MAJLIS PERASMIAN HARI TERBUKA PROGRAM TRANSFORMASI JOHOR BARU 2013

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN HARI TERBUKA PROGRAM TRANSFORMASI JOHOR BARU 2013

DI GALLERIA @ KOTARAYA

PADA HARI SABTU,  06 JULAI 2013

JAM 3.00 PETANG

 

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Obet Tawil

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor,

 

Y.B Exco – Exco Kerajaan Johor

 

Yang Berbahagia Tuan Haji Ismail Karim

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru 

 

Yang Berbahagia Dato’ Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff

Ketua Polis Johor,

 

Yang Berbahagia Datuk Ismail Ibrahim

Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Y.B Dato Kamaruzzaman  Bin Abu Karim

Presiden dan ketua eksekutif Johor Corporation

 

Ketua – Ketua Jabatan

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

 

1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izinan-Nya, maka dapat kita bersama-sama hadir dalam majlis yang penuh bermakna iaitu program Hari Terbuka Program Transformasi Johor Bahru 2013.

 

2. Izinkan saya di kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada penganjur, terutamanya Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang telah berjaya menganjurkan program pada hari ini. Suka saya untuk memanjangkan tahniah kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, badan-badan korporat, pertubuhan masyarakat, rakan-rakan media serta seluruh warga Johor amnya.

 

3. Saya yakin dan percaya bahawa penganjuran program seperti hari ini adalah sangat bertepatan dengan pendekatan baru Kerajaan Negeri yang ingin memberi lebih tumpuan kepada aspek rundingan menerusi pandangan dan reaksi daripada masyakarat secara terus. Inisiatif seperti ini juga amat baik dalam usaha untuk menterjemahkan sesuatu agenda perancangan kepada bentuk pelan-pelan tindakan yang dapat diteliti, diperhalusi, serta difahami oleh pemegang taruh (stake holders) menerusi saluran maklum balas dan ‘buy-in’ daripada golongan ini.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

4. Bandaraya Johor Bahru telah sekian lama menempa nama dalam sejarah negeri. Malah, boleh dikatakan, salasilah pembangunan bandaraya ini mencerminkan sejarah kemajuan negeri Johor moden itu sendiri. Johor Bahru telah menjadi saksi kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik yang pesat di negeri Johor. Sungguh pun begitu, kita sedar bahawa dalam era persaingan ekonomi global, Johor Bahru berdepan dengan cabaran yang besar untuk muncul sebagai sebuah bandaraya yang menyediakan persekitaran kehidupan yang kondusif dan mapan, serta mampu memberikan kadar pulangan yang menarik kepada perniagaan dan pelaburan.

 

5. Apabila pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor berpindah dari Bandaraya Johor Bahru ke Kota Iskandar di Nusajaya pada tahun 2009, bukan bermakna Bandaraya Johor Bahru akan menjadi malap kerana kehilangan fungsi asalnya. Sebaliknya, inilah peluang untuk Bandaraya Johor Bahru dengan segala kelebihan yang dimiliki diberi peranan dengan wajah dan nafas yang baru. Contohnya, Johor Bahru merupakan akses penting keluar masuk ke Singapura. Bandaraya ini juga menempatkan banyak bangunan, mercu tanda serta warisan seni dan kebudayaan yang menjadi kebanggaan rakyat Johor dan tarikan utama pelancong. Tambahan lagi, pusat-pusat komersial di Bandaraya Johor Bahru menyediakan produk dan pelbagai jenis perkhidmatan. Lebih dari itu, Johor Bahru mempunyai bekalan tenaga kerja profesional dan mahir, disokong oleh para usahawan yang mampu membangunkan industri strategik serta mewujudkan pelbagai jenis peluang perniagaan di sini.

 

6. Justeru, susulan pengenalan konsep pembangunan wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, berpaksikan Program Transformasi Johor Bahru diwujudkan untuk memangkinkan semula peranan Bandaraya ini sebagai sebuah ‘liveable city’ yang menjadi kota pilihan untuk didiami. Program transformasi ini akan melibatkan pelaksanaan beberapa projek pemangkin seperti:-

 

i. pemulihan Sungai Segget dan penambahbaikan sistem saliran bandaraya;

ii. pemuliharaan tapak-tapak, bangunan dan ikon bersejarah;

iii. peningkatan jaringan teknologi maklumat dan komunikasi;

iv. peningkatan tahap keselamatan dan kesejahteraan awam yang lebih menyeluruh;

v. penyediaan prasarana dan infrastruktur awam yang lebih kondusif;

vi. peningkatan tahap penyelenggaraan kebersihan dan kualiti alam sekitar.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

7. Melalui perancangan dan pelaksanaan projek-projek pemangkin ini, saya yakin dan percaya bahawa Bandaraya Johor Bahru akan muncul sebagai sebuah kota berwajah baru yang bukan sahaja bersih dan indah, malah kekal selamat, kondusif, dan berimej tinggi. Umpamanya, kerja-kerja pemulihan Sungai Segget bukan terbatas kepada peningkatan kualiti air dan kebersihan sungai itu sendiri, malah tebing dan kawasan sekitar sungai itu akan diolah menjadi taman rekreasi hijau untuk kegunaan awam. Aliran trafik keluar masuk ke bandaraya ini juga akan dirancang semula untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara optimum.

 

8. Selain daripada itu, aspek keselamatan awam dan kesejahteraan penduduk Bandaraya Johor Bahru juga akan terus diperkukuh melalui pelbagai pendekatan pro-aktif. Antaranya pemasangan CCTV untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan sedang giat dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik dalam usaha untuk memastikan aspek keselamatan awam sentiasa dijaga. Dalam fasa pertama, sebanyak 250 CCTV akan dipasang (136 telah siap dipasang), sementara 165 CCTV lagi akan dipasang dalam fasa kedua. Selain daripada itu, program seperti “Community Policing” yang menggalakan penglibatan masyarakat dalam menjaga keselamatan setempat turut diperkenal sebagai sebahagian daripada budaya bagi penduduk di Iskandar Malaysia. 

 

9. Apa yang menarik ialah capaian akses jaringan teknologi maklumat dan kelajuan jalur lebar dalam Bandaraya Johor Bahru juga akan diperbaik dan terus dipertingkat. Ianya akan dilaksanakan melalui penyediaan perkhidmatan WiFi di tempat-tempat tumpuan utama, bangunan-bangunan Kerajaan dan kawasan-kawasan komersial. Kesannya akan menjadikan kawasan Bandaraya ini lebih mudah untuk berhubung melalui teknologi ICT di samping membantu memudahkan lagi kumpulan-kumpulan perniagaan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan mereka. 

 

10. Sebagaimana kita sedia maklum, Program Transformasi Johor Bahru ini akan diterajui bersama oleh IRDA dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, dengan disokong oleh agensi-agensi perancang dan pelaksana Kerajaan Negeri Johor dan juga Persekutuan. Di kesempatan ini juga saya ingin  merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberi peruntukan sebanyak RM260 juta untuk melaksanakan beberapa fasa utama pelaksanaan projek prasarana dalam program ini. InshaAllah, amanah dan kepercayaan daripada Kerajaan Persekutuan ini akan kita sama-sama laksanakan dengan sebaik-baiknya.

 

11. Walau bagaimanapun, dalam kita gigih melaksanakan projek pembangunan fizikal untuk Transformasi Johor Bahru, saya ingin menyeru agar semua pihak sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan masyarakat tempatan, terutamanya komuniti yang akan menerima impak langsung daripada projek pembangunan ini. Peningkatan kegiatan ekonomi yang terhasil daripada program ini perlu diselarikan dengan peluang-peluang pekerjaan baru berpendapatan tinggi untuk rakyat tempatan dan peluang mengembangkan perniagaan sedia ada terutamanya kepada mereka yang selama ini gigih ‘menghidupkan’ suasana Bandaraya.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

12. Inilah peluang terbaik bagi semua terutamanya warga Johor Bahru dan seluruh rakyat Johor untuk sama-sama mengambil bahagian dalam Hari Terbuka Program Transformasi Johor Bahru. Gunakanlah peluang dan kesempatan yang ada untuk memberikan maklum balas, pandangan dan idea yang sewajarnya kepada pegawai-pegawai IRDA dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, demi memantapkan lagi perancangan dan pelaksanaan usaha murni ini agar ianya lebih bermanfaat untuk semua.

 

13. Saya berharap, dengan kegigihan dan profesionalisme semua agensi perancang dan pelaksana, terutamanya IRDA dan MBJB, serta sokongan padu daripada segenap lapisan warga Johor Bahru, kita akan melihat Bandaraya Johor Bahru yang berwajah baru, kondusif dan mapan. Terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada IRDA, MBJB dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan penuh rasa sukacitanya merasmikan Hari Terbuka Program Transformasi Johor Bahru 2013.

 

Sekian, terima kasih.

davispropertymanagement.com