MAJLIS PELANCARAN KEJOHANAN HOKI ANTARABANGSA BAWAH 21 TAHUN PIALA SULTAN JOHOR 2013

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR 

MAJLIS PELANCARAN KEJOHANAN HOKI ANTARABANGSA BAWAH 21 TAHUN PIALA SULTAN JOHOR 2013

 DI BILIK PERMATA, THE PUTERI PACIFIC HOTEL JOHOR BAHRU 

PADA HARI KHAMIS, 29  OGOS 2013

JAM 10.35 PAGI

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Sultan Ibrahim Ibni Almarhun Sultan Iskandar, 

 

Sultan dan yang di Pertuan Negeri Johor dan jajahan takluknya,

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Menjunjung kasih patik hulurkan di atas keberangkatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke Majlis Pelancaran dan juga penyerahan cek penajaan sempena pertandingan Hoki Piala Sultan Johor yang ke 3, 2013.

 

Sememangnya majlis ini menjadi lebih bermakna dengan keberangkatan -

 

Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim,

Tunku Mahkota Johor, 

 

Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim,

Tunku Temenggong Johor

 

Ampun Tuanku,

 

Patik mohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk berucap kepada para hadirin sekalian.

 

Yang Berhormat Dato’ Haji Obet bin Tawil

Setiausaha Kerajaan Johor

 

Yang Berhormat Dato’ Zulkurnain bin Haji Kamisan

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan

 

Yang Berhormat Haji Md. Jais Bin Sarday

Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Presiden Persatuan Hoki Johor

 

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor

 

Dato-Dato, Datin-Datin, para penaja kejohanan Hoki Piala Sultan Johor yang ke-3 2013, Ahli Majlis Konfederasi Hoki Malaysia, Ahli Majlis Persatuan Hoki Johor, dan para jemputan yang di hormati sekalian, 

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

 1. Alhamdulillah, segala rasa syukur kita panjatkan kepada Allah SWT, lantaran rahmat dan limpah kurnianya jua dapat kita bersama-sama berkumpul di dalam satu majlis  Pelancaran dan Penyerahan Cek Penajaan Sempena Pertandingan Hoki Piala Sultan Johor Yang Ke 3, 2013.

 

2. Sememangnya Negeri Johor berasa bertuah dan berbesar hati kerana sekali lagi dapat menganjur dan menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor yang berprestij ini.  Saya dimaklumkan bahawa pada pertandingan kali ini beberapa negara gergasi hoki dunia seperti England, Argentina, India, Pakistan dan Korea Selatan akan turut sama mengambil bahagian dalam kejohanan ini. Semoga kejohanan yang akan diadakan di Stadium Hoki Taman Daya pada 21 hingga 29 September 2013 ini nanti dapat dilangsungkan dengan jayanya.  InsyaAllah.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

3. Institusi Raja sebenarnya banyak menaungi kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti kehidupan bermasyarakat. Bukan sahaja dalam bentuk pemerintahan dan pentadbiran, lebih dari itu aspek seni, budaya dan adat dan bidang keilmuan turut mempunyai tempat yang sangat penting antara hubungan raja dan rakyat. Jika dilihat pada aktiviti  persuratan  umpamanya,  ini adalah satu bentuk kegiatan yang amat mustahak di kalangan ahli istana untuk berkomunikasi dan menyampaikan mesej kepada sekalian rakyat jelata. 

 

4. Begitulah juga dengan acara sukan. Jika diamati secara mendalam, institusi raja banyak mengetengahkan acara-acara sukan yang menarik minat rakyat jelata untuk turut serta seperti sukan bola sepak sebagai contohnya. Semua ini sememangnya membentuk minat serta sokongan rakyat terhadap sesuatu jenis sukan itu. Ini secara tidak langsung dapat melahirkan masyarakat yang aktif bersukan sekali gus mengamalkan cara hidup yang sihat. Walaupun acara sukan sekarang sudah berubah wajah dan ragam, peranan istana dalam memangkin aktiviti sukan itu sendiri amat penting pada hari ini.

 

5. Maka atas ilham, rasa cinta dan minat yang mendalam  Tuanku terhadap bidang sukan seperti hoki, pertandingan hoki remaja antarabangsa bukan sahaja diadakan setiap tahun malah turut mendapat perkenan Tuanku untuk dinamakan sebagai Pertandingan Hoki Piala Sultan Johor. Apa yang lebih manis, sejak mula diperkenalkan pada tahun 2009, Piala Sultan Johor bawah 21 tahun begitu cepat mendapat pengiktirafan antarabangsa  dan lebih mambanggakan Negeri Johor pantas menempa nama di peta hoki dunia.

 

6. Menariknya di sini, sepanjang kejohanan Piala Sultan Johor yang dianjurkan di negeri ini, banyak pihak termasuk di peringkat antarabangsa memuji kualiti penganjurannya kerana kagum dengan sistem pentadbiran yang baik selain jumlah kehadiran penonton yang amat memberangsangkan pada setiap perlawanan

 

7. Dari sudut yang lain, Piala Sultan Johor bawah 21 tahun ini sebenarnya membawa makna yang besar kepada seluruh peminat dan penggiat hoki tanah air  kerana di sinilah pentas dan platform untuk mengasah dan mencungkil  bakat-bakat baru. Pada masa yang sama, Piala Sultan Johor berperanan penting bagi  memelihara kesinambungan bekalan pemain muda yang berkualiti agar dapat diserapkan dalam pasukan senior kebangsaan. 

 

8. Oleh hal yang demikian,  Negeri Johor tidak akan  terkecuali untuk berjuang bersama-sama dengan Konfederasi Hoki Malaysia bagi memastikan kelestarian sukan hoki di semua peringkat termasuk peringkat antarabangsa. Saya percaya, dengan perancangan dan pengstrukturan yang baru dan lebih mapan, Konfederasi Hoki Malaysia kini telah mengorak langkah dengan lebih jauh demi memperkukuhkan kualiti dan strategi hoki negara supaya terus disegani di persada antarabangsa.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

 

9. Sukan secara amnya merupakan satu mekanisma permuafakatan dan perpaduan dikalangan masyarakat negara walaupun setiap di antara kita berbeza dari segi pemikiran, fahaman dan ideologi. Tambahan lagi, sukan tidak pernah mengira latar belakang, agama, keturunan dan kepercayaan yang boleh membataskan interaksi antara pemain-pemain itu sendiri mahu pun penyokong. Di atas segalanya, sukan mampu berperanan dalam membentuk dan memantapkan semangat kekitaan dan nasionalisme yang tinggi.  Oleh itu, penganjuran kejohanan hoki Piala Sultan Johor ini merupakan satu lagi usaha ke arah menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negeri Johor.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

 

10. Bagi memastikan perjalanan kejohanan hoki ini berjalan dengan jayanya bantuan para penaja amatlah di hargai. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih diatas sokongan para penaja seperti :

 

1. Kementerian Belia dan Sukan

2. Johor Corporation

3. SAJ Holdings Sdn Bhd

4. Iskandar Waterfront

5. Central Malaysian Properties

6. Astro Arena.

 

11. Tidak terkecuali juga ucapan tahniah dan juga terima kasih di atas usaha Presiden Persatuan Hoki Johor dengan sokongan ahli jawatankuasa yang telah menjayakan majlis pada hari yang berbahagia ini. Saya amat yakin dengan sokongan semua pihak kejayaan demi kejayaan akan tercapai.

 

12. Akhir kata marilah kita bersama-sama memberi sokongan kepada penganjuran kejohanan yang berprestij ini, dan berilah sokongan padu kepada pasukan kebangsaan yang akan bertandingan nanti.

 

Ampun Tuanku.

davispropertymanagement.com