini jelas membantu menarik kedatangan pelabur ke negeri ini, selari dengan kerancakan pembangunan kawasan Iskandar Malaysia yang sedang berlaku kini.

 

15. Kerajaan Negeri Johor akan terus berikrar dalam memastikan kelangsungan elemen positif ini dalam usaha menjadikan negeri Johor sebagai destinasi pilihan pelabur. Malah, Kerajaan Negeri juga akan memberikan fokus dalam mempromosikan peluang peluang di negeri ini baik kepada pelabur asing mahupun pelabur tempatan. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

16. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kepada phak MATRADE di atas kesudian menjemput dan memberi penghargaan kepada saya untuk menyempurnakan majlis pada hari ini. Semoga usaha-usaha murni seperti ini akan akan diteruskan lagi pada masa hadapan. Insya-Allah.

 

17. Maka dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan penuh rasa sukacitanya merasmikan Program ”Exporters Forum” MATRADE 2014 peringkat negeri Johor. 

 

Sekian,

Terima Kasih.

davispropertymanagement.com