MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI JOHOR 2013

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH 

PERINGKAT NEGERI JOHOR 2013

DI PUSAT ISLAM ISKANDAR, JOHOR BAHRU

PADA HARI SELASA, 05 NOVEMBER 2013

JAM 8.45 PAGI

 

 

Saudara pengacara majlis.

 

Y.B. Tuan Haji Abdul Mutalip bin Abdul Rahim, 

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor dan isteri.

 

Datuk Mohamad Aziz,

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

 

Y.B. Dato’ Haji Obet bin Tawil, 

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

 

Y.B. Dato’ Haji Abdul Razak bin Hassan,

Pengarah Jabatan Agama Johor.

 

Sohibus Samahah Y.B. Dato’ Haji Md. Tahrir Bin Dato’ Haji Shamsuddin, 

Mufti Negeri Johor.

 

Y.B. Ahli-Ahli Yang Berhormat.

 

Y.B. Dato’-Dato’, Datin-Datin.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dirahmati Allah sekalian,

 

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan rasa syukur sambil mengucapkan kalimah Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia dan hidayahNya jua, mengizinkan kita berhimpun dan bertemu sekali lagi pada tahun baru Hijrah 1435 bersamaan 5 November 2013 Masihi. Tidak lupa selawat serta salam kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat di atas segala pengorbanan dan perjuangan agong menegakkan syiar Islam di segenap penjuru bumi Allah. Mudah-mudahan berkat tahun baru ini, kita sentiasa dikurniakan kekuatan dan keikhlasan untuk meneladani pengorbanan dan ketaqwaan generasi Islam terdahulu.

 

2. Peristiwa Hijrah merupakan sebuah sejarah yang telah ditulis dengan tinta emas. Secara sedar atau pun tidak, sepanjang detik waktu yang silih berganti, telah luput 1435 tahun, peristiwa Hijrah meninggalkan kita. Namun setiap kali memperingati peristiwa ini, kita tidak akan terlepas daripada watak-watak utama para sahabat yang cemerlang bekorban jiwa dan raga, harta mahu pun kaum keluarga. Mereka adalah potret generasi khairun ummah (umat terbaik), generasi model tauladan dan generasi rabbani yang perlu menjadi contoh sepanjang zaman. Malah apa yang lebih mengagumkan, penghijrahan yang telah dilakukan oleh baginda rasul dan para sahabat merupakan satu rakaman peristiwa sejarah yang tidak pernah berlaku pada mana-mana umat terdahulu mahu pun tamadun sebelumnya. Ini adalah sebuah keajaiban iman yang ditanam oleh Rasulullah SAW  di dalam diri para sahabat yang bukan sahaja sanggup berhijrah meninggalkan ahli keluarga bah kan sanggup memerangi ahli keluarga yang belum beriman bila mana Islam diancam. 

 

3. Maka berhimpunnya kita pada hari ini jelas membuktikan satu bentuk kelangsungan dan kesinambungan dalam penghayatan dan memperingati peristiwa Hijrah sesuai dengan semangat dan iltizam kita untuk terus mendaulatkan Islam sebagai agama terunggul, menjulang tinggi syiar Islam dan menjadikan umatnya masyarakat bertamadun berpegang pada nilai-nilai mahmudah di negara ini khususnya di negeri Johor.  

 

4. Pada kesempatan dan peluang pada pagi dan hari yang mulia ini, saya juga ingin merakamkan setingi-tinggi tahniah kepada saudara dan saudari yang bakal menerima anugerah Maal Hijrah pada hari ini. Saudara dan saudari sekalian sebenarnya bakal menggalas satu amanah yang besar sebagai wajah dan cerminan agama Islam kepada saudara seagama mahu pun kepada yang bukan beragama Islam. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

 

5. Memetik ayat al-Quran dari surah an-Nisa ayat yang ke seratus, Allah SWT berfirman,

 

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

 

Jika kita merenungi ayat ini sambil membaca kisah-kisah Hijrah, ianya menyentuh dua perkara penting sebelum perjalanan hidup manusia dan tamadun dunia berubah. Malah, dua perkara yang akan saya sebutkan ini adalah contoh-contoh praktikal yang boleh kita terjemahkan dalam kehidupan kontemporari ini. 

 

6. Pertama kesatuan Ummah. Selari dengan tema sambutan maal Hijrah pada hari ini  “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” adalah tema yang dikekalkan sebagaimana tahun lalu. Pada hemah saya, memahami semula tema ini amat bersesuaian memandang suasana dan keadaan umat Islam yang berada di tengah-tengah kemajmukan bangsa memerlukan pendekatan bersederhana bagi mengimbangi tuntutan dan kehendak rakyat berbilang kaum seperti mana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah. 

 

7. Pokoknya di sini, soal perpaduan dan kesatuan ummah merupakan salah satu elemen terpenting yang membawa kepada peristiwa Hijrah. Tanpa kesatuan adalah mustahil untuk kaum Muhajirin Makkah bersaudara dengan Ansar yang berada di Madinah. Hatta, adalah mustahil juga untuk kaum Aus dan Khazraj Madinah yang terkenal dengan sifat assabiyah mereka untuk bersatu hati dan menerima seorang Rasul yang datang bukan dikalangan mereka. Bahkan Al-Quran merakamkan bahawa talian persaudaraan yang dijalinkan antara ahli anggota Makkah yang berhijrah kepada ahli anggota Madinah ini adalah satu bentuk kesatuan dan permuafakatan yang jauh merentasi norma pemikiran biasa. Umpamanya di sini, kaum Ansar Madinah bukan sahaja sanggup memberi harta, tempat tinggal, tanah malah sanggup menceraikan salah seorang isteri mereka untuk dikahwinkan kepada saudara Muhajirin. 

 

8. Setelah kesatuan antara masyarakat Islam itu kukuh dan kuat, dengan kebijaksanaan dan mukjizat yang diwahyukan Allah SWT, Rasulullah SAW mengguna pakai pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan dalam menggauli dan memerintah kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka dibenarkan mengamalkan ajaran agama masing-masing. Mereka dibenarkan menjalankan kegiatan muamalah dan segala jenis aktiviti-aktiviti harian selagi mana mereka berpegang pada Piagam Madinah dan tidak mengancam masyarakat lain. Hasilnya sejarah di zaman Rasulullah SAW mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi dan Kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinatul Munawwarah kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam. 

 

9. Justeru melihat pada konteks semasa, kita perlu mengajak dan menyeru bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada bukan Islam untuk bersama-sama memahami dan mempraktikkan konsep kesederhanaan ini dalam kehidupan. Negara ini tidak pernah mengundang semangat  melampau, fanatik kaum dan ideologi ekstrim yang boleh menggangu gugat keharmonian hidup bermasyarakat dan kestabilan sosio-politik negara. Lantaran itu, lawan kepada elemen ketaksuban itu tadi sudah tentunya nilai kesederhanaan bagi mengimbangi serta menghayati konsep hidup masyarakat majmuk negara kita.  

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dirahmati Allah sekalian,

 

10.    Kedua setelah kesatuan dapat dicapai, hijrah mengajar kita untuk mengatur strategi bagi mempersiap siagakan kerja-kerja yang berkaitan ukhrawi mahu pun duniawi. Acap kali kita mendengar ramai dikalangan cerdik pandai Islam mengatakan bahawa hijrah itu perlu difahami bukan hanya sekadar perpindahan tempat tetapi perpindahan dari nilai buruk kepada nilai yang lebih baik. Saya berpandangan bahawa dari sudut yang lain hijrah sebagai sejarah bergerak kontemporari sesuai difahami dalam konteks mengatur strategi kehidupan baik dari segi  sikap,sosio-ekonomi, muamalah atau politik bagi memperkasakan segala hal berkaitan umat Islam. 

 

11. Contohnya disini,  sepertimana yang kita sedia maklum bahawa Hijrah ini ertinya berpindah, maka kita umat Islam hendaklah berpindah atau mengubah sikap yang kurang baik dan tidak menguntungkan kepada sikap yang lebih berfaedah, walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Nasib umat Islam tidak akan berubah jika kita sendiri tidak mahu mengubahkannya. Sikap manja, kurang berusaha, mengharap belas kasihan orang adalah sifat-sifat hina yang tidak disukai oleh Islam dan bertentangan dengan semangat Hijrah ini. 

 

12. Tambahan lagi, hijrah boleh juga diertikan sebagai keluar daripada sesuatu kedudukan atau keadaan yang buruk atau tertekan kepada keadaan yang lebih selesa dan terjamin. Umat Islam mestilah mengutamakan unsur ikhtiar dalam hidup kita. Hal ini adalah kerana penghijrahan Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah merupakan satu ikhtiar. Umat Islam dilarang menyerah segala-galanya ke hadrat Ilahi, sebaliknya kita mesti berikhtiar bagi menjayakan apa juga kerja atau aktiviti. Kita tidak seharusnya menyalahkan takdir jika kita gagal, kerana jika kita berikhtiar dan mencapai kejayaan, itu juga takdir. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian, 

 

13. Memahami konsep kesederhanaan sebagai tonggak kesatuan ummah adalah penting untuk kita mempelajari dan memperingati peristiwa besar hijrah ini. Saya menyeru kepada semua umat Islam dan bukan Islam terutamanya yang berada di negeri Johor ini supaya sentiasa bersedia menghulurkan tangan untuk bermuafakat dan bersedia untuk bersepakat bagi membina benteng perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk. Sehubungan dengan itu saya percaya bahawa konsep Wasatiyyah berupaya menjadi titik temu yang memadamkan segala perbezaan yang telah berlaku sebelum ini. Kesederhanaan ini mampu mencorakkan kembali  perpaduan dalam negara kita.

 

14. Kepada golongan belia, saudara dan saudari semua perlu menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti umat banyak bergantung kepada potensi belia demi melakar perjalanan masa depan dunia. Apatah lagi, peristiwa hijrah yang sedang kita perkatakan ini juga banyak disumbang oleh belia-belia pada zaman Rasulullah SAW.  Bersempena memperingati peristiwa besar ini, jadilah peribadi yang lebih baik dari sekarang supaya saudara dan saudari sekalian menjadi perisai yang dapat meninggikan lagi syiar agama Islam. Renungkanlah kata-kata Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi yang ringkas tetapi cukup bermakna. Kata beliau,

Apabila kita ingin melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.

 

15. Semoga sempena sambutan peristiwa Hijrah yang penuh  bersejarah ini dapat kita bersama-sama memperkuatkan perpaduan dan menggembleng tenaga menjalankan kewajipan. Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar niat dan tujuan perjuangan kita pada hari ini selari dengan maksud hijrah itu sendiri sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW  dalam hadithnya:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”

 

16.     Akhirnya, dengan lafaz:  بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم  saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor pada tahun ini.

 

Sekian, Wabillahitaufik walhidayah

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

davispropertymanagement.com