MAJLIS PENUTUP KEMBARA MAHKOTA JOHOR 2013

TEKS UCAPAN 

Y.A.B. DATO’ SERI  MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR 

MAJLIS PENUTUP KEMBARA MAHKOTA JOHOR  2013

DI PADANG AWAM , GELANG PATAH NUSAJAYA

PADA HARI SELASA, 27 OGOS, 2013

JAM : 2.15 PETANG 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, 

Sultan Dan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim 

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah. 

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

 

Segala Puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada junjungan  besar  Nabi Muhammad S.A.W. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat negeri Johor Darul Ta’zim, patik dengan penuh ta’zim dan menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencemar Duli berangkat disepanjang Kembara Mahkota 2013.

 

Kembara Mahkota ini sememangnya telah menjadi lebih bermakna dengan keberangkatan –

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, 

Tunku Mahkota Johor,

 

Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim,

Tunku Temenggong Johor, 

 

Serta Paduka Putera-Putera dan Puteri, yang telah bersama-sama bermesra dengan rakyat jelata

 

Ampun Tuanku,

 

Patik mohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik berucap kepada para hadirin sekalian.

 

Ampun Tuanku,

 

Yang  Berhormat  Dato’ Mohammad bin Aziz

Speaker Dewan Undangan  Negeri Johor 

 

Yang  Berhormat  Dato’ Haji Obet bin Tawil 

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor 

 

Yang  Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi

Menteri Dalam Negeri 

 

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor,

 

Yang  Berhormat Dato’- Dato’, Ketua-Ketua Jabatan,Pemimpin-pemimpin masyarakat, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian, 

 

1. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri dan sekalian rakyat jelata berasa syukur sekembalinya Tuanku beserta rombongan kembara dalam keadaan yang selamat dan dipelihara oleh Allah SWT. Pada kesempatan ini, patik ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan Tuanku menempuh perjalanan sejauh 1,100 km merentasi 10 daerah  sekali gus menyempurnakan program selama empat hari ini. Sememangnya, sepanjang kembara ini Tuanku telah menunjukkan kekuatan dan ketahanan mental serta fizikal yang tiada bandingnya kepada seluruh rakyat Negeri Johor. 

 

2. Apa yang lebih menakjubkan ialah Kembara Mahkota 2013 ini telah mendapat sambutan yang begitu meriah daripada segenap lapisan masyarakat di setiap destinasi persinggahan. Rakyat telah keluar beramai-ramai dan berkumpul di sepanjang laluan Kembara Mahkota sambil memberikan lambaian mesra kepada Tuanku serta rombongan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpusu-pusu menunggu ketibaan rombongan Tuanku untuk bersalam-salaman. Pendek kata, hasrat Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk bersama, berjumpa dan bertanya khabar rakyat dapat dilaksana.

 

 Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, 

 

3. Dalam pada itu juga, semua acara yang telah diaturkan di sepanjang Kembara Mahkota ini bukan sahaja mendapat penyertaan yang amat menggalakkan daripada rakyat jelata, lebih dari itu acara-acara tersebut penuh dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang. Saya amat menyanjungi keprihatinan Tuanku memberi segala bentuk sumbangan kepada masyarakat yang sudah pastinya banyak meringankan bebanan sekalian rakyat negeri Johor. Selain itu atas perkenan Tuanku mengadakan cabutan bertuah berupa pakej ziarah  ke destinasi persinggahan bagi setiap wakil kaum yang bertuah menambahkan lagi semarak rasa cinta rakyat kepada Sultannya.

 

4. Malah acara-acara yang telah diaturkan bertambah seri dan maknanya dengan penglibatan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah. Hal ini semuanya bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan istana dengan rakyat, lebih dari itu memperkukuhkan lagi institusi raja berpelembagaan.  

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, 

 

5. Sesungguhnya pendekatan Kembara Mahkota ini sangat istimewa kerana terbukti Tuanku amat mengambil berat akan hal rakyat jelata di seluruh pelusuk negeri Johor. Dengan cara inilah Tuanku dapat melihat sendiri setiap perkembangan yang berlaku baik dari segi pembangunan ekonomi dan sosial mahu pun setiap permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat. 

 

6. Keprihatinan terhadap negeri Johor yang telah diterjemahkan oleh Tuanku melalui kembara ini, bertepatan dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri Johor sebagai sebuah negeri yang lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Seiring dengan Tema tahun ini KEMBARA KE ARAH PERPADUAN, Kerajaan Negeri Johor berasa bertuah kerana program yang dipelopori oleh Tuanku ini telah berjaya mengeratkan jalinan dan kerjasama antara institusi raja, pemimpin negeri, kakitangan kerajaan dan rakyat jelata dari segenap lapisan masyarakat.  

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, 

 

7. Saya percaya dengan maskud yang mendalam mendukungi tema tahun ini bakal membuka lembaran baru sebagai jambatan yang memperkukuhkan lagi perpaduan dikalangan rakyat Negeri Johor.  Sudah semestinya perpaduan dan pemuafakatan dikalangan rakyat yang berbilang kaum menjadi teras kemajuan dan pembangunan yang telah kita kecapi selama ini. Untuk itu, nilai hormat-menghormati, saling faham-memahami dan toleransi mesti dipelihara serta sentiasa diperbaharui agar kita semua hidup dalam keadaan yang harmoni. 

 

8. Oleh itu, adalah menjadi harapan besar kerajaan negeri supaya usaha seumpama ini dapat diteruskan dan ditambahbaikan setiap tahun dengan penyertaan yang lebih besar dan penambahan acara-acara baru yang bermanfaat lebih berkualiti. Semua usaha ini amat penting untuk dirakamkan dalam sejarah negeri Johor bagi generasi yang akan datang.

 

9. Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan Program Kembara Mahkota 2013 dapat dijalankan sebagaimana yang telah dirancang. Semoga segala usaha kita diberkati oleh Allah SWT dan mendapat keredhaan dariNya. 

 

Ampun Tuanku

 

10. Dengan segala hormat takzim dan tawadhuknya, sekali lagi patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke majlis pada hari ini. 

 

11. Akhir sekali, patik yakin bahawa rakyat berbilang kaum di negeri ini akan sentiasa menanti-nantikan kedatangan program Kembara Mahkota ini yang telah semakin sebati di dalam kehidupan mereka saban tahun. Kerajaan Negeri dan rayat jelata ingin mengucapkan tahniah sekali lagi di atas kejayaan Tuanku pada program kembara kali ini. Patik mendoakan agar dilanjutkan usia Tuanku dan dirahmati oleh Allah SWT. 

 

12. Demikian juga, patik berdoa semoga dikurniakan taufiq dan hidayah kepada:

 

i. Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Syah.

 

ii. Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,

  Tunku Mahkota Johor.

 

iii. Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim,

  Tunku Temenggong Johor, 

 

iv. Yang Amat Mulia Paduka Putera-Putera dan Puteri serta kerabat-kerabat DiRaja sekalian berada dalam keadaan sihat walafiat, aman makmur dan sejahtera. 

 

13. Patik sekalian bermohon ke hadrat Ilahi semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan bertambah-tambah Daulat dan kemuliaan untuk terus memerintah Negeri Johor Darul Ta’zim dengan adil dan saksama. 

 

Sekian, wabillahi Taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi

wabarakatuh.

 

Ampun Tuanku.

davispropertymanagement.com