MAJLIS PERASMIAN HIMPUNAN BELIA JOHOR 2013

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN 

HIMPUNAN BELIA JOHOR 2013

DI DATARAN PENGGARAM, 

BATU PAHAT, JOHOR

PADA HARI AHAD, 16 JUN 2013

JAM 10.00 PAGI

 

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera dan salam Satu Malaysia

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd. Ali bin Hassan

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor

 

Yang Berhormat Encik Anuar bin Manap

Ahli Parlimen Sekijang;

Merangkap Pengerusi, Majlis Belia Negeri Johor

 

Yang Berhormat Dato’ Zulkarnain bin Haji Kamisan

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Warisan Dan Kebudayaan Negeri Johor;

Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Himpunan Belia Johor 2013

Ahli- Ahli Yang Berhormat

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Obet bin Tawil

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

 

Yang berbahagia Tuan Haji Abdul Wahab bin Ridwan 

Pegawai Daerah Batu Pahat

 

Yang berbahagia Encik Abdul Aziz bin Abdul Rahman

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor

 

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan,

 

Barisan Exco Majlis Belia Negeri Johor,

 

Para pemimpin belia dan para hadirin sekalian,

 

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul dalam satu majlis yang besar ertinya kepada kita semua khususnya kepada golongan muda. Saya percaya hari ini akan membuka satu lembaran sejarah yang baru dalam pembangunan belia di negeri ini. Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Himpunan Belia Johor 2013. 

2. Sesungguhnya Himpunan Belia Johor ini memberi nafas yang baru kepada hala tuju masa depan negara amnya dan negeri kita khususnya. Percayalah, golongan belia adalah tanda aras kepada masa depan negara dalam mengemudi bahtera kemajuan, pembangunan, kesaksamaan dan kestabilan di negeri ini. Kamu semua adalah tunjang kepada pewaris kepimpinan negara.

 

3. Atas kesedaran inilah, kerajaan dan generasi muda menggembleng tenaga untuk mematerikan tarikh 15 Mei setiap tahun sebagai Hari Belia Negara. Saya mewakili Kerajaan Negeri bersedia dan akan senantiasa mendengar suara hati anak muda menerusi pelbagai saluran dan platform. Pendek kata, kami di Kerajaan Negeri akan bertindak sebagai fasilitator untuk memberi peluang dan memperkasakan peranan belia di setiap peringkat. Dengan sifat keterbukaan inilah, Kerajaan Negeri mahu anak muda menjadi rakan atau dalam istilah Inggerisnya “Strategic Partnership” agar segala hasrat anda semua dapat kita tunaikan.

 

Saudara dan saudari sekalian,

 

4. Generasi muda tidak terlepas daripada memikul amanah menjadi penyelesai masalah dan berdepan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kita. Setiap anak muda yang mampu memberi sumbangan akan sentiasa dilihat sebagai aset penting yang boleh merubah landskap dan struktur pembangunan negara. Umpamanya, menoleh beberapa minggu yang lalu, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 menunjukkan bahawa anak muda adalah penentu naik turun kejayaan negara. Pokoknya, anak muda mampu bertindak sebagai agen perubahan.

 

5. Namun, segalanya tidak akan terhasil jika golongan muda tidak bergerak dalam satu saf yang mantap. Semangat cintakan budaya, tanah air dan adanya rasanya ‘self of belonging’ di kalangan generasi muda perlulah menjadi asas di dalam setiap pergerakan belia.  

 

6. Bertitik tolak dari perkara ini, golongan muda memerlukan satu kerangka dan visi yang jelas dalam menjayakan program-program kreatif dan inovasi. Dengan daya pemikiran yang segar dan sentiasa ke hadapan, pergerakan belia seharusnya dapat mencari pendapatan atau peruntukan sendiri bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti mereka. Barulah, pergerakan belia akan dilihat sebagai relevan dan ‘role model’ kepada anak muda. 

 

7. Bagaimanapun, saya ingin menyentuh tentang aspek keberkesanan bagi program-program belia yang telah dan akan dianjurkan. Saya berpendapat, kita sering melihat bahawa banyak program yang dijalankan terkulai atau pun tidak berdaya memberi impak yang positif. Justeru, sewajarnya segenap program yang hendak dijalankan hendaklah diuji, dikaji dan ditinjau semula akan tahap keberkesanannya. Barulah nanti program-program yang dijalankan berdaya untuk membangunkan kebolehan intelek, kompetensi sahsiah dan sosial, kompetensi kognitif dan kompetensi kenegaraan.

 

Saudara dan saudari sekalian,

 

8. Belia juga sinonim dengan perkataan kesukarelaan. Kelompok belia dilihat sebagai golongan yang ‘adventurous’ dan mempunyai masa dan tenaga yang ‘energetik’. Program 1M4U umpamanya ditubuhkan bagi melibatkan lebih ramai anak muda menyumbang masa, tenaga dan buah fikiran di atas nama kesukarelaan. Lebih dari itu, tahun 2013 juga telah diistiharkan sebagai Tahun KESUKARELAAN bagi negara ini. Jadinya, kita sudah tidak mahu lagi melihat golongan muda membuang masa dan umur yang diberikan dibazirkan begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Datanglah dan rujuklah kepada kita, agar kita bersama-sama menjadi tunjang negeri ini.

 

9. Justeru, bagi menjayakan agenda pembangunan belia yang telah digariskan itu, kepimpinan persatuan belia perlulah sentiasa peka terhadap perubahan semasa khususnya dalam aspek strategi penganjuran sesuatu program agar dapat menarik minat lebih ramai belia untuk menyertai program yang dianjurkan. Bagi menyelaras keberkesanan rangkaian dan mekanisme pembangunan belia di peringkat akar umbi, majlis perundingan belia daerah telah diwujudkan dengan harapan dapat bertindak sebagai pemangkin kepada peningkatan aktiviti-aktiviti belia di peringkat akar umbi dan merancang program yang sesuai mengikut keperluan golongan belia.

 

10. Dalam konteks ini saya menyeru kepada semua organisasi seperti badan-badan belia dan korporat serta semua agensi kerajaan bagi menggerakkan program dan aktiviti pembangunan belia agar dapat mewujudkan suatu strategi penggabungan tenaga, fikiran dan sumber tempatan dalam merancang dan melaksana program pembangunan belia yang berkesan.

 

Saudara dan saudari sekalian,

 

11. Sebagai menghargai sokongan yang telah diberikan oleh golongan muda, saya berbesar hati untuk menyampaikan berita gembira kepada anda semua:

 

i. Pertamanya, kerajaan negeri akan mewujudkan peluang pekerjaan yang seimbang dan setara serta berpendapatan tinggi. Segala dasar dan program akan dikaji bagi memenuhi kepentingan tujuan yang murni ini.

 

ii. Kedua, memandangkan anda semua adalah golongan yang memerlukan rumah terutamanya rumah mampu milik. Makanya, kerajaan menerusi dasar-dasar kerajaan negeri akan menyediakan  peluang lebih besar untuk memiliki rumah pertama khusus kepada golongan belia. Di Iskandar Malaysia umpamanya, saya berhasrat untuk merealisasikan pembinaan lebih 6,000 unit Rumah Mampu Milik Johor berkeluasan 1,000 hingga 1,200 kaki persegi dengan harga antara RM120,000 hingga RM220,000. Ini bermakna, peluang memiliki rumah pertama khusus kepada golongan belia akan menjadi lebih luas untuk mendiami kawasan-kawasan pembangunan.

 

iii. Untuk lebih menggamatkan lagi suasana, sebagaimama saudara dan saudari sedia maklum bahawa JDT telah layak ke final piala F.A, jadinya saya berbesar hati untuk memberikan 2,000 tiket perlawanan akhir secara percuma kepada rakyat Johor. Keterangan lanjut, bolehlah dilayari di laman Facebook saya.

 

Saudara dan saudari sekalian,

 

12. Harapan saya kepada golongan muda agar terus menjadi rakan strategik yang berdiri beringan dengan kerajaan sebagai benteng kemajuan negeri. Kejayaan saya dan kerajaan hari ini adalah hasil kepercayaan dan sokongan golongan muda dan tanpa anda mana mungkin saya berdiri dihadapan anda pada hari ini.

 

13. Akhir kata, sempena Himpunan Belia Johor 2013 ini, saya menyeru sekali lagi kepada seluruh warga belia agar dapat bersama-sama dalam melaksanakan agenda pembangunan belia secara berterusan  demi masa depan agama, bangsa dan negara. Negeri yang teguh, Belianya ampuh.

 

14. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Himpunan Belia Johor 2013. 

 

Sekian, Wabillahitaufiq walhidayah, 

wassalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

davispropertymanagement.com