MAJLIS PELANCARAN INKUBATOR USAHAWAN ISLAM JOHOR ANJURAN PERBADANAN ISLAM JOHOR

Print

TEKS UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED 

BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

DI MAJLIS PELANCARAN INKUBATOR USAHAWAN ISLAM JOHOR ANJURAN PERBADANAN ISLAM JOHOR

PADA HARI KHAMIS,  12 SEPTEMBER 2013

JAM 2.30 PETANG

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam 1Malaysia dan Salam Muafakat Johor

 

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadarat Allah S.W.T kerana dengan limpah izin dan kurniaNya jua telah memungkinkan kita bertemu muka di dalam Majlis Perasmian Inkubator Usahawan Islam. Sesungguhnya majlis seumpama ini amat besar ertinya sebagai usaha kita menjemput dan melahirkan lebih ramai lagi usahawan Islam. InsyaAllah.

 

2. Untuk itu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Islam Johor kerana telah berjaya menterjemahkan usaha keras selama ini untuk terus memahami dan mendukung hasrat Kerajaan Negeri ke arah kemakmuran serta kesejahteraan rakyat. 

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

3. Para bijak pandai ada menyebut ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’. Bertitik tolak dari asas kemahuan inilah Kerajaan Negeri sentiasa bertekad untuk melihat lebih ramai orang Melayu menceburi bidang keusahawanan terutamanya golongan muda. Pada hari yang berbahagia ini segala ruang dan peluang untuk orang Melayu berniaga terbuka dengan amat luas. Saya berasa amat bersyukur kerana hasrat dan tekad Kerajaan Negeri itu tadi telah disahut oleh PIJ dengan pelbagai program keusahawanan dan salah satunya ialah Program Inkubator Usahawan Muda Islam pada hari ini. 

 

4. Sebagai sebuah Badan Berkanun Negeri Johor PIJ sememangnya berperanan besar untuk memajukan ekonomi umat Islam terutamanya di negeri ini dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam dunia keusahawanan. Lantaran itu, kehadiran program inkubator yang berfungsi menyediakan ruang-ruang niaga dan lot-lot pejabat dengan harga sewaan serendah RM 200 sebulan selama 2 tahun, pasti mampu menarik minat sebilangan besar usahawan Melayu. Tidak kiralah sama ada mereka yang sedang mencari tapak perniagaan atau baru mula untuk berjinak dalam alam keusahawanan, semuanya layak untuk memohon. 

 

5. Selain itu, saya juga turut difahamkan bahawa premis program inkubator ini akan dibina di atas tanah berkeluasan sehingga 1 ekar dimana ianya boleh menempatkan 40 unit ruang niaga atau lot pejabat yang berukuran 100 kaki persegi setiap satu. Apa yang lebih menarik, premis program ini kelak akan disediakan dengan pelbagai jenis kemudahan misalannya pegawai khidmat pelanggan, parkir percuma, kawalan keselamatan 24 jam dan penyediaan ruang iklan dan papan tanda. Malah seperkara penting yang patut menjadi perhatian semua ialah setiap ruang niaga atau lot pejabat itu nanti boleh diguna pakai secara terus kerana akan dilengkapi dengan kemudahan telefon dan kerusi meja. 

 

6. Justeru, sebagai langkah untuk merealisasikan tujuan murni ini, pihak PIJ telah merancang dan mengenal pasti untuk membina ruang-ruang niaga mahu pun lot-lot pejabat di atas tanah milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam wilayah Iskandar seperti di Pusat Bandar Johor Bahru dan Pusat Bandar Pasir Gudang. Tambahan lagi, program inkubator ini akan juga dikembangkan di kawasan-kawasan lain yang bakal dipetakan kelak. 

 

7. Jelaslah, segala ruang dan peluang telah banyak disediakan untuk memangkin semangat berniaga orang-orang Melayu. Bermuara dengan segala jenis bantuan kewangan dan ruang perniagaan yang dibekalkan oleh agensi Kerajaan mahu pun swasta, semua ini amat ketara bahawa Kerajaan mengambil serius untuk membantu usahawan Bumiputera. Lantas, saya yakin program inkubator ini bukan sahaja berupaya memacu semangat orang Islam untuk berniaga tetapi lebih dari itu ianya mampu menjadi satu lonjakan berganda untuk maju dalam bidang keusahawanan. 

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

 

8. Meninjau Sejarah Melayu sebagaimana yang telah disusun oleh Tun Sri Lanang, kisah silam negeri Johor masyhur sebagai pusat perdagangan dan perekonomian penting di Kepulauan Melayu. Apatah lagi bentuk geografi jajahan takluk negeri yang luas lagi strategik dan  kehadiran kapal-kapal dagang di pelabuhan entrepot Johor, semuanya menyumbang kepada kerancakkan kegiatan-kegiatan ekonomi dan perniagaan di sekitar negeri pada waktu itu. Jika direnungi secara mendalam, masakan mungkin kejayaan ekonomi dan perniagaan Negeri Johor berlaku dengan sendiri tanpa sebarang sistem perancangan rapi dan sistematik. Menyedari hakikat ini, suka saya nyatakan bahawa kerajaan silam Johor sudah lama terkenal dengan piagam dan undang-undang Tubuh Negeri yang terbukti berkesan di dalam pelbagai sektor pentadbiran, pengurusan mahu pun perekonomian.

 

9. Demikianlah juga Kerajaan Negeri pada hari ini bergerak dan sedang menuju ke arah pembangunan ekonomi serta keusahawanan yang mendahulukan rakyat di mana limpahannya adalah adil dan saksama. Kehadiran program seperti Inkubator Usahawan Muda ini sememangnya tidak lari dari hasrat kerajaan untuk melestarikan pembangunan pro-rakyat. Malah program seumpama ini merupakan salah satu bentuk manifestasi kepada  Kajian Suara Hati Johor sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat terutamanya berkaitan akan hal meningkatkan ekonomi dan keusahawanan. 

 

10. Tambahan pula, Kerajaan Negeri sangat prihatin terhadap kemajuan serta perkembangan semasa akan segala aktiviti yang menyumbang kepada ekonomi negeri. Kita perlu sedar bahawa kekuatan ekonomi memiliki pengaruhnya yang tersendiri terhadap survival umat dan kelansungan kekuatan agama kita. Jika kekuatan ekonomi mula rapuh, maka dengan sendirinya pengaruh dan daya tahan umat akan menurun. Sungguh pun begitu kekuatan ekonomi yang dipacu oleh kegiatan-kegiatan perniagaan sepatutnya tidak hanya tertumpu kepada mencari keuntungan material semata-mata, tetapi berperanan untuk menyeimbangkan antara dimensi kehidupan duniawi dan kehidupan ukhrawi sekali gus.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

 

11. Dalam kesibukkan kita menjalankan pelbagai aktiviti dan program khususnya yang melibatkan keusahawanan, suka saya berpesan tiga teras utama sebagai bekalan untuk kita meniti hari mendatang: 

 

i. Membentuk satu Ekosistem Rangkaian Usahawan sebagai langkah menjana pasaran yang lebih luas. Beralih pandang kepada pasaran perniagaan negara, kita harus sedar bahawa corak dan ragam gelanggang pasaran tempatan yang sedia adalah tidak seimbang  dari banyak segi. Pun begitu, ini bukanlah alasan untuk kita berdiam diri dan berpeluk tubuh untuk tidak berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Makanya, saya melihat bahawa inisiatif program Inkubator Usahawan Islam ini adalah merupakan satu  mekanisma yang dapat melahir dan meramaikan bilangan usahawan Bumiputera pelbagai bidang sebagai langkah awal mengimbangi pola pasaran perniagaan. 

Namun begitu, saya benar-benar berharap rangkaian usahawan yang lahir dari program ini nanti tidak hanya mementingkan diri sendiri dan perniagaan peribadi sahaja tetapi bersedia dengan segala kudrat untuk mewujudkan kitaran tolong-menolong dan saling bantu-membantu antara ahli usahawan yang lain. Jika hal ini semua dapat diterjemahkan, saya yakin peluang pasaran tempatan kelak akan lebih berdaya saing dan terbuka luas. 

 

ii. Berniaga biarlah berkekalan bukan sementara atau sambilan. Jangan mulakan perniagaan hanya kerana nampak mengghairahkan, atau hipotesis yang menawarkan margin keuntungan besar atau dek kerana orang lain lakukan, kita juga mahu lakukan. Pada kebiasaannya, perniagaan yang dijalankan sedemikian rupa tidak  mempunyai harapan yang cerah untuk kekal lama. Mana tidaknya perniagaan yang dijalankan sebegini selalunya hanya berbekalkan modal kejahilan dan keberanian semata-mata. Jika ada halangan dan rintangan, hampir pasti perniagaan yang diusahakan akan terhenti setengah jalan dan tidak bermaya lagi untuk diteruskan. 

 

Bagi sesuatu perniagaan itu untuk kekal dan relevan, suka saya nyatakan disini bahawa seorang usahawan itu perlu menanam ciri-ciri dan sifat-sifat cekal, tabah, amanah, kreatif lagi berinovasi, sentiasa meninjau peluang yang ada dan tidak cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai. Hal ini semua amat penting untuk sesuatu perniagaan itu bersaing dan terus kekal dalam dalam arena perniagaan yang kian berubah wajah dan mencabar. Kita ambil contoh ciri kreatif dan inovasi. Dengan adanya dua ciri ini tadi, sesuatu perniagaan akan sentiasa berusaha untuk mengeluar produk baru atau menambah baik produk sedia ada sesuai dengan kehendak zaman. Jika semua ciri-ciri dan sifat-sifat yang telah saya sebutkan tadi dapat disemai, saya yakin sesuatu perniagaan itu akan subur, kekal dan boleh menjadi lebih besar pada masa hadapan.

 

iii. Mengubah minda daripada hanya menjadi ahli perniagaan kepada seorang ahli usahawan. Lazimnya apabila kita bercakap tentang soal perniagaan kita akan menyebut ahli perniagaan dan ahli usahawan dalam konteks yang sama. Namun begitu, bagi saya secara peribadi, ahli usahawan mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding dengan ahli perniagaan. Semua ini adalah kerana ahli usahawan mampu mencipta kekayaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga membantu mencipta lebih ramai ahli usahawan yang lain. Bukan itu sahaja, limpahan kekayaan yang ada pada mereka juga sering dirasai oleh ramai orang sama ada di peringkat mikro mahu pun makro strata masyarakat.  

 

Berbanding dengan ahli perniagaan, kekayaan yang ada pada mereka selalunya bercorak peribadi dan individual. Segala usaha yang dilakukan pada kebiasaannya lebih tertumpu kepada menambahkan lagi kekayaan dan membesarkan empayar perniagaan. Kalau pun yang dapat berkongsi hasil kekayaan itu hanyalah mereka yang bekerja untuk ahli perniagaan itu. Maka atas sebab itulah, eloklah kita menanamkan tekad untuk menjadi seorang usahawan yang berwawasan jelas serta berusaha melahirkan usahawan yang lain. 

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

 

12. Di atas segalanya, adalah baik kiranya segala usaha yang telah kita rancang dapat dijalankan dengan segera. Janganlah kita melengahkan apa yang mampu kita laksanakan hari ini kepada hari esok atau lusa. Justeru, adalah menjadi harapan besar kerajaan negeri untuk melihat program Inkubator Usahawan Muda ini dapat dilaksanakan oleh PIJ dengan segera  dan tersusun rapi. 

 

13. Sebelum saya menyusun kata-kata terakhir, saya menyeru kepada semua usahawan Islam di negeri Johor ini agar rebutlah peluang penempatan perniagaan yang disediakan ini untuk meningkatkan lagi perniagaan anda. Bak kata pepatah arab “Siapa yang bersungguh-sungguh, maka dialah yang dapat”

 

14. Makanya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim” saya merasmikan Program Inkubator Usahawan Islam PIJ. Semoga usaha dan daya kita mendapat keberkatan dan petunjuk daripada Allah SWT. InsyaAllah. 

 

Sekian,Wabillahi taufik wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.