MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PERSATUAN PEGAWAI TADBIR JOHOR (JCS)

Print

TEKS  UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR 

DI MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG 

PERSATUAN PEGAWAI TADBIR JOHOR (JCS)

DI DEWAN JAMUAN , 

BANGUNAN SULTAN ISMAIL , 

KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA 

PADA HARI JUMAAT, 2 OGOS 2013

JAM : 2.45 PETANG 

 

As-salamu ’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera

 

Yang berusaha, pengerusi majlis

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Obet Tawil,

Setiausaha Kerajaan Johor

 

Yang berbahagia Tuan Haji Elias Hasran,

Presiden Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Johor

 

Ahli-ahli jawatankuasa persatuan,

 

Yang berhormat Dato’-Dato’ dan ketua-ketua jabatan,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

1. Alhamdulillah,  bersyukur ke hadrat Allah SWT. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita hadir pada petang ini dalam Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) bagi tahun 2013.

 

2. Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada anda semua di atas kejayaan menganjurkan mesyuarat agung tahunan pada bulan Ramadan yang penuh berkat. Semoga kita mendapat keredhaan dan keampunan daripada Allah dalam usaha memajukan serta meningkatkan produktiviti dan motivasi pegawai tadbir negeri Johor.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

3. Kita sedia maklum bahawa JCS merupakan jawatan penting di peringkat negeri Johor yang biasanya memikul amanah untuk menerajui jabatan kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Dengan tanggungjawab itu, maka sudah semestinya tahap komitmen kerja, pengetahuan dan tingkah laku JCS perlu sentiasa cemerlang dan konsisten.

 

4. Tidak dinafikan sumbangan JCS terhadap kerajaan telah banyak memberi manfaat kepada rakyat. Oleh itu pada kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada anda semua. Saya berharap agar kerjasama itu dapat diteruskan dan ditingkatkan dalam usaha kita bersama memajukan serta memakmurkan negeri Johor.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

5. Perkembangan teknologi maklumat dan keprihatinan masyarakat pada hari ini telah mengubah mentaliti serta penilaian mereka terhadap sesebuah kerajaan. Perubahan itu menjadikan setiap tindakan dan keputusan kerajaan hari ini diperhatikan, diperiksa, dianalisa bahkan dinilai ataupun dikritik melalui pelbagai medium komunikasi. Medium paling hangat, meluas dan pantas yang digunakan adalah berasaskan internet dan gajet mudah alih. Ini menjadikan tiada individu, jabatan mahupun agensi kerajaan yang terkecuali daripada pemerhatian rakyat.

 

6. Dengan iltizam untuk mengutamakan khidmat kepada rakyat, kerajaan hari ini mengambil pendekatan pro-rakyat dalam melaksanakan dasar pembangunannya. Kita mahu rakyat mengambil bahagian dalam pembangunan dengan menyuarakan pandangan mereka sekali gus terlibat secara langsung dalam pembentukan negeri Johor yang kukuh dan mapan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

7. JCS perlu sentiasa memberikan khidmat terbaik dengan mengambil kira faktor peredaran masa, perubahan pada sesuatu dasar atau pendekatan, dan juga transformasi ke arah budaya kerja yang lebih positif. Justeru saya melihat beberapa langkah dan penambah baikkan perlu dilakukan bukan sahaja untuk memperkasakan perkhidmatan, lebih dari itu memangkin agar ianya terus kekal relevan.

 

i. Mengamalkan nilai keterbukaan dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan. Nilai keterbukaan ini boleh dilihat dari pelbagai sudut antaranya keterbukaan mengubah cara berfikir yang lebih kreatif kepada inovatif, perubahan gaya kerja lama kepada gaya kerja yang lebih cekap, meningkatkan kemahiran diri atau value add’ kepada organisasi dan keterbukaan untuk membandingkan mutu perkhidmatan JCS dengan pegawai-pegawai kerajaan dari negara yang lebih maju. Saya yakin jika hal sedemikian dapat diterapkan, rakyat pastinya dapat lihat, sentuh dan rasa mutu penambahbaikkan itu nanti.

 

ii. Memupuk gaya kerja dan perkhidmatan yang lebih transparen, berintengriti tinggi dan accountablity. Ketelusan dan integriti merupakan nadi utama kepada pencapaian hasil kerja yang berkualiti dan berintegriti. Perkhidmatan yang telus dan berintegriti merupakan jambatan penghubung kepada proses pembangunan pro-rakyat negeri Johor untuk jangka pendek, pertengahan dan panjang. Pendek kata, Pegawai Tadbir Negeri merupakan barisan utama dalam melaksanakan pendekatan dan pembangunan pro-rakyat itu Saya percaya bahawa dengan adanya nilai tranparency dan integriti yang tinggi pegawai kerajaan khususnya JCS boleh menimbang tara tahap pertanggung jawaban atau accountability terhadap sesuatu keputusan yang dibuat. Tidak kira sama ada ianya melibatkan organisasi, jabatan mahu pun diri sendiri. 

 

iii. Meningkatkan mutu perkhidmatan dengan melaksanakan pendekatan komunikasi dua hala. Kita akur bahawa setiap anggota masyarakat mempunyai persoalan dan masalah yang perlu dirungkaikan dengan bantuan jabatan kerajaan. Dalam konteks ini masyarakatlah sebenarnya merupakan medium untuk kita mengetahui tahap dan potensi perkhidmatan itu sendiri.  

 

 Jadinya komunikasi dua hala yang berkesan perlu diperkukuhkan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan memandang serius maklum balas dari rakyat bagi melestarikan perkhidmatan yang cemerlang. Maklum balas rakyat dianggap penting bukan semata-mata untuk memenuhi kehendak mereka, tetapi kerana ada pandangan mereka yang sangat relevan, signifikan dan praktikal untuk dilaksanakan. Sewajarnya media baru diaplikasikan ke tahap yang optimum dan segala maklumat atau mekanisma media sosial di pantau dan diperbaharui (update) setiap masa agar rakyat mendapat maklumat terkini. 

 

8. Jika tiga langkah yang saya sebutkan tadi dapat diterjemahkan, saya positif bahawa mutu pegawai tadbir negeri atau JCS itu sendiri akan menjadi contoh terbaik serta ikutan oleh pihak swasta dan negara jiran kita. Ini sekali gus dapat menolak tohmahan yang tidak berasas dan kata-kata yang sering dipalitkan kepada pegawai kerajaan. 

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

 

9. Kerajaan negeri sentiasa mendengar dan mahu mengkaji tuntutan daripada kesatuan-kesatuan sekerja. Sehubungan itu segala keputusan yang melibatkan tuntutan atau permohonan daripada persatuan JCS ini akan dikaji dan akan dipertimbangkan. Saya memohon agar Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri mengkaji dan menyediakan kertas pertimbangan untuk dikemukakan kepada kerajaan dimana yang sesuai mengikut kemampuan kerajaan.

 

10. Saya amat berharap agar permuafakatan dapat dibina dikalangan anggota JCS dalam setiap organisasi agar keselarasan dan kesefahaman dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan kelestarian gerak kerja yang dilakukan. Kalau boleh saya simpulkan kamu semua adalah cerminan kepada wajah kerajaan hari ini. 

 

11. Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada persatuan JCS di atas penghormatan yang diberikan melalui jemputan ke majlis ini. Saya mendoakan semoga mesyuarat agung ini akan dapat mencapai matlamatnya dan bakal menghasilkan keputusan yang baik.

 

12. Dengan lafaz Bismillahir-rahmanir-rahim saya merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan JCS bagi tahun 2013 ini. Selamat maju jaya. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi. Sekian, terima kasih.