MAJLIS PERUJIAN MEMBACA BARZANJI PERINGKAT NEGERI JOHOR KALI KE-15 TAHUN 1434H/2013M

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

SEMPENA MAJLIS PERUJIAN MEMBACA BARZANJI PERINGKAT NEGERI JOHOR 

KALI KE-15 TAHUN 1434H/2013M

DI MASJID BANDAR PASIR GUDANG

PADA HARI SABTU, 22 JUN 2013

JAM 9.15 MALAM

 

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

 

Yang berusaha saudara pengacara majlis

 

Yang Berhormat Tuan Haji Abdul Mutalip Abdul Rahim,

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Obet Tawil,

Setiausaha Kerajaan Negeri

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Razak Hassan,

Pengarah Jabatan Agama Johor

 

Yang berbahagia Tuan Haji Amran Abdul Rahman,

Pegawai Daerah Johor Bahru

 

Sohibus Samahah Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd. Tahrir Dato’ Kiyai Haji Samsuddin,

Mufti Negeri Johor

 

Yang Berhormat Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

 

Dif-dif jemputan

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

 

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafa’kan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. kerana dengan limpah kurnia dan ‘inayah-Nya kita dapat berhimpun pada Majlis Perujian Membaca Barzanji Peringkat Negeri ke-15 yang penuh dengan syafaat serta keberkatan ini.

 

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan yang mendalam kepada pihak penganjur, iaitu Jabatan Agama Johor yang terus berusaha melaksanakan program ini sehingga mencapai kepada penganjurannya yang ke-15. Sesungguhnya penganjuran selama satu setengah dasawarsa berturut-turut setiap tahun ini membuktikan hasil usaha pihak urus setia dan komitmen para peserta dalam memartabatkan amalan barzanji di negeri Johor.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

3. Perujian membaca Barzanji merupakan salah satu program yang dilaksanakan di negeri Johor bertujuan untuk menarik minat masyarakat Islam meneliti, menghayati dan mengamalkan isi kandungan rawi Barzanji yang penuh dengan kisah hidup serta keagungan Rasulullah SAW. 

 

4. Kisah-kisah dan kedudukan itu wajar diteliti lantaran baginda adalah manusia sempurna atau insan kamil yang perlu diteladani dalam semua bidang kehidupan. Allah berfirman dalam surah al-Ahzab yang bermaksud, 

 

“Demi sesungguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat; dan dia juga banyak menyebut serta memperingati Allah dalam masa susah dan senang.”

 

5. Dengan merujuk kepada sumber wahyu itu, maka tanpa ragu kita meyakini bahawa menjadikan Rasulullah SAW. sebagai teladan itu adalah suatu tuntutan yang kita penuhi. Oleh itu kita mengambil salah satu pendekatan dengan menyegarkan ingatan serta menghidupkan budaya membaca, mengkaji dan memahami pengertian Barzanji. Semoga pendekatan itu dapat memberi pengajaran dalam membentuk akhlak dan peribadi mulia kita semua.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

6. Antara contoh ikutan yang wajar dijadikan teladan umat Islam hari ini ialah mengenai nilai-nilai perpaduan dan persefahaman sesama Islam.  Rasulullah, suatu ketika dahulu pernah menyatukan puak Muhajirin dan Ansar bagi menghasilkan kesatuan Islam yang kukuh ke arah kegemilangannya.

 

7. Dalam situasi kita pada hari ini, wujud perspektif yang pelbagai dalam memahami tuntutan-tuntutan Islam. Perspektif itu wujud dalam hal-hal berkaitan kepemimpinan, politik dan yang paling banyak sekali adalah berkaitan mazhab melibatkan perkara-perkara cabang atau furu’ di dalam Islam.

 

8. Saya tidak berhasrat untuk menghuraikan lebih lanjut mengenai perspektif-perspektif itu. Namun begitu, saya ingin menyeru kepada seluruh masyarakat Islam di negeri Johor agar sama-sama memelihara semangat perpaduan dan permuafakatan ummah di antara kita. Marilah kita sama-sama mengenepikan seketika tentang hal-hal yang mendorong kepada perselisihan dan perpecahan.

 

9. Adapun perpecahan di kalangan umat Islam merupakan gejala yang sangat buruk kerana ianya boleh melemahkan umat Islam dan tidak mampu untuk menghadapai cabaran sedia ada dan akan datang. Mengenai hal itu, Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal yang bermaksud, 

 

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

10. Tidak dapat dinafikan bahawa Barzanji itu merupakan sebuah syair indah yang agak panjang menceritakan tentang kemuliaan dan keagungan Rasulullah SAW. Ia juga disampaikan dalam bahasa Arab melalui kesasteraan yang agak tinggi. Oleh itu, ia memerlukan penterjemahan dan pencerahan untuk difahami oleh masyarakat umum.

 

11. Adapun inisiatif dan kesungguhan kita untuk memartabatkan amalan Barzanji itu hendaklah sentiasa dipertingkatkan. Di samping menekankan aspek kebolehan mendendangkan syair tersebut, saya sarankan supaya kita turut menekankan aspek memberi penerangan dan penjelasan terhadap maksud-maksudnya. Penjelasan boleh disampaikan sama ada melalui bahan bercetak, paparan digital mahupun secara lisan kepada masyarakat umum yang mendengar bacaan Barzanji itu.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

12. Bersempena dengan majlis perujian yang diadakan pada tahun ini marilah kita kembali menghayati pengajaran dan akhlak Rasulullah SAW. dengan menanamkan rasa kasih sayang terhadap baginda.

 

13. Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada para Qari dan Qari’ah yang menyertai perujian bagi tahun ini. Semoga usaha anda diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. serta memperoleh syafaat daripada Rasulullah SAW. kelak.

 

14. Akhirnya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim dengan sukacitanya saya merasmikan Majlis Perasmian Penutup Perujian Barzanji Peringkat Negeri Johor tahun 1434 Hijrah bersamaan tahun 2013 Masihi. 

 

Sekian, terima kasih.

davispropertymanagement.com