MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SASTERA DARUL TA’ZIM KESEMBILAN 2013

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SASTERA DARUL TA’ZIM KESEMBILAN 2013

DI PERSADA JOHOR, JOHOR BAHRU

PADA HARI JUMAAT, 01 NOVEMBER 2013

JAM 3.30 PETANG

 

 

Yang Dihormati Saudara Pengacara Majlis.

 

Yang Berhormat Datuk Mohamad Bin Aziz,

Speaker Dewan Negeri Johor.

 

Yang Berhormat Dato’ Obet BinTawil, 

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

Yang Berhormat Dato’ Zulkurnain Bin Kamisan, 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan.

 

Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Fuad Bin Radzuan,

Pengarah Yayasan Warisan Johor.

Barisan Ahli-Ahli Yang Berhormat.

 

Dif – Dif Jemputan.

 

Rakan - Rakan media

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabaraktuh dan salam sejahtera

Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

1. Marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Allah S.W.T kerana dengan kehendak-Nya jua kita dapat bersama-sama berkumpul pada petang ini untuk menyempurnakan satu majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta’zim kali ke-sembilan bagi tahun 2013.

 

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan sedalam-dalamnya kepada pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ), yang secara konsisten telah berjaya mengendalikan program dwi tahunan yang telah dilancarkan sejak tahun 1996. Saya difahamkan, majlis serupa ini diadakan sebagai tanda pengiktirafan Kerajaan Negeri Johor kepada sumbangan para sasterawan dan para penulis terhadap pembinaan tamadun bangsa melalui karya-karya sastera mereka.

 

3. Kepada penulis yang berjaya menerima, sama ada hadiah utama atau pun hadiah penghargaan, saya mengucapkan tahniah, terutamanya, di atas kesungguhan penulis-penulis yang menghantar hasil karya mereka, sekali gus membuktikan bahawa penulisan sastera masih lagi mendapat tempat di kalangan masyarakat kita. Bagi mereka yang tidak berjaya, diharapkan tidak berputus asa malah dapat menjadikannya sebagai satu cabaran untuk mencuba lagi pada masa akan datang.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

4. Untuk makluman, program Hadiah Sastera Darul Ta’zim ini adalah manifestasi kepekaan rakyat Johor, khususnya para penulis, sasterawan dan budayawan yang mahu melihat tamadun bangsa yang lahir sejak zaman kerajaan Johor Lama dapat diteruskan sehingga wujudnya Tanjung Puteri dan terkini, Kota Iskandar.

 

5. Jika kita menyoroti sejarah, karya-karya sastera terkandung kekuatan nasionalistik, patriotisme, bahasa dan jatidiri yang amat kuat, sekali gus mampu menjadi teras terhadap pembinaan sesebuah bangsa dan negara. Dengan mengenali dan memahami karya-karya sastera, seseorang itu akan dapat mengenali dan memahami manusia di sekitarnya dan meningkatkan sistem keseimbangan pertumbuhan antara rohani dan jasmani.

 

6. Sebagai salah satu cabang kebudayaan yang mendukung nilai-nilai etnik dan estatik, sastera boleh memainkan peranan yang berkesan sebagai pembentuk cara berfikir yang mudah, dinamik dan progresif, selain dapat mewujudkan semangat permuafakatan di kalangan rakyat dari pelbagai latar belakang dan bangsa di negara ini.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

7. Justeru, secara peribadi, saya masih percaya bahawa hasil penulisan kreatif, termasuk, novel, puisi dan cerpen masih relevan pada era globalisasi masa kini. Ini kerana, Sastera Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu merupakan cerminan pemikiran rakyat Malaysia, iaitu suka duka kehidupan budaya masyarakat serta aspirasi dan pengalaman penduduk Malaysia. Anak bukan kelahiran Malaysia tidak berupaya untuk menggambarkan realiti kehidupan kita semua. Oleh itu, penulis-penulis karya sastera amat dialu-alukan untuk menghasilkan lebih banyak bahan untuk kegunaan dan kefahaman orang luar tentang Johor, khususnya dan Malaysia secara amnya.

 

8. Oleh itu, melalui karya-karya sastera ini, pembaca dapat memperhalusi keindahan bahasa sastera, selain memperoleh banyak ilmu selain menambah pengalaman kendiri melalui pengalaman zahir dan batin yang digambarkan oleh penulis.  Dengan mengikuti penulisan sastera, seseorang individu itu juga dapat membentuk jati diri sebagai manusia berbudaya atau cultured man. Golongan itu adalah bersifat responsif terhadap pelbagai nilai di dalam kehidupan ini, termasuk nilai-nilai kebenaran, keindahan dan kebaikan serta berperasaan luhur dan mulia.

 

9. Umum ketahui bahawa Johor merupakan sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya dan bangsa, sama ada dari segi sistem politik, sosial, kesenian dan kebudayaan. Malah,  bahasa dan sasteranya mempunyai ciri-ciri keunikan yang tersendiri. Kita bukan sahaja harus berbangga dengan keistimewaan itu tetapi perlu berusaha untuk memelihara dan memulihara bidang ini agar hasil karyanya dapat diperluaskan kepada masyarakat secara keseluruhannya, terutamanya kepada golongan belia.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

10. Sebagai anak jati Johor, kita harus berbangga kerana bahasa Melayu Johor – Riau diangkat sebagai bahasa perpaduan dan bahasa pertuturan harian rakyat Malaysia pada hari ini. Dari segi sejarahnya, Johor adalah negeri yang pernah melahirkan para cendekiawan seawal tahun 1603 apabila Bukhari al-Jauhari telah menghasilkan sebuah kitab tersohor, iaitu Tajus Salatin atau Mahkota Raja-Raja. Ini turut merangkumi karya Sulalatus Salatin atau Kitab Sejarah Melayu yang dihasilkan oleh Tun Seri Lanang, anak kelahiran Kota Seluyut, Kota Tinggi pada tahun 1612. Karya berkenaan amat terkenal di seluruh dunia sehingga hari ini.

 

11. Sekadar memberi contoh, karya agung lain ialah, Hikayat Hang Tuah yang dipercayai ditulis di Johor bersama-sama kelahiran Kitab Sejarah Melayu. Selain itu, tokoh seperti Raja Ali Haji dengan karyanya, termasuk Tuhfatun Nafis dan Gurindam Duabelas yang telah dihasilkan ketika zaman kerajaan Empayar Johor – Riau pada abad ke-18. Tokoh-tokoh penulis dan pengarang inilah yang telah mewarnai kegemilangan budaya intelektual bangsa Johor pada suatu ketika dahulu.

 

12. Perlu diingat bahawa para penulis dan sasterawan adalah sebahagian daripada anggota masyarakat. Kreativiti dan imiginasi mereka diperoleh daripada hasil pergaulan dalam masyarakat. Mereka mengamati, merasakan suka duka dan merasai secara langsung seluruh kejadian atau peristiwa yang berlaku di sekelilingnya.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

 

13. Seorang penulis mempunyai keupayaan untuk menceritakan tentang sesuatu perkara dalam bentuk dan lenggok bahasa penceritaan yang mudah untuk difahami oleh pembacanya. Secara tidak langsung, kejadian dan peristiwa yang telah berlaku dalam masyarakat dapat disebarkan melalui penulisan.

 

14. Saya yakin, pengarang dan sasterawan dapat memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk mentransformasikan masyarakat ke arah golongan yang lebih peka terhadap pembangunan masyarakat serta berdaya saing dalam semua bidang kehidupan bagi menyesuaikan diri masing-masing dan hidup dalam suasana harmoni.

 

15. Oleh itu, bagi memastikan kelangsungan bidang sastera dalam masyarakat kita pada hari ini, saya mencadangkan supaya pihak YWJ merangka satu pelan tindakan untuk menubuhkan sebuah pusat tamadun Melayu serantau, seiring dengan penubuhan sebuah galeri yang dinamakan Galeri Persuratan Johor, di mana usaha-usaha mengumpul, menyimpan, mempamer mengenai pelbagai maklumat sejarah dilakukan di galeri ini. Ini turut termasuk penyimpanan rekod mengenai perkembangan dan kegiatan organisasi bahasa dan sastera, tokoh-tokoh penulis serta karya yang telah dihasilkan sejak abad ke-17 sehinggalah pada hari ini untuk tujuan rujukan, terutamanya golongan belia.

 

16. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta’zim Ke-Sembilan bagi tahun 2013.

 

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

davispropertymanagement.com