MAJLIS PERASMIAN SHOWCASE SATU DAERAH SATU INDUSTRI PERINGKAT NEGERI JOHOR

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PERASMIAN 

SHOWCASE SATU DAERAH SATU INDUSTRI PERINGKAT NEGERI JOHOR

DI PLAZA ANGSANA, JOHOR BAHRU

PADA HARI AHAD, 06 OKTOBER 2013

JAM 11.00 PAGI

 

 

Bismillahirrahmannirrahim,

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Yang dihormati Saudara pengacara majlis,

 

Y.B Tuan Haji Md Jais bin Sarday,

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. 

 

Y.B  Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

 

Ahli-ahli Yang Berhormat,

 

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Peringkat Negeri dan Daerah,

 

Dato’-  Dato’ dan Datin – Datin, 

 

Wakil-Wakil Media,

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

 

1. Alhamdulilah, bersyukur  saya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita berhimpun bersama-sama pada pagi yang mulia ini sempena Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor 2013.

 

2. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan yang mendalam kepada pihak penganjur, iaitu Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ); juga kepada jabatan-jabatan serta jawatankuasa seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM), Pegawai-pegawai Daerah, Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) serta jabatan dan agensi pembangunan usahawan yang lain kerana terlibat menjayakan showcase ini.

 

3. Saya amat berbesar hati dan berasa bangga kerana penganjuran showcase pada hari ini adalah untuk merealisasikan inisiatif Kerajaan Negeri Johor dalam usaha memperkasa usahawan di peringkat daerah untuk terus maju dan berdaya saing seiring dengan arus pembangunan.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

4. Jika kita imbas kembali sejarah SDSI di Malaysia, ia dahulunya dikenali sebagai program Satu Kampung Satu Produk (SKSP) dan kemudiannya, ditukar kepada Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang mencakupi bidang yang lebih meluas, di mana ia bukan sahaja berupaya untuk membangunkan produk berindentitikan setiap  daerah di negeri ini tetapi juga dapat memupuk budaya kreativiti dan inovasi masyarakat tempatan.

 

5. SDSI di Malaysia bukan sahaja bertindak untuk mengkormersialkan produk-produk dari sektor industri makanan dan minuman tetapi turut merangkumi produk, termasuk pembangunan hasil laut, kek lapis, kelapa dara, homestay, seramik, herba dan roselle, di mana melaluinya, dapat diterjemahkan tentang Malaysia secara amnya dan Johor, khasnya.

 

6. Tambahan lagi, perkembangan usahawan SDSI di negeri Johor, dapat mewujudkan suasana permuafakatan melalui aktiviti sosio ekonomi secara komuniti dan seterusnya mampu untuk membangunkan modal insan yang berkualiti pada masa akan datang.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

7. Dalam agenda pembangunan negeri Johor, kerajaan amat komited terhadap usaha menggerak dan memangkin pembangunan sektor SDSI yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara sebanyak 99.2 peratus, di mana negeri Johor mempunyai pertubuhan perniagaan SDSI sebanyak 10.3 peratus dalam bidang ini di Malaysia.

 

8. Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri turut menunjukkan komitmen membangunkan usahawan bersaiz mikro ini dengan memberikan fokus kepada model Pembangunan Modal Insan, Promosi dan Pemasaran melalui penganjuran sejumlah 62 sesi program sejak tahun 2010 hingga 2013 dengan penyertaan seramai 4,876 pengusaha.

 

9. Maka atas sebab itulah, usahawan SDSI perlu merebut peluang ini dengan  meningkatkan budaya daya saing dan memodenkan perniagaan mereka agar produk yang dihasilkan mampu menembusi pasaran antarabanga. Saya yakin bahawa sekiranya produk-produk daerah ini dibangunkan dan berjaya menembusi pasaran tempatan, tidak hairan jika ia juga mampu untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa, terutamanya, pasaran Timur Tengah dan Eropah.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

10. Menyedari peri pentingnya industri SDSI, saya menyeru Pegawai-pegawai di peringkat daerah supaya dapat memperkukuhkan jentera Kerajaan Negeri agar masalah dan keperluan di kalangan usahawan SDSI ini dapat dikenal pasti dan seterusnya diselesaikan dengan kerjasama jabatan serta agensi pembangunan usahawan lain, termasuk Jabatan Pertanian, MARA dan TEKUN.

 

11. Sukacita saya maklumkan bahawa negeri Johor sedang berusaha mewujudkan sebuah One Stop Agency (OSA) yang dapat membantu dari segi pembangunan usahawan di negeri ini. Sehubungan itu, penganjuran program ini amat bertepatan dengan agenda pembangunan yang telah giat dirancang.

 

12. Justeru, saya menyimpan harapan agar program SDSI ini dapat dijadikan program tahunan di bawah anjuran Kerajaan Negeri supaya kesinambungan penghasilan dan pengenalan produk dari setiap daerah dapat diteruskan, sekali gus dapat memaparkan identiti daerah. Saya juga menyeru agar peluang-peluang yang ada digunakan sebaik mungkin oleh rakyat Johor.

 

13. Dengan harapan tersebut dan dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim,  saya merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor 2013.

 

Sekian, terima kasih.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

davispropertymanagement.com